Bidaah Penjarakan Solat Jemaah
بسم الله الرحمن الرحيم
Kepada: Ferid Saad, Usaid Salim, Shafa’ Muhammad, Hassan Yaser, Nashir al-Islam, ar-Rayahiy Abu Fathimah
Berikut ini jawapan kepada masalah solat Jumaat yang anda tanyakan:
1- Kami telah mengeluarkan jawapan tentang solat Jumaat pada 2 Sya’ban 1441 H (26 Mac 2020 M). Demikian juga pada 18 Sya’ban 1441 H (11 April 2020 M). Kemudian pada 17 Syawal 1441 H (8 Jun 2020 M). Di dalam semua jawapan itu ada kecukupan berkaitan pertanyaan-pertanyaan anda. Di dalamnya dinyatakan:
Pertama: Jawapan kami pada 2 Sya’ban 1441 H (26 Mac 2020 M), di situ dinyatakan:
[Adapun hukum solat Jumaat adalah fardhu ain, dan ia tidak gugur kecuali dengan uzur, dan dalil-dalil mengenai hal itu banyak sekali, antaranya firman Allah (swt):
﴿إِذَا نُودِي لِلصَّلاَةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ﴾
“Apabila diseru untuk menunaikan solat Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingati Allah dan tinggalkanlah jual beli” [Al-Jumu’ah (62): 9].
Tuntutan (untuk solat Jumaat) dalam ayat di atas adalah wajib berdasarkan dalil qarinah (penunjukan) larangan dari melakukan perkara yang mubah (harus), yang menunjukkan bahawa thalab (tuntutan) itu adalah jazim (tegas). Al-Hakim telah mengeluarkan dalam al-Mustadrak ‘ala ash-Shahiihain dari Thariq bin Syihab, dari Abu Musa dari Nabi (saw), baginda bersabda:
«الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِي جَمَاعَةٍ إِلَّا أَرْبَعَةٌ: عَبْدٌ مَمْلُوكٌ، أَوِ امْرَأَةٌ، أَوْ صَبِيٌّ، أَوْ مَرِيضٌ»
“(Solat) Jumaat merupakan hak wajib atas setiap Muslim dalam jemaah kecuali empat golongan: hamba sahaya, wanita, anak-anak dan orang yang sakit.”
Al-Hakim berkata: “Hadis sahih menurut syarat syaikhain (Bukhari dan Muslim)”.
Solat Jumaat tidak wajib atas orang yang takut berdasarkan apa yang diriwayatkan dari Ibnu Abbas (ra) bahawa Nabi (saw) bersabda:
مَنْ سَمِعَ النِّدَاءَ فَلَمْ يُجِبْهُ فَلَا صَلَاةَ لَهُ إلَّا مِنْ عُذْرٍ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ وَمَا الْعُذْرُ؟ قَالَ: خَوْفٌ أَوْ مَرَضٌ» أخرجه البيهقي في السنن الكبرى
“Siapa sahaja yang mendengar seruan (azan) dan tidak menjawabnya (tidak solat) maka tidak ada solat untuknya kecuali kerana uzur”. Mereka bertanya: ‘Wahai Rasulullah, apakah uzurnya?’ Baginda menjawab: ‘Takut atau sakit’” [HR al-Baihaqi dalam Sunan al-Kubra].
Begitulah, solat Jumaat adalah wajib atas setiap Muslim kecuali golongan yang dikecualikan oleh nas yang syarie…] Tamat.
Kedua: Jawapan kami pada 18 Sya’ban 1441 H (11 April 2020 M). Di situ dinyatakan:
Firman Allah (swt):
﴿يَا أيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ﴾
“Wahai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan solat Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingati Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik untuk kamu jika kamu mengetahui” [Al-Jumu’ah (62): 9].
Ini bermakna seorang Muslim keluar untuk solat Jumaat tanpa boleh dihalangi (sebagaimana perintah Allah):
﴿فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ﴾
“Maka bersegeralah kamu kepada mengingati Allah dan tinggalkanlah jual beli” (Al-Jumu’ah (62): 9].
Jadi bersegera berjalan untuk solat Jumaat adalah fardhu, sebab hal (perintah) itu dikaitkan dengan meninggalkan hal yang mubah (jual beli)…Yakni solat Jumaat itu tidak dilakukan di tempat peribadi seperti rumah, kerana rumah itu terdapat kebolehan menghalangi…Oleh itu, dinyatakan dalam Soal Jawab bahawa [Penutupan masjid-masjid oleh penguasa dan menghalangi solat di dalamnya adalah perkara yang tidak boleh (haram) dan di situ terdapat dosa besar untuk para penguasa yang menghalangnya. Oleh yang demikian, jika penguasa melarang menunaikan solat Jumaat di masjid-masjid, sementara dalam keadaan itu tidak ada ruang dan peluang lagi untuk Muslim solat kecuali di rumah, maka ia hendaklah solat di rumah iaitu solat Zuhur sebanyak empat rakaat, dan negara (penguasa) yang menutup masjid-masjid berdosa besar…
Adapun mengenai isu al-akhzu bi al-asbab (pengambilan sebab) maka itu benar, tetapi (hendaklah) tanpa menyalahi syarak. Pengambilan sebab di sini (bermaksud) bahawa orang yang sakit tidak pergi untuk solat Jumaat sedangkan orang-orang yang sihat pergi (untuk solat Jumaat)…Kami telah pun menyebutkan di dalam Soal Jawab dengan secukupnya, bahawa masjid-masjid tidak boleh ditutup, agar orang-orang yang sihat dapat menunaikan solat, dengan diambil langkah-langkah bagi mencegah kehadiran orang yang sakit dengan penyakit menular yang boleh menulari orang lain. Hal itu sudah dijelaskan dengan terang…Tidak boleh dikatakan di sini bahawa orang-orang yang sihat mungkin sahaja merupakan pembawa virus Corona tetapi gejalanya tidak kelihatan, maka semua orang hendaklah dilarang dari pergi ke masjid-masjid, yakni seluruh penduduk dunia dicegah dari pergi ke masjid-masjid…! Kata-kata ini tidak boleh menjadi hujah, walaupun sekadar tahap ghalabatu dzan (dugaan kuat)!!…] Tamat.
Ketiga: Jawapan kami pada 8 Jun 2020. Di situ dinyatakan:
[Keenam: Ringkasnya, dari apa yang telah dijelaskan di atas adalah seperti berikut:
1- Mengubah kaifiyat (tatacara) untuk solat yang telah dijelaskan oleh Rasul (saw) merupakan sebuah bidaah. Hukum syarak dalam keadaan ini ialah, orang yang sihat tubuh badannya, maka ia pergi untuk solat seperti biasa di saf-saf yang lurus tanpa jarak. Sedangkan orang yang sakit dengan penyakit menular, maka ia tidak pergi solat kerana boleh menulari orang lain.
2- Jika negara menutup masjid-masjid, dan kemudian orang-orang yang sihat dihalang dari pergi ke masjid untuk solat Jumaat dan solat berjemaah, maka negara (pemerintah) berdosa besar kerana menelantarkan solat Jumaat dan solat berjemaah. Masjid-masjid wajib sentiasa dibuka untuk solat sebagaimana yang telah dijelaskan oleh hadis-hadis Rasulullah (saw).
3- Demikian juga negara (pemerintah) berdosa besar apabila melarang orang-orang yang solat dari menunaikan solat sesuai dengan kaifiyat (tatacara) yang telah dijelaskan oleh Rasulullah (saw). Negara berdosa besar apabila mewajibkan (memaksa) orang-orang yang solat untuk saling berjauhan dengan jarak satu atau dua meter antara satu sama lain atas alasan takut penularan, apatah lagi tanpa adanya gejala patologis pada orang-orang yang solat.
Ini adalah hukum syarak yang saya rajihkan dalam masalah ini, Wallahu a’lam wa ahkam…Dan saya memohon kepada Allah (swt) agar memberi petunjuk kepada kaum Muslimin kepada perkara yang lurus, dan agar kaum Muslimin menyembah-Nya sebagaimana yang Dia perintahkan, dan agar mereka mengikat diri mereka dengan ketaatan kepada Rasul-Nya (saw); dan agar mereka menegakkan syariah yang hanif tanpa penyimpangan dengan tegaknya al-Khilafah ar-Rasyidah…Dan sungguh dalam hal yang demikian itu ada kebaikan dan pertolongan dengan izin-Nya, yang suatu apa pun di muka bumi dan di langit tidak mampu melemahkan-Nya dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana] Tamat.
Keempat: Jelas dari apa yang disampaikan di atas bahawa solat Jumaat adalah fardhu ‘ain dan wajib ditunaikan dengan kaifiyat yang telah dijelaskan oleh Rasul (saw) dengan rukun dan syarat sahnya disertai merapatkan saf sesuai hukum syarak sebagaimana yang telah dijelaskan dalam jawapan kami sebelumnya…larangan pemerintah (pihak berkuasa) dari pelaksanaan solat Jumaat menurut kaifiyat seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah (saw) merupakan dosa besar yang terpikul di bahu mereka, baik kerana mereka menutup masjid-masjid atau kerana melarang pelaksanaan solat Jumaat sesuai dengan kaifiyat yang syarie itu…
Oleh kerana solat Jumaat adalah fardhu ain, maka setiap Muslim yang mukallaf wajib berusaha untuk solat Jumaat dan menunaikannya dengan cara yang syarie menurut rukun dan syarat-syarat sahnya serta merapatkan safnya…dsb. Jika anda tidak mampu kerana terdapat halangan fizikal, atau kerana penguasa yang zalim melarang (menghalangi) pelaksanaan solat Jumaat sesuai aturan syariah, dan penguasa zalim itu memaksa orang-orang melaksanakan solat dengan cara bidaah (iaitu dengan menjarakkan saf) sehingga orang yang solat itu tidak dapat menunaikannya menurut kemampuannya (untuk solat dengan betul), maka penguasa zalim itu akan memikul dosa atas hal itu…
Rasulullah (saw) bersabda dalam sebuah riwayat yang telah dikeluarkan oleh Imam Bukhari dan Muslim (rahimahumallah) dari Abu Hurairah (ra):
»وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ» واللفظ للبخاري
“Dan jika Aku memerintahkan kalian dengan satu perkara, maka tunaikanlah semampu kalian” (lafaz menurut al-Bukhari).
Oleh yang demikian, jika seorang Muslim mampu melaksanakan solat Jumaat yang fardhu ain itu dengan merapatkan saf, maka dia wajib menunaikan solat dengan merapatkan saf, sebab menjarakkan saf adalah bidaah selama dia mampu mengelak penjarakan saf itu. Adapun jika dia tidak mampu kerana tindakan penguasa yang berdosa tadi, maka ketika itu dia melaksanakan solat sesuai kemampuannya. An-Nawawi (w. 676 H) mengatakan di dalam bukunya al-Minhaaj Syarh Shahiih Muslim bin al-Hajaaj, ketika menjelaskan hadis tersebut dengan lafaz Muslim: “Dari Abu Hurairah, Rasulullah (saw) bersabda: …
«فإذا أَمَرْتُكُمْ بِشَيْءٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ»
“Maka jika aku perintahkan kalian dengan sesuatu maka tunaikanlah semampu kalian”.
An-Nawawi menjelaskan dalam syarahnya: فإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ (“Maka jika aku perintahkan kalian dengan suatu perkara, maka tunaikanlah semampu kalian”) ini termasuk Qawaa’id al-Islamiy (kaedah Islam) yang penting dan merupakan kalimat yang ringkas tapi padat oleh Rasulullah (saw), merangkumi hukum-hukum syarak yang tak terhitung banyaknya, termasuklah solat dan semua yang terkait dengannya. Oleh itu, jika seseorang itu tidak mampu menunaikan sebahagian rukunnya atau sebahagian syaratnya, maka hendaklah ia tunaikan sisanya (yang mampu ia tunaikan)…Wallahu a’lam] Tamat.
Kelima: Demikianlah, kepada saudara-saudara yang bertanya, hendaklah anda berusaha solat Jumaat sebab itu merupakan fardhu ain. Firman Allah (swt):
﴿يَا أيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ﴾
“Wahai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan solat Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingati Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik untuk kamu jika kamu mengetahui” (Al-Jumu’ah (62): 9].
Dan dari Nabi (saw) baginda bersabda:
«الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِي جَمَاعَةٍ إِلَّا أَرْبَعَةٌ: عَبْدٌ مَمْلُوكٌ، أَوِ امْرَأَةٌ، أَوْ صَبِيٌّ، أَوْ مَرِيضٌ»
“Jumaat merupakan hak wajib atas tiap muslim di dalam jemaah kecuali empat golongan: hamba sahaya, wanita, anak-anak atau orang yang sakit”.
Al-Hakim berkata: “Hadis sahih menurut syarat syaikhain (Bukhari dan Muslim)”. Dan hendaklah menunaikan solat dengan kaifiyat yang telah Rasulullah (saw) jelaskan dengan saf yang rapat. Jika tidak mampu melakukan hal itu kerana larangan penguasa dan penguasa memaksa mereka untuk saling berjauhan (menjarakkan saf), maka hendaklah mereka solat sesuai dengan kemampuan mereka. Dan hendaklah mereka berjuang sungguh-sungguh dan penuh keseriusan untuk menegakkan al-Khilafah ar-Rasyidah sehingga al-Khilafah akan menerapkan hukum-hukum syarak sesuai dengan ketentuannya dan tanpa penyimpangan dengan taufik dan pertolongan dari Allah…
Saya harap jawapan ini mencukupi, Wallahu a’lam wa ahkam.
Saudaramu,
Atha’ bin Khalil Abu ar-Rasytah
27 Safar 1442 H
14 Oktober 2020 M
https://www.hizb-ut-tahrir.info/ar/index.php/ameer-hizb/ameer-cmo-site/71063.html
https://www.hizb-ut-tahrir.info/en/index.php/qestions/jurisprudence-questions/20264.html