Covid-19: Apakah maksiat, dan maksiat terbesar yang perlu dihapuskan? (Siri 4 – Akhir)

Apabila disebut “maksiat”, ramai yang masih salah faham dan gagal memahami maksudnya yang sebenar. Ramai yang beranggapan bahawa maksiat hanya meliputi zina, judi, minum arak, ikhtilat (percampuran antara lelaki-perempuan), pesta-pesta joget, kelab-kelab malam, disko dan seumpamanya. Sedangkan maksud maksiat jauh lebih besar dari itu. Maksiat (derhaka) bermaksud apa sahaja perbuatan mahupun lisan yang melanggar perintah Allah (swt). Ia termasuklah membunuh, mencuri, menculik, bercakap bohong, menipu, memakan harta dengan cara batil, rasuah, penyelewengan kuasa, terlibat dalam transaksi riba, anak yang derhaka pada ibu bapa, isteri yang derhaka pada suami, pemimpin yang tidak membenarkan rakyatnya solat Jumaat, pemimpin yang menzalimi rakyat dan seumpamanya, semua ini adalah maksiat.

Selain itu, berdiam diri juga boleh masuk dalam kategori maksiat iaitu berdiam diri daripada menunaikan kewajipan, atau dengan kata lain tidak melakukan kewajipan. Contohnya tidak solat, tidak berpuasa, tidak membayar zakat, tidak menunaikan haji sedangkan mampu, tidak menunaikan nafkah pada keluarga, tidak mempedulikan kedua orang tua, tidak mempedulikan jiran yang kesusahan, tidak berdakwah dan sebagainya. Antara kemaksiatan berdiam diri yang paling besar ialah berdiam diri daripada melakukan amar makruf nahi mungkar. Berdiam diri daripada melakukan amar makruf nahi mungkar inilah yang menjadi penyebab kepada banyaknya kemaksiatan lainnya, di samping mengundang azab Alllah (swt) ke atas kita semua.

Kewajipan Amar Makruf Nahi Mungkar Dan Akibat Melalaikannya

Sungguh banyak perintah untuk umat Islam melakukan amar makruf nahi mungkar baik di dalam Al-Quran mahupun hadis. Namun apa yang ingin difokuskan di sini ialah peringatan tegas daripada Rasulullah (saw) akan azab Allah (swt) apabila umat Islam berdiam diri daripada melakukan amar makruf nahi mungkar. Dari Abu Sa’id al-Khudri (ra), bahawa Rasulullah (saw) bersabda:

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ اْلإِيْمَانِ

“Siapa sahaja di antara kalian yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia merubahnya dengan tangannya. Jika tidak mampu, maka dengan lisannya. Jika tidak mampu, maka dengan hatinya, dan itulah (dengan hati) selemah-lemah iman” [HR Muslim & Ahmad].

Apabila seseorang itu tidak melakukan amar makruf nahi mungkar, sedangkan ia mampu melakukannya, maka ia bukan sahaja berdosa kerana berdiam diri daripada melakukan kewajipan, malah hasil daripada berdiam diri inilah yang menyebabkan Allah (swt) menurunkan azab-Nya kepada dirinya, dan kepada semua orang. Rasulullah (saw) bersabda:

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ لَا يُعَذِّبُ الْعَامَّةَ بِعَمَلِ الْخَاصَّةِ حَتَّى يَرَوْا الْمُنْكَرَ بَيْنَ ظَهْرَانَيْهِمْ وَهُمْ قَادِرُونَ عَلَى أَنْ يُنْكِرُوهُ فَلَا يُنْكِرُوهُ فَإِذَا فَعَلُوا ذَلِكَ عَذَّبَ اللَّهُ الْخَاصَّةَ وَالْعَامَّةَ

“Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla tidak akan mengazab masyarakat secara umum kerana perbuatan orang-orang tertentu, kecuali jika mereka (masyarakat) melihat kemungkaran di tengah-tengah mereka, sementara mereka mampu mencegahnya, tetapi mereka tidak mencegahnya. Jika mereka melakukan demikian (tidak mencegah kemungkaran), Allah mengazab orang-orang tertentu itu dan masyarakat secara umumnya” [HR Ahmad]

Lebih buruk, tatkala Allah (swt) menurunkan azab-Nya, kemudian mereka berdoa agar Allah (swt) mengangkat azab itu, tetapi Allah (swt) tidak memperkenannya, sebagaimana sabda Rasulullah (saw):

 وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَتَأْمُرُنَّ بِالْمَعْرُوفِ وَلَتَنْهَوُنَّ عَنْ الْمُنْكَرِ أَوْ لَيُوشِكَنَّ اللَّهُ أَنْ يَبْعَثَ عَلَيْكُمْ عِقَابًا مِنْهُ ثُمَّ تَدْعُونَهُ فَلَا يُسْتَجَابُ لَكُمْ

“Demi Dzat Yang jiwaku ada dalam genggaman-Nya, sungguh kalian hendaklah melakukan amar makruf nahi mungkar, atau Allah pasti akan menimpakan seksa, kemudian kalian berdoa kepada Allah, dan doa itu tidak dikabulkan untuk kalian” [HR. Tirmizi].

Rasulullah (saw) telah memberikan gambaran yang jelas bagaimana kehidupan sebuah masyarakat yang tidak melakukan amar makruf nahi mungkar, yang akan menjahanamkan masyarakat itu sendiri secara keseluruhannya. Sabda baginda (saw),

مَثَلُ الْقَائِمِ فِيْ حُدُوْدِ اللهِ وَالْوَاقِعِ فِيْهَا كَمَثَلِ قَوْمٍ اِسْتَهَمُوْا عَلَى سَفِيْنَةٍ فَصَارَ بَعْضُهُمْ أَعْلاَهَا وَبَعْضُهُمْ أَسَفْلَهَا، وَكَانَ الَّذِيْنَ فِيْ أَسْفَلِهَا إِذَا اِسْتَقُوْا مِنْ الْمَاءِ مُرُوْراً عَلَى مَنْ فَوْقَهُمْ، فَقَالُوْا: لَوْ أَنَا خَرَقْنَا فِيْ نَصِيْبِنَا خَرْقاً وَلَمْ نُؤَذِ مَنْ فَوْقَنَا ، فَإِذَا تَرَكُوْهُمْ وَمَا أَرَادُوْا هَلَكُوْا جَمِيْعاً ، وَإِنْ أَخَذُوْا عَلَى أَيْدِيْهِمْ نَجُوْا وَنَجُوْا جَمِيْعاً

“Perumpamaan orang-orang yang menegakkan hukum-hukum Allah dan orang-orang yang melanggarnya bagaikan suatu kaum yang berbahagi-bahagi tempat dalam sebuah kapal. Sebahagian mereka berada di bahagian atas kapal, dan sebahagian yang lain berada di bahagian bawahnya. Orang-orang yang berada di bahagian bawah, apabila ingin mengambil air, akan melewati orang-orang yang berada di atas mereka. Mereka berkata, “Seandainya kita lubangi sahaja bahagian kita daripada kapal ini, nescaya kita tidak akan mengganggu orang-orang yang berada di atas kita.” Apabila mereka semua membiarkan orang-orang (di bawah) tersebut menunaikan keinginannya, nescaya mereka semua akan binasa. Jika  mereka mencegah orang-orang tersebut, nescaya mereka semua akan selamat dan menyelatkan semuanya” [HR Bukhari].

Kesemua hadis di atas menunjukkan wajibnya melakukan amar makruf nahi mungkar, dan salah satu punca kepada turunnya azab Allah (swt) ialah kerana diamnya umat Islam daripada melakukan kewajipan tersebut tatkala mereka melihatnya, sedangkan mereka mampu melakukannya.

Amar Makruf Nahi Mungkar Yang Terbesar

Antara penting yang mesti diberi perhatian oleh setiap Muslim ialah kewajipan melakukan amar makruf nahi mungkar yang terbesar, iaitu terhadap penguasa yang memaksiati Allah (swt), yang menyalahgunakan kuasa, yang rasuah, yang membazir, yang zalim, yang tidak mengurus rakyat dengan Islam, yang tidak berhukum dengan hukum Allah (swt) dan pelbagai lagi. Hasil daripada kemaksiatan penguasa inilah, segala maksiat lainnya merajalela dalam masyarakat dan dalam negara, yang kesemuanya menjadi asbab kepada kemurkaan Allah (swt).

Rasulullah (saw) meletakkan sebesar-besar pahala kepada mereka yang melakukan amar makruf nahi mungkar terhadap penguasa sebagai jihad yang paling utama.

أَفْضَلُ الْجِهَادِ كَلِمَةُ عَدْلٍ عِنْدَ سُلْطَانٍ جَائِرٍ

“Jihad yang paling afdhal adalah menyampaikan kebenaran di hadapan penguasa zalim” [HR Abu Daud dan Ibnu Majah].

Sekiranya seseorang itu dibunuh oleh penguasa tersebut kerana amar makruf nahi mungkar yang dilakukannya terhadap penguasa tersebut, maka Rasulullah (saw) menjelaskan bahawa ganjaran baginya adalah penghulu syuhada’,

سَيِّدُ الشُّهَدَاءِ حَمْزَةُ بن عَبْدِ الْمُطَّلِبِ، وَرَجُلٌ قَامَ إِلَى إِمَامٍ جَائِرٍ، فَأَمَرَهُ وَنَهَاهُ فَقَتَلَهُ

“Penghulu para syuhada’ adalah Hamzah bin Abdul Muthalib dan seseorang yang berdiri di hadapan penguasa yang zalim, kemudian ia menyuruh pemerintah itu (melakukan kebaikan) dan melarang pemerintah itu (daripada melakukan kemungkaran), kemudian ia dibunuh (oleh pemerintah itu)” [HR al-Hakim].

Penutup

Wahai kaum Muslimin! Dalam rangka kita berusaha untuk memutuskan rantaian Covid-19 ini dengan pelbagai usaha sababiyyah (sebab-akibat) seperti perintah kawalan pergerakan, penjarakan sosial, memakai hand sanitizer, memakai topeng, terowong sanitasi, berusaha mencipta vaksin dan sebagainya, janganlah sekali-kali kita lupa bahawa kemaksiatan yang merajalela dalam negara ini turut perlu diputuskan kerana ia menjadi punca kepada musibah yang diturunkan oleh Allah (swt) ke atas kita semua.

Zina dan riba adalah antara kemaksiatan yang dijelaskan secara nyata dalam hadis. Maka ayuhlah kita putuskan rantaian riba dengan berhenti daripada transaksi riba (bagi yang telah terlibat) dan jangan sesekali terlibat dalam transaksi riba (bagi yang belum). Ayuh kita putuskan rantaian kemaksiatan riba ini. Tinggalkanlah “peperangan” dengan Allah (swt) dan Rasul-Nya (saw) ini segera, kerana dosanya terlalu besar. Begitu juga dengan zina. Jagalah diri, keluarga dan orang sekeliling kita daripada zina.

Dalam masa yang sama, ayuh kita tolak ulama su’ yang ada dalam masyarakat kerana Rasulullah (saw) telah menjelaskan bahawa mereka menjadi punca kepada kebinasaan masyarakat. Kenal pasti ulama ini dengan ciri-ciri yang telah disebut oleh Rasulullah (saw), jangan berpegang kepada mereka kerana mereka akan membawa kepada kecelakaan. Ayuh, tolaklah mereka, di samping terus melakukan muhasabah terhadap mereka, dengan harapan mereka akan berubah menjadi ulama yang ikhlas dan takutkan Allah (swt).

Seterunya, jangan lupa tanggungjawab terbesar kita sebagai Muslim, untuk melakukan amar makruf nahi mungkar dalam masyarakat, dan yang lebih penting melakukan amar makruf nahi mungkar terhadap penguasa yang tidak menerapkan hukum Allah (swt). Penguasa yang mencampakkan hukum Allah (swt) dan menerapkan sistem kufur dan undang-undang sekular yang berasal dari Barat inilah yang menjadi punca terbesar kepada turunnya azab Allah (swt) ke atas kita semua. Manakala apabila kita pula berdiam diri dengan kemaksiatan para penguasa ini, ingatlah bahawa kita sebenarnya turut menjadi punca kepada turunnya azab Allah (swt). Na’uzubillah min zalik. Maka, ayuh kita memuhasabah penguasa ini dan dalam masa yang sama kita berusaha untuk menggantikan sistem kufur ini dengan penerapan syariah dan Khilafah, agar kesejahteraan dan rahmat Allah (swt) kembali menaungi kita semua.

Semoga dengan kita memutuskan rantaian maksiat ini, dan kita kembali patuh kepada perintah dan larangan Allah (swt), maka Allah (swt) berkenan untuk mengangkat wabak Covid-19 ini.

Wallahu a’lam.