Bantahan Fatwa Johor – 4.3b

Muat turun PDF
Isi Kandungan

(b) Ketaksuban terhadap politik sebagai kaedah tertinggi Hizbut Tahrir (kitab Mafahim Hizbut Tahrir, cetakan keenam, tahun 2001, halaman 75).

Kami telah melihat dan meneliti muka surat yang dinyatakan dan setelah beberapa kali menelitinya, kami langsung tidak menjumpai ayat yang dimaksudkan – “politik sebagai kaedah tertinggi Hizbut Tahrir” – Kami juga langsung tidak dapat menarik kesimpulan dari mana-mana ayat dalam muka surat berkenaan untuk menyatakan bahawa politik adalah kaedah tertinggi Hizbut Tahrir, apatah lagi ayat yang menunjukkan ketaksuban kami terhadap politik sebagai kaedah tertinggi! Kami paparkan di sini muka surat 75 untuk perhatian JFNJ, dan untuk perhatian siapa sahaja yang ingin membacanya.

Terjemahan:

…Kelompok dakwah hendaknya memulai terjun ke tengah-tengah masyarakat dengan membeberkan kerosakan-kerosakan (yang berlaku dalam) masyarakat, mengkritik dan menyerang fahaman-fahaman mereka yang salah, serta pendapat-pendapat mereka yang tidak betul. Kelompok dakwah hendaknya juga menjelaskan hakikat Islam kepada umat dan inti daripada dakwahnya, agar terbentuk kesedaran secara umum terhadap dakwah. Para pengembang dakwah hendaklah menjadi sebahagian daripada masyarakat. Umat bersama mereka merupakan satu kesatuan yang tidak terpisah. Dengan demikian, umat secara keseluruhan akan berusaha secara produktif — di bawah kepimpinan kelompok dakwah — untuk meraih kekuasaan, sehingga terwujudlah Daulah Islam. Di saat itulah (saat berdirinya Daulah Islam), dakwah mulai meneladani kehidupan Rasulullah (saw) di Madinah dalam penerapan Islam dan pengembangan dakwah. Kelompok Islam yang mengembang dakwah tidak perlu memfokuskan berbagai aktiviti yang sifatnya amaliyah (praktis), dan hendaknya tidak disibukkan oleh hal-hal lain kecuali dakwah. Melakukan aktiviti selain dakwah adalah laksana hiburan yang membius dan memperlambat dakwah. Kerana itu, tidak diperbolehkan menyibukkan diri dengan kegiatan-kegiatan (praktis) tersebut sama sekali. Ketika Rasulullah (saw) mendakwahkan Islam di Makkah yang penuh dengan berbagai kefasikan/kemaksiatan dan kekejian, baginda tidak mengambil tindakan (praktis) apa pun untuk menghilangkannya. Demikian pula dengan berbagai bentuk kezaliman, penyelewengan, kefakiran, dan kemiskinan yang tampak secara nyata. Tidak terdapat bukti bahawa baginda melakukan langkah-langkah praktis untuk menghapuskan semua itu. Begitu juga dengan berhala-berhala yang ada di sekeliling dan di atas Ka’bah yang tetap tegak, dan tidak terbukti baginda berusaha memusnahkannya. Apa yang dilakukan oleh baginda hanyalah mencela tuhan-tuhan mereka, menganggap dungu akal fikiran mereka dan merendah-rendahkan perbuatan mereka…

Jadi, kami sesungguhnya tidak mengetahui dari mana JFNJ membuat kesimpulan bahawa Hizbut Tahrir taksub terhadap politik yang merupakan kaedah tertinggi Hizbut Tahrir!

Apa pun, jika demikianlah dakwaan JFNJ, maka kami katakan bahawa itu adalah kesimpulan yang dibuat sendiri oleh JFNJ, yang kami tidak mengetahui daripada mana sumbernya.

Sekali lagi, walaupun kami sebenarnya sudah tidak perlu menjawabnya kerana tiada apa-apa dalam muka surat 75 yang menunjukkan ke arah kesimpulan yang dibuat oleh JFNJ, dan kami juga langsung tidak dapat mengagak dari mana sumbernya, namun kami tetap akan menjawab Butiran ini, agar JFNJ jelas apakah pendirian kami tentang politik.

Sebelum pergi lebih jauh, sekali lagi ingin kami katakan bahawa jika “taksub” yang dimaksudkan oleh JFNJ itu bermaksud tegar atau kuat pegangannya, maka kami akui dan kami benarkan apa yang dimaksudkan. Ya, kami berpegang kuat dan tegar menjalankan aktiviti politik kami kerana politik adalah sebahagian daripada Islam dan berpolitik merupakan sebuah kewajipan dalam Islam. Namun, jika yang dimaksud dengan taksub itu ialah berlebih-lebihan atau melampaui batas sehingga membawa kepada keharaman, maka kami sanggah sekeras-kerasnya apa yang dimaksudkan.

Terlebih dahulu JFNJ perlu faham apakah yang dimaksudkan dengan siyasah (politik) dalam Islam. Dalam banyak kitabnya, Hizbut Tahrir menjelaskan berdasarkan nas, bahawa maksud politik ialah ri’ayah asy-syu’un al-ummah dakhiliyyan wa kharijiyyan (mengurusi urusan umat baik dalam mahupun luar negeri) dengan Islam. Inilah definisi politik yang dipegang oleh Hizbut Tahrir, dan Hizbut Tahrir melakukan aktiviti politik berdasarkan definisi ini.

Aktiviti politik pemerintah ialah menguruskan umat dengan hukum-hakam Islam dan ia merangkumi keseluruhan urusan baik pemerintahan, ekonomi, pergaulan, pendidikan, uqubat, ketenteraan, hubungan luar negara dan sebagainya. Manakala aktiviti politik bagi sebuah parti (dan juga individu Muslim) ialah untuk menyeru manusia kepada Islam dan melakukan amar makruf nahi mungkar, sekali gus memuhasabah pemerintah dalam setiap perkara yang menyimpang dari Islam, kezaliman atau apa jua perkara yang merugikan umat Islam yang dilakukan oleh pemerintah. Dalam ketiadaan negara Islam (Khilafah), parti politik juga wajib berusaha untuk menegakkan Khilafah sebagai salah satu aktiviti politiknya, kerana kewajipan menegakkan Khilafah tidak akan mampu dilaksanakan oleh mana-mana individu, kecuali oleh parti politik yang bersungguh-sungguh ke arah tersebut.

Atas dasar itulah, kami selalu menjelaskan bahawa Hizbut Tahrir adalah sebuah parti politik yang berideologi Islam. Politik merupakan kegiatannya, dan Islam adalah ideologinya. Hizbut Tahrir bergerak di tengah-tengah umat, dan bersama-sama umat berjuang untuk menjadikan Islam sebagai permasalahan utamanya, serta membimbing umat untuk mendirikan kembali Daulah Khilafah dan menegakkan hukum yang diturunkan oleh Allah (swt) di dalam realiti kehidupan. Hizbut Tahrir didirikan di dalam rangka memenuhi seruan Allah (swt):

﴿وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ﴾

“(Dan) hendaklah ada di antara kalian segolongan umat (jamaah) yang menyeru kepada kebaikan (Islam), memerintahkan kepada yang makruf dan melarang dari yang munkar. Merekalah orang-orang yang beruntung” [Ali Imran (3): 104].

Hizbut Tahrir merupakan organisasi politik, bukan organisasi kerohanian (seperti tarekat dan seumpamanya), bukan badan ilmiah (seperti badan penyelidikan), bukan institusi pendidikan (akademik), dan bukan pula pertubuhan sosial (yang bergerak di bidang sosial dan kemasyarakatan). Seluruh kegiatan yang dilakukan oleh Hizbut Tahrir adalah bersifat politik. Maksudnya adalah bahawa Hizbut Tahrir memperhatikan segala urusan masyarakat sesuai dengan hukum-hakam Islam serta penyelesaiannya secara syarie. Ini kerana, apa yang dimaksudkan dengan politik adalah mengurus dan memelihara urusan umat sesuai dengan hukum-hakam Islam dalam setiap aspeknya.

Kegiatan-kegiatan yang bersifat politik ini tampak jelas dalam aktiviti Hizbut Tahrir mendidik dan membina umat dengan tsaqafah Islam, menyelesaikan segala masalah umat dengan Islam, membebaskannya dari akidah-akidah yang rosak, pemikiran-pemikiran yang salah serta persepsi-persepsi yang keliru, sekali gus membebaskan umat daripada pengaruh tsaqafah dan perundangan kufur.

Kegiatan politik Hizbut Tahrir juga tampak jelas dalam aspek shira’ al-fikri (pertarungan pemikiran) dan dalam kifah as-siyasi (perjuangan politik). Pertarungan pemikiran terlihat dalam penentangannya terhadap idea-idea dan peraturan-peraturan kufur. Hal itu tampak pula dalam penentangannya terhadap idea-idea yang salah, akidah-akidah yang rosak atau persepsi-persepsi yang keliru dengan cara menjelaskan kerosakannya, menzahirkan kekeliruannya, dan menjelaskan ketentuan hukum Islam dalam masalah tersebut.

Adapun mengenai perjuangan politik Hizbut Tahrir, ini terlihat dari penentangannya terhadap kaum kafir imperialis untuk memerdekakan umat dari belenggu dominasinya, membebaskan umat dari cengkaman pengaruhnya, serta mencabut akar-akarnya yang berupa pemikiran, tsaqafah, politik, ekonomi, mahupun ketenteraan dari seluruh negeri kaum Muslimin.

Perjuangan politik ini juga tampak jelas dalam kegiatannya memuhasabah para penguasa, mengungkap pengkhianatan mereka terhadap umat dan persekongkolan mereka dengan puak kuffar, mengkritik dan meluruskan mereka serta berusaha menggantikan mereka tatkala mereka mengabaikan hak-hak umat, tidak menjalankan kewajipan terhadap umat, melalaikan urusan umat, mengkhianati amanah, menentang penerapan Islam serta sudah tidak ada harapan lagi pada umat yang mereka akan menerapkan Islam.

Seluruh kegiatan politik itu dilakukan oleh Hizbut Tahrir tanpa menggunakan kekerasan secara fizikal/bersenjata, kerana Hizbut Tahrir mengikuti dan meneladani sepenuhnya thariqah (jalan) dakwah Rasulullah (saw) yang membatasi kegiatannya secara intelektual dan politik, sehinggalah tegaknya Daulah Islam.

Oleh itu, kegiatan Hizbut Tahrir secara keseluruhan adalah kegiatan yang bersifat politik, baik sebelum mahupun sesudah mengambil alih pemerintahan (melalui umat). Apabila tegaknya Daulah Islam, maka Khalifahlah yang akan melaksanakan aktiviti politik (mengurusi urusan umat) sebagaimana yang diperintahkan oleh Islam, manakala Hizbut Tahrir tetap kekal sebagai sebuah parti politik yang akan melakukan amar makruf nahi mungkar dan memuhasabah pemerintah.

Aktiviti Hizbut Tahrir bukanlah di bidang pendidikan, kerana Hizbut Tahrir bukanlah sebuah madrasah (sekolah) atau sebuah universiti. Namun demikian, Hizbut Tahrir mengambil peduli tentang pendidikan umat Islam dan memuhasabah pemerintah yang tidak menerapkan polisi pendidikan Islam, di samping memberi penyelesaian secara fikriyyah (pemikiran) kepada masalah-maslah pendidikan yang timbul.

Hizbut Tahrir juga bukan merupakan sebuah badan khairiyat (kebajikan), maka kegiatannya bukanlah di bidang menghapuskan kemiskinan rakyat atau bergerak di bidang alam sekitar untuk menjaga kebersihannya. Namun demikian, Hizbut Tahrir mengambil peduli masalah kemiskinan rakyat dan masalah kebersihan alam sekitar serta memuhasabah pemerintah yang menyebabkan dan membiarkan rakyat miskin, serta memuhasabah pemerintah yang lalai daripada menjaga kebersihan alam sekitar. Di samping itu, Hizbut Tahrir memberikan solusi kepada masalah kemiskinan dan masalah alam sekitar menurut pandangan Islam.

Sebagai sebuah parti politik, Hizbut Tahrir bergerak mengembangkan dakwah agar Islam dapat diterapkan dalam kehidupan dan agar akidah Islamiyyah menjadi dasar negara, dasar perlembagaan dan sistem perundangan kerana akidah Islamiyyah adalah akidah aqliyyah (akidah yang menjadi dasar pemikiran) dan akidah siyasiyyah (akidah yang menjadi dasar politik) yang melahirkan aturan untuk menyelesaikan semua masalah manusia dalam semua aspek kehidupan.

Oleh kerana Hizbut Tahrir adalah sebuah parti politik, maka sudah pastilah aktiviti politik merupakan aktiviti yang paling menonjol dalam Hizbut Tahrir. Tetapi ini bukan bermaksud kami tidak melakukan aktiviti lainnya.

Melihat kepada realiti hari ini, membuang undang-undang kufur dan menerapkan hukum Allah (swt) secara kaffah merupakan isu umat Islam yang sangat penting dan mendesak.  Oleh sebab itu, untuk mengubah penerapan hukum kufur kepada hukum Islam, tidak ada jalan lain selain daripada jalan politik, dan jalan itu hendaklah sama seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah (saw).

Inilah fahaman politik yang dipegang oleh Hizbut Tahrir dan inilah contoh-contoh aktiviti politik yang dijalankan oleh Hizbut Tahrir. Maka jika kami taksub dengan fahaman ini serta melakukan aktiviti seumpama ini, adakah ia menyalahi akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah?

Setelah kami menjelaskan semua ini, yang merupakan pegangan dan aktiviti kami sejak puluhan tahun lamanya yang telah di lakukan oleh Hizbut Tahrir di seluruh dunia, maka apakah kesemua fahaman dan aktiviti politik ini masih tidak jelas dan meragukan bagi JFNJ? Maka kami katakan bahawa sungguh luar biasa fatwa dan tuduhan yang dibuat oleh JFNJ ke atas Hizbut Tahrir! Ingin kami tegaskan bahawa sekiranya JFNJ ragu-ragu, seharusnya JFNJ datang dan bertemu kami untuk mendapatkan penjelasan bagi menghilangkan keraguan tersebut, bukannya dengan memfitnah Hizbut Tahrir. Malangnya apabila kami menyuruh agar bertabayyun dan mengajak untuk bertemu, kami ditolak mentah-mentah! Apakah begini caranya untuk menghilangkan keraguan yang diajar oleh Islam, yakni dengan memfitnah orang lain dan menolak untuk bertabayyun!?