UMNO Parti Islam?

 

umnoDuta Besar Iran iktiraf UMNO parti Islam

KUALA LUMPUR 18 Jan – UMNO bukan sahaja parti politik yang memperjuangkan cita-cita kebangsaan Melayu, malah diakui sebagai sebuah parti yang konsisten dalam memartabatkan agama Islam, kata Duta Besar Iran ke Malaysia, Profesor Dr. Mohammed Mehdi Zahedi.  “UMNO adalah parti Islam yang mempunyai kesinambungan kepimpinan dengan struktur yang jelas dan mampu mewujudkan suasana yang harmoni, bukan hanya di kalangan anggota beragama Islam, tetapi juga masyarakat keseluruhannya,” beliau dipetik sebagai berkata oleh portal berita UMNO Online semasa melakukan kunjungan hormat ke atas Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di Ibu Pejabat UMNO hari ini. 
Pada pertemuan tersebut, Tengku Adnan menjelaskan kepada duta berkenaan tentang perjuangan UMNO untuk agama seperti yang termaktub dalam Fasal 3.3 Perlembagaan parti serta isu semasa membabitkan agama. “UMNO menghormati agama-agama lain dan masyarakat di Malaysia bebas untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing, tetapi apa yang sangat ditekankan dalam konteks Islam ialah pengukuhan akidah agar tidak berlaku pemesongan,” katanya.  Dalam pertemuan lebih sejam itu, Tengku Adnan juga menerangkan pemimpin UMNO tidak bertolak ansur dalam soal akidah Islam, namun pada masa yang sama, percaya persefahaman dan kerjasama antara masyarakat majmuk mampu membentuk kesatuan dalam kepelbagaian. – Bernama

Sumber: Utusan Malaysia 18/01/11

UMNO Parti Islam?

Terkejut seluruh dunia jika membaca laporan Utusan Malaysia yang dengan bangganya memetik dan melaporkan kata-kata Duta Besar Iran ke Malaysia, Profesor Dr. Mohammed Mehdi Zahedi sebagai berkata bahawa “UMNO adalah parti Islam yang mempunyai kesinambungan kepimpinan dengan struktur yang jelas dan mampu mewujudkan suasana yang harmoni, bukan hanya di kalangan anggota beragama Islam, tetapi juga masyarakat keseluruhannya,”. Hebatnya talian hayat yang dipakai oleh UMNO untuk membolehkan mereka mencanangkan ke seluruh dunia bahawa  ia adalah sebuah parti Islam.

Hakikatnya, sekiranya sesebuah parti itu dianggotai oleh orang Islam, parti itu tidak secara automatik akan menjadi Islam. UMNO yang jelas-jelas sekular dan merupakan sebuah parti yang berjuang untuk bangsa Melayu dikatakan parti Islam? Untuk UMNO menjadi sebuah parti Islam bukanlah sesuatu yang susah. Namun nampaknya UMNO cuba memperbodohkan umat Islam dengan menjaja kenyataan Duta Iran tersebut, tanpa memandang dirinya yang sebenar.

Secara faktanya memang benar ahli-ahli UMNO adalah orang Islam. Cuma persoalannya ialah, apakah parti UMNO itu telah memenuhi firman Allah SWT dibawah ini bagi melayakkan parti itu menjadi sebuah parti politik Islam? Firman Allah SWT:

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan (Islam), menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang munkar.” [TMQ Ali ‘Imran (3): 104].

Untuk menilai apakah UMNO itu parti Islam ataupun tidak maka di sini disertakan sedikit penjelasan mengenai pengertian sebuah parti Islam.

Pengertian Parti Islam

Parti Islam menurut Abdul Qadim Zallum adalah sebuah parti yang berdiri di atas dasar aqidah Islam, yang mengadopsi berbagai idea, hukum, dan penyelesaian yang bersifat Islami, yang metode perjuangannya adalah mengikuti metode perjuangan Rasululllah SAW. (Ta’rif Hizbut Tahrir, Beirut : Darul Ummah, 2010, hal. 9). Sementara Ziyad Ghazzal mendefiniskan parti Islam adalah sebuah organisasi yang dianggotai oleh orang-orang Islam yang bertujuan untuk melakukan aktivitas politik sesuai dengan ketentuan syariat Islam. (Masyru’ Qanun Al-Ahzab fi Daulah al-Khilafah, hal. 39). Dari dua definisi itu dapat diambil beberapa kesimpulan yang menjadi identiti pokok bagi sebuah parti Islam.

Pertama, parti Islam wajib berasaskan aqidah Islam. Dengan kata lain, ideologi parti wajib berideologikan Islam. Maka parti yang asasnya bukan aqidah Islam, bukanlah parti Islam. Misalnya parti yang berasaskan sekularisme, kapitalisme sosialisme, komunisme, dan sebagainya.

Kedua, parti Islam wajib mengadopsi fikrah (idea) dan tariqah (metode perjuangan) yang berasal dari Islam. Fikrah dan tariqah ini secara jelasnya terwujud dalam penentuan tujuan dan langkah-langkah (program) untuk mencapai tujuan. Maka sesuatu parti itu bukanlah parti Islam jika tujuannya adalah untuk melayan kepentingan ideologi Barat. Bukan pula parti itu dinamakan parti Islam jika di dalam perjuangannya ia mengadopsi idea-idea kufur seperti sekularisme, demokrasi dan nasionalisme. Bukan pula parti itu sebuah parti Islam, apabila ianya mengadopsi metode yang pragmatik dan oportunistik, yang tidak berpandu kepada kaedah halal dan haram.

Ketiga, parti Islam wajib dianggotai oleh orang Islam sahaja. Maka bukanlah sesuatu parti itu adalah parti Islam sekiranya parti itu menerima anggota-anggota non-muslim. Perlu difahami, masalah keanggotaan ini sebenarnya menunjukkan jenis ikatan (rabithah) yang menyatukan seluruh anggota parti menjadi satu kesatuan yang bersifat integral. Jika semua anggotanya adalah muslim, bererti ikatannya adalah ikatan ukhuwah Islamiyah yang berpangkal pada kesamaan aqidah, iaitu aqidah Islam. Jika anggotanya terdiri dari muslim dan non-muslim, bererti ikatan parti itu bukan lagi ikatan Islam, tetapi telah berganti dengan ikatan lain yang bukan lagi Islam, seperti ikatan kebangsaan (nasionalisme). Oleh itu keanggotaan non-muslim sebenarnya tidak sejalan dengan identiti pokok sebuah parti Islam. Perlu dijelaskan bahawa, bagi sesebuah parti Islam misi utamanya adalah melakukan aktiviti politik Islam, iaitu melakukan pembetulan atau pengawasan terhadap penguasa (muhasabah al-hukkam), atau memperoleh kekuasaan melalui jalan umat. (Muqaddimah ad-Dustur, hal. 103), sesuai dengan firman Allah SWT di dalam surah ali-Imran ayat 104.

Oleh itu berdasarkan penjelasan di atas ternyata kenyataan yang diberikan oleh Duta Besar Iran ke Malaysia, Profesor Dr. Mohammed Mehdi Zahedi terhadap UMNO itu sebenarnya adalah jauh panggang dari api kerana fakta dan hakikatnya adalah bahawa UMNO itu adalah sebuah parti sekular yang berfungsi sebagai sebuah parti yang mewarisi dan mempertahankan sistem dan undang-undang kufur peninggalan penjajah.