‘New Normal’ yang melahirkan “bidaah” atas dasar wathaniyyah!

Apabila beberapa masjid telah dibuka untuk solat Jumaat, hati-hati mereka yang telah lama menanti untuk menunaikan fardhu ain tersebut ada sedikit terubat. Malangnya pengumuman kebenaran solat Jumaat tersebut rupa-rupanya amat terhad kepada jumlah bilangan tertentu sahaja, dan lebih buruk, hanya terhad kepada warganegara Malaysia sahaja. Itulah apa yang telah ditetapkan oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung kebenaran solat Jumaat baru-baru ini.

Alangkah mengejutkan apa yang diumumkan itu kerana ternyata pengumuman dan ketetapan seumpama ini tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia, dan mungkin tidak pernah berlaku dalam sejarah Islam sejak diutusnya Rasulullah (saw) lebih 1300 tahun lepas! Hal ini jelas merupakan satu “bidaah” (perkara baru) yang tidak pernah ada dalam Islam!

Antara alasan yang diberikan adalah kerana masih berlaku kes-kes penularan Covid-19 dalam kalangan ‘warga asing’. Agak menyedihkan apabila alasan ini disambut baik pula oleh sesetengah pihak, khususnya yang mempunyai sentimen xenophobia. Pemerintah kelihatannya seperti orang yang hilang kewarasan berfikir dalam hal ini, seolah-olah selama ini hanya ‘warga asing’ sahaja yang terkena atau menjadi pembawa virus Covid-19 di Malaysia, sehingga mereka mesti dihalang dari solat Jumaat, dan seolah-olah penularan virus tersebut juga hanya akan berlaku di masjid-masjid sahaja sehingga ‘warga asing’ mesti dihalang untuk ke masjid!

Apakah boleh menurut Islam, untuk kita ‘menghukum’ mereka secara pukul rata, sehingga menafikan hak mereka untuk menunaikan kewajipan yang telah ditetapkan oleh Islam ini? Apakah rumah Allah (swt) hanya boleh dimasuki oleh warganegara Malaysia sahaja? Subhanallah! Sungguh tidak masuk akal apa yang telah ditetapkan oleh pemerintah ini.

Mengapa “bidaah” yang tidak pernah terfikir dek akal ini boleh berlaku? Jawabnya, tidak lain tidak bukan adalah kerana pemikiran wathaniyyah dan assabiyyah (patriotisme dan nasionalisme) yang selama ini telah menancap kukuh dalam kepala, yang merasakan bahawa bumi Malaysia hanyalah untuk rakyat Malaysia. Akhirnya, pemikiran Jahiliyyah ini mengheret sampai ke bab ibadah, bahawa masjid di Malaysia juga hanyalah untuk rakyat Malaysia!

Apa yang jelas di sini ialah pemerintah telah melakukan keharaman kerana menghalang kaum Muslimin melaksanakan kewajipan, hanya kerana mereka tidak memiliki kewarganegaraan. Ini semua merupakan satu bentuk “bidaah” dan diskriminasi yang diharamkan oleh Islam. Sesungguhnya Islam tidak pernah mendiskriminasi penganutnya berdasarkan perbezaan asal-usul, tempat tinggal, warna kulit dan sebagainya, apatah lagi dalam perkara-perkara ibadah yang menjadi kewajipan setiap Muslim dan merupakan kesatuan kaum Muslimin dalam menyembah Tuhan mereka.

Bagaimana mungkin diskriminasi seumpama ini boleh dilakukan oleh pemerintah –  diskriminasi dalam menyembah Tuhan yang satu!? Sungguh hal ini bercanggah sama sekali dengan ikatan akidah dan persaudaraan Islam, yang telah ditetapkan oleh Islam.

Faktanya, penyakit Jahiliyyah yang telah dihapuskan oleh Rasulullah (saw) ini, kembali meracuni pemikiran pemerintah sejak runtuhnya Daulah Khilafah pada 3 Mac 1924 apabila kuffar penjajah telah memecahbelahkan negeri-negeri kaum Muslimin kepada pecahan-pecahan kecil berdasarkan negara-bangsa. Ironinya, penyakit ini bertambah kronik sampai ke tahap yang tidak pernah disangka apabila ia menular hingga ke bab ibadah!

Marilah kita menghayati firman Allah (swt) ini,

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan solat Jumaat) dan tinggalkanlah jual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui” [Al-Jumu’ah (62): 9].

Sesungguhnya perintah Allah (swt) untuk solat Jumaat dalam ayat di atas ditujukan kepada seluruh kaum Muslimin tanpa kecuali, tanpa membezakan di mana ia tinggal, tanpa membezakan apakah bangsanya dan apakah kewarganegaraannya. Sungguh, alangkah beraninya pemerintah Malaysia merubah dan menyempitkan perintah Allah (swt) itu dengan hanya membenarkan warga Malaysia sahaja untuk menunaikan solat Jumaat!

Editor