Juruterbang, Dadah dan Sistem yang Sudah Lama Sakit

Saifuddin: KLIA scanners not the issue, screening gap lies in SOPs

Sebuah beg pakaian melintasi mesin pengimbas sinar-X di Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta. Paparan pada skrin menimbulkan kecurigaan. Apabila pemeriksaan fizikal dilakukan, ditemukan 14 bungkusan mengandungi 70,114 pil ekstasi seberat kira-kira 25 kilogram, selain sejumlah kecil syabu. Keseluruhan rampasan itu dianggarkan bernilai sekitar RM45 juta mengikut harga pasaran Indonesia.

Pemilik beg berkenaan bukan penyeludup jalanan dan bukan pula orang miskin yang terdesak mencari sesuap nasi. Dia seorang pegawai penerbangan berusia 39 tahun, memiliki lesen yang diiktiraf antarabangsa dan bekerja dengan sebuah syarikat penerbangan nasional.

Namun, satu perkara perlu diperjelaskan sejak awal agar kita tidak membina hujah di atas fakta yang salah. Malaysia Aviation Group (MAG) mengesahkan bahawa individu tersebut ialah seorang pegawai kedua yang berada di tempat duduk pemerhati kokpit. Dia bukan juruterbang yang mengendalikan penerbangan itu dan telah tidak bertugas selama dua hari sebelum kejadian. Pesawat tersebut dikendalikan dengan selamat oleh dua juruterbang bertauliah yang sedang bertugas.

Menurut pihak berkuasa Indonesia, suspek didakwa mengaku menerima arahan daripada seorang dalang di Malaysia serta dijanjikan bayaran kira-kira RM50,000 untuk membawa bekalan tersebut ke Jakarta. Selepas tiba, dia dikatakan perlu menunggu arahan sebelum menyerahkan bagasi itu kepada individu lain di sebuah hotel. Dia turut didakwa mengaku pernah melakukan dua penghantaran terdahulu – satu ke Sabah dan satu lagi ke Jakarta. Ujian selepas penahanan pula dilaporkan positif terhadap beberapa bahan terlarang.

Semua ini masih merupakan dakwaan pada peringkat siasatan dan belum diputuskan oleh mahkamah. Menariknya, semakan polis Malaysia mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesalahan dadah atau jenayah lampau.

Reaksi terhadap kes ini datang bertalu-talu. Saringan dadah diwajibkan terhadap kesemua 1,260 juruterbang Malaysia Airlines dan akan diperluas kepada kru kabin. Pasukan penyiasat Malaysia diatur untuk ke Jakarta. Persoalan turut dibangkitkan tentang bagaimana bagasi mengandungi dadah seberat itu boleh melepasi pemeriksaan di KLIA, manakala pakar keselamatan menyeru supaya audit menyeluruh dilakukan terhadap industri penerbangan.

Semua langkah ini memang perlu. Namun, jika tindak balas kita berhenti pada penambahan mesin, ujian dan prosedur, kita hanya merawat gejala. Seolah-olah seorang manusia sanggup menggadaikan kerjaya, maruah dan amanah semata-mata kerana lapisan pemeriksaan tidak cukup tebal.

Bukan Kegagalan Individu Semata-mata

Tanggungjawab atau kesalahan peribadi tidak boleh dinafikan. Sistem yang ada tidak memaksa seseorang itu mencuri atau menyeludup. Setiap manusia memilih perbuatannya sendiri dan akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah (swt). Sesiapa yang dibuktikan bersalah melalui proses kehakiman yang adil wajib dikenakan hukuman sewajarnya.

Namun, kes ini juga meruntuhkan satu anggapan yang sering ditanam dalam masyarakat: bahawa pendidikan tinggi, kerjaya profesional dan pendapatan lumayan sudah memadai untuk menjadi benteng daripada kejahatan. Ternyata semua itu tidak memadai bagi sesetengah orang.

Suspek bukan orang yang tidak berpelajaran. Dia menjalani latihan bertahun-tahun, melepasi pelbagai tapisan dan memegang satu profesion yang menjadi impian ramai. Rekodnya di sisi undang-undang juga bersih. Namun, jika dakwaan tersebut terbukti, nampaknya semua latar belakang yang dimilikinya masih tidak mampu menghalangnya daripada memilih jalan haram apabila bayaran RM50,000 ditawarkan.

Di sinilah persoalan sistem perlu dibincangkan. Dalam kehidupan kapitalistik, kejayaan sering diukur melalui kedudukan, kerjaya dan jumlah harta yang dimiliki. Neraca halal dan haram sememangnya terpinggir daripada urusan awam, kecuali oleh mereka yang benar-benar beriman. Apabila keuntungan menjadi ukuran dominan, persoalan yang ditanya bukan lagi, “Adakah Allah membenarkan perbuatan ini?”, tetapi, “Berapa banyak keuntungan yang boleh didapati dan sejauh mana risikonya boleh dikawal?”

Ujian dadah berkala tetap diperlukan, mesin-mesin lama juga perlu diganti. Namun, menganggapnya sebagai penyelesaian menyeluruh ibarat menampal bumbung yang bocor sedangkan tiang seri rumah telah lama dimakan anai-anai. Tampalan itu mungkin menahan air buat sementara, tetapi ia tidak menjadikan rumah tersebut benar-benar selamat.

Sindiket tidak akan menawarkan puluhan ribu ringgit kepada seorang kurier jika tiada pasaran yang menjanjikan keuntungan jauh lebih besar. Sebanyak 70,000 pil bukan untuk disimpan di dalam gudang. Ia dibawa untuk diedarkan kepada manusia yang akan menjadi pengguna dan, akhirnya, mangsa kepada perdagangan yang merosakkan akal serta kehidupan.

Motif setiap pengguna mungkin berbeza. Ada yang mencari keseronokan, ada yang mahu melarikan diri daripada tekanan, dan ada yang terjerumus akibat pengaruh persekitaran. Namun, bagi sindiket, semuanya dilihat sebagai permintaan pasaran. Selagi permintaan wujud dan keuntungan dapat dikaut, manusia hanya dianggap sebagai pelanggan.

Di sinilah terserlah double standard sistem sekular itu sendiri. Satu bahan yang merosakkan akal diburu dengan undang-undang yang keras, sementara bahan memabukkan yang lain boleh pula dijual secara sah, dilesenkan, dikenakan cukai dan dijadikan sumber hasil. Arak dipasarkan secara terbuka dan pusat hiburan beroperasi dengan permit. Pada masa yang sama, sistem tersebut mendakwa mahu melindungi akal dan masyarakat daripada kerosakan dadah!

Begitulah sistem sekular – piawaiannya bukan halal dan haram, tetapi apa yang dibenarkan undang-undang serta boleh mendatangkan hasil untuk penguasa. Sedangkan Islam mengharamkan apa sahaja yang merosakkan fungsi akal, sekali gus tidak akan membenarkan perkara tersebut berada di pasaran. Firman Allah (swt):

Sekularisme Mungkin Membina Kecekapan, Tetapi Bukan Ketakwaan

Industri penerbangan sememangnya terkenal dengan tahap pemeriksaan dan ketelitian yang sangat tinggi. Enjin diperiksa mengikut jadual, badan pesawat diaudit, lesen diperbaharui, jam penerbangan direkodkan dan pemeriksaan kesihatan dilakukan secara berkala. Semuanya diukur, dicatat dan disahkan.

Namun, seluruh rantaian formal itu bertumpu pada kecekapan teknikal. Ia tidak menjadikan ketakwaan serta neraca halal dan haram sebagai asas pembentukan pegawai dan kakitangan. Hal ini bukan suatu kecacatan kecil yang berlaku secara kebetulan, tetapi kesan semulajadi sekularisme yang memisahkan agama daripada kehidupan. Dengan itu agama terpisah daripada pekerjaan, peraturan dan pentadbiran. Agama diletakkan dalam ruang peribadi, sedangkan kokpit, pejabat dan pasaran diserahkan kepada prosedur serta pertimbangan manfaat.

Kita tidak mengetahui isi hati seseorang dan tidak berhak menghakiminya. Namun, sekiranya dakwaan dalam kes ini terbukti, ia menunjukkan bahawa rekod bersih, lesen yang sah dan tapisan profesional tidak semestinya cukup untuk mencegah pengkhianatan amanah. Kawalan luaran boleh diperkukuh, tetapi tetap mempunyai batas. Sedangkan Islam turut membina kawalan dalaman – kesedaran bahawa manusia sentiasa berada dalam pengawasan Allah (swt), sekalipun tiada kamera, pegawai atau mesin pengimbas di hadapannya.

Dalam Islam, uqubat (hukuman) ialah lapisan terakhir dalam sebuah sistem kehidupan yang lengkap. Lapisan pertama ialah ketakwaan individu yang dibina melalui pendidikan berasaskan akidah, sehingga seseorang meninggalkan perkara haram kerana takut kepada Allah (swt), bukan semata-mata kerana takut ditangkap.

Lapisan kedua ialah masyarakat yang hidup dengan amar makruf nahi mungkar. Masyarakat tidak berdiam diri terhadap kemungkaran dan tidak menormalkan budaya hidup yang rosak atas nama kebebasan peribadi.

Lapisan ketiga ialah negara. Negara memutuskan rangkaian pengeluaran dan pengedaran, menutup saluran harta haram, mengharamkan bahan memabukkan serta industri haram yang dibina di sekelilingnya, mengawasi pintu masuk dengan tegas, merawat mereka yang mengalami ketagihan dan menghukum pengedar selepas kesalahan dibuktikan melalui proses kehakiman yang adil.

Sistem hari ini mungkin turut mempunyai pendidikan pencegahan, program pemulihan dan hukuman terhadap pengedar. Namun, semuanya tidak disatukan di bawah akidah Islam dan penerapan hukum syarak. Pendekatannya masih didominasi kawalan luaran, sedangkan negara sendiri membenarkan pelbagai bentuk kemaksiatan dan budaya materialistik yang melemahkan pembinaan ketakwaan individu serta kawalan masyarakat.

Jangan Menunggu Kes Seterusnya

Kes ini bukan alasan untuk menghukum seluruh warga penerbangan. Masih ramai juruterbang, kru kabin dan petugas lapangan terbang menjalankan amanah mereka dengan jujur setiap hari. Namun, sistem yang ada ternyata rosak dan perlu diganti. Kes ini hanyalah satu bukti dan amaran kecil mengenai kerosakan sistem yang sudah kritikal.

Saringan, ujian dan pemeriksaan memang perlu diperketat. Namun, jika tindak balas kita berhenti setakat itu, kita hanya menunggu kes seterusnya. Beberapa minggu lagi, perhatian masyarakat mungkin beralih. Prosedur baharu pula akan menjadi rutin, dan kita tidak tahu berapa lama akan bertahan sebelum kita kembali dikejutkan dengan kes baru. Ia bukanlah kes baru dalam erti kata yang sebenar, tetapi kes yang sebenarnya sudah lama wujud, tetapi selama ini “dilindungi” oleh sistem dan juga mereka yang mengkhianati amanah.

Selagi kehidupan dibina di atas asas yang menjadikan manfaat (bukannya halal-haram) sebagai neraca, yakni memisahkan ad-Deen daripada urusan sehari-harian, maka sindiket akan terus mencari manusia serta institusi yang boleh dibeli dengan mudah dan murah.

Justeru, apa yang diperlukan sekarang bukanlah sekadar mesin pengimbas yang lebih canggih, atau pemeriksaan yang amat ketat, tetapi kita memerlukan sebuah sistem yang membina manusia sebelum menghukumnya; sistem yang manusia lebih takut apabila diperhatikan oleh Allah daripada diperhatikan oleh CCTV; sistem yang menutup jalan menuju perkara haram sebelum memburu mereka yang melaluinya; dan sistem yang dapat menyelamatkan manusia di dunia dan juga akhirat.

Kesimpulan

Sesungguhnya sistem yang ada pada hari ini telah lama sakit, yang sudah tidak lagi dapat diubati. Apa sahaja usaha yang cuba mengubati sistem ini hanyalah ibarat memberi panadol kepada pesakit kanser tahap empat. Kita bukan hanya mahu melihat seorang juruterbang yang sihat akalnya dan suci hatinya, peralatan yang moden dan canggih, lapangan terbang yang bebas-jenayah, namun lebih jauh dan lebih besar dari itu kita ingin melihat sebuah negara yang baik dan diampuni Allah hasil dari penerapannya hukum-Nya secara kaffah. Mohon maaf sistem sekular, kerana Khilafah adalah jawapannya.