Gula: Puak Kapitalis bertindak zalim sekali lagi
Menyentuh mengenai jumlah peratusan kenaikan harga gula, beliau berkata, perkara itu masih lagi di peringkat perbincangan. ”Apa yang boleh saya katakan adalah ada yang naik dan ada tidak naik. Maknanya mungkin secara purata, ia (harga gula) tidak naik besar,” katanya.
Dengan kenyataan terbaru Shahrir ini, nampaknya ada sesuatu yang tidak kena dengan mekanisma harga pasaran gula sekarang hingga menimbulkan isu. Persoalannya, mengapakah gula, yang merupakan produk tempatan, mesti diniagakan mengikut harga pasaran antarabangsa? Tidakkah ianya merupakan sejenis bentuk pembulian (harga) negara-negara kuasa besar ke atas negara-negara kecil, sekali gus rakyatlah yang menanggung kesusahan akibat mekanisme tersebut, sebagaimana yang berlaku ke atas harga minyak? Inilah sejenis sistem perniagaan kotor para pemodal (Kapitalis) yang tamak haloba bergelumang dengan sistem ekonomi kufur Kapitalisme.
Kesan dari pengamalan dasar pasaran bebas (laissez faire), terbentuknya peluang-peluang para Kapitalis ini menghisap darah rakyat dengan meraih keuntungan sama ada dari pihak rakyat mahupun kerajaan negara itu sendiri. Bayangkan berapakah keuntungan yang mereka raih tatkala produk mereka diikat dengan subsidi kerajaan? Ditambah pula dengan kenaikan harga runcit yang ‘tidak naik besar’ dan akan naik (nanti) setelah alasan ‘kerajaan sudah tidak sanggup menampung subsidi gula lagi’?
Dengan termeterai gula sebagai barangan bersubsidi, maka yang pasti tetaplah ada keuntungan di pihak pengeluar/pemodal syarikat gula dan jika dinaikkan pula harga runcitnya, berlipat-gandalah pula keuntungan mereka. Pada masa yang sama, para pemimpin yang kononnya menjadi ‘penyelamat’ dalam kemelut ini mendapat habuannya sekali, khususnya untuk kepentingan politik mereka. Kerjasama erat, saling mengukuh kedudukan masing-masing antara politikus dan Kapitalis adalah lumrah politik kufur tersebut. Inilah buktinya bagaimana kapitalisme menghancurkan kehidupan umat manusia.
Islam mengatur suatu pakej peraturan yang sangat sempurna, sesuai dengan fitrah manusia. Ia merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia, sama ada Muslim mahupun selainnya, termasuk dalam bidang ekonomi. Dalam isu harga gula, negara melalui lidah dan tangan para penguasanya, tidak dibenarkan campur tangan dalam urusannya kerana ia pasti melibatkan kezaliman sama ada dipihak pengeluar (jika memaksa penurunan harga dilakukan) ataupun dipihak pengguna (tatkala menguatkuasakan kenaikan harga atau meletakkan harga syiling). Sesuai dengan sabda Rasulullah SAW dari Anas,
“Harga pada masa Rasulullah SAW meruncing (tinggi). Lalu mereka melaporkan, ‘Wahai Rasulullah, kalau seandainya harga ini engkau tetapkan (nescaya tidak meruncing seperti ini)’. Rasulullah SAW menjawab, ‘Sesungguhnya Allah-lah Yang Maha Memberi Rezeki, lagi Maha Menentukan Harga. Aku ingin menghadap ke hadirat Allah, sementara tidak ada seorang pun yang menuntutku kerana suatu kezaliman yang aku lakukan kepadanya dalam masalah harta dan darah”. [HR Ahmad]
Komoditi ini sepatutnya dijual berdasarkan keinginan pemiliknya (pengeluar) tanpa dipengaruhi intimidasi bentuk pasaran antarabangsa mahupun kuasa negara. Pengguna dan pengeluar (penjual) perlu berunding dan bersetuju harga demi mencapai maksud jual-beli yang saling redha-meredhai agar masing-masing terhindar dari sifat zalim sekali gus ia pasti mewujudkan persaingan yang sihat.
Apabila jual beli itu saling redha-meredhai, sudah pastinya tiada pihak yang akan merasa tertekan seperti yang berlaku sekarang sepertimana sabda Rasulullah SAW;
“Sesungguhnya jual-beli itu (sah kerana) saling meredhai” [HR Ibnu Majah dari Abu Sa’id]
Tentu saja Kapitalisme tidak mungkin memikul dan melaksana mekanisme jual-beli secara syar’ie kerana baginya ‘manfaat’ diletakkan paling hadapan dari halal-haram. Sama ada zalim atau tidak, ia bukan ukuran nisbi dari melaksanakan manuver politik perekonomian mereka (Kapitalis) bahkan ‘manfaat’ itulah segala-galanya bagi mereka. Hanya sistem ekonomi Islam di bawah pentadbiran sistem politik Islam, Al-Khilafah sahaja yang pernah dan sentiasa mampu memikul tugas suci ini dan pasti mensejahterakan semua manusia.