Boikot pilihan raya merupakan satu kebodohan?

Persoalan 8

Memboikot pilihan raya atau merosakkan undi adalah lambang kebodohan dan membuang masa pengundi itu sendiri.

Jawapan:

Secara umumnya kita boleh katakan bahawa kecerdikan dan kebodohan itu diukur berdasarkan ketepatan sesuatu dengan fakta dan juga nas. Jika memperkatakan sesuatu yang tidak ada faktanya, menyalahi fakta, tidak masuk akal atau bertentangan dengan nas, maka hal ini boleh dinilai sebagai sebuah kebodohan.

Sekarang cuba kita tanyakan – Mengundi calon dalam pilihan raya dalam keadaan mengetahui bahawa calon tersebut (atau parti mereka) adalah korup, tidak amanah, mementingkan diri sendiri, kaki rasuah, pembazir, pembelot, pengkhianat – adakah ini merupakan satu kecerdikan atau kebodohan?

Mengundi calon yang sudah berkali-kali mempunyai track record cakap tak serupa bikin, atau dengan kata lain seorang yang hipokrit, adakah ini merupakan satu kecerdikan atau kebodohan?

Mengundi calon yang sudah terbukti atau diyakini tidak mahu, atau tidak akan menerapkan Islam, adakah ini merupakan satu kecerdikan atau kebodohan?

Begitu juga dengan mana-mana parti yang bekerjasama, bertahaluf, bermuafakat atau apa sahaja istilahnya, dengan parti-parti yang lain, kemudian menipu dan ditipu, kemudian bekerjasama lagi, kemudian menipu dan ditipu lagi, kemudian bekerjasama pula dengan parti lain, kemudian bergaduh dan berpecah dan begitulah seterusnya yang berlaku secara berulang-ulang – adakah mengundi calon daripada parti-parti ini dinilai sebagai satu kecerdikan atau kebodohan?

Bukankah Rasulullah (saw) melarang orang-orang beriman daripada dipatuk dari lubang yang sama dua kali?

Oleh yang demikian, memboikot pilihan raya sebenarnya merupakan satu tindakan yang cerdik, yang bukan sahaja dapat menghindar seseorang daripada dipatuk dari lubang yang sama, malah ia memberi satu mesej kepada siapa pun jua, khususnya kepada calon dan parti yang bertanding, dan kepada kerajaan, bahawa ia sudah tidak lagi mempercayai calon, parti, sistem dan undang-undang yang ada yang penuh dengan keburukan.

Apatah lagi jika seseorang itu tidak keluar mengundi kerana sedar bahawa mengundi dalam sistem demokrasi merupakan sebuah keharaman, apabila calon yang diundi melakukan sesuatu yang bertentangan dengan hukum syarak, lalu ia memilih untuk memboikot pilihan raya, maka hal ini amat jelas merupakan sebuah kecerdikan, bukannya kebodohan.

Tindakan memboikot atas kesedaran bahawa pilihan raya dalam sistem demokrasi ini penuh dengan keharaman, maka hal ini sudah tentu selari dengan syarak, dan apa jua perbuatan yang selari dengan syarak bukanlah sebuah kebodohan. Sebaliknya melakukan sesuatu yang bertentangan dengan syarak itulah yang merupakan sebuah kebodohan dan dosa.

Begitu juga dengan seseorang yang sanggup beratur hanya semata-mata untuk merosakkan undi, dengan mengetahui bahawa jika ia tidak merosakkan undi, kemungkinan kertas undinya akan disalah guna oleh pihak-pihak tertentu, maka hal ini juga merupakan sebuah kecerdikan, bukannya kebodohan. Segala usaha dan titik peluhnya beratur di pusat mengundi tidak dikira membuang masa, apatah lagi jika diniatkan untuk mencegah kemungkaran, maka insya Allah akan beroleh pahala. Wallahu a’lam.