Alangkah Baiknya Jika Nazrin Mengesyorkan Agar Mahkamah Thaghut Sekarang Di Tukar Kepada Mahkamah..

Jangan persenda mahkamah: Raja Dr Nazrin

KUALA LUMPUR: Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah, hari ini menasihatkan pengamal undang-undang supaya tidak mempersendakan mahkamah selain membantu untuk tidak melengahkan perbicaraan.
Bertitah pada Majlis Konvokesyen Keenam Belas Peperiksaan Sijil Amalan Guaman Tahun 2010 Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang Malaysia di sini, baginda mengingatkan bahawa profesion undang-undang adalah profesion yang dipandang mulia dan elit serta mempunyai peradaban, kesopanan dan etika tersendiri.   Baginda bertitah salah satu tonggak utama profesion undang-undang adalah etika dan moraliti; memastikan integriti undang-undang dan keadilan terhadap mahkamah dan begitu juga terhadap anak guam, dapat disempurnakan.  “Dalam melaksanakan tanggungjawab, mahkamah jangan sesekali dipersendakan, peguam seboleh-bolehnya wajib membantu untuk memastikan perbicaraan tidak dilengahkan dan peguam juga tidak harus dengan cara yang tidak profesional sengaja menyusahkan pihak lawan,” titah baginda.
Raja Dr Nazrin Shah turut mengingatkan pengamal undang-undang bahawa mereka wajib menjadi teladan dengan menjauhi perbuatan yang mengabaikan keadilan.

“Sedarilah bahawa tingkah laku para peguam turut diadili oleh masyarakat,” titah baginda.   Raja Dr Nazrin Shah bertitah kecekapan mahkamah mengurangkan kes tertunggak bukan sahaja dapat memastikan keadilan dilaksanakan secara segera tetapi turut meningkatkan peraturan pengurusan mahkamah di kaca mata umum.
Baginda turut bertitah bahawa negara memerlukan barisan profesional yang kompeten di bidang undang-undang antarabangsa untuk membantu mempertahankan kepentingan negara di peringkat global.
“Diramalkan evolusi dalam profesion undang-undang sepuluh tahun akan datang akan berlaku lebih hebat dari kadar yang berlaku sejak seratus tahun yang lalu.

Sumber: Berita Harian, 28/03/2011

Alangkah Baiknya Jika Nazrin Mengesyorkan Agar Mahkamah Thaghut Sekarang Di Tukar Kepada Mahkamah Yang Menerapkan Undang-Undang Islam!!

Seorang Muslim yang berada di Malaysia secara umumnya mengetahui bahawa mahkamah yang ada pada hari ini adalah mahkamah yang mengguna pakai undang-undang thaghut. Dalam dunia kapitalisme hari ini mereka yang terlibat dalam profesion undang-undang dianggap ‘mulia’ dan elit. Mereka ini merupakan kelompok yang menegakkan dan membantu mempertahankan undang-undang thaghut sehingga ia terus bertapak dan berdiri kukuh dalam kehidupan umat Islam sebagaimana yang kita lihat hari ini. Lebih malang lagi, umumnya para pengamal undang-undang  thaghut ini (orang Islam) tidak merasa bersalah dan berdosa apabila mereka menerapkan, menggunapakai dan menjatuhkan hukuman dengan menggunakan undang-undang kufur ini. Dari Wikipedia:  Undang-undang Malaysia berteraskan sistem perundangan common law, sebagai hasil langsung penjajahan Tanah Melayu, Sarawak, dan Borneo Utara oleh Britain sejak awal 1800-an hingga 1960-an. Undang-undang tertinggi, iaitu Perlembagaan Malaysia, menggariskan rangka perundangan dan hak-hak warganegara Malaysia. Undang-undang persekutuan digubal oleh Parlimen Malaysia berkaitan dengan seluruh negara. Terdapat juga undang-undang negeri yang digubal Dewan Undangan Negeri (DUN) dan berkaitan dengan negeri berkenaan. Perlembagaan Malaysia juga membenarkan sistem kehakiman berganda yang unik, iaitu undang-undang sekular (jenayah dan sivil) dan undang-undang syariah. Pelaksanaan dan hubungan antara kedua-dua sistem perundangan ini agak rumit dan pernah menimbulkan ketidaktentuan. http://ms.wikipedia.org/wiki/Undang-undang_Malaysia#Undang-undang_persekutuan_dan_negeri.

Muhasabah bagi golongan yang terlibat secara langsung dengan sistem perundangan kufur ini dan golongan yang menyanjung undang-undang kufur ini ialah firman Allah SWT:

“Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang mengaku dirinya telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadamu dan kepada apa yang diturunkan sebelum kamu ? mereka hendak berhakim kepada thaghut[312], Padahal mereka telah diperintah mengingkari Thaghut itu. dan syaitan bermaksud menyesatkan mereka (dengan) penyesatan yang sejauh-jauhnya” . [TMQ An Nisaa’ (4) : 60].

“Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakekatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap putusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya”. [TMQ An Nisaa’ (4) : 65].

FirmanNya lagi: “Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir”. [TMQ Al Maa-idah (5):44].

“Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim”. [TMQ Al Maa-idah (5):45].

“Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik”. [TMQ Al Maa-idah (5):47].

Justeru itu sewajarnya mesej Nazrin kepada golongan pengamal undang-undang ini ialah agar mereka kembali mengamalkan undang-undang Islam dan bukannya undang-undang kufur peninggalan penjajah.
“Apakah hukum jahiliyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin ?” [TMQ Al Maa-idah (5) : 50].