Benarkah Pengharaman Arak (Dan Bolehkah Penerapan Islam) Secara Bertahap?
Ketika muncul isu penerapan hukum Islam terhadap keharaman arak, maka timbullah fahaman-fahaman ganjil yang dikatakan berasal dari ajaran Islam, padahal ia jelas menyimpang dan tidak memiliki asas dalam syariat dan akidah Islam. Hal ini menyebabkan umat Islam yang inginkan penerapan Islam dalam kehidupan hari ini menjadi keliru dan terbantut. Antaranya ialah fahaman untuk mengharamkan arak dalam negara hendaklah dilakukan secara bertahap, malah penerapan keseluruhan hukum Islam itu sendiri hendaklah dilakukan secara bertahap (tadarruj), sebagaimana turunnya ayat pengharaman arak secara bertahap.
Antara lain hujah mereka yang membawa fahaman tadarruj ini ialah:
Pertama: Al-Quran diturunkan secara beransur-ansur dan bertahap, tidak dengan secara serentak.
Kedua: Terdapat hukum syarak yang diterapkan secara bertahap contohnya adalah pengharaman arak.
Adapun kesalahan kedua-dua hujah tersebut dapat difahami daripada penjelasan berikut:-
Pertama: Al-Quran memang diturunkan secara bertahap dan bukannya sekali gus. Allah (swt) menurunkan Al-Quran sesuai dengan kejadian dan perkara yang terjadi (asbab an-nuzul) untuk menguatkan hati Rasulullah (saw), bukannya untuk diterapkan secara bertahap. Firman-Nya,
وَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا لَوْلَا نُزِّلَ عَلَيْهِ الْقُرْآنُ جُمْلَةً وَاحِدَةً كَذَلِكَ لِنُثَبِّتَ بِهِ فُؤَادَكَ وَرَتَّلْنَاهُ تَرْتِيلًا
“Berkatalah orang-orang yang kafir, ‘Mengapa Al-Quran itu tidak diturunkan kepadanya sekaligus? Demikianlah supaya Kami perkuatkan hatimu dengannya dan Kami membacakannya secara tartil [teratur dan benar]”.
Ayat-ayat yang diturunkan oleh Allah (swt) pada awalnya menyentuh perkara-perkara berhubung masalah keimanan, sebelum turunnya ayat-ayat mengenai hukum yakni persoalan halal-haram dan sebagainya. Hal ini langsung tidak membawa makna yang kaum Muslimin boleh mengambil sebahagian ajaran Islam dan meninggalkan ajaran yang lainnya, dalam rangka menerapkan Islam secara bertahap.
Kaum Muslimin sejak awal Islam sentiasa menjalankan apa yang diturunkan pada waktu itu secara sempurna, bukan secara bertahap, baik dalam masalah akidah mahupun syariat. Mereka tidak pernah meninggalkan satu apa pun hukum yang telah turun kepada mereka pada ketika itu. Ketika diturunkan ayat tentang keimanan, mereka meyakini dan terus mengamalkannya secara sempurna. Begitu juga ketika turun ayat berkaitan hukum yakni apa yang dibolehkan dan apa yang tidak dibolehkan (halal dan haram), maka mereka terus mengamalkannya. Ketika Allah (swt) menurunkan lima ayat, mereka segera mengamalkan lima ayat tersebut secara sempurna, bukan dengan melaksanakan tiga ayat dan meninggalkan dua ayat, atau melaksanakan empat ayat dan meninggalkan satu ayat, atau dengan kata lain melaksanakan sebahagian ayat dan meninggalkan sebahagian ayat yang lain dalam rangka mengamalkannya secara bertahap!
Malangnya, para pendukung fahaman tadarruj memahami bahawa, oleh kerana Al-Quran diturunkan secara bertahap, maka kaum Muslimin boleh melaksanakan atau menerapkan Islam secara bertahap. Maksudnya, sebahagian hukum boleh dilaksanakan terlebih dahulu, sedangkan yang lain boleh ditinggalkan untuk dilaksanakan kemudian. Pemahaman ini jelas menyimpang dan keliru kerana pelaksanaan hukum atau perintah Allah (swt), ketika hukum itu sudah diturunkan, maka wajib dilaksanakan secara sempurna pada waktu itu juga. Apatah lagi dalam keadaan sekarang di mana hukum-hukum telah sempurna diturunkan semuanya, maka tidak timbul lagi persoalan untuk melaksanakan sebahagian dan meninggalkan sebahagian. Hal ini sebagaimana perintah Allah (swt),
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ
“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu” [Al-Baqarah (2): 208].
Dalam mentafsirkan ayat ini, Imam Ibnu Katsir menyatakan:
“Allah (swt) telah memerintahkan hamba-hamba-Nya yang Mukmin dan mempercayai Rasul-Nya agar menerapkan keyakinan Islam (akidah) dan syariat Islam, mengerjakan seluruh perintah-Nya dan meninggalkan seluruh larangan-Nya selagi mereka mampu” [Ibnu Katsir, Tafsir Ibnu Katsir, I/247].
Imam Thabariy menyatakan:
“Ayat di atas merupakan perintah kepada orang-orang beriman untuk menolak selain hukum Islam; perintah untuk menjalankan syariat Islam secara menyeluruh; dan larangan mengingkari satu pun hukum yang merupakan sebahagian daripada hukum Islam” [Imam Thabariy, Tafsir Thabariy, II/337].
Atas dasar itu, amat jelas kesalahan pendapat yang membolehkan penerapan Islam secara bertahap. Turunnya Al-Quran secara beransur-ansur sama sekali tidak menunjukkan adanya tadarruj, atau kebolehan kaum Muslimin menerapkan hukum secara bertahap, dengan mengekalkan pelaksanaan sebahagian hukum kufur. Kaum Muslimin sama sekali tidak dibenarkan untuk menerapkan hukum kufur, setelah turunnya hukum Islam.
Tidak boleh sama sekali untuk menyebat penzina dengan enam kali sebatan, sebelum dinaikkan kepada 10 sebatan, kemudian dinaikkan lagi kepada 20 sebatan, kemudian 50 sebatan dan seterusnya, sementara menunggu hukuman 100 kali sebatan dilaksanakan secara bertahap. Begitu juga tidak boleh sama sekali menjatuhkan hukuman penjara kepada pencuri sementara menunggu hukum potong tangan dilaksanakan secara bertahap. Sama juga tidak boleh membiarkan orang mabuk tanpa dihukum, atau dengan mengenakan denda RM1000 terlebih dahulu kepada peminum arak, sementara menunggu hukum 40 kali sebatan dilaksanakan secara bertahap.
Menerapkan Islam secara tadarruj bermakna mengabaikan dan meninggalkan sebahagian hukum Allah (swt), dan membiarkan hukum kufur terus berjalan, dan hal ini jelas haram. Justeru, siapa sahaja yang menyeru kepada penerapan Islam secara tadarruj sesungguhnya telah menyeru kepada kebatilan dan keharaman.
Kedua: Jika dilihat dari sudut pengharaman arak yang dikatakan berlaku secara bertahap oleh para pendukung fahaman tadarruj, sebenarnya tidak ada tadarruj pun dalam hukum pengharaman arak. Begitu juga mengenai hukum berkenaan keharaman arak, yang langsung tidak boleh digunakan sebagai dalil untuk membenarkan fahaman tadarruj.
Ayat-ayat yang berkaitan dengan arak adalah sebagaimana berikut;
يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِنْ نَفْعِهِمَا
“Mereka bertanya kepadamu tentang arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya terdapat dosa yang besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya” [Al-Baqarah (2): 219].
Kemudian turun ayat berikutnya:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا تَقْرَبُوا الصَّلاةَ وَأَنْتُمْ سُكَارَى حَتَّى تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu solat, sedangkan kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan” [An-Nisaa’ (4): 43].
Seterusnya turun ayat terakhir yang menetapkan keharaman arak secara tegas:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالأنْصَابُ وَالأزْلامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
“Wahai orang-orang beriman, sesungguhnya arak, berjudi, berkorban untuk berhala, mengundi nasib dengan panah adalah perbuatan keji termasuk perbuatan setan, maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapatkan keberuntungan” [Al-Ma’idah (5): 90].
Inilah ayat-ayat yang mereka jadikan sebagai sandaran dalil bagi membolehkan dilakukan perubahan secara bertahap (tadarruj). Berdasarkan keseluruhan ayat ini, mereka berpendapat bahawa pada awalnya arak dibolehkan bagi kaum Muslimin. Kemudian kebolehan arak tersebut dihadkan – yakni dengan larangan mengerjakan solat dalam keadaan mabuk, sehingga turunlah ayat yang mengharamkan arak. Mereka menambah lagi, arak adalah penyakit masyarakat, sedangkan jalan untuk menghilangkan penyakit ini perlu dilakukan secara bertahap, agar masyarakat tidak terkejut dan dapat menerimanya secara perlahan-lahan. Inilah hujah-hujah sebahagian mereka yang membolehkan tadarruj.
Adapun bantahan terhadap pendapat tersebut adalah seperti berikut:-
Jika ayat-ayat di atas diteliti dengan pemahaman dan istinbath yang benar, maka siapa pun tidak akan pernah berkesimpulan bahawa generasi awal Islam telah melakukan tadarruj, sebagaimana pemahaman sebahagian kelompok dan sesetengah gerakan Islam pada hari ini yang membolehkan tadarruj. Bahkan langsung tidak akan ditemukan sebarang tahap apa pun dalam pengharaman arak. Ini kerana, kita perlu memahami bahawa sebelum turunnya suatu hukum ke atas sesuatu perkara atau perbuatan, maka perkara atau perbuatan tersebut tidak mempunyai hukum, dengan kata lain ia boleh dilakukan dan boleh tidak dilakukan, kerana tidak ada hukum mengenainya. Samalah juga dengan arak, di mana tidak ada hukum ke atas arak sebelum turunnya ayat yang mengharamkannya. Status arak itu (sebelum turunnya hukum) disebut sebagai maskut anhu (didiamkan) meskipun ramai, termasuk dalam kalangan sahabat yang meminumnya. Kedudukan maskut anhu itu kekal sehinggalah turunnya ayat yang ketiga mengenai arak [Al-Ma’idah: 90].
Allah (swt) telah mencela arak pada ayat yang pertama kerana merugikan, tetapi belum mengharamkannya. Kemudian Allah melarang solat dalam keadaan mabuk pada ayat yang kedua, pun pada waktu ini Allah (swt) masih belum mengharamkan arak. Setelah itu barulah Allah (swt) mengharamkan arak dengan menurunkan wahyu, pada ayat yang ketiga di atas. Justeru, hal ini sama sekali tidak menunjukkan pengharaman arak secara bertahap, apatah lagi tidak ada seorang pun pada waktu itu menganggap arak itu haram setelah turun ayat pertama dan kedua. Hanya setelah turunnya ayat yang ketiga, barulah arak diharamkan, dan mereka memahami hal tersebut sehingga mereka terus menumpahkan arak di sisi mereka sejurus turunnya ayat tersebut.
Begitulah pada masa Sahabat, dan juga pada masa Tabi’in dan Tabi’ut Tabi’in, di mana tidak ada seorang pun daripada mereka yang memperkatakan tentang pengharaman arak secara bertahap. Begitu juga dengan para mujtahidin dan ulama besar umat ini yang tidak ada seorang pun dalam kalangan mereka yang mengarang kitab-kitab fiqh yang membahaskan persoalan tadarruj dalam pengharaman arak atau dalam penerapan hukum Islam.
Selain itu, terdapat banyak riwayat yang menceritakan tentang situasi sejurus turunnya ayat pengharaman arak [Al-Ma’idah: 90], betapa para sahabat bersegera meninggalkannya dan mentaati perintah Allah (swt) tanpa sebarang alasan. Terdapat ramai dalam kalangan mereka yang menyimpan arak, dan ada yang ketika itu sedang meminum arak bersama-sama, bahkan ada yang ketika disampaikan kepada mereka tentang ayat tersebut, gelas arak berada di bibir mereka, lalu mereka terus menumpahkannya tanpa apa-apa persoalan lagi.
Bukti lain yang dapat disaksikan ialah kisah-kisah pembukaan (futuhat) wilayah baru oleh para sahabat. Ketika banyak wilayah baru dibuka, manusia berbondong-bondong masuk ke dalam agama Allah (swt). Kaum Muslimin yang membuka wilayah baru itu tidak pernah mengajar kepada saudara-saudara baru mereka agar meninggalkan arak secara bertahap!
Kesimpulan
Sesungguhnya, fahaman tadarruj merupakan pembahasan yang baru muncul setelah Islam tidak lagi berkuasa, di mana sebahagian ulama, gerakan Islam dan kaum Muslimin mula mencari hujah setelah Islam diserang dengan hebat oleh kuffar Barat. Dalam rangka membela Islam, sama ada sedar atau tidak, mereka sebenarnya telah meletakkan Islam dalam kandang salah. Mereka mencari-cari nas untuk memuaskan hati orang-orang kafir yang menyerang Islam, dengan harapan orang-orang kafir boleh menerima Islam sebagaimana fahaman mengenai Islam yang mereka bawa. Mereka menyesuaikan nas menggunakan logik akal dalam menetapkan hukum yang mereka istinbat dengan jalan yang keliru. Akhirnya muncullah idea tadarruj dalam penerapan Islam, suatu yang sebelum ini tidak pernah ada dalam Islam.
Semoga umat ini dijauhi dari kefahaman yang salah lagi batil, dan akan kembali kepada penerapan Islam secara kaffah dan secara inqilabiyyah, yang hanya akan terealisasi apabila wujudnya Negara Islam – Khilafah.
Wallahu a’lam.