Bantahan Fatwa Johor – 4.5b

Muat turun PDF
Isi Kandungan

(b) Haram mengasaskan pertubuhan kebajikan

Wahai JFNJ! Di manakah dalam kitab kami yang anda menjumpai bahawa kami menyatakan haram mengasaskan pertubuhan kebajikan? Jika anda menjumpai rujukannya, seharusnya anda nyatakan dalam fatwa anda agar kami dapat menjawabnya dan menerangkan benar salahnya rujukan anda, kefahaman anda dan fatwa anda. Mengatakan sesuatu tentang kami tanpa rujukan, maka kami katakan bahawa fatwa anda sebenarnya sudah hilang nilai intelektualnya dari awal!

Seperti biasa, walaupun anda tidak memberikan rujukan, namun kami tetap akan menjawabnya selagi kami mampu menjawabnya. Tujuannya tidak lain kecuali untuk membuka pintu hati anda agar cahaya kebenaran dan keikhlasan dapat memasukinya dengan izin Allah (swt). Amiiin.

Kami mengagak bahawa poin anda ini adalah merujuk kepada apa yang terdapat dalam kitab at-Takatul al-Hizbi (Pembentukan Parti Politik), dan kami akan jelaskan apa yang kami nyatakan dalam kitab at-Takatul al-Hizbi berkenaan hal ini. Inilah kitab kami yang menyentuh mengenai isu pembentukan organisasi, termasuk organisasi kebajikan. Sebelum menerangkan lebih lanjut, kami katakan lebih awal bahawa tidak ada satu pun teks atau mafhum daripada teks yang ada dalam kitab ini di mana kami menyatakan haramnya mengasaskan pertubuhan kebajikan!

Secara ringkasnya dalam kitab ini, Hizbut Tahrir membahaskan mengenai kegagalan gerakan-gerakan yang ditubuhkan oleh umat Islam sejak puluhan tahun dulu hingga sekarang, dalam usaha mereka membangkitkan umat, kerana beberapa faktor. Seterusnya kitab ini menjelaskan ciri-ciri organisasi yang boleh membangkitkan umat iaitu ia mestilah sebuah parti politik Islam yang ideologis yang mempunyai fikrah dan thariqah yang jelas, jernih dan benar, dan bergerak di tengah-tengah umat dalam rangka mengembalikan semula kehidupan Islam dengan jalan menegakkan kembali Daulah Islam. Berikut kami paparkan beberapa petikan dalam kitab at-Takatul al-Hizbi yang menyentuh mengenai kelompok yang berdiri atas asas khairiyyah (kebajikan):-

Sejak abad XIII Hijriah atau XIX Masihi, telah berdiri berbagai gerakan yang bertujuan untuk membangkitkan umat Islam. Usaha-usaha tersebut sejauh ini belum meraih keberhasilan, sekalipun meninggalkan pengaruh yang cukup bermakna bagi generasi yang datang sesudahnya untuk mengulangi usahanya sekali lagi.

Gerakan-gerakan tersebut ada yang berupa gerakan Islam dan ada pula yang berupa gerakan nasionalisme (harakah qaumiyyah). Di samping gerakan nasionalisme dan gerakan Islam ini, berdiri pula gerakan-gerakan patriotisme (harakah wathaniyyah) di berbagai negeri umat Islam, sebagai reaksi daripada pendudukan kaum kafir penjajah atas sebahagian wilayah Daulah Islam, dan sebagai reaksi dari kezaliman dalam aspek politik dan ekonomi yang muncul dalam masyarakat akibat penerapan sistem kapitalisme di negeri-negeri tersebut.

Apabila kita kaji kelompok-kelompok yang muncul sekitar abad silam (abad XIX M), kita dapati bahawa metode pembentukan kelompok yang rosaklah yang menjadi sebab utama kegagalan mereka. Sebab, gerakan-gerakan tersebut tidak berdiri sebagai sebuah parti yang dilandasi oleh pemahaman hakiki (terhadap sebuah ideologi). Mereka berdiri hanya sekadar membentuk kelompok, atau membentuk parti semu.

Di samping gerakan-gerakan tersebut di atas, berdiri pula gerakan atas dasar jam’iyyah (gerakan sosial kemasyarakatan). Di berbagai negeri muncul organisasi lokal dan regional yang mengarah pada tujuan sosial/kebajikan (khairiyyah). Organisasi-organisasi ini kemudian mendirikan sekolah-sekolah, hospital-hospital, rumah-rumah anak yatim, dan membantu pelbagai aktiviti sosial. Masing-masing organisasi ini menonjolkan kelompoknya. Para penjajah telah berhasil mendorong munculnya organisasi-organisasi semacam ini, sehingga kegiatan sosialnya terlihat jelas oleh masyarakat. Sebahagian besar organisasi ini bergerak di bidang pendidikan dan sosial, dan sangat jarang yang bergerak di bidang politik.

Jika kita perhatikan hasil-hasil daripada organisasi-organisasi ini dengan mendalam, kita akan dapati bahawa ia tidak membuahkan sesuatu yang bermanfaat bagi umat atau membantu umat untuk bangkit. Bahayanya tersamar, kerana tidak dapat dilihat kecuali oleh orang yang mempunyai pandangan yang tajam, di samping itu kewujudannya itu sendiri merupakan bahaya besar, tanpa melihat sebahagian manfaat yang ditimbulkannya. Hal ini kerana umat Islam secara keseluruhan – kerana masih mempunyai sebahagian pemikiran Islam, menerapkan sebahagian hukum syarak, dan mempunyai perasaan Islami, disebabkan adanya pengaruh Islam – mempunyai keinginan untuk bangkit, mempunyai perasaan yang baik, dan mempunyai kecenderungan alami untuk berkelompok. Sebab ruh ajaran Islam itu adalah ruh kejama’ahan. Maka jika umat dibiarkan mengurus dirinya sendiri, getaran atau perasaan berkelompok ini secara automatik akan berubah menjadi pemikiran, dan pemikiran ini secara praktis akan membangkitkan umat.

Akan tetapi, adanya berbagai organisasi berasaskan jam’iyyah tersebut telah menghalangi kebangkitan ini. Sebab, organisasi tersebut telah menjadi saluran dari perasaan-perasaan mereka yang menggelora itu, dan telah mengalihkan keinginan umat pada aktiviti-aktiviti yang

bersifat sebahagian. Para anggota organisasi ini melihat bahawa mereka telah membangun sekolah-sekolah, atau mendirikan rumah sakit, atau terlibat dalam amal baik, sehingga mereka

merasa lega, tenteram, dan puas dengan kegiatan-kegiatan yang telah mereka lakukan.

Berbeza halnya jika organisasi-organisasi semacam ini tidak ada, maka semangat kejama’ahan akan mendorong umat untuk berkelompok secara benar, iaitu dengan membentuk sebuah kelompok politik yang akan melahirkan kebangkitan yang benar.

Inilah pangkal kegagalan semua kelompok yang berasaskan jam’iyyah dalam membangkitkan dan memperbaiki umat. Demikian pula kegagalan yang dialami kelompok yang berbentuk parti semu (yang dasar kepartiannya tidak benar atau tidak lengkap), yang tidak dibangun atas dasar ideologi tertentu, tidak dilatarbelakangi suatu mafahim apa pun, serta tidak mempunyai ikatan yang benar di antara anggotanya.

Sesungguhnya, kelompok yang benar yang dapat membangkitkan umat tidak boleh berasaskan jam’iyyah, yang sistem keorganisasiannya menetapkan bahawa ia akan melakukan kegiatan-kegiatan sosial tertentu, dalam bentuk kerja atau perkataan (propaganda-propaganda tertentu), atau hanya dalam bentuk kerja praktis sahaja, atau dalam bentuk perkataan sahaja. Kelompok semacam ini tidak boleh muncul di tengah-tengah umat yang merindukan kebangkitan. Tidak boleh berdiri kelompok kepartian yang bukan berdasarkan ideologi, seperti yang sudah terjadi di dunia Islam sejak Perang Dunia I sampai saat ini. Kelompok yang benar adalah sebuah kelompok yang berdiri sebagai sebuah parti yang berideologi Islam. Fikrah Islam mesti merupakan ruh bagi bangunan partinya. Fikrah itu merupakan jati diri dan rahsia kehidupannya. Sel awalnya adalah seseorang yang telah mendalami fikrah dan thariqah Islam dalam dirinya, sehingga ia merupakan manusia yang mencerminkan fikrah itu dalam kebersihan dan kemurniannya, yang mencerminkan thariqah itu dalam kejernihan dan kelurusannya.

Itulah intipati perbincangan tentang pertubuhan yang ditubuhkan atas dasar khairiyyah (kebajikan). Tidak dinyatakan di mana-mana tempat pun bahawa haram hukumnya menubuhkan pertubuhan seperti itu. Apa yang ditekankan oleh Hizbut Tahrir sejak awal pembahasan ialah mengenai pelbagai jenis organisasi atau kelompok yang ditubuhkan oleh umat Islam yang bertujuan untuk membangkitkan umat, dan ternyata tidak ada satu pun pertubuhan tersebut yang berjaya membangkitkan umat. Itulah pembahasannya, iaitu kegagalan organisasi atau pertubuhan tersebut untuk membangkitkan umat, termasuklah pertubuhan yang ditubuhkan atas asas kebajikan.

Kami ulangi, isunya adalah mengenai kebangkitan umat. Jadi, Hizbut Tahrir menyatakan yang kelompok yang didirikan atas asas kebajikan tidak akan dapat membangkitkan umat. Dengan kata lain, jika kita ingin membangkitkan umat, maka kita tidak boleh (bukannya haram) menubuhkan organisasi yang berasaskan kebajikan. Malah kewujudannya akan semakin menghalang kebangkitan, kerana ahli-ahlinya dan umat hanya disibukkan dengan kerja-kerja kebajikan, yang tidak akan membangkitkan umat dengan kebangkitan yang sepatutnya. Hizbut Tahrir mengakui bahawa kewujudan kelompok ini ada manfaatnya kepada umat, tetapi dalam masa yang sama Hizbut Tahrir menyatakan bahawa ia tetap membahayakan umat dari sudut kebangkitan, kerana ia menjadi penghalang kepada kebangkitan umat. 

Nah, itulah pembahasannya, dan ia sangat jelas bagi siapa pun yang membaca dengan hati yang diseliputi ketakwaan dan keikhlasan.

Atas dasar ini, kami katakan bahawa tuduhan JFNJ ke atas Hizbut Tahrir sebenarnya tidak lari daripada dua sebab ini:

(i) Kerana JFNJ tidak memahami pembahasan, lalu membuat kesimpulan sendiri atas dasar kejahilan;

(ii) Niat untuk memfitnah telah wujud dari awal, lalu JFNJ melakukan manipulasi fakta supaya Hizbut Tahrir kelihatan buruk di mata umat.

Sebagai penutup untuk jawapan ini, kami ingin bertanya kepada JFNJ, di manakah bercanggahnya akidah Hizbut Tahrir dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah, apabila Hizbut Tahrir menyatakan bahawa organisasi yang berasaskan kebajikan tidak akan dapat membangkitkan umat? Dan soalan tambahan dari kami, adakah perbincangan mengenai perkara ini termasuk dalam bab akidah, sehingga akidah Hizbut Tahrir boleh menyeleweng kerananya?