Azam 1445H Untuk Kesempurnaan Amal
Sambutan Maal Hijrah pada tahun ini telah pun menoktahkan 1444H dan kini kita sudah pun memasuki tahun 1445H. Sejak sekian lama, kita telah menyaksikan pelbagai peristiwa yang telah melanda umat Islam di seluruh dunia. Disebalik semua peristiwa yang melanda umat Islam itu harus dilihat sebagai pengajaran dan bukannya melihatnya sebagai suatu tontonan biasa tanpa jiwa dan perasaan. Ini adalah kerana, Allah SWT telah berfirman:
“Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat Rahmat” [TMQ Al Hujurat: 13]
Pengajaran yang dimaksudkan disini adalah kesedaran akan tanggungjawab sebagai seorang muslim di dalam membela nasib umat Islam yang sedang berada di dalam kepayahan dan kesulitan. Setiap umat Islam itu mempunyai tanggungjawab yang luas dan tidak terhad kepada tuntutan dan kewajiban kerohanian semata-mata. Di samping tanggungjawab terhadap Allah SWT dan dirinya sendiri, setiap umat Islam itu juga mempunyai tanggungjawabnya terhadap umat Islam yang lain. Dari Ibnu Syihab bahawa Abdullah bin Umar telah mengkhabarkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Setiap muslim adalah saudara kepada muslim yang lain, jangan kalian berbuat aniaya dan jangan membiarkannya melakukan aniaya. Orang yang melapangkan satu kesulitan daripada seorang muslim lain, maka Allah akan melapangkan satu kesulitan di antara kesulitan-kesulitannya pada hari kiamat nanti. Orang yang menutupi aib saudaranya, maka Allah akan menutupi kekurangannya pada hari akhirat nanti.”
Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda; “Jauhilah prasangka buruk, kerana prasangka buruk adalah ucapan yang paling dusta, janganlah kalian saling mendiamkan, janganlah suka mencari-cari isu, saling mendengki, saling membelakangi, serta saling membenci tetapi jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara.” [HR Bukhari]
Di sebalik dalil-dalil ini, ia mempunyai pengertian yang mendalam dan menyeluruh tentang tanggungjawab yang berkaitan dengan kehidupan kita bermasyarakat. Mungkin selama ini kita hanya menguruskan kehidupan peribadi dalam lingkungan kita. Sedangkan ganjaran lebih besar dan nikmat yang luar biasa akan dapat diperolehi kelak apabila kita turut serta di dalam usaha untuk memperbaiki keadaan umat Islam pada hari ini melalui jalan dakwah berhikmah dan perjuangan siyasah untuk menegakkan Islam secara kaffah.
Semoga catatan ini dapat memberikan sedikit pencerahan agar kita sama-sama meningkatkan amal dan usaha kita untuk membela nasib umat Islam dan mencapai redha Allah.
Salam 1445H
Dr Tarmizi Salleh
Ketua
Majlis Pimpinan Pusat
Hizbut Tahrir Malaysia