Bohong UMNO Bangkit Pertahan Islam
GUA MUSANG 29 Okt. – Tuduhan Pas bahawa UMNO tidak memartabatkan Islam serta memperalatkan agama bagi tujuan politik merupakan satu fitnah yang sengaja dicetuskan untuk mengelirukan rakyat. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (gambar) berkata, perbuatan Pas itu sangat dimurkai Allah kerana ia boleh mencetuskan kekeliruan rakyat sedangkan UMNO sejak merdeka lagi bersungguh-sungguh meningkatkan syiar Islam di negara ini. Kata beliau, kesungguhan UMNO itu terbukti dengan wujudnya pelbagai institusi dan agensi berteraskan Islam selain berusaha meningkatkan pendidikan Islam serta melahirkan lebih ramai para ilmuwan Islam. “Kesemua usaha ini hasil perjuangan UMNO yang berjaya meletakkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan. Ini merupakan satu hakikat dan ini adalah satu sejarah. Perkara ini perlu diakui oleh semua pihak termasuk Pas.
Sumber: Utusan Malaysia 29/10/10
Bohong UMNO Bangkit Pertahan Islam
Nampaknya UMNO terus menzahirkan sifat hipokrit mereka dengan dakwaan terbaru Jamil Khir yang kononnya parti sekular terbesar tanahair itu telah bersungguh-sungguh meningkatkan syiar Islam di negara ini sejak merdeka lagi. Terlampau banyak bukti yang boleh kita paparkan bagaimana UMNO-lah parti yang sebenarnya telah merosakkan Islam.
Islam adalah agama yang sempurna. Islam adalah ad-Deen yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW untuk mengatur hubungan manusia dengan penciptanya, hubungan manusia dengan dirinya sendiri dan hubungan manusia dengan manusia lain. Sejak merdeka, penerapan Islam di Malaysia hanyalah sekadar agama yang bersifat ‘peribadi’ yakni untuk mengatur diri sendiri, tidak bersifat ‘masyarakat’ apatah lagi ‘bernegara’. Islam sebagai agama yang mengatur masyarakat dan negara telah dimandulkan oleh UMNO sejak parti itu berkuasa lebih dari 53 tahun yang lepas.
Untuk mengatur masyarakat dan negara, ternyata apa yang dibawa dan yang diamalkan oleh UMNO bukanlah undang-undang ‘Islam’, tetapi undang-undang ‘sekular’, iaitu satu sistem yang memisahkan agama daripada kehidupan. Islam yang diamalkan oleh UMNO hari ini adalah Islam yang hanya bersifat ruhiyyah (spritual) semata-mata sedangkan dalam persoalan siyasiyyah (political) seperti sistem pemerintahan, sistem ekonomi, sistem sosial, polisi pendidikan, polisi luar negara dan lain-lainnya, UMNO telah membakulsampahkan Islam sejak mereka mula memerintah lagi.
Lihatlah betapa jelek dan hinanya Islam yang diamalkan oleh UMNO pada hari ini. Mereka secara nyata dan terang-terang telah mencampur adukkan di antara yang hak dan batil di dalam amalan sehari-harian. Di kala mereka bermegah dengan pembinaan masjid di sana-sini, namun dalam masa yang sama mereka jugalah yang membenarkan kilang arak dan tempat-tempat perjudian beroperasi dan bersepah di merata-rata tempat. Ketika mereka tanpa rasa berdosa melarang kuliah dan apa jua aktiviti dengan pelbagai alasan seperti tiada permit, namun dalam masa yang sama mereka begitu mudah memberikan permit dan membenarkan konsert-konsert maksiat dilangsungkan dengan jayanya. Bukan sekadar di dalam negara mereka menganjurkan program-program maksiat malahan di luar negara pun mereka melakukannya. Contohnya seperti apa yang dilakukan oleh Rosmah sebagai penaung Islamic Fashion Festival (IFF) dan menganjurkan majlis maksiat tersebut 2 bulan yang lepas di Monte Carlo.
Maksiat yang paling besar yang dilakukan oleh UMNO selama ini adalah apabila menjadi parti tulang belakang kepada pemerintahan Malaysia yang telah menggubal undang-undang sendiri di Parlimen dengan mencampakkan undang-undang Allah dan dalam masa yang sama mereka bersungguh-sungguh menghalang sebarang usaha untuk menegakkan syariah dan Khilafah yang dilakukan oleh para pejuang Islam di Malaysia.
Maka dakwaan Jamil Khir itu sebenarnya adalah suatu pembohongan dan menunjukkan sifat hipokrit UMNO yang cukup memualkan. Percayalah bahawa tipu daya beliau yang mewakili UMNO itu tidak akan mampu mengelirukan umat Islam yang ikhlas berjuang untuk menegakkan agama Allah SWT sehinggalah deen Allah SWT itu terzahir mengatasi deen-deen yang lain.