Adakah hudud boleh tunduk kepada demokrasi?
Apa yang pasti, Islam sebagai suatu cara hidup yang wajib untuk diterapkan dalam kehidupan individu, masyarakat dan negara sama sekali tidak akan dapat dilaksanakan secara sempurna jika terus berada dalam kongkongan sistem demokrasi. Terlampau banyak perangkap yang dipasang dan racun yang disuntik oleh demokrasi bagi membunuh sistem Islam daripada hidup serta diterapkan di tengah-tengah kehidupan umat sebagaimana yang dapat kita saksikan pada hari ini. Adalah amat malang bagi kebanyakan gerakan Islam yang berjuang pada hari ini masih gagal untuk melihat dan sedar tentang betapa bahayanya racun yang dibawa oleh demokrasi ini. Realiti telah menunjukkan kepada kita di depan mata di mana satu persatu negara umat Islam telah dikuasai sepenuhnya oleh parti yang beraliran Islam dan telah menang secara suara majoriti melalui pilihanraya demokrasi. Tetapi sayang sekali, tidak ada satu pun daripada negara-negara demokrasi tersebut yang menerapkan hukum Islam secara kaffah dalam negara mereka, walhal negara mereka majoritinya adalah umat Islam dan parti yang memerintah adalah parti Islam yang langsung tidak bersekongkol dengan mana-mana parti kufur.
Jika dalam situasi sebegitu pun Islam tidak dapat dilaksanakan, apatah lagi dalam negara ini yang mana parti Islamnya bersekutu dengan dengan parti-parti yang bukan sahaja kufur, malah secara terang-terangan menentang penerapan Islam secara kaffah. Ketahuilah, demokrasi adalah racun yang akan terus merosakkan Islam dan umat Islam. Demokrasi hanya menjadikan akal dan suara majoriti sebagai kayu ukur dalam kebenaran. Ini berbeza dengan Islam di mana hukum syarak adalah satu-satunya kayu ukur kebenaran, walaupun ia bertentangan dengan akal dan hawa nafsu manusia. Dalam Islam, akal berfungsi dan digunakan untuk memahami hukum syarak dan bukannya sebagai kayu ukur bagi kebenaran. Akal sebagai makhluk ciptaan Allah yang serba dangkal dan kekurangan adalah sesuatu yang pasti akan menghasilkan perbezaan, perselisihan, pertentangan dan terpengaruh dengan persekitaran. Islam tidak akan sekali-kali tunduk kepada suara majoriti untuk ia diterapkan. Dengan menuruti suara majoriti, ia akan menyimpangkan kita sepenuhnya daripada deen Allah sepertimana firmanNya:
“Dan jika kamu mengikuti kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu daripada jalan Allah. Yang mereka ikuti hanyalah sangkaan semata-mata dan mereka tidak lain hanyalah berdusta” [TMQ Al-An’am (6) : 116].
Kepada mereka yang masih mengharapkan demokrasi sebagai kononnya ‘kenderaan’ yang akan menghantarkan mereka kepada penerapan Islam, maka mereka akan pasti kecewa dan akan terus dikecewakan serta menemui kegagalan. Ini adalah kerana demokrasi dan suara majoriti bukanlah jalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw dalam perjuangan baginda untuk meraih tampuk kekuasaan di Madinah dan ia sama sekali bertentangan dengan perintah Allah SWT.
Sumber: harakahdaily.net