Adun Terengganu dibebas dengan ikat jamin

KEMAMAN: Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Terengganu daripada Barisan Nasional (BN) yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ahad lalu kerana didakwa menerima sogokan lebih RM20,000, dilepaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini dengan ikat jamin. Adun berkenaan bersama dua lagi rakannnya diperintah dilepaskan dengan ikat jamin sebanyak RM5,000 bercagar dengan seorang penjamin setiap seorang sehingga tarikh perbicaraan ditetapkan.
Peguam bela Adun terbabit, Syed Azimal Syed Abu Bakar, anak guamnya bersama dua lagi tertuduh juga diarah supaya melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berhampiran sehingga tarikh berkenaan.   Perintah itu dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Rofiah Mohamad, dalam prosiding tertutup yang dijalankan di kamar hakim disebabkan hari ini adalah hari cuti di Terengganu.

Sebelum itu, Syed Azimal berkata, anak guamnya telah dibawa ke Hospital Daerah Kemaman pagi tadi untuk tujuan pemeriksaan kesihatan setelah mengadu sakit dada.
Ketiga-tiga tertuduh tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 10.40 pagi tadi dengan menaiki tiga buah kenderaan, dan dua daripada mereka termasuk Adun itu, dilihat memakai topeng penutup muka dan topi.   Mereka meninggalkan mahkamah jam 11.30 pagi. 

Perkarangan mahkamah turut dipenuhi dengan penyokong dan sanak saudara ketiga-tiga tertuduh sejak awal pagi lagi.
Ahli politik itu bersama dua rakannya ditahan di sebuah hotel di sini pada Ahad lalu kerana didakwa menerima sogokan RM20,000 daripada sebuah syarikat pemaju. – Bernama

Sumber: Berita Harian, 070809

Ulasan:

Rasuah Dalam Dunia Politik Kapitalisme. Sesuatu Yang Tidak Memeranjatkan.

Adalah sesuatu yang tidak mengejutkan kita umat Islam apabila dihidangkan dengan berita dakwaan rasuah terhadap seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Terengganu daripada Barisan Nasional (BN). Sebelum ini rakyat dikejutkan dengan kejadian runtuhan stadium di Gong Badak tempoh hari dan kini, berbanding dengan jutaan ringgit yang hilang, apalah sangat nilai sogokan rasuah RM20,000 itu.  Apa yang menyedihkan adalah, rakyat masih terus percaya dengan permainan politik para pemimpin UMNO khususnya dan para politikus yang diacu dengan acuan politik kapitalisme pada hari ini secara umumnya walaupun telah terlampau banyak berita rasuah seperti ini dilaporkan. Malah, perebutan jawatan di dalam UMNO itu sendiri pun penuh dengan amalan rasuah.
 
Islam telah menjelaskan bahawa politik merupakan aktiviti mengurus dan mengambil tahu keadaan rakyat/masyarakat berlandaskan hukum Allah samada di dalam mahupun luar negara. Konsep ini jauh berbeda bagi dunia politik Kapitalisme. Amalan rasuah adalah sesuatu yang lumrah dan telah menjadi kebiasaan. Para politikus dalam dunia Kapitalisme hari ini melihat kuasa yang ada hari ini sebagai batu loncatan untuk membolot kekayaan tanpa menghiraukan tanggungjawab yang datang bersama kuasa tersebut. Terlampau sukar untuk kita menemui para pemain politik dalam dunia Kapitalisme hari ini yang hidup mereka adalah seperti rakyat biasa. Semoga Allah menyegerakan tertegaknya Islam agar kita dapat menyaksikan para pemimpin umat Islam yang tinggi ketakwaannya seperti khalifah Umar bin Abdul Aziz.