‘Azl dan Pencegahan Kehamilan

Penulis: Syafinaz Safar

Editor: Iman Farhana

            Manusia diciptakan Allah SWT dengan potensi hidupnya yang lengkap berupa akal, naluri (gharizah) dan keperluan jasmani (hajatul ‘udhwiyyah). Inilah fitrah kejadian manusia. Setiap manusia memiliki gharizah an-nau’ (naluri untuk melestarikan keturunan). Menurut Islam, pernikahan adalah satu-satunya jalan yang dibenarkan untuk memenuhi naluri ini. Namun begitu, tujuan ikatan pernikahan bukan sekadar memenuhi nafsu semata-mata, tetapi pernikahan juga sebagai  tuntutan agama supaya fitrah manusia ini dapat disalurkan dengan cara yang dibenarkan oleh syarak dan diredai Allah SWT. Rasulullah SAW juga turut berbangga dengan umatnya yang ramai sebagaimana sabdanya: “Kahwinlah kamu, kembangkanlah keturunan kamu, dan perbanyaklah.”

            Walaupun begitu, sejak zaman Rasulullah SAW lagi, terdapat dalam kalangan para sahabat yang telah bernikah melakukan ‘azl. Apakah ‘azl? ‘Azl secara amnya adalah persetubuhan yang terputus. Dalam Islam, ‘azl berlaku apabila seorang suami mengeluarkan alat kelaminnya sebelum ejakulasi berlaku yang bertujuan untuk mencegah kehamilan. Perbuatan ini hukumnya adalah harus mengikut hukum syarak dan bukanlah merupakan pembunuhan janin. Keharusan ini disokong oleh riwayat Imam al-Bukhârî dari ‘Athâ’ dari Jâbir, dia berkata: “Kami pernah melakukan ‘azl pada masa Rasulullah SAW, sementara al-Quran pada saat itu masih turun.” Diriwayatkan juga dari ‘Atha’ bahawa dia mendengar Jâbir berkata: “Kami pernah melakukan ‘azl sedangkan Al-Quran masih turun.” Menurut lafaz Imam Muslim: “Kami pernah melakukan ‘azl pada masa Rasulullah SAW. Hal itu kemudian sampai khabarnya kepada Rasulullah SAW, dan Baginda tidak melarang kami.” Hadis ini merupakan tanda persetujuan atau ketetapan (taqrir) dari Rasulullah SAW atas kebolehan melakukan ‘azl. Seandainya ‘azl itu diharamkan, tentu Rasulullah SAW tidak akan mendiamkannya.

            Dalam kaedah perancangan kehamilan pada zaman moden ini, ‘azl adalah salah satu daripada kaedah yang paling selamat dan tidak mendatangkan kesan sampingan. Terdapat pelbagai lagi kaedah merancang kehamilan lain pada masa ini seperti mengambil pil perancang, menyuntik hormon mencegah kehamilan, menanam Implanon, dan memasang alat IUCD di dalam rahim wanita. Kesemua kaedah ini adalah diharuskan dalam Islam kerana bersifat sementara. Walau bagaimanapun, haram hukumnya jika si suami melakukan cara pencegahan kehamilan yang kekal seperti vasektomi atau dipanggil pengebirian. Selain itu, menggugurkan janin yang berusia lebih 40 hari di dalam rahim juga adalah haram kerana sudah diberi roh dan jika bukan bertujuan menjaga kesihatan si ibu, maka dianggap sebagai tindakan jenayah yang setara dengan pembunuhan. Ini kerana, pengguguran janin bukanlah kaedah pencegahan kehamilan.

Oleh itu, ‘azl dibolehkan secara mutlak, tanpa mengira tujuan suami melakukannya. ‘Azl boleh dilakukan bagi mengelakkan berlakunya kehamilan atau enggan menambah bilangan anak. ‘Azl  juga boleh juga dilakukan kerana berasa kasihan kepada isteri yang lemah akibat hamil dan melahirkan. ‘Azl dengan tujuan tidak mahu memberatkan isteri , mahu si isteri tetap awet muda, si suami mahu bersenang-senang dengan isterinya atau apa-apa jua tujuan lain adalah dibenarkan. Semua tujuan ini hanyalah sekadar perancangan manusia. Hakikatnya, apabila Allah telah berkehendak untuk menciptakan sesuatu, pasti manusia tidak akan mampu menghalangnya.

Wallahua’lam.