AS Tamatkan Hubungan Dengan Tentera Pakistan Hanya di Atas Kertas
ISLAMABAD 22 Jan. – Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS) Robert Gates hari ini menyuarakan kekesalan dengan polisi AS sebelum ini yang menamatkan hubungan ketenteraan dengan Pakistan, mengatakan langkah itu sebagai ‘satu kesalahan strategik besar’ yang telah menjejaskan ikatan tersebut. Bercakap di Universiti Pertahanan Kebangsaan Islamabad, beliau berkata, larangan AS terhadap hubungan ketenteraan pada tahun 1990-an berhubung program nuklear Pakistan, telah menjejaskan ikatan antara tentera mereka dan menimbulkan ‘rasa kurang percaya’ yang berpanjangan.
Beliau berkata, AS ‘sedia melabur baik dari segi masa atau tenaga bagi mengikat dan mengekalkan persepakatan yang berpanjangan dan ikhlas’. Bagaimanapun, beliau berkata, membina semula hubungan dengan generasi pegawai Pakistan yang tidak mempunyai ikatan kuat dengan ketenteraan AS, akan mengambil masa bertahun-tahun.
“Saya berada dalam kerajaan sejak tahun 1990-an, semasa Rusia meninggalkan rantau itu dan AS mula mengabaikan Afghanistan serta menamatkan hubungan pertahanan dengan Pakistan, satu kesilapan strategi besar yang didorong dengan niat baik tetapi telah mengehadkan keputusan polisi dan perundangan AS,” katanya.
Ramai rakyat Pakistan merasai kegetiran berhubung apa yang dilihat mereka sebagai ‘pembuangan AS terhadap rantau itu’ apabila Kesatuan Soviet keluar daripada Afghanistan pada 1989. Gates, bekas pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA) yang pernah berkhidmat di bawah pemerintahan beberapa Presiden berkata, tindakan itu telah ‘mencemarkan persepsi terhadap AS di Pakistan’, sekali gus menimbulkan propaganda daripada pihak militan.
Merujuk kepada militan yang menggambarkan Washington sebagai pihak licik untuk menduduki atau menguasai Pakistan, Gates memberitahu anggota tentera bahawa, AS ‘tidak mahukan walau seinci pun tanah Pakistan’.
“AS tidak mempunyai rancangan berasaskan ketenteraan dan kami tidak berhasrat menguasai senjata nuklear Pakistan,” ujar beliau.
Ketua Pentagon itu membuat ulasan sama dalam beberapa wawancara dengan media Pakistan ketika pegawai AS berkata, sebahagian ‘teori konspirasi’ telah tersebar luas di Pakistan dan perlu dihadapi secara terbuka. – AFP
Sumber : Utusan Malaysia, 23/01/10
AS Tamatkan Hubungan Dengan Tentera Pakistan Hanya di Atas Kertas
Selama ini AS memang terkenal dengan hubungan akrabnya dengan Pakistan. Mana mungkin jika tiada hubungan, Pakistan sanggup mengikut telunjuk AS untuk melakukan pembunuhan terhadap saudara seaqidah mereka di Lembah Swat dan Waziristan Selatan. Apa yang jelas, berita putusnya hubungan ini merupakan satu pembohongan. Segala tindak tanduk para pemimpin Pakistan selama ini semuanya menjurus kepada memuaskan hati tuannya, AS dan Britain. Gates yang pernah berkhidmad sebagai Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA) menyatakan bahawa kesan daripada “terputusnya” hubungan dengan Pakistan tersebut menyebabkan persepsi terhadap AS di Pakistan adalah amat buruk. Itu hanyalah sekadar persepsi, namun dari segi ketaatan, para pemimpin Pakistan masih berkiblatkan AS.
Pembohongan Gates bukan setakat itu sahaja. Kenyataannya bahawa AS tidak berniat untuk menduduki tanah Pakistan walau seinci dan tidak berniat untuk menguasai senjata nuklear Pakistan hanyalah helah, hanya manis dibibir sahaja. Amat naïf jika ada umat Islam yang mempercayai pembohongan yang terlampau busuk ini. Allah berfirman :
‘Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan redha dengan kamu sehinggalah kamu mengikuti agama (cara hidup) mereka. Katakanlah, sesungguhnya petunjuk Allahlah merupakan sebenar-benar petunjuk. Dan sekiranya engkau mengikuti kemahuan mereka setelah engkau mengetahui, maka tidak ada bagimu wali dan penolong dari (siksa) Allah’ [TMQ(2):120].
Mengadakan hubungan diplomatik dengan negara kafir harbi fi’lan seperti AS adalah satu keharaman di sisi Islam. Malah warganegara mereka diharamkan daripada menjejakkan kaki di dalam Daulah Islam. Sikap para pemimpin umat Islam sekarang yang berpegang dengan Ideologi Kapitalis menyebabkan hukum Allah ini tidak diendahkan. Malah kewajipan jihad terhadap kuasa imperialis seperti AS pun tidak dilaksanakan. Sedarlah umat Islam, sampai bilakah kita harus dipimpin oleh pemimpin yang tidak amanah dalam menjalankan perintah Allah?