Kerajaan Uzbekistan Mendedahkan Kebaculan

Kerajaan Uzbekistan meningkatkan penindasan ke atas wanita Muslimah
Tanpa segan silu dan dengan tidak berhati perut, Kerajaan Uzbek meneruskan agenda penangkapan dan penahanan wanita Muslimah di negara itu.  Sejak awal bulan November, seramai 30 orang wanita muslimah di bahagian selatan bandar Karshi, Uzbekistan telah ditahan menurut laporan sebuah agensi, RFE/RL Uzbek Service.


Selain dari itu, baru-baru ini, pihak penguasa Uzbekistan juga telah mengharamkan wanita muslimah dari memakai hijab di sekolah-sekolah dan universiti-universiti di bahagian Selatan negara itu, di mana aktiviti keIslaman sedang meningkat.

Pihak penguasa juga telah melarang wanita muslimah dari memakai tudung kepala ketika sambutan Hari Kemerdekaan negara itu, pada awal bulan September lepas dengan alasan bahawa para pengganas wanita boleh mempergunakan tudung kepala yang longgar untuk menyembunyikan bom.

Sumber: Islamic Revival
18/11/2009


Kerajaan Uzbekistan Mendedahkan Kebaculan
Kedatangan Islam selaku rahmatan lil ‘alamin telah membebaskan perempuan dari ketidak-adilan dan kekejaman manusia.  Malangnya di saat ini, kaum wanita yang berjuang untuk mengembalikan kuasa Islam yang telah sirna itu telah dilihat sebagai satu ancaman oleh sang penguasa keparat seperti Kerajaan Uzbekistan ini.  Malahan terdapat ramai lagi pemimpin boneka Barat yang tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan pengecut seperti di atas demi meneguhkan kedudukan mereka di mata si kuffar barat yang mereka geruni.

Walhal, kebiasaannya dalam banyak perkara, akidah sekularisme yang menjadi anutan mereka ini menganggap wanita sebagai makhluk yang lemah dan tidak berdaya mengancam takhta mahupun singgahsana pemerintahan zalim mereka.  Sebaliknya pula yang berlaku di Uzbekistan, apabila Kerajaan Uzbek yang dayus ini berusaha sedaya upaya menghapuskan para wanita Muslimah yang memiliki semangat juang dan ketakwaan yang tinggi untuk terus menyalakan api dari bara kuasa Islam yang diyakini bakal membela nasib wanita yang semakin terhinakan di muka bumi ini.

Allah Azza Wajalla berfirman (hadits Qudsi): “Dengan keperkasaanan dan keagunganKu, Aku akan membalas orang yang zalim dengan segera atau dalam waktu yang akan datang. Aku akan membalas terhadap orang yang melihat seorang yang dizalimi sedang dia mampu menolongnya tetapi tidak menolongnya” [HR Ahmad]

Nah!! Adakah kita sebagai saudara seakidah wanita Muslimah di Uzbekistan ini tidak mempunyai sebarang peranan, jika kita memahami apa yang ditegaskan Allah SWT di akhiran hadis di atas?? 

Adakah kita hanya mahu berpeluk tubuh melihat perjuangan saudara-saudara seakidah kita ini dilenyapkan oleh si penguasa yang bacul itu semata-mata kerana kita berada di tanahair tercinta yang aman sentosa ini??

Wahai Muslimah yang dirahmati Allah,
Sedarlah kalian, saudara seagama kita di Uzbekistan, Palestin, Afghanistan, Pakistan dan di serata wilayah Islam yang kita tangisi nasibnya itu perlukan pembelaan, yang mana usaha ke arah itu bukanlah semata-mata kewajipan kaum lelaki sahaja sebaliknya ia turut juga terbeban di atas bahu para Muslimah.

Penyelesaian untuk semua kekejaman dan penindasan terhadap umat Islam di negeri kaum Muslimin di seluruh dunia adalah dengan tertegaknya Khilafah Islamiyyah dan seterusnya penerapan syariat Islam secara Kaffah.  Namun, penegakan kembali Khilafah hanya akan dapat direalisasikan dengan dakwah oleh umat Islam, sepertimana kaedah usul fiqh iaitu “Suatu kewajipan tidak akan terlaksana tanpa sesuatu, maka sesuatu itu hukumnya menjadi wajib”

Maka, dakwah adalah suatu kewajipan yang dibebankan (taklifkan) ke atas umat Islam seluruhnya tidak kira sama ada lelaki atau perempuan, tingkat pendidikannya tinggi atau sederhana, bekerja atau suri rumah, dakwah tetap wajib dilakukan.  Bagaimanapun keadaan kita, walau sibuk dengan urusan seharian, namun dakwah wajib dilakukan.

Allah Subhanahu wa Taala telah berfirman: “Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru manusia menuju (jalan) Allah” [TMQ Al- Fushshilat (41): 33]

Dengan kembalinya Daulah Khilafah ini, maka akan terlihat oleh mata betapa indahnya hidup sebagai wanita di bawah naungan Islam.  Ini kerana dengan kewujudannya dan selama Khilafah Islamiyyah berdiri, maka Khalifah akan mengerahkan tentera-tentera kaum Muslimin untuk berjihad memerangi kaum Kuffar yang melakukan kekejaman terhadap kaum Muslimin.

Allah Subhanahu wa Taala juga berfirman: “Wahai orang-orang beriman, perangilah orang-orang kafir di sekitarmu itu, hendaklah mereka menemui kekerasan daripadamu dan ketahui lah bahawasanya Allah berserta orang-orang yang bertakwa.” [TMQ at-Taubah (90): 123]

Ketahuilah wahai Muslimah bahawa dakwah itu bukan satu perjalanan yang mudah, namun usahlah kalian menuruti sifat kewanitaan yang berhati kecil dan mudah merasa lemah.  Tetaplah berjuang di Jalan Allah dan berdoalah agar kemenangan itu segera datang.  Dan ingatlah kalian akan janji Allah dalam firmanNya :“Maka sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan. Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), tetaplah bekerja keras(untuk urusan yang lain). Dan hanya kepada Tuhanmulah engkau berharap.”[TMQ Al-Insyirah (94): 5-8]

Wallahu’alam