Tolonglah! Kamal Attaturk BUKAN hero untuk wanita!!

altKemal Ataturk ‘bebaskan’ wanita Turki

TOKOH revolusi Turki, Mustafa Kemal Ataturk pernah berkata, perubahan sosial hanya boleh berlaku melalui tiga perkara.

Pertama apabila pendidikan diberi kepada wanita. Kedua apabila kebebasan diberi kepada wanita dan ketiga, apabila lelaki menukar pemikiran apabila hidup bersama wanita.

Bertitik tolak dari itu, Turki berubah dengan sekelip mata. Kini, golongan wanita di republik ini semakin melakar kejayaan dalam pelbagai sektor dari bidang akademik sehinggalah ke bidang politik.

Kesempatan berada di kota Istanbul baru-baru ini membuka mata saya betapa tokoh revolusi negara ini, Ataturk, seorang tokoh yang amat disayangi rakyatnya, berjaya mengubah sistem sosial Turki terutama dalam membuka peluang kepada wanita.

Tokoh Revolusi Turki

Ataturk, pengasas dan presiden pertama Turki itu, dilahirkan pada tahun 1881 di Salonika, Greece dan memulakan kerjayanya sebagai seorang askar.

Setelah kejatuhan Empayar Ottoman, beliau mengetuai Pergerakan Turki Nasional dalam peperangan untuk mencapai kemerdekaan dan membuat pembaharuan pada sistem politik, ekonomi dan budaya negara ini.
Ketua Pengarah Hal Ehwal EU di Kementerian Perdagangan Luar Turki, Husnu Dilemre berkata, Attaturk merupakan seorang pemimpin yang dihormati dan disegani.

“Beliau merupakan pengasas Turki dan hero kami.Kami merupakan negara yang pertama di Eropah dan dunia yang memberikan hak kepada wanita untuk mengundi orang pilihan mereka. Negara Eropah lain yang dikenali kononnya menegakkan hak asasi manusia sebenarnya mengikut jejak Turki,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Dilemre berkata, perubahan bukan sahaja dapat dilihat menerusi kemajuan golongan wanita malah ia turut meningkatkan tahap pendidikan serta menerapkan nilai demokrasi.

Selain itu, revolusi yang dibawa Ataturk turut merubah struktur pemerintahan Turki dari sebuah empayar menjadi sebuah republik.

Pesanan Ataturk yang dipegang hingga kini

Pendidikan ketika itu antara fokus utama Ataturk.

Beliau mahu melihat golongan wanita bukan sahaja pandai menjaga anak-anak, membuat pakaian dan menguruskan rumahtangga malah dapat menyumbang kepada ekonomi negara.

Ini dapat dibuktikan melalui kata-katanya yang menyeru wanita supaya bekerja keras untuk menimba ilmu.

“Wahai wanita: menangilah peperangan menerusi pendidikan, nescaya lebih banyak yang boleh kau sumbangkan kepada negara berbanding kami. Kepada kamulah, kami merayu.

“Kepada lelaki: sekiranya golongan wanita tidak dapat berkongsi dalam perkembangan sosial negara, nescaya kita tidak akan mencapai pembangunan sepenuhnya. Kita akan kekal ketinggalan dan tidak berupaya untuk melayan atas syarat yang sama dengan tamadun Barat,” kata Ataturk ketika itu.

Mengenangkan sumbangan besar beliau kepada negara, setiap tahun pada 10 November dan tepat pukul 9.05 pagi, seluruh negara akan berdiam diri dan semua kenderaan akan berhenti selama seminit bagi menghormati pemergian beliau pada tahun 1938.

Kejayaan wanita Turki

Ataturk percaya wanita perlu diberi hak untuk mengundi dan dipilih menjadi pemimpin kerana demokrasi menetapkan ada kepentingan yang perlu wanita pertahan dan ada tanggungjawab sosial yang perlu wanita laksanakan.

Ini terbukti apabila beliau mengumumkan pada 5 Disember 1934 bahawa Turki memberikan hak kebebasan berpolitik sepenuhnya kepada golongan wanita.

Tindakan itu ternyata lebih awal berbanding beberapa negara Eropah yang lain. Selain itu, hak sama rata untuk wanita dalam perkahwinan turut diwujudkan. Hasil daripada dasar itu, lahirlah beberapa tokoh wanita yang prolifik antaranya Nezihe Muhittin, pengasas parti politik wanita pertama di Turki; Sabiha Gokcen, juruterbang pesawat perang wanita pertama di dunia dan Safiye Ali, doktor wanita pertama di Turki.

Ataturk sumber inspirasi

Sabiha Gokcen, wanita pertama yang menjadi juruterbang pesawat perang di dunia juga ialah anak angkat kepada Ataturk.

Ataturk yang pada ketika itu mempunyai minat mendalam terhadap kapal terbang, mendorong minat Sabiha untuk menceburi bidang itu yang dimonopoli golongan lelaki.

Sepanjang kariernya bersama Tentera Udara Turki, Sabiha berjaya menerbangkan sebanyak 22 pesawat dan mencatat jumlah jam penerbangan sebanyak 8,000 jam, yang mana 32 jam melibatkan pertempuran aktif dan misi pengeboman.

Selain itu, beliau juga berjaya melatih empat juruterbang wanita di bawah didikannya.

Sehingga kini, namanya disebut seantero dunia dan merupakan satu-satunya juruterbang wanita yang dipilih untuk poster 20 juruterbang terhebat dunia yang diterbitkan oleh Tentera Udara Amerika Syarikat pada tahun 1996.

Harapan generasi muda

Ketika berada di ibu kota Turki, penulis sempat berkenalan dengan Ayse Denknalbant, pelajar tahun akhir kedoktoran bidang Arkeologi di Universiti Istanbul dan bertanyakan perasaannya tentang tokoh itu.

Ayse menyifatkan perubahan yang dibawa Ataturk, bukan sahaja membawa kemajuan kepada republik ini, tetapi seluruh strata sosial Turki sehinggakan golongan wanita ketika itu yang agak terbatas pergaulan dan tingkah laku, berjaya keluar dari kepompong itu.

“Bagi kami, perubahan yang dibawa membuka peluang yang luas bagi kami untuk mempelajari dan meneroka bidang yang sebelum ini hanya dikuasai lelaki,” kata pelajar berusia 32 tahun itu.

Katanya, sebagai negara Islam, Turki boleh berbangga kerana pembangunan yang dicapai setakat ini turut disumbang oleh golongan wanita yang berjaya dalam pelbagai bidang hasil reformasi republik hampir 80 tahun lalu.

Walau apa pun bentuk kejayaan yang dicapai oleh wanita Turki sehingga kini, ia tidak akan bermakna sama sekali sekiranya wanita melupakan tugas asalnya iaitu mendidik anak-anak untuk menjadi insan yang berguna suatu hari nanti.

Sambil memetik kata-kata penyair Jalaludin Rumi yang memulakan perjalanan sufinya di Turki: “Wanita ialah cahaya dari Allah, dia bukan sekadar untuk dikasihi, tetapi ciptaan Allah yang istimewa.”

Itulah kekuatan wanita Turki, yang ironinya lakaran kejayaan mereka bermula daripada usaha seorang lelaki — Mustafa Kemal Ataturk. – Bernama

Sumber: Utusan Malaysia, 16/02/2010

Tolonglah! Kamal Attaturk BUKAN hero untuk wanita!!

Masya Allah! Tidak keterlaluan jika kita mengatakan bahawa artikel di atas adalah artikel yang ditulis oleh seorang yang buta sejarah. Inilah propaganda media yang keliru, menganggap bapa peruntuh sistem khilafah sebagai bapa kemodenan Turki, dan firaun moden ini dijoloki sebagai pencetus kepada kebebasan wanita. Memang benar, beliaulah pencetus kepada kebebasan, dalam erti kata sebenarnya, umat Islam ‘dibebaskan’ dari ikatan syariahnya, malah dipaksa untuk menerima sistem pagan sekularisme apabila beliau mengisytiharkan secara rasmi dalam tahun 1924 bahawa Daulah Khilafah Islamiyyah telah runtuh dan digantikan dengan Republik Sekular Turki! Malah beliau turut menyatakan bahawa undang-undang Islam adalah undang-undang lapuk dan perlu digantikan dengan peradaban Eropah yang kononnya canggih. Maka, undang-undang syariah digantikan dengan undang-undang Switzerland yang telah diterjemah secara verbatim.

Beliau juga memaksa azan dilaungkan di dalam bahasa Turki, memaksa penggunaan topi Eropah, melarang umat Islam di Turki dari mengerjakan haji, menukar tulisan Turki yang asalnya menggunakan huruf-huruf Arab, memberi kebebasan kepada wanita termasuk untuk mendedahkan aurat mereka, mengharamkan pendidikan agama di sekolah-sekolah, mengharamkan pakaian khas bagi wanita Turki ‘sharshaf’ (seperti abayah hitam),  melarang sejarah kegemilangan kerajaan Islam yang lepas daripada didedahkan kepada orang ramai dan juga mewasiatkan bahawa selepas kematian beliau, Turki hendaklah dipimpin oleh British. Dialah yang menutup beberapa buah masjid , malah mengubah Masjid Besar Aya Sofea menjadi sebuah gereja! Tahukah anda, Turki yang 99% rakyatnya beragama Islam, adalah negara pertama di dunia yang mengharamkan pemakaian tudung ke atas wanita-wanita muslimah di sekolah-sekolah agama, universiti-universiti, pejabat-pejabat kerajaan malah istana presidennya sendiri, jauh lebih awal daripada negara-negara barat seperti Perancis, Belanda dan Britain!

Biarpun mengaku kononnya ia merupakan negara pertama yang memberikan hak untuk mengundi dan berpolitik kepada wanita, hak tersebut ternyata dinafikan jika yang bersuara itu adalah wanita muslimah yang bertudung! Merve Kavakci contohnya, adalah muslimah Turki yang memenangi pilihanraya parlimen di Turki tetapi kehadirannya ke bangunan parlimen untuk mengangkat sumpah disambut dengan cercaan dan penghinaan kerana muncul sebagai wanita pertama bertudung di dalam parlimen Turki!. Tidak cukup dengan itu, beliau dihalau dan dipecat dari menjadi anggota parlimen Turki. Suleiman Demirel (ketika itu PM Turki) menyebutnya sebagai agen provokator dan 11 hari setelah diusir, kewarganegaraan Turki Kavacki dicabut. Dia dituduh sebagai penyebar permusuhan di tubuh masyarakat Turki serta sosok yang akan menghancurkan sistem pemerintahan Turki. Mahkamah Konstitusi Turki pula bertindak menutup partinya bahkan 5 orang anggota parlimen Turki dari parti itu turut dipecat. Parti yang diwakili oleh Kavakci dan 5 anggota parlimen itu adalah Parti Fazilat.

Kejahatan golongan sekular bukan sahaja kepada Kavakci, namun ibu bapanya turut merasai diskriminasi itu. Ibunya dipecat dari jawatannya sebagai profesor di Universiti Attaturk kerana tidak mahu menanggalkan tudung yang dipakainya dan bapanya pula, Yusuf Ziya Kavakci yang merupakan dekan pengajian Islam di sebuah perguruan tinggi turut dipaksa berhenti kerana dukungannya kepada wanita bertudung. Amat malang sekali apabila, Kavakci juga dipaksa menghentikan program kedoktorannya di Universiti Ankara. Perlakuan ini berlaku kerana peraturan sekular Turki yang mengimani bahawa “wanita bertudung akan mencegah penyerapan ilmu pengetahuan”.

Vural Savas, kepala kehakiman Turki ketika memutuskan untuk mengharamkan Parti Fazilat menyebut, “ Parti Fazilat adalah ‘vampire’ …tugas Merve Kavakci terlihat ingin menghancurkan sistem yang sudah ada”. Beliau turut menyamakan Kavakci dengan pengebom berani mati bangsa Kurdi.

Ya! Inilah dia rupa bangsa Turki versi Kemalis (Kamal Attaturk)! Tiada politik, tiada pendidikan, tiada peluang bersuara untuk wanita hanya kerana nilai tudung yang mereka pakai!

Hanya setelah lebih kurang 83 tahun wanita-wanita muslimah di Turki terseksa oleh peraturan zalim manusia yang berpegang kepada ideologi sekularisme ini, barulah parlimen negara itu meluluskan pindaan perlembagaan yang menarik balik peraturan pengharaman tudung. Itupun setelah melalui debat dan kontroversi berpanjangan kerana terpaksa berhadapan dengan pengaruh sekularisme yang diperkenalkan oleh Mustaffa Kamal.

Wahai pihak media, sangatlah besar penipuan yang kalian lakukan kepada umat Islam! Tidakkah kalian pernah menjengah kehidupan sebenar wanita di ‘negara antara dua benua’ itu? Fenomena Honour Killing yang pernah menggegarkan selatan Turki cukup untuk membuktikan betapa wanita-wanita mereka hidup dalam keadaan ketakutan dan tanpa pembelaan negara. Salah satu laporan media di penghujung 2007 melaporkan lebih kurang 158 wanita dari Selatan Anatolia terpaksa meminta bantuan daripada  badan pelindung wanita (KAMER) kerana pelbagai jenis kekerasan domestik, termasuklah ancaman dibunuh untuk melindungi kehormatan keluarga! 23.4% darinya, diancam untuk dibunuh kerana menolak perkahwinan yang diatur keluarga, menolak untuk mengadakan seks dengan abang ipar atau ayah, menolak pelacuran, enggan mematuhi kehendak ayah, abang atau suami walaupun dalam perkara yang bercanggah dengan agama, membantah pemerkosaan ayah ke atas anak perempuannya, malah boleh diancam untuk dibunuh hanya kerana memotong percakapan lelaki! 17% yang lainnya pula diancam bunuh tanpa sebab! Ayah dan suamilah yang berhak untuk memilih cara pembunuhan yang mereka kehendaki ke atas anak perempuan atau isteri mereka. Inilah yang menjadikan Turki negara Honour Killing terbesar di dunia. (sumber:  http://www.ansamed.info/en/news/ME03.YAM19190.html). Maka, masih layakkah kalian meletakkan negara sekular Turki sebagai negara yang membebaskan wanita-wanitanya?

Wahai pihak media yang memutarbelitkan fakta!!

Cukuplah penipuan yang hanya menunjukkan kejahilan kalian tentang sejarah! Cukuplah selama ini umat Islam dihidangkan dengan sejarah yang tidak boleh diterima akal manusia waras, meletakkan seorang pembelot agama Allah dan musuh Rasulullah SAW dan umat Islam sebagai hero.

Wahai umat Islam, khususnya para muslimah! Kenalilah tokoh boneka Barat yang benar-benar telah meletakkan umat Islam ini di kancah penderitaan. Dialah yang menyebabkan kalian terpaksa hidup di dalam sistem yang meng’halal’kan pelacuran, mempermudahkan jalan kemaksiatan seperti zina dan hedonisme, meletakkan anak-anak umat Islam dalam belenggu gejala sosial yang tidak putus-putus dan memperbanyakkan populasi pencuri, perompak, perogol, pembunuh dan anak-anak luar nikah!. Dialah yang menyumbang kepada pembunuhan ibu-ibu kita, saudara-saudara kita, kakak-kakak kita, adik-adik kita dan anak-anak kita di Palestin, Iraq, Afghanistan, Bosnia dan seluruh belahan dunia lainnya, kerana kehilangan perisai pelindung kita, iaitu Daulah Khilafah Islamiyyah!.

Wahai pemimpin umat Islam! Sesungguhnya bukan sedikit kehancuran yang dilakukan oleh tangan Mustafa Kamal laknatullah ‘alaihi, hanya kerana kuasa yang ada di genggamannya. Dan sesungguhnya, kesan-kesan kerosakan dan musibah dari idea-idea perubahan yang diterapkan di negaranya itu masih lagi berlanjutan walaupun beliau sudah kembali kepada Penciptanya. Maka, bermuhasabahlah kalian! Kalian juga akan dipertanggungjawabkan atas setiap amanah, tindakan, keputusan dan sistem yang kalian terapkan di atas muka bumi Allah ini! Adakah kalian memilih untuk terus menjerumuskan diri dan umat ini ke lembah kejahilan sistem kufur sekular-kapitalisme ini, lantas menempah tiket ke neraka Allah, atau mengubah secara total sistem ini agar sesuai dengan kitabullah dan sunnatullah, lalu mengecap sebaik-baik ganjaran di dunia dan akhirat?

Dari Abu Ya’la ra. bahwasanya dia mendengar Rasulullah SAW bersabda “Tiada seorang pemimpin yang memikul amanah Allah berupa rakyat kecil, lalu mati ditengah-tengah rakyat yang ditipu olehnya, kecuali Allah mengharamkan baginya Syurga” [HR. Bukhari dan Muslim]

Dalam riwayat lain: “Tiada seorang penguasa yang mengatur urusan umat Islam, lalu tidak bersungguh-sungguh menasihati / mengaturnya (sesuai dengan syariat Islam) dan tidak memperhatikan keperluan mereka, kecuali tidak masuk Syurga bersama mereka” [HR. Muslim]

Wallahua’alam