Belasungkawa atas kematian Ustaz Omar Saad

imagesHizbut Tahrir Malaysia (HTM) dengan ini mengucapkan takziah di atas kematian salah seorang ulama pendukung Khilafah, Ustaz Omar Saad, 62, yang telah kembali ke rahmatullah pada hari Ahad 21/06/2015.

Ust Omar meninggal di Hospital Selayang lebih kurang jam 8 pagi akibat komplikasi buah pinggang dan sakit jantung. Menantu kepada Allahyarham Ust Ghazali Hasbullah ini meninggalkan seorang balu dan 12 orang anak (8 lelaki, 4 perempuan).

Ust Omar merupakan anak kelahiran Pekan Darat, Pulau Pinang dan semasa hayatnya, beliau banyak mengajar di sekitar Selangor khususnya dan Malaysia amnya dan salah seorang tokoh ulama yang tidak asing lagi di sekitar Batang Kali, tempat kediamannya.

Ust Omar Saad terkenal dengan sifat lemah lembut tetapi tegas, sabar, zuhud, tidak pernah putus asa, berani dalam berdakwah serta bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu dan mengajarkannya.

Dengan ketakwaan, keikhlasan dan semangat juang yang tinggi yang ada padanya, beliau mula mengikuti perkembangan dan aktiviti Hizbut Tahrir walaupun mengenal Hizbut Tahrir di akhir-akhir usianya dan mula belajar dalam halqah Hizbut Tahrir sekitar tahun 2013 sehinggalah ke akhir hayat beliau.

Semoga Allah merahmatinya dan semoga anak cucunya akan mengikuti jejak langkah ulama ini dan turut menjadi pejuang agama Allah hingga ke akhir hayat.

HTM mendoakan agar Allah SWT menempatkan beliau bersama para al-syuhada’, al-siddiqin dan al-solihin. Sesungguhnya tidak ada ucapan yang lebih baik yang dapat kami sampaikan kecuali sebagaimana yang diajar oleh Allah SWT kepada kita..

إنا لله وإنا اليه راجعون

Testimoni Ustaz Omar Saad Mendukung Perjuangan Khilafah