Umno akan berubah atau UMNO akan rebah?
Menurut beliau, kuasa memilih akan berpindah ke tangan 60,000 ahli pada peringkat bahagian dengan mesyuarat kesemua 191 bahagian di seluruh negara diadakan secara serentak. “Banyak yang berpendapat bilangan 2,600 perwakilan ini tidak mencerminkan kehendak dan aspirasi tiga juta ahli UMNO.
“Ada juga yang khuatir jumlah yang kecil ini bukan sahaja nama mereka kita hafal, muka kita ingat dan nombor telefon pun kita tahu. Salam pun ada. Ada yang kata, salam SK (salam kosong) dan ada yang kata salam SI (salam isi),” katanya dalam ucapan penerimaan jawatan Presiden dan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO Ke-59. Kenyataan beliau itu disambut dengan tepukan gemuruh para perwakilan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
Najib berkata, prasarana untuk membolehkan kesemua 191 bahagian bersidang serentak boleh dibina dalam zaman moden ini. Katanya, proses pemilihan UMNO yang berintegriti adalah jalinan kelangsungan kuasa UMNO sebagai parti yang berdaulat.
“Selagi proses ini tercemar, selama itulah orang akan hilang kepercayaan kepada UMNO,” katanya. Najib juga menjanjikan satu lagi perubahan yang drastik apabila mahu sistem kuota dirombak dan diturunkan ke satu tahap yang boleh dikatakan sebagai munasabah.
“Saya tidak mahu berselindung di belakang kouta untuk menjadi Presiden UMNO,” katanya. Namun, kata beliau, sistem kuota tidak boleh dihapuskan sepenuhnya bagi mengelakkan mana-mana ‘pelawak’ tampil menawarkan diri bertanding jawatan-jawatan tertinggi parti. Katanya, bilangan 58 pencalonan untuk bertanding jawatan Presiden parti umpamanya adalah terlalu tinggi dan tidak mungkin dicapai.
“Hendak tanding Naib Presiden pula perlukan 20 pencalonan, katakan hanya dapat 19 sahaja, mahu melilau nak cari satu lagi,” jelasnya. Perkara lain yang akan turut disemak, kata beliau, ialah penubuhan sebuah jawatankuasa khas untuk berbincang dengan bahagian-bahagian UMNO seluruh negara.
“Kita akan dapat pendapat, cadangan daripada bahagian kemudian MT akan rumuskan dan membuat cadangan,” katanya.
Katanya, Perhimpunan Agung UMNO untuk tahun ini akan menjadi Perhimpunan Agung Khas bagi melakukan pindaan perlembagaan bagi perubahan-perubahan tersebut.
“Persidangan tahun ini adalah persidangan tahun sudah. Jadi kita kena bersidang sekali lagi, marilah kita gunakan kesempatan itu untuk meminda Perlembagaan UMNO supaya UMNO menjadi parti yang lebih dihormati oleh rakyat,” katanya.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai keperluan perubahan-perubahan itu, Najib berkata, UMNO perlu mengambil iktibar daripada isyarat yang telah diberikan oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-12.
“Sebab itu, sayalah antara pemimpin pertama yang telah mengungkapkan berubah sebelum diubah dan berubah sebelum kita rebah.
“Saya tetap yakin bahawa UMNO adalah sebuah parti yang merupakan pilihan utama orang Melayu. Mereka tidak menolak UMNO, sebenarnya mereka mahu UMNO berubah,” katanya.
Beliau menzahirkan keyakinan UMNO akan kembali kuat di hati orang Melayu apabila segala perubahan yang dirancang menjadi kenyataan.
Sementara itu, pada sidang akhbar, Najib berkata, melalui kaedah mesyuarat serentak seluruh negara yang dirancang itu, adalah diyakini masalah politik wang dalam parti akan dapat dibanteras.
“Daripada itu, pemantauan dan tindakan punitive (hukuman) akan mewujudkan mekanisme memantau dari segi salah guna kuasa dan politik wang, namun dengan perubahan perlembagaan jika diluluskan nanti akan jadi satu sejarah baru dalam proses pemilihan UMNO yang lebih berintegriti,” katanya.
Sumber : Utusan Malaysia, 29/03/09
Umno akan berubah atau UMNO akan rebah?
Umno akan berubah. Itulah kata-kata dan impian yang dinyatakan oleh Presiden Baru UMNO Najib Razak. Betul! UMNO perlu berubah. Tetapi persoalannya ke arah mana dan bagaimana ianya akan berlaklu. Ya, memang fitrah manusia itu inginkan perubahan dan sememangnya manusia itu boleh berubah. “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa Yang ada pada diri mereka sendiri”. [TMQ ar-Ra’d (13):11].
Perubahan adalah sesuatu yang dikaitkan dengan pemikiran, perasaan dan sikap. Perubahan boleh berlaku samada dari baik kepada buruk ataupun sebaliknya. Persoalannya kini ialah apakah akan berlaku perubahan kepada UMNO jika asas parti itu masih berteraskan ashobiyyah? Ini adalah kerana ashobiyyahlah yang sebenarnya menjadi kanser dan barah kepada apa yang berlaku di dalam UMNO. Seumpama seperti kita menanam biji durian. Selagi biji durianlah yang kita tanam maka sudah pasti pokok durianlah yang akan tumbuh tanpa mengira siapa yang menanamnya dan di kawasan mana kita menanam biji durian itu. Pokok rambutan tidak tumbuh dari biji durian.
Sekiranya ashobiyyah yang menjadi asas perjuangan, selama itulah perspektif dan aspirasi kebangkitan tidak menghala ke arah yang betul. Lantas, perubahan bagaimana lagi yang diinginkan? Apakah kita tidak mengambil iktibar dari perubahan yang dibawa oleh Rasulullah SAW? Kejayaan Rasulullah SAW membawa perubahan kepada masyrakat Arab jahiliyyah adalah bukti bahawa hanya Rasulullah SAW sahajalah satu-satunya individu yang berjaya membawa perubahan yang sebenarnya..
“Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang ummiyyin, seorang rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya) dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka kitab Allah (Al-Quran) dan hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak) dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata”. [TMQ al-Jumu’ah(62):2].
Justeru itu bagi pihak yang ingin membawa perubahan dan menginginkan perubahan yang hakiki maka jadikanlah Rasulullah SAW sebagai model perubahan.”Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iIaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)” [TMQ al-Ahzab(33):21].
Apa yang pasti, apapun retorik yang dilontarkan, UMNO tidak akan berubah selagi mereka tidak melihat bahawa ashobiyyah itu adalah sesuatu yang haram disisi Islam dan tidak akan pernah membawa kepada sebarang perubahan dan kebangkitan bagi UMNO dan umat Islam umumnya.