Komunis ditolak bagaimana dengan British?

Isu komunis sering kali menjadi polemik apabila tibanya bulan kemerdekaan negara. Sebahagian pemerhati sejarah melihat, mereka yang meminggirkan barisan yang bersama komunis  menentang British sebagai pejuang kemerdekaan merupakan satu bentuk ketidakadilan dan mencemari prinsip keintelektualan sejarah itu sendiri yang sewajarnya dilihat secara fakta. Bagi pihak yang menolak barisan tersebut pula menyatakan bahawa ia satu tindakan yang wajar memandangkan komunis ialah sejarah hitam negara sekaligus bertentangan dengan rukun negara yang menggariskan prinsip kepercayaan kepada Tuhan.

Harus disedari bahawa penulisan sejarah negara kini berpaksi pada ungkapan Winston Churchill, mantan Perdana Menteri Britain yang menyatakan “sejarah ditulis oleh pemenang”. Maksud yang dapat diambil oleh ungkapan ini ialah orang yang menang akan menulis semua yang baik tentang diri mereka sendiri. Malahan sejarah juga mungkin ditokok tambah untuk menjadikan mereka dikenang sebagai orang yang hebat. Segala kelemahan dan kepincangan pastinya akan ditutup dengan rapat sehingga bukan saja ia tidak dapat dilihat, malah “baunya” juga tidak akan dapat dihidu.

Persoalannya siapakah pemenang di Malaysia? Jika dikaji sejarah pembentukan Malaysia iaitu setelah pendudukan Jepun di Tanah Melayu, berlaku perebutan pengaruh antara British dan Komunis yang pada awalnya bekerjasama untuk mengusir Jepun di Tanah Melayu. Pertembungan ini akhirnya telah membentuk dua blok pejuang kemerdekaan. Bagi yang membenci British, mereka menjadikan komunis sebagai ‘platform’ untuk mengusir British. Sementara mereka yang telah dilantik sebagai pegawai polis dan tentera pula berada di bawah kerajaan British dan sudah tentu mereka akan bertindak sesuai dengan arahan dan haluan British iaitu mengusir pengaruh komunis.

British yang mempunyai pengalaman penjajahan yang cukup panjang berbanding dengan komunis telah memanfaatkan askar dan polis Tanah Melayu dengan melancarkan beberapa siri propaganda. Propaganda ini bertujuan untuk mengangkat sisi buruk komunis melalui pelbagai medium maklumat sehingga berjaya meraih sokongan penduduk tempatan. Serangan bersenjata, rancangan  Briggs, enakmen darurat dan ISA serta pengisytiharan Persekutuan Tanah Melayu menguatkan lagi posisi British dalam usaha melemahkan kemaraan komunis. Akhirnya, strategi ini telah mendesak komunis untuk melakukan rundingan Baling akibat lemahnya sokongan Malaya kepada parti komunis. Namun begitu, rundingan tersebut gagal mencapai kata sepakat.

Hakikatnya, Rundingan Baling tidak menghentikan usaha British menolak komunis daripada terus menjadi persaingnya di Tanah Melayu malah ketika tempoh darurat, British telah mengisytiharkan kemerdekaan Tanah Melayu 1957 dengan membentuk sebuah perlembagaan. Bertolak daripada situ, sebuah persekutuan yang mengabungkan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak 1963 diisytiharkan oleh British. Setelah itu, sebuah perjanjian damai 1989 antara Parti Komunis Malaya, Malaysia dan Thailand dimeterai sekaligus berakhirnya pengaruh komunis di Malaysia.

Inilah kelicikan politik British dalam memastikan pengaruh penjajahannya terus kekal di Malaysia. Hal ini berjaya mengaburi hakikat kekejaman dan kerakusannya mengaut hasil bumi di negara ini sepanjang lebih 150 tahun penjajahannya. Di saat umat Islam melihat komunis sebagai penjajah yang wajib ditolak pengaruh dan ideologinya yang menyifatkan agama sebagai candu masyarakat, maka dalam masa yang sama umat Islam seharusnya menolak perlembagaan dan sistem perundangan British yang berdiri diatas asas sekular; memisahkan agama dari kehidupan yang masih kekal hingga hari ini.

Umat Islam perlu meneliti sejarah secara objektif tanpa bias sehingga dapat membezakan antara fakta dan propaganda yang dimainkan oleh kuffar agar kita tidak terjerumus ke lembah penjajahan untuk ke sekian kalinya, Rasulullah saw bersabda,

لاَ يُلْدَغُ الْمُؤْمِنُ مِنْ جُحْرٍ وَاحِدٍ مَرَّتَيْنِ

Tidak selayaknya seorang mukmin dipatuk ular dari lubang yang sama sebanyak dua kali.” [HR. Bukhari no. 6133 dan Muslim no. 2998]

Wan Hisham Wan Salleh
[Lajnah Fa’aliyat Hizbut Tahrir Malaysia]