Bukan Kecemerlangan Akademik Sahaja Perlu Dikejar
Klinik anjuran bersama Unit Pendidikan Berita Harian itu akan diadakan di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, pada Jumaat dan Sabtu ini.
Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan, JPN, Rooslee Ismail, berkata program bertema ‘Menjana pelajar ke arah kecemerlangan akademik’ itu membabitkan sekolah rendah dari seluruh negeri itu.
Katanya, sepanjang program peserta akan menginap dan mengikuti klinik di UUM, manakala majlis perasmian disempurnakan isteri Naib Canselor UUM, Sabariah Mohd Sharif. Rooslee berkata, program kali kedua ini diadakan berikutan perkembangan positif diperoleh calon yang menyertai program sama tahun lalu.
“Proses kecemerlangan akademik seharusnya tidak dijadikan halangan pelajar yang ibu bapa mereka berpendapatan rendah dan hal ini terbukti dengan pencapaian cemerlang golongan berkenaan,” katanya.
“Atas kesedaran itu pihaknya mengambil inisiatif menganjurkannya, selain Seminar PMR dan SPM yang turut mendapat sokongan Pejabat Pembangunan Ekonomi Negeri Kedah dan Jabatan Perdana Menteri,” katanya.
ULASAN
Jabatan Pendidikan Negeri begitu bersungguh-sungguh di dalam usaha mereka membawa pelajar ke arah kecemerlangan akademik, namun, jarang sekali kita mendengar usaha bersungguh -sungguh dijalankan untuk menjadikan para pelajar cemerlang di dalam syakhsiah mereka. Kalau adapun, sekadar melepaskan batuk di tangga, sebagai ‘pelengkap’ kepada subjek lain yang lebih ‘penting’ … tidaklah serancak program akademik yang dijalankan saban tahun dengan peruntukan yang bukan sedikit.
Tidak sukar untuk memahami mengapa ini berlaku. Dunia hari ini yang sekular dan kapitalis berjalan dengan pandangan yang cukup sempit. Kehidupan dunia adalah segala-galanya bagi ideologi rosak ini. Akibatnya, segala polisi, termasuklah polisi pelajaran diarahkan kepada pemenuhan kehendak dunia semata-mata. Pada pandangan pendokongnya, jika mereka (dan anak-anak mereka) gagal bererti gelaplah masa depan dunia mereka. Mereka akan rasa kerdil, hina dan perasaan rendah diri sentiasa menghantui mereka. Begitulah tanggapan kejayaan dunia yang diukur dengan kecemerlangan akademik yang dimiliki oleh pendokong ideologi rosak ini.
Ini bukanlah bermakna kecemerlangan akademik tidak perlu dititikberatkan. Namun, apa yang perlu diperhatikan adalah meskipun para pelajar berjaya dengan penuh gemilang dalam akademik, tetapi jika aqidah dan syakhsiah mereka tandus dan gersang, maka semakin ramai lagilah yang akan hanyut dalam bah hawa nafsu keduniaan. Apa yang perlu ditekankan adalah, ilmu Islam itu seharusnya menjadi asas kepada sistem pendidikan itu sendiri dan kemudian, barulah ilmu-ilmu akademik yang lainnya dibina di atas asas ini. Apa yang diperlukan adalah usaha yang benar dan ikhlas ke arah memartabatkan SYAKHSIAH pelajar-pelajar kita dengan ISLAM yang telah terbukti cemerlang gemilang dan terbilang selama puluhan abad. Selama ini kita dipapah oleh ideologi kapitalisme yang uzur dan akibat dari itu, seluruh rakyat menerima kesannya hasil dari sistem pendidikan yang tidak ada arah tuju dan thariqah yang jelas dan terfokus…ibarat si buta yang meraba sang gajah. Firman Allah SWT,
“..walhal kamulah umat yang paling tinggi (kedudukannya dan syakhsiahnya) jika kamu benar-benar beriman (iman dan amal mengikut syariat ALLAH, Tuhan pencipta kamu yang mengetahui semua keperluan kamu)” [al-Imran 139]
“(Sibghah (Deen) kami adalah) Sibghah Allah, siapa (sibghah mana) yang lebih baik dari (sibghah) Allah? Dan kami merupakan hamba-hambaNya” [al-Baqarah 138]