Konsert Maksiat Mendapat Sambutan Hangat

Lebih 60,000 banjiri Stadium Negara saksikan konsert Metallica

21/08/2013 11:02pm

KUALA LUMPUR
– Kunjungan kumpulan legenda Metallica untuk mengadakan konsert buat julung-julung kalinya di Malaysia disambut lebih 60,000 peminat setia mereka di Stadium Negara di sini malam tadi.

Metallica yang cukup terkenal dengan lagu Nothing Else Matters kini dalam rangka konsert jelajah Asia singgah di Malaysia sebelum ke Singapura pada 24 Ogos ini. – KOSMO!

Sumber:  http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0821&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_24.htm


Ulasan
Atas nama kebebasan bertingkahlaku dan hak asasi manusia, konsert sebegini dengan mudah mendapat izin dan diberi permit untuk dianjurkan Sesungguhnya liberalisma (kebebasan) merupakan salah satu dari prinsip kapitalisme dalam negara demokrasi.  Inilah saat yang ditunggu-tunggu oleh pejuang kebebasan untuk menanamkan ideanya di tengah-tengah masyarakat.

Dengan berlindung di balik idea kebebasan ini konsert-konsert artis dan hiburan berunsur kemaksiatan dianggap seni kerana kononnya menampilkan bakat dan kreativiti.  Dan bagi penerbit filem, media hiburan dan stesen televisyen yang berfikiran Kapitalis sudah tentu menjadikan konsert sebegini lubuk wang bagi mereka untuk meraih sebanyak mungkin keuntungan. Terjadilah eksploitasi terutama bagi golongan wanita dan muda mudi dari pelbagai sudut.

Apabila manusia diberi kebebasan untuk melakukan apa sahaja beerti halal dan haram bukanlah ukuran bagi tingkahlakunya. Apatah lagi Kapitalisme menafikan fungsi agama untuk mengatur kehidupan manusia. Ternyata kebebasan mutlak yang memberikan hak kepada manusia melakukan apa sahaja yang diingini menimbulkan kerosakan yang mengerikan. 
Bayangkan jika nilai kebebasan sebegini diterapkan di sesebuah negara. Siapa yang boleh menghalang dari beredarnya majalah pornografi, video, filem lucah, kelab-kelab malam, pelaku homoseksual dan lesbian, golongan bioseksual dan transgender dari hidup liar dan terus  bebas?  Bolehkah kita mengharapkan Datuk Seri Najib Razak untuk menghalangnya? Masih adakah harapan untuk kita berharap kepada seorang pemimpin yang bernaung di bawah sistem demokrasi kapitalisma untuk menghalang prinsip yang diagung-agungkan selama ini? Tentu tidak sama sekali.

Islam tidak mengajarkan konsep kebebasan secara mutlak. Ini bermakna manusia bebas bertingkahlaku selagimana ia tetap berada di dalam batasan syarak iaitu peraturan-peraturan yang berasal dari Allah SWT.  Salah satu hal yang patut kita syukuri adalah adanya aturan tentang amar ma’ruf nahi munkar.  Tanpa amar ma’ruf nahi munkar tenggelamlah bahtera masyarakat.  Keadaan inilah yang digambarkan oleh Rasulullah SAW pada 14 abad yang silam dalam sabdanya : “Perumpamaan orang-orang yang mencegah berbuat maksiat dan yang melanggarnya adalah seperti kaum yang berkongsi dalam sebuah kapal.  Sebahagian mendapatkan bahagian di atas dan sebahagian yang lain berada di bawah.  Jika orang-orang yang berada di bawah memerlukan air, mereka harus melalui orang-orang yang berada di atasnya.  Maka berkatalah orang-orang yang berada di bawah : ‘andai saja kami melubangi (dinding kapal) pada bahagian kami, tentu kami tidak akan mengganggu orang-orang yang berada di atas kami.’  Jika yang demikian itu dibiarkan oleh orang-orang yang berada di atas, nescaya binasalah seluruhnya.  Dan jika mereka dicegah melakukan hal itu, maka ia akan selamat dan selamatlah semuanya.”  [HR. Ahmad, Bukhari, dan Tirmidzi].

Pemimpin negaralah sepatutnya menjadi orang yang terdepan dalam memastikan kemaksiatan dan kemungkaran sebegini dihalang dan dicegah hingga ke akar-akarnya. Dengan konsert sebeginilah kemaksiatan akan bermaharajalela kerana terkandungnya unsur-unsur seperti pergaulan dan percampuran bebas antara lelaki perempuan, terdedahnya aurat, terjadinya gejala seks bebas yang tidak mustahil bakal berakhir dengan pengguguran dan pembuangan bayi. Naudzubillahi min dzalik!

Konsert Metallicca, mereka yang hadir menyaksikannya malah mungkin kita semua adalah salah satu dari sekian banyak mangsa eksploitasi dan belenggu dari sistem Kapitalisme. Semua ini akan terus berjalan kecuali sistem kehidupan Islam diterapkan. Ayuhlah generasi pejuang Islam yang telah sedar. Bangkitlah dan berdirilah bersama-sama para pejuang Khilafah demi menunaikan tanggungjawab dan amanah yang diwajibkan ke atas kita. Ayuh tegakkan semula sistem kehidupan Islam dalam naungan Daulah Khilafah Islamiah. Khalifah yang memimpin umat itu nanti pastinya akan tidak akan mengizinkan atau memberi permit atau berkompromi terhadap segala unsur atau agenda yang mengundang kemaksiatan dan kemurkaan kepada Allah SWT. Khalifah itu jugalah yang akan memastikan agar aktiviti amar ma’ruf nahi munkar sentiasa berjalan dalam menjalani kehidupan menuju keredhaan Allah SWT.
Wallahulalam.

http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0821&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_24.htm