Akta Mana Lagi Yang Mahu Digubal?
Sepertimana yang diberitakan baru-baru ini bahawa Dato’ Seri Najib Razak telah menyatakan bahawa Akta Keharmonian Nasional yang menggantikan Akta Hasutan masih mengekalkan tiga prinsip utama bagi menangani perbuatan yang mendatangkan kebencian dan penghinaan kepada institusi serta peruntukan Perlembagaan.
Inilah lumrah undang-undang ciptaan manusia, ia mempunyai banyak kelemahan dan kecacatan. Mereka menyangka segala akta dan undang-undang yang mereka cipta dan gubal tersebut adalah yang terbaik, walhal mereka jugalah yang kelak akan memansuh, meminda atau menggubalnya semula dek kerana kelemahan undang-undang tersebut yang selalu lapuk dimakan zaman.
Menggubal undang-undang melalui suara majoriti juga merupakan suatu yang tidak pernah diajar oleh Rasulullah dalam Islam. Sebaliknya, Rasulullah SAW telah menyatakan dengan jelas dalam banyak hadis bahawa pemerintahan selepas baginda ialah Khilafah, di mana umat Islam akan dipimpin oleh para Khalifah selaku ketua Negara. Khalifah ini akan berhukum dengan hukum Allah dan Rasul dan bukannya hukum suara majoriti manusia sepertimana ketetapan dalam firman Allah SWT:
“Dan tidaklah patut bagi lelaki yang beriman dan tidak (pula) bagi perempuan yang beriman, apabila Allah dan RasulNya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada (pula) bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka.” [TMQ al-Ahzab (33) : 36].
Keimanan Islam yang ada dalam diri kita menuntut agar kita menerapkan sistem Islam secara kaffah, serta sentiasa konsisten dalam berpendirian dan perlaksanaannya. Suara majoriti di parlimen tidak pernah sama sekali menjamin sesuatu yang diputuskan itu benar kerana ia dibuat berdasarkan akal dan hawa nafsu majoriti manusia semata-mata. Walhal Allah SWT yang mencipta manusia dan sistem untuk diikuti, kerana Dia sahajalah yang Maha Mengetahui segala baik dan buruknya sesuatu perkara, tidak kira sama ada di langit mahupun di bumi. Firman Allah SWT:
“… dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia amat baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia amat buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” [TMQ Al-Baqarah (2): 216].
Sumber: bharian.com