Al-Quran bukan bahan retorik, tetapi untuk diterapkan hukum-hakamnya
Al-Quran merupakan sumber intelektual dan spiritual Islam yang merupakan asas bukan hanya bagi agama dan kerohanian semata-mata, tetapi juga semua cabang ilmu pengetahuan termasuk teknologi, kata Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam Majlis Penutup Majlis Tilawah Al-Quran Johan-Johan Kebangsaan yang dipetik portal Astro Awani.
Ujarnya lagi, Al-Quran berperanan sebagai wahyu yang diturunkan sebagai “petunjuk agar manusia dapat membezakan antara yang hak dan batil”, di samping menyatakan bahawa hubungan antara agama dan teknologi “ibarat roh dan jasad” yang “saling menyempurnakan antara satu sama lain” [Astro Awani, 26/10/2021].
Seorang penguasa apabila bercakap tentang Al-Quran seharusnya mencermin diri terlebih dahulu sejauh manakah ia menjadikan Al-Quran sebagai petunjuk dan panduan hidup, dan sejauh manakah ia menerapkan segala hukum-hakam yang terkandung di dalam Al-Quran, dalam pemerintahannya.
Ya benar al-Quran adalah wahyu yang diturunkan sebagai petunjuk bagi membezakan antara yang hak dan batil. Persoalannya, apakah sistem dan undang-undang penjajah yang diterapkan oleh mereka (penguasa) pada hari ini merupakan suatu yang hak atau dengan kata lain bertepatan dengan al-Quran, sehingga dipertahankan habis-habisan oleh mereka?
Hakikatnya, sistem dan undang-undang sekarang ini jelas batil dan bertentangan dengan al-Quran. Pada hari ini, Al-Quran hanya dialunkan dan dipelihara dengan teliti serta dijaga dari segi hukum tajwidnya sahaja. Malah majlis tilawahnya diperhebat dengan menggunakan teknologi realiti terimbuh (augmented reality).
Manakala hukum-hukum dari segi politik, ekonomi, muamalat, uqubat dan lain-lain yang ada dalam al-Quran diketepikan begitu sahaja oleh penguasa.
Al-Quran tidak akan dapat menjadi panduan hidup jika hanya dialunkan bacaannya setahun sekali walau dengan teknologi secanggih mana sekali pun. Ia hanya akan menjadi panduan hidup jika ia benar-benar diamalkan dalam seluruh aspek kehidupan.
Al-Quran adalah kitab wahyu yang wajib diterapkan dalam realiti kehidupan, bukannya kitab teori hanya untuk bacaan.
Malangnya penguasa pada hari ini bukan sahaja mengetepikan al-Quran dalam pemerintahan mereka, malah meletakkan Perlembagaan Persekutuan yang diberikan oleh penjajah dalam keadaan lebih tinggi daripada al-Quran.
Mereka bercakap mengenai syumulnya al-Quran, tetapi mereka meninggalkan sebahagian besar hukum-hakam al-Quran dan menyalahi firman Allah (swt),
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ ادْخُلُواْ فِي السِّلْمِ كَآفَّةً وَلاَ تَتَّبِعُواْ خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ
“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata” [TMQ al-Baqarah (2): 208].
Mereka meletakkan Perlembagaan ciptaan penjajah sebagai undang-undang tertinggi negara, sedangkan Rasulullah (saw) bersabda;
الْإِسْلَامُ يَعْلُو وَلَا يُعْلَى عَلَيْهِ
“Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya” [HR al-Baihaqi].
Kita wajib mematuhi segala hukum-hukum al-Quran tanpa memilih-milih hukum mana yang disukai mengikut manfaat yang ingin dicapai. Kita juga wajib membuang segala hukum ciptaan manusia dan meletakkan Islam di kedudukannya yang tertinggi.
Realitinya kini, dengan konsep “Keluarga Malaysia” yang dibawa oleh Perdana Menteri Malaysia yang jelas menjadikan Perlembagaan (bukannya Islam) sebagai sandaran, al-Quran dan Islam telah ditundukkan kepada Perlembagaan yang sekali gus telah meletakkan keduanya bukan di tempat letaknya.
Apa yang pasti, ucapan dan ungkapan Ismail Sabri itu tidak lain hanyalah retorik penyedap halwa telinga yang kononnya menjunjung tinggi al-Quran. Namun hakikatnya tiada usaha yang benar-benar serius dalam membumikan isi kandungannya dalam kehidupan khasnya melibatkan aspek politik dan kenegaraan.
Wallahu a’lam.