Mini Seminar: Wanita Mulia Dibawah Naungan Syariah dan Khilafah
Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran mengambil surah Ali Imran daripada ayat 102 – 110. Ummu Maryam selaku pengerusi majlis pada hari itu mengajak para peserta menyedari peranan mereka sebaik-baik makhluk yang diciptakan Allah SWT. Sebaik-baik manusia adalah umat Islam dan sebaik-baik umat Islam apabila mereka yang menyeru kepada makruf dan mencegah kemungkaran.
Seterusnya Ustazah Ummu Firdaus, Ketua MHTM Cawangan Perlis selaku panel pertama membentangkan kertas kerja yang bertajuk “Realiti Wanita dan Anak-anak di Malaysia”. Pembentangan dimulai dengan mengingatkan para hadirin tentang hadis Nabi berkaitan 5 zaman, di mana zaman kita sekarang pada tahapan zaman pemerintahan diktator yang sememangnya Islam dipisahkan daripada kehidupan. Beliau seterusnya mendedahkan kepada para peserta tentang penderitaan mahupun kerosakan yang lahir daripada sistem hidup kita sekarang yang melibatkan para wanita dan anak-anak yang menjadi bahan eksploitasi pihak-pihak tertentu untuk mengaut keuntungan. Kebanyakan gejala sosial pula berpunca apabila ibu mengabaikan peranannya sebagai ummu wa rabbat al bait (ibu dan pengurus rumahtangga). Majlis kemudian berhenti berehat dengan menyajikan tayangan video bertajuk “Rintihan Umat Islam, sampai bila?”
Majlis diteruskan dengan pembentangan panel kedua iaitu Ustazah Ummu Hajar selaku aktivis MHTM yang membentangkan kertas kerja bertajuk “Wanita Mulia di Bawah Naungan Syariah dan Khilafah”. Beliau menjelaskan bahawa kerosakan dan kemaksiatan yang berleluasa masa kini adalah disebabkan tiadanya sistem pemerintahan yang bersifat adil hasil rekaan akal manusia yang bersifat terbatas. Itulah sistem demokrasi liberal dan ekonomi kapitalis yang menjadikan manfaat dan keuntungan sebagai asas ukurannya tanpa memikirkan halal dan haram. Justeru, Ummu Hajar menjelaskan tentang jaminan-jaminan yang disediakan oleh sistem Khilafah Islamiyah ke atas rakyatnya samada dari segi pemerintahan, ekonomi, sosial, pendidikan, kesihatan dan sebagainya. Kedudukan wanita juga akan diangkat kemuliaannya dengan mengembalikannya kepada fitrah sebagai pengatur rumahtangga, memenuhi keperluan suami, dan mendidik anak-anak dengan tsaqofah islam, tanpa membebankan mereka dengan beban kewangan yang meningkat yang memaksa mereka keluar bekerja.
Akhir sekali beliau menyeru para muslimah yang yang hadir untuk sama sama menyongsong penegakan Daulah Islamiyah agar dengannya Syariat Islam dapat diterapkan dan wanita dapat memainkan peranannya sebagai pencetak generasi unggul dan da’ei yang sejati. Sesi soal jawab kemudian berlangsung dengan pelbagai soalan diutarakan oleh para peserta. MHTM mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada para peserta yang hadir dan memberikan respon positif.