COVID-19: Antara Muhasabah Dan Mencari Salah

Negara kini sedang berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai salah satu langkah bagi membendung penularan wabak Covid-19. Di sepanjang tempoh tersebut, rakyat dinasihatkan supaya mengurangkan pergerakan melainkan bagi tujuan yang benar-benar mustahak, di samping arahan kerajaan untuk menutup agensi kerajaan dan swasta kecuali beberapa sektor tertentu yang penting sahaja dibenar beroperasi. Dalam tempoh ini, semua aktiviti keramaian turut disekat bagi mengurangkan risiko penyebaran wabak, termasuklah aktiviti keagamaan seperti solat Jumaat dan solat jemaah di masjid.

Dalam menghadapi ancaman wabak ini, kerjasama semua pihak adalah sangat penting. Namun dalam masa yang sama kita menyaksikan perbalahan di media sosial apabila ada pihak yang cuba menuduh dan menyalahkan pihak lain kerana tersebarnya wabak ini. Seharusnya setiap pihak berusaha untuk mencegah dan memberikan kerjasama sebaik mungkin dalam menangani musibah yang melanda, termasuklah sumbangan kepakaran mahupun mematuhi PKP bagi memutuskan rantaian jangkitan.

Kita tidak nafikan ada pihak yang bersalah atau melakukan kelalaian. Jadi di sinilah perlunya ada proses muhasabah, bukan sekadar menuding jari untuk mencari kesalahan semata-mata, tetapi sekali gus untuk memberikan penyelesaian. Contohnya mereka yang mempunyai gejala namun tidak melakukan saringan memang seharusnya dipersalahkan, dan diberi peringatan. Begitu juga dengan mereka yang telah berada di suatu tempat keramaian yang ternyata telah ada kes positif Covid-19 di situ, tetapi tetap berdegil enggan pergi melakukan pemeriksaan. Semua ini perlu dimuhasabah kerana tindakannya boleh membahayakan orang lain di sekelilingnya, sedangkan Islam tidak membenarkan kita membahayakan orang lain.

Tidak kurang pentingnya di sini ialah tindakan kerajaan yang tidak mengambil serius kes ini di peringkat awal apabila tetap membenarkan kemasukan pelancong dari China, tempat asal wabak. Tindakan ini memang salah dan wajib dimuhasabah. Apatah lagi pada waktu itu, terdapat kelompok politik yang sedang berusaha “merampas” kuasa sehingga keadaan di Malaysia menjadi kelam kabut, sehingga mewujudkan vakum kekuasaan. Akhirnya wabak dengan mudah masuk ke negara ini kerana pintu masuk negara yang longgar hasil karenah ahli politik yang “gila kuasa” yang menyebabkan perhatian negara tertumpu kepada kemelut yang melanda.

Justeru, perlu dibezakan antara proses mencari salah dan memuhasabah, walaupun ada kaitan di antara keduanya. Muhasabah wajib terus dilakukan kerana ia merupakan tuntutan syarak, apatah lagi jika dengan muhasabah tersebut wujudnya penambahbaikan situasi. Sedangkan mencari salah semata-mata tidak akan menyelesaikan masalah, sebaliknya boleh menambahkan lagi masalah.

Proses muhasabah kebiasaannya mengetengahkan akar permasalahan, lalu disertakan dengan langkah penyelesaian bagi memperbaiki kesilapan yang dilakukan. Fokusnya lebih kepada menerangkan kesalahan dan sekali gus mencari atau memberikan jalan keluar, bukan sekadar menuduh atau menjatuhkan hukum melalui ‘mahkamah persepsi’.

Di sinilah pentingnya umat Islam secara umumnya, dan gerakan Islam secara khususnya untuk memainkan peranan dalam memantau dan memuhasabah seandainya terdapat pengabaian dari segi tanggungjawab, apatah lagi jika dilakukan oleh negara. Manakala pihak yang dimuhasabah pula sewajarnya bersikap terbuka dan mengambil tindakan yang sebetulnya setelah melihat kebenaran yang disampaikan. Seringkali pihak yang dimuhasabah merasa tercabar egonya sehingga tidak mahu mengakui kesalahan dan sebaliknya menyerang balas pihak yang memuhasabah. Sikap sebegini tidak sepatutnya ada pada umat Islam kerana akan hanya mengundang musibah dan mendatangkan dosa, selain menjauhkan kita daripada mencapai penyelesaian yang benar.

Selain muhasabah, tazkirah atau peringatan juga perlu diberikan kepada orang ramai terutamanya ketika kita sedang diuji dengan krisis sebegini. Antaranya termasuklah dari segi memahami konsep takdir, tawakal serta hukum sababiyyah (sebab-akibat). Di sinilah letaknya peranan para pendakwah dalam meluruskan kekeliruan umat Islam. Umat ini perlu dididik dengan tsaqafah Islam yang benar agar kefahaman dan kehidupan mereka terbimbing, tanpa mengetepikan peranan sains dan teknologi yang merupakan sebahagian daripada aspek madaniyah.

Di saat para petugas kesihatan dan agensi-agensi berwajib bertungkus-lumus memerangi penularan wabak Covid-19, marilah kita bersama-sama memainkan peranan masing-masing dalam memberi peringatan dan melaksanakan tugas muhasabah ke atas sebarang bentuk perlanggaran yang berlaku. Sikap taksub, pantang ditegur, dan kekeliruan dalam memahami nas dan menilai realiti (manath) perlu ditangani dalam rangka untuk menyelesaikan masalah. Bukan sahaja dalam situasi menghadapi wabak Covid-19 ini, bahkan dalam apa juga aspek kehidupan kita. Firman Allah (swt),

“Dan tetaplah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan manfaat kepada orang-orang yang beriman [TMQ az-Zaariyat (51): 55].

Wallahu a’lam.

Editor.