Bahaya komunis dan keajaiban kapitalis

Rata-rata orang Melayu memang membenci komunis dan kebencian ini tidak pernah reda, yang dapat dilihat setiap kali cerita mengenai komunis dibangkitkan. Dengan kemasukan abu Chin Peng dan disusuli pula dengan pertemuan bekas-bekas anggota dan penyokong Parti Komunis Malaya (PKM) di Kajang baru-baru ini, di samping mengejutkan banyak pihak, ia telah memercikkan semula api kemarahan di dalam sekam orang-orang Melayu.

Walaupun pertemuan tersebut dibuat sempena memperingati 30 tahun perjanjian damai Hatyai, pelbagai komen negatif telah dilontarkan oleh orang Melayu kerana masing-masing melihat ada niat dan agenda lain di sebalik pertemuan tersebut. Hatta kerajaan sendiri, khususnya menteri-menteri Melayu turut melahirkan kegelisahan masing-masing dengan perkembangan terbaru ini. Semua ini menunjukkan betapa kebencian terhadap komunis masih tersemat kukuh di hati orang-orang Melayu.

Walaupun kemarahan dan kebencian orang Melayu terhadap komunis memang wajar dan ada asas yang kukuh, namun sedar atau tidak Tanah Melayu lebih awal dijajah oleh bangsa Eropah iaitu Portugis dan kemudian diikuti dengan Belanda dan selepas itu British, yang memakan masa ratusan tahun lamanya. Malah sehingga kini kesan penjajahan mereka masih dapat dilihat dengan jelas dan dijaga rapi samada dalam bentuk tinggalan bangunan mahupun kebudayaan. Tidak sedikit orang-orang Melayu-Islam yang terkorban akibat penjajahan Eropah tersebut. Namun kebencian orang melayu terhadap penjajah Eropah boleh dikatakan langsung tidak kelihatan, berbanding kemarahan dan kebencian orang Melayu kepada Komunis.

Jepun juga pernah menjajah Tanah Melayu selama lebih tiga tahun dan kekejaman Jepun memang sudah dimaklumi. Namun apabila berbicara tentang orang Jepun, orang Melayu tidak semarah, tidak sebenci dan tidak sesensitif berbanding berbicara tentang orang komunis. Malah Jepun telah dipandang sebagai bangsa yang baik, maju dan moden sehingga Malaysia pernah mengamalkan dasar luar pandang ke Timur dalam rangka menjadikan orang Jepun sebagai contoh. Jepun juga telah lama dijadikan rakan kongsi perdagangan dan lain-lain. Dengan kata lain, orang Jepun sudah diterima baik oleh orang Melayu. Namun, orang komunis sampai sekarang tidak dapat diterima oleh orang Melayu walaupun komunis telah menyerah, berdamai dan tidak ada lagi yang mengangkat senjata.

Antara yang paling ajaib tentang kebencian orang melayu terhadap penjajah adalah terhadap British. Walaupun pada awal penjajahannya, British mendapat perlawanan daripada orang Melayu, namun kemudiannya orang Melayu semakin dapat menerima British sehingga berapa ramai daripada orang Melayu yang berkhidmat dalam tentera British. British akhirnya berjaya menjadi “tuan” kepada orang Melayu dengan kerelaan orang Melayu sendiri, walaupun hakikatnya British adalah penjajah yang jauh lebih berbahaya berbanding penjajah lainnya, kerana British membawa masuk ideologi, tsaqafah dan undang-undangnya ke Tanah Melayu (yang kekal hingga sekarang!). Ajaibnya, orang Melayu tidak membenci British sebagaimana membenci komunis, walaupun British menjajah Tanah Melayu lebih 100 tahun dan komunis hakikatnya gagal memerintah Tanah Melayu walaupun setahun!

British telah menjadikan orang Melayu terhina. British merampas kuasa orang-orang Melayu. British berjaya menukar cara hidup orang Melayu kepada cara hidup mereka. British menerapkan perlembagaan dan undang-undang mereka sehingga pemerintahan Islam dan sebahagian besar hukum Islam hilang daripada orang Melayu. Orang Melayu bukan sahaja hilang identiti diri, bahkan segala kekayaan alam di Tanah Melayu habis dijarah oleh British. Ajaibnya orang-orang Melayu sampai sekarang mengagumi British dan sejak merdeka hingga kini Malaysia masih berkiblatkan British! Inilah kejayaan penjajah kapitalis Barat dalam menanamkan keburukan terhadap penjajah komunis di benak orang-orang Islam. Walhal hakikatnya mereka (penjajah kapitalis Barat) jauh lebih berbahaya daripada penjajah komunis.

Fikir-fikirkanlah..

Editor.