Afghanistan dan Taliban: Antara Tipudaya dan Tanggungjawab

[Terjemahan]

Sejarah telah membuktikan bahawa semua penjajahan yang angkuh di Afghanistan telah menghadapi kekalahan yang memalukan. Buktinya, hanya dalam tempoh sekitar 42 tahun terakhir, dua kuasa besar dunia (Russia, AS dan sekutu NATO) telah menanggung erti pahitnya kekalahan di negara ini.

Dua puluh tahun yang lalu AS sama sekali tidak mengendahkan realiti Afghanistan dari sudut sejarahnya, bentuk muka buminya yang sukar, cara hidup kesukuan dan kesederhanaan, serta perjuangan (jihad) para mujahidin dan pengorbanan mereka; dan yang paling penting AS tidak peduli terhadap akidah Islam yang dipegang teguh dalam jiwa masyarakat negara ini. Walaupun demikian, AS dengan sombong tetap menyerang dan menjajah Afghanistan.

AS menggunakan segala tipu dayanya dan memperbodohkan sebahagian dunia dengan tuntutan palsu ‘perang melawan pengganas’ (WOT), yang pada hakikatnya adalah perang melawan Islam dan umat Islam. Kempen ‘perang melawan pengganas’ itu adalah alasan ampuh untuk  AS bergerak di bawah slogan yang tidak bererti dalam demokrasi iaitu tentang hak kebebasan, kemajuan bangsa, pembinaan negara, pembangunan semula negara, hak asasi manusia, hak wanita dan hak minoriti.

Dengan dalih inilah, AS lalu berjaya mengangkat pemimpin boneka di kalangan minoriti yang dikatakan sebagai pemimpin politik dan tentera untuk rakyat negara ini, dengan penubuhan kerajaan yang sangat rapuh; sebuah kerajaan yang, tanpa sokongan pelbagai pasukan penjajah, tidak akan dapat bertahan walaupun sehari di hadapan rakyat Afghanistan.

AS telah menghabiskan lebih dari satu trilion dolar di bumi Afghanistan, kehilangan sekitar 2500 nyawa tenteranya dengan lebih dari 20,000 orang cedera dan puluhan ribu dari mereka telah meninggalkan negara ini dengan trauma psikologi yang mendalam. Banyak di antara mereka yang telah membunuh diri dan yang lainnya menderita dengan kehidupan rasa bersalah, trauma dan hidup dalam ketakutan kerana jenayah, kekejaman dan keganasan yang mereka lakukan terhadap orang Islam Afghanistan yang tidak bersalah dan tidak dapat mempertahankan diri.

Ketika AS menyedari kekalahan yang memalukan tenteranya di Afghanistan, ia dengan segera melupakan janji-janji palsu yang dibuat kepada pembayar cukai AS (rakyat Amerika), rakyat Afghanistan dan bonekanya dengan mengumumkan pengunduran tanpa syarat dari negara itu.

Walaupun begitu, AS tetap berusaha menerajui percaturan yang meruncing sedemikian rupa untuk mencapai tujuannya, melalui rundingan damai dan perjanjian dengan Taliban, yang tidak dapat dicapai selama 20 tahun melalui peperangan. Namun, tipu daya mereka gagal sekali lagi kerana Taliban, yang biasa dilabel oleh AS sebagai ‘kumpulan pengganas’ disebabkan ketidakpatuhannya pada nilai demokratik dan kemanusiaan, telah diberi pengiktirafan antarabangsa.

Mereka membuat kunjungan ke pelbagai negara dan menjalin hubungan dengan negara tersebut. Mereka memperluas pengaruh dan wilayah mereka di dalam negara dan muncul sebagai salah satu watak utama Afghanistan yang dengannya AS akhirnya menandatangani Perjanjian Doha yang dapat menyelamatkan air muka AS.

Tidak cukup dengan itu Amerika tetap terus dengan permainan tipudayanya, dengan secara rasmi dan serentak mengiktiraf Taliban dan pemerintah Kabul. Mereka mengira bahawa pemerintah boneka mereka akan dapat bertahan dan melawan Taliban serta mampu mengubah gelombang perlawanan di medan perang, tetapi ini ternyata satu lagi percaturan yang salah.

Amerika tidak menyedari bahawa pemerintah boneka mereka yang lemah dan korup tidak berdiri kukuh dalam kalangan masyarakat di Afghanistan, sejak hari pertama penubuhannya lagi. Itulah sebabnya ia tidak dapat bertahan lebih dari beberapa minggu dan dengan hinanya kehilangan hampir semua daerah dan ibu kota wilayahnya dalam jangka waktu yang singkat.

Walaupun kerana kepentingan peribadinya dan kepentingan segelintir individu, Ashraf Ghani tetap berusaha untuk mempertahankan (kerajaan Kabul) tetapi perlawanannya semakin melemah. Sehingga pada saat-saat terakhir, dia telah melarikan diri dari negara itu, meninggalkan pengikutnya dalam keadaan kepanasan.

Di waktu yang sama, Barat telah mengirimkan sejumlah 5000 tentera Amerika dan 600 tentera Britain untuk seboleh mungkin mengelakkan kejatuhan Kabul dengan dalih palsu pemindahan kakitangan kedutaan, pembantu, mata-mata dan tentera upahan mereka, tetapi mereka telah gagal melakukannya.

Sementara itu, Barat juga mempunyai pandangan yang berlainan di antara satu sama lain terhadap Afghanistan. AS, Britain dan Eropah mempunyai tiga pandangan yang berbeza mengenai Afghanistan. Atas dasar itu mereka gagal mencapai kata sepakat sesama mereka. Allah (swt) berfirman:

تَحْسَبُهُمْ جَميعاً وَقُلُوبُهُمْ شَتَّى

“Kamu kira mereka itu bersatu, sedang hati mereka berpecah belah” [Al-Hashr (59): 14].

Negara-negara serantau juga mengambil berat dengan situasi di Afghanistan dan berusaha mengenal pasti pihak yang menguasai urusan di negara itu, terutamanya Russia yang bimbang terhadap isu keselamatan yang menghampiri sempadan kawasannya di sebelah Asia Tengah; sementara China pula prihatin terhadap projek ekonominya dengan Pakistan dan Asia Tengah.

Selanjutnya, AS, negara-negara Barat dan PBB terus cuba mendesak Taliban untuk menghalang mereka kembali menubuhkan ‘Emirate Islam’ dan melaksanakan Syariah Islam dengan mengancam akan mengasingkan Taliban dan melaksanakan sekatan ekonomi terhadap mereka jika mereka berusaha untuk menguasai negara itu secara paksa.

Taliban mestilah menyedari bahawa terdapat banyak perangkap berbahaya yang dicaturkan terhadap mereka dalam masa terdekat dan jangka masa panjang. Perangkap negara-bangsa, ketidakpatuhan terhadap syariah, pengiktirafan konvensyen antarabangsa, hak wanita dan lain-lain adalah nilai-nilai yang mesti ditolak dengan tegas dan nyata. Taliban harus belajar dari pengalaman gerakan Islam yang lain dan mengelakkan diri daripada mengambil bahagian dalam sistem selain Islam dan sistem buatan manusia.

Taliban seharusnya tidak menerima apa-apa kecuali kebenaran. Ini kerana kompromi dalam melaksanakan Islam akan mengakibatkan hilangnya pengiktirafan dan kredibiliti mereka dalam kalangan masyarakat; dan tanpa sokongan umat Islam tidak ada gerakan Islam yang dapat bertahan lama.

Islam tidak boleh dihadkan dan terbatas pada geografi kecil dan/atau satu bangsa sahaja di mana keadaan ini tidak akan dapat menyatukan Islam sebagai satu umat, yang bersatu ketika damai dan ketika perang, dalam kemuliaan dan kehancuran. Taliban mesti menyedari bahawa AS, Barat dan PBB sentiasa ada untuk mendesak mereka bagi menerima penyelesaian sementara, yang terletak di antara Islam dan kufur, dan ia adalah seumpama penyelesaian yang terletak di antara yang haq dan yang batil, yang hakikatnya hanyalah kedustaan.

Dengan demikian, Taliban harus melaksanakan sistem Islam dalam kerangka Islam iaitu Daulah Islamiyyah (Khilafah). Mereka harus menerapkan perlembagaan yang berlandaskan syariah yang mana polisi luarnya mestilah berdasarkan kepada dakwah Islam dan jihad; dan dengan berbuat demikian, mereka akan diberi nusrah (pertolongan) oleh Allah (swt), ditolong juga oleh umat Islam di rantau ini dan di seluruh dunia.

Hanya dengan demikian saaja, mereka akan dapat menubuhkan Negara Islam yang kuat di peringkat serantau dan antarabangsa. Jika tidak, kita harus memahami bahawa ‘kuasa’ adalah salah satu ujian berat dari Allah (swt), sesuatu yang bersilih ganti di antara manusia pada sela waktu yang singkat, tetapi pada masa akan datang mungkin penyebab kemurkaan Allah yang akan mengakibatkan penyesalan dunia dan akhirat.

Pengarah Pejabat Media Hizbut Tahrir Wilayah Afghanistan

* Ditulis untuk akhbar Ar-Rayah – Edisi 353

https://www.facebook.com/313671662800341/posts/1064215911079242/