Apakah hudud hanya untuk orang Islam?

Sebagaimana dijangkakan, isu hudud terus dimainkan oleh parti sekular UMNO di dalam usaha mereka menawan Kuala Terengganu di dalam pilihan raya kecil yang bakal berlangsung nanti.
Nampaknya ‘perangkap’ yang dipasang oleh Khairy Jamaluddin dengan mengadakan debat dengan Husam Musa telah mengena. Maka, hudud kini menjadi senjata utama kelompok sekular UMNO di dalam usaha mereka mempertahankan lagi sistem sekular yang mereka terapkan selama ini. Alangkah beraninya mereka mempermainkan hukum Allah dengan cubaan memperdebatkan isu ini, bukannya berusaha untuk menerapkannya, walhal mereka adalah golongan yang memerintah, yang mana di bahu merekalah terletaknya kewajiban untuk menerapkan hududullah.

Ini dari satu pihak. Di pihak yang lain, pembangkang kini dilihat tersepit dengan perangkap yang dipasang geng sekular UMNO, sehingga banyak kenyataan terpaksa dikeluarkan oleh mereka untuk ‘menentang’ propaganda jahat UMNO di dalam mempermainkan isu ini.  Sedikit sebanyak, pakatan pembangkang yang merangkumi parti kafir DAP terpaksa membuat keputusan di dalam usaha kompromi mereka. Jumlah 11% pengundi kafir yang ada di Kuala Terengganu mesti diambil kira, selain ‘hubungan mesra’ sesama pakatan yang mesti dijaga. Inilah masalah yang melanda apabila berpakat atau kompromi dengan kelompok kufur dan sekular. Maka perjuangan dan hukum Allah juga turut menjadi bahan kompromi.

Setelah diasak dari segenap penjuru oleh parti sekular pemerintah, maka keluarlah kenyataan yang amat menghiris hati umat Islam lainnya apabila hudud dikatakan bukanlah menjadi keutamaan pembangkang. Luka pedih di hati terus berdarah apabila hudud dikatakan pula hanya untuk orang Islam dan tidak terkena kepada orang kafir. Semua kenyataan ini timbul apabila hukum Allah itu ingin dilaksanakan tertakluk kepada syarat bahawa ia ‘mesti difahami dan diterima’ oleh orang kafir terlebih dahulu. Apabila hati orang kafir dijaga lebih dari menjaga hukum Allah, maka terkebelakanglah hukum Allah dan hati orang kafir menjadi keutamaan. Alasan ‘maslahat’ biasanya diberikan, walhal tidak akan pernah ada maslahat apabila hukum Allah dipinggirkan.

Sesungguhnya pelaksanaan hukum Allah ke atas umat manusia tidak ada kompromi sedikit pun. Ia wajib dan wajiblah adanya sampai bila pun dan di mana pun.

Malangnya apabila bercakap tentang pelaksanaan hukum Allah, umat Islam terjatuh ke dalam kecelaruan yang amat dalam, apabila mereka berkata ia hanya akan dilaksanakan apabila orang kafir sudah faham dan bersedia. Walhal semasa kuffar penjajah datang ke negara kita dan menerapkan hukum kufur mereka, kuffar penjajah tidak pernah bertanya apakah orang Islam sudah bersedia atau tidak untuk menerima hukum kufur. Kuffar penjajah tidak pernah tanya dan tidak pernah peduli orang Islam terima atau tidak atau bersedia atau tidak, mereka hanya terus menerapkan sahaja hukum kufur mereka. Anehnya, bila umat Islam ingin menerapkan hukum Allah, orang kafir mesti dipastikan memahami dan bersedia terlebih dahulu. Jadinya, jika orang kafir tidak pernah faham dan tidak pernah bersedia, maka hukum Allah tidak akan dapat dilaksanakan sampai bila pun?

Sungguh pedih hati apabila melihat adanya umat Islam yang cuba mengambil hati orang kafir di dalam melaksanakan hukum Allah, walau apa alasan mereka sekalipun. Allah SWT telah berfirman,

“Dialah yang telah mengutus RasulNya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar untuk dizahirkan atas seluruh agama yang lain sekalipun orang-orang musyrik membencinya” [TMQ At-Taubah (9):33].

Ayat di atas menerangkan dengan jelas bahawa Islam wajib dizahirkan, walaupun orang kafir membencinya sekalipun. Dan Islam hanya akan zahir apabila hukum Allah atau hudud Allah diterapkan. Jadi, alasan bahawa orang kafir tidak faham atau tidak bersedia langsung tidak boleh diterima, kerana Allah menyatakan, walaupun orang kafir membencinya sekalipun, Islam wajib dizahirkan.

Bertambah pedih, apabila hudud Allah hanya dikatakan terkena kepada orang Islam sahaja, manakala orang kafir tidak terkena hudud. Jika kita adalah pemerintah, dan jika kita tidak menerapkan hukum Allah, walaupun ke atas orang kafir sekalipun, maka hukum apakah yang akan kita terapkan ke atas mereka? apakah kita akan menerapkan hukum selain Allah ke atas mereka, walhal Allah SWT berfirman,

“Apakah hukum Jahiliyyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?” [TMQ al-Ma’idah (5):50].

“…dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir” [TMQ al-Ma’idah (5):44].

“…dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim” [TMQ al-Ma’idah (5):45].

“…dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik” [TMQ al-Ma’idah (5):47].

Kepada mereka yang ikhlas semata-mata kerana Allah dan tidak ta’sub sesama manusia, maka fikirkanlah sebaik-baiknya akan hal ini. Semoga Allah SWT memberikan antum kesedaran dan kekuatan agar tetap teguh dengan perjuangan menegakkan agama Allah dan tidak menggadaikan perjuangan sedikitpun.

Apakah Orang Kafir Terkena Hukum Islam?

Persoalan sama ada orang kafir terkena hukum Islam atau tidak sebenarnya tidak pernah timbul dalam benak kaum Muslimin generasi awal mahupun generasi setelahnya. Kaum Muslimin dahulu benar-benar faham bahawa satu-satunya hukuman yang wajib ke atas manusia adalah hukum Allah. Allah adalah Pencipta manusia dan Allah-lah Yang Maha Mengatur dan Maha Menghukum. Inilah yang difahami dan diterapkan oleh umat Islam berabad-abad lamanya. Namun, setelah kelemahan berfikir melanda umat Islam dan negeri-negeri kaum Muslimin satu per satu jatuh ke tangan penjajah kuffar, maka di negeri-negeri kaum Muslimin ini telah diterapkan sistem kufur/sekular penjajah. Setelah mereka memberi kemerdekaan kepada negeri-negeri ini, pemimpin sekular yang telah dilantik oleh kuffar penjajah ini tetap meneruskan undang-undang kufur penjajah di samping sedikit penerapan undang-undang Islam dalam hal ibadat dan kekeluargaan sahaja. Hasilnya, kaum Muslimin, termasuklah golongan ulama telah terbiasa dan ‘terbius’ dengan kefahaman bahawa undang-undang Islam hanyalah untuk orang-orang Islam sahaja, manakala orang-orang kafir dibiarkan mengamalkan undang-undang kafir. Betapa terpesongnya pemikiran di kalangan ulama ini, sehingga ada antara mereka yang beranggapan bahawa undang-undang kufur (yang dibuat oleh negara) tetap terpakai ke atas umat Islam manakala orang kafir pula sekali-kali tidak boleh dikenakan undang-undang Islam ke atas mereka. Apatah lagi di dalam sebuah negara yang bermasyarakat majmuk, para pemimpin dan ulama yang ada terus ‘dikuasai’ oleh pemikiran kufur bahawa undang-undang Islam tidak boleh dilaksanakan ke atas orang-orang kafir, bukan setakat kerana ia tidak terpakai, malah tidak boleh dilaksanakan kerana perlu ‘menjaga hati’ orang kafir. Inilah di antara kejayaan kuffar Barat di dalam memasukkan racun sekular mereka ke dalam tubuh umat Islam.

Setelah sistem demokrasi-pilihan raya diperkenalkan oleh Barat ke atas negeri-negeri umat Islam dan setiap orang kafir diberi hak mengundi untuk memilih wakil rakyat, maka para pemimpin dan ulama Islam terjerat sekali lagi di mana untuk mereka meraih pemerintahan, mereka mesti mendapat sokongan/undi dari orang kafir, maka ‘hati’ orang kafir perlu dijaga agar menyokong/mengundi mereka. Oleh sebab sebahagian besar orang kafir (sekarang) tidak mahu atau tidak suka kepada undang-undang Islam, maka usaha-usaha dilakukan untuk memberi kefahaman kepada orang kafir bahawa undang-undang Islam tidak terkena ke atas mereka. Jadi, tidak hairanlah jika ramai di kalangan umat Islam yang, walaupun sayangkan Islam, namun oleh kerana sudah lama hidup dalam sistem sekular di mana racun ini sudah menjadi sebati dalam diri mereka, memahami bahawa hukum Allah ini hanyalah untuk orang Islam semata-mata, manakala orang kafir tidak terkena hukum Allah, tetapi diberi alternatif. Mereka menyatakan bahawa perlaksanaan hukum hudud, qisas dan ta’zir hanya dikenakan ke atas orang Islam sahaja manakala penduduk bukan Islam diberi pilihan sama ada hendak menerima hukum tersebut atau tetap berhukum dengan hukum kufur. Untuk menyokong pendapat ini, mereka beristidlal dengan firman Allah,

“Jika mereka datang kepadamu (untuk meminta keputusan), maka putuskanlah (perkara itu) di antara mereka, atau berpalinglah dari mereka. Jika kamu berpaling dari mereka, maka mereka tidak memberi mudharat kepadamu sedikitpun. Dan jika kamu memutuskan perkara mereka, maka putuskanlah (perkara itu) di antara mereka dengan adil. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang adil” [TMQ al-Maidah (5):42].

Mereka seterusnya menafsirkan ayat ini bahawa Allah memberi pilihan kepada orang kafir sama ada untuk menerima hukum hudud, qisas dan ta’zir atau memilih untuk berhukum dengan hukum mereka (hukum kufur). Lafaz “fa in ja’uka fahkum bainahum au a’ridh anhum” (jika mereka datang kepada mu, maka putuskanlah di antara mereka atau berpaling dari mereka) mereka tafsirkan sebagai ‘pilihan’ yang diberi kepada ‘orang kafir’ sama ada untuk berhukum dengan hukum Islam atau pun hukum kufur. Oleh yang demikian, mereka telah menyatakan bahawa orang kafir yang tinggal dalam negara Islam tidak terkena hukum Islam, kecuali orang kafir itu sendiri memilih untuk berhukum dengan hukum Islam.

Mengkaji dengan teliti dari aspek mafhum, mantuq dan juga asbabunuzul ayat di atas, maka kita dapati bahawa tafsiran yang dibuat adalah amat salah dan mengelirukan. Dari segi lafaz itu sendiri, kita memahami bahawa:

(i) Allah memberi pilihan kepada Rasulullah (sebagai Ketua Negara) bukannya kepada orang kafir; dan

(ii) Pilihan yang diberi itu adalah sama ada untuk menghukum orang kafir (fahkum) dengan hukum Islam atau berpaling dari mereka (a’ridh), bukannya pilihan untuk berhukum dengan hukum Islam atau berhukum dengan hukum kufur. ‘Berpaling’ maksudnya tidak menghukum (membiarkan) mereka.

Secara ringkasnya dapat kita simpulkan bahawa ayat ini ditujukan kepada Rasulullah (sebagai Ketua Negara) dan Allah memberi dua alternatif kepada Rasul sama ada ingin menghukum kesalahan mereka dengan hukuman Allah atau membiarkan mereka tanpa dihukum. Untuk menjelaskan lagi perkara ini, kita boleh melihat pandangan beberapa ulama muktabar berkenaan dengan hukum fiqh yang mereka istinbat dari ayat ini:-

Ibnu Kathir menyatakan: Jika mereka (orang kafir) datang kepada kamu (iaitu) untuk meminta pengadilan dari kamu, maka hakimilah antara mereka, atau biarkan mereka. Jika kamu berpaling daripada mereka, maka mereka tidak akan dapat membahayakanmu sedikit pun. Maka tidak mengapa untuk kamu tidak mengadili persengketaan di antara mereka kerana sebenarnya mereka tidak berniat untuk berhukum kepada kamu berdasarkan hak, tetapi mereka inginkan apa yang sesuai dengan hawa nafsu mereka [Ibnu Kathir, Tafsir Al-Quran Al-Azhim]. Qusairy menyatakan: Tidak wajib ke atas kita untuk mengadili di antara mereka bila mereka bukan kafir zimmi tetapi kita boleh mengadili mereka jika kita mahu [Imam Al-Qurthubi, Al-Jami’li Akhamil Quran]. Sa’id bin Jubair menjelaskan: Jika mereka (orang Yahudi) datang kepadamu (untuk meminta keputusan), maka putuskanlah (perkara itu) di antara mereka atau berpalinglah dari mereka. Dalam ayat ini Allah memberikan keluasan bagi seorang hakim untuk memilih antara memutuskan perkara mereka atau tidak menghukum, dan membiarkannya terkontang-kanting [Ibnu Jawzi, Nawasikhul Qur’an].

Dari aspek asbabun nuzul ayat di atas, kita akan lebih memahami maksud ayat tersebut dengan benar apabila melihat kepada sebab penurunan ayat ini di tambah dengan memahami kedudukan/aspek geo-politik orang kafir (Yahudi) yang disebutkan di dalam ayat tersebut. Imam Sayuthi menjelaskan,

“Seorang lelaki dari suku Yahudi di Fadak telah berzina, lalu orang-orang Fadak menulis surat kepada Yahudi di Madinah supaya bertanya kepada Muhammad Sallallahu ‘alihi wa Sallam tentang hukum orang yang berzina itu. Jika Muhammad memerintah untuk disebat, maka terimalah, tetapi jika Muhammad memerintah untuk direjam, maka tolaklah. Orang Yahudi bertanya dan Rasulullah Sallallahu ‘alihi wa Sallam pun menjawab akan mereka, lalu sebagaimana dinyatakan di dalam hadis, turunlah ayat “Jika mereka datang kepadamu, maka hukumlah mereka atau berpaling dari mereka” [Imam Sayuthi, Tafsir Jalalain & Kitab Lubabunuqul Fi Asbabinuzul].

Kita perlu memahami bahawa Fadak adalah sebuah kota di utara Hijaz, tidak jauh dari Khaibar dan berada di luar dari Daulah Islam Madinah. Jauhnya 2-3 hari perjalanan menaiki unta dari Madinah. Kota ini sekarang telah ditukar namanya kepada Kampung Huwayyit (berkedudukan di luar Madinah). Jarak sebenar antara Madinah (24°27’U, 39°37’T) dan Huwayyit (25°35’U, 40°22’T) lebih kurang 150 km dengan pengukuran secara rentas. Berdasarkan hal ini, kita perlu faham bahawa Yahudi yang dimaksudkan dalam ayat di atas bukan Yahudi dari kafir zimmi (kafir yang tinggal dalam Daulah Islam) tetapi mereka adalah dari kelompok Yahudi yang tinggal di luar Madinah (bukan warganegara Daulah). Dengan kata lain, ayat di atas adalah khusus untuk kes kafir warga asing yang ingin berhukum dengan hukum Islam, bukannya ayat berkenaan kafir warganegara Daulah (kafir zimmi).

Di sini satu lagi kesalahan pihak yang menafsirkan ayat di atas apabila mereka tidak melihat akan fakta ini. Hukum ke atas kafir zimmi (kafir warganegara Daulah) berbeza dengan hukum ke atas kafir yang bukan warganegara Daulah. Oleh itu, adalah satu kesalahan fatal apabila menjadikan ayat ini sebagai dalil untuk menunjukkan bahawa kafir yang tinggal dalam negara (zimmi) tidak terkena hukum Allah. Kafir zimmi, sebagaimana yang akan kami terangkan nanti, adalah terikat dengan hukum Islam, tidak sebagaimana kafir yang bukan warganegara. Bagi kafir yang tinggal di luar Daulah Islam, tetapi mereka ingin berhukum dengan hukum Daulah (hukum Allah), maka Ketua Negara boleh memilih untuk menghukum mereka (dengan hukum Allah), atau membiarkan mereka (tidak menghukum). Tetapi Ketua Negara sekali-kali tidak dibenarkan menghukum mereka mengikut hukum mereka/kufur. Jika kita menghukum mereka mengikut hukum kufur, maka ini adalah satu dosa dan keharaman kerana kita telah berhukum bukan dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah. Seseorang itu boleh menjadi kafir, zalim atau fasik sekiranya tidak memutuskan hukum dengan apa yang Allah telah turunkan (lihat Surah al-Maidah [5]:44, 45 & 47).

Dalam banyak ayat lain lagi, Allah Subhanahu wa Ta’ala menjelaskan bahawa haram bagi orang Islam untuk memutuskan hukum selain dengan Kitabullah. FirmanNya,

“Maka putuskanlah perkara atas mereka menurut apa yang Allah turunkan (hukum Islam), dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran (hukum Islam) yang telah datang kepadamu” [TMQ al-Maidah (5):48].

Allah juga berfirman,

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab kepadamu dengan membawa kebenaran, supaya kamu menghukum antara manusia dengan apa yang telah Allah wahyukan kepadamu” [TMQ an-Nisa (4):105].

Ayat-ayat ini berbentuk umum dan ada ayat yang mana Allah menggunakan lafaz “manusia” yang menerangkan kepada kita bahawa, dalam keadaan kita mengadili sesuatu kes atau ingin menghukum, maka hukum Allah-lah satu-satunya hukum yang wajib dilaksanakan ke atas semua manusia (bukannya ke atas orang Islam sahaja) dan langsung tidak ada kebenaran/perintah dari Allah untuk kita (orang Islam) berhukum atau menghukum manusia dengan hukum selain hukum Allah.

Kafir Zimmi Wajib Terikat Dengan Hukum Islam

Kewajiban melaksanakan hukum Islam ke atas kafir zimmi merupakan satu perkara yang teramat jelas di dalam Islam. Tidak ada khilaf di kalangan ulama tentangnya dan kafir zimmi yang telah hidup di dalam Daulah Islam selama lebih 13 abad pun mematuhi hal ini. Kita perlu memahami bahawa hukum Islam adalah hukum Negara, bukannya hukum ke atas individu Muslim sahaja. Contoh yang mudah sahaja seperti hukum potong tangan untuk si pencuri – ini adalah hukum negara di mana tidak kiralah sama ada pencuri itu Muslim atau kafir, maka wajib dipotong tangannya. Begitu jugalah dengan hukum rompak, bunuh, judi, riba, rogol, zina dan sebagainya. Hukum Islam adalah hukum yang wajib diterapkan oleh pemerintah ke atas setiap warganegara. Di dalam kehidupan Daulah Islamiyyah, orang-orang kafir zimmi (sesuai dengan akad zimmah dengan Negara Daulah) hanya dibolehkan menjalankan hukum-hakam yang berhubungan dengan akidah, ibadah, makanan, perkahwinan, kematian dan sejenisnya menurut hukum-hakam agama mereka, asalkan tidak menam¬pakkan syi’ar-syi’ar agama mereka di hadapan kaum Muslim. Namun, dalam perkara yang menyangkut hukum-hakam umum iaitu mua’malat dan uqubat (hudud, qisas, ta’zir dan mukhalafat), maka atas mereka (orang-orang kafir zimmi) diterapkan hukum¬-hakam Islam sepenuhnya. Sebenarnya kedudukan mereka sebagai warganegara Daulah Islamiyah adalah sama dengan kaum Muslimin dari aspek hak dan tanggungjawab sebagai warganegara. Surah al-Maidah (5):48 dan juga an-Nisa (4):105 di atas sudah cukup menunjukkan bahawa hukum-hukum Islam itu wajib dilaksanakan ke atas seluruh warga negara, sama ada Muslim mahupun kafir zimmi.

Teramat salahlah pandangan yang menyatakan bahawa kafir zimmi tidak terikat dengan hukum Islam. Sungguh jauh dari kebenaran pandangan ini dan teramat ganjil sekali. Apa tidaknya, istilah dan pengertian ‘zimmi’ itu sendiri bermaksud “perlindungan yang diberikan kepada mereka kerana ketundukan mereka kepada hukum-hakam Daulah (hukum Islam)”. Status ‘zimmi’ (perlindungan) diberikan kepada mereka sebagai balasan dari ‘jizyah’ yang mereka bayar kepada Daulah. Dan jizyah ini adalah hukum Islam, bukan hukum kufur. Jadi, bayaran jizyah yang dikenakan ke atas kafir zimmi ini adalah terlalu jelas dan nyata dan secara automatiknya menunjukkan kepada kita bahawa kafir zimmi wajib mengikut atau tunduk kepada hukum Islam. Dengan kata lain, jika kafir zimmi tidak tertakluk kepada hukum Islam, maka tidak perlulah mereka membayar jizyah. Dan hal ini demi Allah sesungguhnya tidak akan terjadi (kerana kafir zimmi wajib membayar jizyah dengan maksud mereka wajib tunduk kepada hukum Islam). Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala,

“Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak beriman kepada hari akhirat, dan mereka pula tidak mengharamkan apa yang telah diharamkan oleh Allah dan RasulNya, dan tidak beragama dengan ugama yang benar, iaitu dari orang-orang yang diberikan Kitab (kaum Yahudi dan Nasrani), sehingga mereka membayar jizyah dengan keadaan tunduk patuh” [TMQ at-Taubah (9):29].

Apabila orang-orang kafir zimmi menolak untuk dihukumi dengan hukum-hakam Islam, maka Khalifah wajib memaksa mereka untuk tunduk. Rasulullah Sallallahu ‘alihi wa Sallam pernah menulis surat kepada penduduk Najran yang beragama Nasrani, dengan kalimat yang amat tegas sekali, di mana sabda baginda, “Sesungguhnya siapa saja di antara kalian yang melakukan transaksi (jual beli) dengan riba, maka tidak ada lagi perlindungan (zimmah) atasnya.” Kedudukan penduduk Najran waktu itu adalah sebahagian dari Daulah Islamiyyah. Selain ini, terdapat banyak hadis yang jelas menunjukkan bahawa orang-orang kafir yang hidup di dalam Daulah Islam adalah dihukum menurut hukum Islam atas kesalahan yang telah mereka lakukan. Dalam sebuah hadis riwayat dari Anas, “Seorang Yahudi telah menyepit kepala seorang perempuan dengan dua buah batu. Kemudian ditanyakan kepadanya siapakah yang melakukannya? Ia menjawab, ‘sifulan atau sifulan’ dengan menyebut nama seorang Yahudi. Rasulullah Sallallahu ‘alihi wa Sallam bertanya, ‘Apakah engkau telah menyepit kepalanya?’ Yahudi itu akhirnya mengakui perbuatannya. Kemudian Rasulullah Sallallahu ‘alihi wa Sallam memerintahkan untuk menyepit kepala Yahudi itu dengan dua buah batu (iaitu membunuhnya)”. Dalam riwayat Muslim disebutkan, “…maka ia dibunuh lantaran ia datang kepada Nabi dengan menyerahkan jiwanya”

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim,

“Bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alihi wa Sallam telah pun menghukum rejam dua orang Yahudi. Kedua-dua itu sebelum berzina telah merasai persetubuhan melalui perkahwinan di dalam agamanya”.

Imam Nawawi dalam Minhaj At-Thalibin menyatakan, “Dan had (hudud) untuk penzina muhsan, mukallaf yang merdeka adalah rejam. Syarbini berkomentar menjelaskan ungkapan ini, “..kerana Nabi telah merejam dua orang Yahudi sebagaimana diriwayatkan dalam Sahihain, dalam tambahan riwayat Abu Daud, ‘mereka berdua adalah muhsan’. Tambahan lagi, akad zimmah adalah syarat untuk melaksanakan hudud ke atas zimmi, bukan kerana statusnya muhsan” [Nihayat Muhtaj VII:427].

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Teramat banyak dan nyata sekali dalil di dalam Al-Quran dan juga Al-Hadis yang menunjukkan bahawa hukum Islam terpakai ke atas orang kafir. Adalah wajib ke atas pemerintah menghukum pesalah ini dengan hukum Allah. Orang kafir yang berzina, mencuri, membunuh, makan riba dan sebagainya wajib dihukum dengan apa yang telah Allah turunkan. Teramat jelas juga berdasarkan Quran dan Sunnah bahawa menghukum orang kafir berdasarkan undang-undang kufur adalah haram dan berdosa dan merupakan satu kemaksiatan kepada Allah. Konsep dualisme hukum/undang-undang yang ada sekarang adalah sama sekali bercanggah dengan nas kerana Allah sama sekali tidak membenarkan umat Islam untuk memutuskan hukum dengan selain hukumNya. Hukum Allah wajib diambil dan dilaksanakan sebagaimana yang Allah perintahkan, bukannya diambil atau dilaksanakan berdasarkan kehendak atau apa yang disukai oleh orang kafir. Janganlah sekali-kali kita sebagai umat Islam terjerat dengan sistem kufur-sekular yang ada sehingga kita mengambil hukum Allah sebagai alat untuk mengambil hati orang-orang kafir. Ingatlah akan firman Allah,

“Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab sebahagian dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik” [TMQ al-Ma’idah (5):49].

[https://mykhilafah.com/index.php?option=com_content&view=article&id=354:sn156-hukum-islam-diwajibkan-ke-atas-seluruh-umat-manusia&catid=42:sautun-nahdhah&Itemid=2]