Agenda Politik Umat Islam

Sejak pilihan raya umum (PRU) pertama di Malaysia pada tahun 1955 sehinggalah ke PRU-14 pada tahun 2018, kuasa politik di Malaysia telah dikuasai dan didominasi oleh Barisan Nasional (BN), yang memperlihatkan parti Melayu terbesar UMNO, bersama dengan gabungannya MCA dan MIC seolah-olah sebuah kekuatan yang tidak dapat dikalahkan. Namun, gabungan itu akhirnya tumbang bersama keangkuhan mereka pada PRU-14, setelah lebih 60 tahun berkuasa. Berlakunya tsunami politik yang langsung tidak dijangka oleh BN. Rakyat menolak mereka besar-besaran.
Ya, sudah tentu ada beberapa faktor yang tergabung menjadi satu, dengan matlamat menumbangkan UMNO-BN dan memberi peluang kepada parti lain untuk memerintah negara ini. Buat pertama kali dalam sejarah Malaysia gabungan baru atas nama Pakatan Harapan (PH) memerintah, walaupun sebahagian besar yang memegang jawatan merupakan muka-muka lama dalam politik, bahkan bekas ahli-ahli UMNO itu sendiri yang telah ditolak oleh rakyat.
Selepas 2018, keadaan politik di Malaysia menjadi semakin caca-marba. Jika sebelumnya menyaksikan dominasi UMNO dalam pemerintahan, selepas 2018 sehingga sekarang, gabungan parti pemerintah tidak pernah stabil kerana perebutan kuasa sesama mereka. Masing-masing cuba untuk merebut kuasa setelah melihat wujudnya peluang untuk berbuat demikian. Maka terjadilah apa yang terjadi sehingga menyaksikan Malaysia bertukar Perdana Menteri sebanyak tiga kali dalam masa empat tahun.
Tolak ke tepi kejijikan parti-parti politik yang berusaha menjatuhkan satu sama lain dalam rangka mendaki takhta, persoalan penting yang perlu dilihat ialah kedudukan rakyat yang dijadikan permainan oleh parti-parti politik berkenaan. Kuasa bertukar tangan beberapa kali sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri tanpa mandat rakyat, tetapi masing-masing parti bercakap kononnya mereka mengutamakan kepentingan rakyat dalam setiap tindakan mereka. Betapa hipokritnya mereka. Rakyat sentiasa menjadi permainan mereka.
Dalam keadaan politik yang masih kucar-kacir inilah berlakunya tiga PRN iaitu di Sabah, Johor dan Negeri Sembilan, dengan jajaran politik baru yang tidak kurang jijiknya dengan jajaran lama. Parti-parti politik yang sedang berseteru tiba-tiba bergabung, manakala yang sedang bergabung tiba-tiba berseteru. Dari satu sudut ia semacam aneh bin ajaib, tetapi dari sudut lain segala keanehan dan keajaiban itu dapat difahami dengan mudah, kerana jawapannya ada pada satu terma keramat iaitu “kuasa”. Demi kuasa, segala-galanya boleh berlaku dan tidak ada apa-apa yang perlu dihairankan.
Melihat kepada kemenangan besar gabungan BN-PN dalam PRN yang baru berlangsung, persoalan yang agak menghairankan ialah bagaimanakah rakyat boleh mengundi mereka semula, setelah sebelumnya rakyat menolak mereka, dan setelah rakyat “digame” berkali-kali? Adakah parti tersebut telah berubah menjadi baik sehingga rakyat melupakan kesemua dosa mereka?
Padahal jika dilihat tidak ada apa-apa yang berubah pada parti tersebut – perangainya masih sama, perjuangannya masih sama, wajah-wajah wakil rakyatnya masih sama, polisinya masih sama, pendekatannya masih sama, ia masih mempertahankan sistem dan undang-undang yang sama, pendek kata semuanya masih sama.
Kita juga tidak melihat adanya satu tawaran baru yang luar biasa daripada parti tersebut sehingga boleh menarik rakyat kepada mereka. Jadi, apakah yang berlaku sebenarnya sehingga mereka dipilih semula oleh rakyat? Bukankah rakyat tahu bahawa memilih parti yang sama akan menatijahkan hasil yang sama? Atau rakyat sebenarnya sudah tidak ada pilihan di antara dua keburukan sehingga terpaksa memilih yang kurang buruk?
Politik Islam vs Politik Sekular
Sejak runtuhnya Khilafah pada 1924, “politik Islam” turut runtuh bersamanya, sehingga kemudian diganti dengan “politik sekular” yang berasal dari Barat. Umat Islam tidak lagi memahami politik Islam kerana ia telah hilang dari pandangan, dan yang ada di depan mata saban hari ialah politik sekular yang penuh dengan kejahatan dan kekotoran.
Sejak itu, ramai yang hanya melihat politik sekadar urusan pilihan raya, parti dan kerusi semata-mata. Padahal politik menurut definisi Islam bermaksud ri’ayah syu’un al-ummah dakhiliyyan wa kharijiyyan (pemeliharaan urusan umat, dalam dan luar negeri) berdasarkan hukum Islam. Rasulullah (saw) bersabda:
كَانَتْ بَنُو إِسْرَائِيلَ تَسُوسُهُمُ الْأَنْبِيَاءُ، كُلَّمَا هَلَكَ نَبِيٌّ خَلَفَهُ نَبِيٌّ، وَإِنَّهُ لَا نَبِيَّ بَعْدِي، وَسَتَكُونُ خُلَفَاءُ فَتَكْثُرُ
“Bani Israel dahulu diurus oleh para Nabi. Setiap kali seorang Nabi wafat, Nabi yang lain akan menggantikannya. Sesungguhnya tidak ada lagi Nabi sesudahku, tetapi akan ada para Khalifah dan jumlahnya ramai.” [HR al-Bukhari dan Muslim]
Perkataan tasusuhum berasal dari kata sasa, yasusu, siyasatan iaitu sekata dengan siyasah (politik). Maka, daripada hadis ini dapat difahami bahawa politik sebenarnya bermaksud mengurus suatu urusan. Para Nabi menguruskan umatnya, sehinggalah Nabi yang terakhir Muhammad (saw) mengurus umatnya dengan Islam. Setelah itu, urusan umat Islam diambil alih dan dilakukan oleh para Khalifah.
Jadi, politik (siyasah) dalam Islam bermaksud mengurus urusan umat dengan Islam, dan ini merupakan warisan kenabian. Pengurusan di sini merangkumi apa sahaja termasuk pemerintahan, ekonomi, pergaulan, uqubat, pendidikan, kesihatan, ketenteraan, kepolisian, ibadah, teknologi dan lain-lain – semuanya wajib diatur dan diurus dengan hukum-hakam Islam. Oleh itu, umat Islam bukan sekadar wajib berpolitik tetapi wajib mengamalkan “politik Islam” sebagaimana amalan Nabi (saw).
Adapun politik yang diamalkan sekarang adalah politik sekular yang berasal dari Barat – politik yang dibawa oleh Barat selaku penjajah, ke tanah air kita dalam rangka memecah-belah, merosak dan menyesatkan kita – sebuah politik yang maknanya telah disempitkan dan diselewengkan, dan amalannya bukan sekadar kotor bahkan bertentangan dengan Islam.
Terbalik dari politik Islam, politik sekular bermaksud mengurus urusan rakyat dengan hukum kufur – memerintah dengan cara Barat atau dengan cara yang diberikan oleh Barat; berekonomi sebagaimana ekonomi Barat; sistem pergaulannya mengikut gaya hidup Barat yang penuh dengan kebebasan, sistem dan undang-undang yang diamalkan berasal dari Barat.
Pendek kata, dalam politik sekular, semuanya tidak diatur atau diurus berdasarkan ad-Deen, kerana akidah politik Barat ialah sekularisme iaitu faslu deen anil hayah (memisahkan agama dari kehidupan). Inilah yang diterapkan dan diajarkan oleh kafir Barat kepada umat Islam ketika penjajahan, dan selepas penjajahan ia diteruskan oleh parti-parti politik yang memerintah, yang sudah termakan dengan racun Barat.
Pilihan Raya: Game Ciptaan Barat Untuk Kekalkan Sistem Mereka
Selepas keruntuhan Khilafah pada tahun 1924, negeri-negeri umat Islam terpecah-belah kepada puluhan negara bangsa. Sempadan dilukis oleh penjajah, perlembagaan dan undang-undang diberikan oleh penjajah, begitu juga dengan politik yang diamalkan, yang berasal dari penjajah. Walaupun penjajah telah “pulang”, tetapi mereka meninggalkan sesuatu yang jauh lebih efektif daripada penjajahan tentera –sistem, perlembagaan, undang-undang, politik dan cara hidup mereka, serta anak didik mereka daripada kalangan ahli politik dan parti politik, yang mempertahankan apa sahaja yang mereka tinggalkan, atas nama kemerdekaan.
Inilah kelicikan Barat dalam menanam racun sekularisme dan nasionalisme ke dalam tubuh umat Islam, yang sekali gus menyukarkan umat Islam untuk kembali kepada politik Islam.
Melalui perlembagaan, sebuah pilihanraya ala Barat telah diperkenalkan dan tidak diperkenankan untuk diubah. Umat diberi kebebasan memilih player (pemain), tetapi tidak diberi kebebasan memilih game (permainan). Player boleh ditukar lima tahun sekali, tetapi game (yang telah ditentukan oleh Barat) sama sekali tidak boleh ditukar sampai mati. Boleh tukar kerajaan, tetapi jangan sentuh asas sistem. Ini apa yang Barat ajar dan tetapkan.
Melalui pilihan raya ala Barat ini, umat Islam bermusuh dan “berperang” sesama sendiri mati-matian. Masa, umur, tenaga, wang dan segala kekuatan ditumpukan untuk menang dalam perang pilihan raya. Pergaduhan dan pertelagahan sesama sendiri tidak pernah berhenti, bahkan sampai ke tahap berbunuhan, pergaduhan fizikal, penggunaan bomoh, kafir-mengkafir, fitnah-memfitnah, caci-maki, sumpah seranah dan sebagainya, semua berlaku dalam tubuh umat demi berebut sebuah kerusi. Itu belum masuk lagi sifat nifaq, tamak, korup, zalim dan kejam apabila sudah memiliki takhta.
Inilah politik yang terhasil dari acuan sekular, dan inilah yang dimahukan oleh Barat. Mereka tidak perlu lagi menjajah, memecah-belah atau melemahkan umat Islam dari luar (walaupun itu tetap mereka lakukan), kerana semua itu telah dilakukan oleh umat Islam sendiri dari dalam, hasil beramal dengan politik ala Barat.
Politik Islam Adalah Penyelamat Umat
Oleh itu umat Islam wajib meninggalkan politik sekuar dan kembali kepada politik Islam. Untuk merealisasikan hal itu, umat Islam hendaklah terlebih dahulu memahami apakah itu politik Islam, melihat kembali kepada sejarah dan agenda penjajahan kafir Barat di negara ini, mengenali perjuangan setiap parti politik yang ada, bahkan mengenali setiap pemain politik dan agenda mereka – semua ini merupakan pra-syarat untuk umat Islam kembali mengamalkan politik Islam.
Pra-syarat itu tidaklah susah kerana umat Islam mempunyai Al-Quran dan As-Sunnah sebagai neraca. Apa yang diperlukan ialah keikhlasan dalam pengkajian dan perjuangan, bukan untuk meraih manfaat duniawi, tetapi ingin melihat umat Islam kembali bersatu atas landasan yang benar, dan agama Allah kembali didaulatkan, serta dalam masa yang sama apa sahaja yang datangnya dari penjajah dikuburkan sedalam-dalamnya.
Pada hari ini sungguh amat mudah untuk mengetahui agenda setiap politikus – sama ada mereka berjuang demi Allah dan Rasul, atau demi perut dan nafsu. Begitu juga dengan parti-parti politik yang ada, sungguh amat mudah untuk mengetahui ke manakah hala tuju perjuangan mereka – sama ada untuk menegakkan hukum Allah, atau untuk mengekalkan hukum penjajah. Fakta berbicara dengan sendirinya. Dari sinilah setiap Muslim wajib membuat pilihan – sama ada untuk kembali kepada politik Islam yang suci atau kekal mengamalkan politik sekular yang keji.
Selagi umat Islam tidak kembali kepada politik Islam, maka selagi itulah umat ini akan terus bergelumang dengan politik sekular. Jika mereka memilih untuk tidak berpolitik sekali pun dalam sistem sekular pada hari ini, mereka tetap tidak selamat kerana mereka akan menjadi mangsa politik. Satu-satunya jalan selamat bagi umat Islam ialah dengan kembali kepada politik Islam – politik dalam erti kata yang sebenar iaitu mengatur dan mengurus segala aspek kehidupan, dengan Islam. Inilah agenda politik umat Islam.
Umat Islam wajib berpolitik dan wajib memiliki agenda politik sendiri. Jika tidak, umat ini selamanya akan menjadi bahan permainan politik orang lain — menjadi objek yang dipermainkan, bukan subjek yang menentukan arah. Setiap Muslim hendaklah menjadi pemain politik yang akan menentukan masa depan kita sendiri, dan masa depan umat Islam, dengan berpaksikan Al-Quran dan As-Sunnah. Kita hendaklah keluar daripada game politik yang dicipta oleh Barat, dan satu-satunya jalan keluar ialah dengan politik Islam.
Antara agenda politik Islam yang penting dan sangat mendesak sekarang ini ialah mengembalikan semula Daulah Khilafah – sebuah institusi politik pemersatu ummah dan penegak syariah. Agenda politik ini sangat ditakuti oleh Barat di mana mereka bekerja siang dan malam bagi memastikan Khilafah tidak berdiri semula setelah mereka berjaya meruntuhkannya lebih 100 tahun yang lalu. Berdirinya Khilafah bermakna berakhirnya hegemoni dan dominasi politik Barat di dunia pada hari ini.
Khilafah tidak akan berdiri kecuali atas usaha dari umat Islam itu sendiri. Khilafah juga tidak akan berdiri kecuali adanya parti politik yang memperjuangkannya. Atas dasar untuk mengembalikan kehidupan Islam secara kaffah, maka Hizbut Tahrir berjuang untuk menegakkan kembali Khilafah melalui jalan politik, dan ia adalah murni politik Islam. Hizbut Tahrir menyeru seluruh umat Islam untuk bergabung dengannya, atau sekurang-kurangnya menyokong perjuangannya, demi merealisasikan tegaknya Khilafah yang merupakan janji daripada Allah dan Rasulnya ini.
Penutup
Tanpa politik Islam, umat ini tidak ada nilai di mata dunia, dan tidak akan menguasai dunia, walaupun parti Islam berjaya naik ke pemerintahan. Buktinya sudah banyak, dan terpampang di depan mata sejak dulu hingga kini. Predikat khaira ummah hanya akan kembali ke pangkuan umat Islam apabila umat ini kembali mengamalkan politik Islam dan kembali menegakkan Khilafah untuk kali yang kedua Insya Allah.
Wallahu a’lam.