Benarkah Wanita Tidak Faham Undang-Undang?
Oleh MARIATUL QATIAH ZAKARIA
[email protected]
Berurusan di mahkamah bukan sesuatu yang disenangi oleh kebanyakan wanita. Dalam kitab suci al-Quran telah tercatat bahawa Islam adalah agama pembela wanita. Hak wanita dalam Islam jelas tercatat dalam surah Al-Baqarah (ayat 228) iaitu: “Wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajipannya menurut cara yang makruf.”
Terdapat juga hadis-hadis yang jelas membela dan mempertahankan wanita. Antaranya daripada Urwah bin al-Zubair bahawa Aisyah isteri Nabi menceritakan kepadanya, kata Aisyah: Telah datang kepadaku seorang wanita bersama dua orang anak perempuannya meminta (makanan) daripadaku sedangkan tiada padaku melainkan sebiji tamar. Aku berikan kepadanya, lalu dia membahagikannya untuk kedua anaknya. Kemudian dia bangun dan keluar. Apabila Nabi masuk, aku pun menceritakan kepadanya, lalu baginda bersabda: Sesiapa yang mengendalikan sesuatu urusan anak-anak perempuan lalu dia melakukan kebaikan kepada mereka maka mereka menjadi penghalang dari api neraka untuknya“. (Riwayat al-Bukhari 5/2234 dan Muslim 4/2027).
Walaupun sudah terbukti bahawa hak-hak wanita sememangnya terpelihara, tetapi sering kedengaran aduan atau rasa tidak puas hati wanita terhadap urusan di mahkamah syariah atau pejabat agama.
Masih ada cerita-cerita mengenai wanita Islam yang teraniaya seperti digantung tidak bertali dan ditinggalkan bersama anak-anak tanpa sebarang nafkah.
Ada pula kisah wanita yang menderita atau tidak lagi sanggup tinggal bersama suaminya tetapi tidak berbuat apa dan hanya menyerahkan hidup kepada takdir.
Kenapa perkara begini berlaku sedangkan hak wanita dalam Islam cukup jelas malah tercatat dalam al- Quran?
Adakah kerana wanita Islam di negara ini tidak memahami selok-belok mengenai undang-undang keluarga Islam atau pun mereka kurang pendedahan mengenai hak-hak mereka?
Timbalan Pengarah, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Datuk Dr. Zaleha Kamaruddin berkata, dalam hal ini wanita itu sendiri harus diberikan pendidikan serta pendedahan berkaitan undang-undang keluarga Islam.
Kaum wanita katanya, akan berhadapan dengan masalah mendapatkan keadilan di mahkamah syariah jika mereka sendiri kurang arif mengenai isu-isu seperti nafkah iddah, mutaah, harta sepencarian, hutang dan sebagainya.
”Disebabkan masalah-masalah inilah wanita yang kurang pendedahan serta pendidikan dalam hal undang-undang keluarga Islam selalunya akan merasakan diri mereka ditindas.
”Satu transformasi perlu berlaku di samping mengambil tindakan yang pantas dalam usaha menyelesaikan satu-satu masalah.
”Bukan itu sahaja, wanita yang bermasalah juga sebenarnya perlu bekerjasama selain mencari jalan penyelesaian yang lebih berkesan antara mereka dengan hakim dan peguam,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas bertajuk Mengenalpasti Permasalahan Berkaitan dengan Tuntutan dan Pelaksanaan Perintah Hak-Hak Isteri Selepas Pembubaran Perkahwinan, pada Bengkel Pemerkasaan Hak-Hak Wanita di Bawah Undang-Undang Keluarga Islam anjuran Jabatan Peguam Negara di Putrajaya, baru-baru ini.
Menurut Zaleha, untuk mengenal pasti secara menyeluruh tentang permasalahan wanita dalam memperjuangkan hak-hak mereka di mahkamah, ia perlu dilihat dari dua perspektif iaitu persepsi wanita itu sendiri terhadap mahkamah dan perspektif hakim.
Wanita yang menuntut keadilan selalunya mempunyai persepsi bahawa mahkamah berat sebelah dengan lebih berpihak kepada lelaki.
Hal ini menyebabkan mereka sentiasa mempersoalkan kredibiliti mahkamah dan mempertikaikan kewibawaan hakim serta kekurangan infrastruktur.
“Dari situ timbul rasa tidak puas hati seperti lambat dan sukar berurusan dengan mahkamah syariah dan sebagainya.
“Ini ditambah lagi dengan tekanan masalah undang-undang yang dihadapinya lebih-lebih lagi jika ia sudah berlarutan agak lama,” katanya.
Dalam pada itu menurut Zaleha, wanita juga kadang kala membina persepsi tersendiri terhadap peguam yang dianggap tidak komited, lebih mementingkan bayaran, kesukaran berurusan dengan peguam terutama yang tinggal di luar bandar dan sebagainya.
Semua faktor itu menjadi kekangan kepada wanita sehingga membuatkan mereka cenderung menyatakan bahawa mereka tidak mendapat keadilan sewajarnya. Seterusnya mereka hanya memendamkan masalah.
“Itu belum lagi ketika peringkat prabicara di mana wujud masalah-masalah lain yang menyebabkan kes tertangguh dan berlarutan hingga bertahun-tahun,” katanya.
Pensyarah Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Prof. Madya Dr. Najibah Mohd. Zin, berkata, antara isu-isu membabitkan mahkamah syariah yang sering dihadapi oleh golongan wanita ialah pendaftaran perkahwinan dan perceraian, poligami tanpa kebenaran mahkamah, nafkah dan nusyuz, perceraian luar mahkamah, tebus talak atau khuluk dan hak penjagaan anak
Menurut beliau, kebanyakan kes-kes yang berlaku memberi banyak masalah kepada wanita terutama dari golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap.
”Bagi setiap kes, kita mempunyai akta dan undang-undang yang telah sedia ada.
”Namun apa yang mampu dilihat hari ini ialah kelemahan undang-undang yang seakan tidak memberi kesan yang berkesan dalam menangani masalah-masalah yang ada.
”Yang menjadi persoalan adakah masalah ini berpunca daripada kelemahan undang-undang atau sikap anggota masyarakat itu sendiri,” ujar beliau lagi.
Bagaimanapun jelas beliau lagi, keberkesanan sesuatu undang-undang banyak bergantung kepada kebijaksanaan dalam mengaplikasikan undang-undang tersebut dengan baik.
Pada masa yang sama undang-undang perlu disemak dan dipinda dari semasa ke semasa mengambil kira perubahan masa dan keadaan untuk keadilan pihak-pihak yang menuntut hak mereka.
Kura-kura dalam perahu, pura-pura tidak tahu. Itulah peribahasa melayu yang sesuai digunakan untuk menggambarkan sikap golongan pemikir permasalahan wanita di atas. Persoalan yang diketengahkan berbunyi: “Kenapa perkara begini berlaku sedangkan hak wanita dalam Islam cukup jelas malah tercatat dalam al- Quran?” , dan telah dengan mudahnya dijawab dengan jawapan berikut: “kelemahan undang-undang yang seakan tidak memberi kesan yang berkesan dalam menangani masalah-masalah yang ada”.
Benarlah bagai dikata, undang-undang yang diterapkan dalam sistem kehidupan kita sekarang sifatnya MEMANG lemah kerana ia diciptakan oleh akal manusia yang lemah. Allah Subhanahu wa Taala telah membawa perumpamaan dalam Kitab-Nya tentang betapa lemahnya sifat makhluk ciptaan-Nya termasuk manusia.
“Hai manusia, telah dibuat perumpamaan, maka dengarkanlah olehmu perumpamaan itu. Sesungguhnya segala yang kamu seru selain Allah sekali-kali tidak dapat menciptakan seekor lalatpun, walaupun mereka bersatu menciptakannya. Dan jika lalat itu merampas sesuatu dari mereka, tiadalah mereka dapat merebutnya kembali dari lalat itu. Amat lemahlah yang menyembah dan amat lemah (pulalah) yang disembah.” [TMQ Al-Hajj (22):73]
Wahai orang-orang yang berfikir!
Perhatikanlah sejarah perundangan Negara 1 Malaysia ini. Pada tahun 1880, Inggeris telah memperkenalkan satu ordinan dipanggil ‘Muhammadan Marriage Ordinance’ (Ordinance no. 5, 1880) bertujuan untuk menetapkan sejauh mana undang-undang Islam boleh diterima dan diiktiraf mahkamah. Ordinan ini telah merealisasikan cita-cita dan usaha British untuk memisahkan antara urusan sivil dengan keagamaan yang telah lama dirancang sebelum kedatangan British ke Tanah Melayu.
Seterusnya, apabila Inggeris menguatkuasakan undang-undang Muhammadan Marriage and Divorce Registration Enactment Chapter 197 of Revised Law of Federated Malay States, 1935, aspek pentadbiran seperti pendaftaran perkahwinan, perceraian dan rujuk serta sedikit hukum asas dalam perkahwinan dijalankan. Ia tidak lain bertujuan untuk memudahkan British mengawal selia urusan kekeluargaan masyarakat Islam serta cuba mengekalkan polisi tidak mencampuri hal-ehwal agama Islam dan adat istiadat Melayu secara langsung dan tidak menghina amalan sedia ada. (Sumber: Undang-undang Islam gemilang sebelum kedatangan British ke Tanah Melayu oleh Zainul Rijal Abu Bakar)
Justeru, mengapa masih berharap kepada Parlimen untuk menyemak dan meminda undang-undang yang berasal dari pihak kuffar Barat padahal Parlimen itu adalah tempat maksiat yang paling besar kerana di situlah tempat duduknya orang-orang yang menolak Hukum Allah dan berusaha untuk mencipta hukum sendiri. Mereka tidak ubah seperti golongan yang cuba mencipta lalat dalam ayat di atas. Sesungguhnya undang-undang yang sedia ada pada hari ini adalah hasil rekaan idea sekularisme. dan sesungguhnya wanita tidak bersalah kerana tidak memahami undang-undang malah undang-undang buatan manusia itulah yang salah. Lebih dahsyat lagi, kesalahan yang lebih besar yang tidak disedari ataupun sengaja tidak disedari ialah tidak mengaplikasikan undang-undang yang benar yang bersumberkan wahyu dari Maha Pencipta.
Wahai penguasa umat Islam!
Beban hukum terletak di bahu kalian. Kuasa berada di tangan kalian. Al-Quran juga telah lengkap di depan mata kalian. Al-Quran telah jelas mencatatkan hak-hak wanita. Apa yang wajib dilakukan hanyalah penerapan hukum-hukum tersebut di bawah Sistem Pemerintahan Islam. Janganlah kalian memaksa umat Islam untuk tunduk kepada pemerintahan yang kufur. Ingatlah firman Allah Subhanahu wa Taala:
“Tidak wajar bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Al Kitab, hikmah dan kenabian, lalu dia berkata kepada manusia: “Hendaklah kamu menjadi penyembah-penyembahku bukan penyembah Allah.” Akan tetapi (dia berkata): “Hendaklah kamu menjadi orang-orang rabbani, karena kamu selalu mengajarkan Al Kitab dan disebabkan kamu tetap mempelajarinya. “ [TMQ Ali-Imran (3):79]
Serulah rakyat di bawah pimpinanmu untuk bersatu mengangkat seorang Khalifah yang bukan sahaja menjaga hak-hak wanita dan mempertahankan keadilan buat mereka malah akan memberikan peluang pendidikan yang luas untuk mereka memahami Hukum Allah dan Rasul-Nya.
Wallahua’lam.