Belasungkawa HTM Atas Pemergian Nasran Bin Sulaiman
Dengan penuh rasa dukacita dan kesedihan, kami dari keluarga besar Hizbut Tahrir Malaysia ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga, saudara-mara, dan sahabat handai almarhum Nasran Bin Sulaiman (1969 – 2025), yang telah kembali ke rahmatullah pada 22 Mei 2025 jam 6.50 petang di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.
Almarhum Saudara Nasran telah menjadi sebahagian daripada pejuang Hizbut Tahrir seawal tahun 2003. Beliau merupakan seorang pendakwah yang lantang, gigih, sentiasa berusaha menyebarkan dakwah Islam dan menyeru kepada penegakan semula Khilafah. Antara sumbangan besar beliau termasuklah penglibatan yang sangat aktif dalam seminar-seminar, pertemuan dengan tokoh masyarakat, serta seruan yang sering diadakan di kawasan setempat. Bahkan semasa dalam keadaan uzurnya semenjak tahun 2022, beliau masih lagi gigih untuk turun ke lapangan dalam demonstrasi aman “Membela Palestin dengan Khilafah”, “Seruan di kedutaan Amerika Syarikat” dan banyak lagi program yang lain. Semangat dan pengorbanan beliau dalam perjuangan Islam amat kami hargai dan akan terus menjadi inspirasi kepada generasi akan datang.
Kami berdoa agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya, mengampuni segala dosanya, dan menerima segala amal kebajikannya. Semoga beliau diberikan ganjaran atas usahanya dalam memperjuangkan Islam dan ditempatkan bersama para anbiya, syuhada, dan orang-orang soleh di dalam syurga-Nya yang tertinggi.
Sesungguhnya hanya Allah SWT kami berserah, dan hanya Allah SWT yang mampu membalas semua pengorbanan beliau.
Al-Fatihah.