Dakwah bukan sekadar tanggungjawab individu dan kelompok Muslim, bahkan menjadi polisi utama negara Islam
Kehadiran Dr Zakir Naik (DZN) dalam siri ceramahnya di beberapa tempat di Malaysia telah berjaya mengIslamkan beberapa orang non-Muslim yang hadir serta mengajukan soalan kepada beliau. Kepetahannya berhujah dalam bab perbandingan kitab memang tidak dapat dinafikan.
Sesungguhnya dakwah kepada Islam merupakan suatu kewajipan terbesar dan mulia di sisi Islam yang dipuji oleh Allah SWT,
“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, dan mengerjakan amal soleh, seraya berkata, ‘Sesungguhnya aku adalah dari kalangan orang-orang Islam (yang berserah kepada Allah)” [TMQ Fussilat (41):33].
Perlu diketahui bahawa dakwah kepada agama Allah tidak hanya terfokus kepada masalah akidah kerana Islam datang dalam satu pakej yang lengkap merangkumi semua aspek kehidupan baik politik, ekonomi, pendidikan, pergaulan, dasar luar negeri, jihad dan lain-lain.
Walaupun setiap pendakwah mempunyai kemahiran masing-masing dalam disiplin ilmu yang mereka pelajari, namun sewajarnya mereka membekalkan diri dengan pakej Islam yang lengkap bagi menjawab pelbagai persoalan manusia, baik Muslim mahupun bukan.
Memang kita gembira setiap kali non-Muslim mengucap syahadah. Namun kadang-kadang kegembiraan kita hanya bersifat sementara apabila ternyata muallaf tersebut tidak mengamalkan Islam sepenuhnya hasil kelemahan kita yang tidak melakukan follow-up dan membimbing mereka ke jalan Islam secara kaffah.
Seringkali kita mendengar atau melihat non-Muslim yang telah memeluk Islam, tetapi tetap tidak solat dan tidak menutup aurat dengan betul. Lebih buruk, ada juga yang masih meneruskan keharaman seperti biasa dan pergi ke rumah ibadat mereka seperti biasa dan menjalani kehidupan yang langsung tidak berubah seperti sebelumnya. Ini semua kerana sikap sesetengah kita yang hanya fokus untuk mengIslamkan orang kafir tetapi tidak disusuli dengan bimbingan yang sepatutnya bagi memastikan akidah dan syaksiyyahnya benar-benar mantap.
Natijah dari semua itu akan menghasilkan umat Islam yang disifatkan oleh Rasulullah sebagai ramai tetapi umpama buih. Lebih buruk, berapa ramai dari kalangan orang-orang kafir yang memeluk Islam akhirnya kembali murtad kerana tiadanya bimbingan berterusan dari pihak yang mengIslamkannya mahupun dari Muslim yang lain.
Atas dasar inilah, betapa pentingnya usaha dakwah itu dilakukan oleh setiap individu Muslim, bukan hanya oleh individu-individu tertentu ataupun kumpulan-kumpulan tertentu, kerana tanggungjawab dakwah sememangnya wajib dipikul oleh setiap Muslim. Cumanya, setiap Muslim itu wajib membekalkan diri masing-masing dengan tsaqafah Islam sebanyaknya dalam rangka melakukan tugas dakwah yang mulia ini.
Atas dasar ini juga, betapa pentingnya usaha dakwah itu dilakukan oleh negara. Negara yang memiliki kapasiti yang lebih besar dengan segala kekuatannya, sudah pasti akan dapat melakukan dakwah dan follow-up, khususnya kepada non-Muslim dengan jayanya. Bayangkan jika seorang individu sahaja dapat mengIslamkan ratusan orang kafir, apatah lagi jika usaha pengIslaman itu dilakukan oleh negara dengan sungguh-sungguh. Firman Allah SWT,
“Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan dan engkau melihat manusia masuk ke dalam agama Allah berbondong-bondong” [TMQ al-Nasr (110):1-2].
Sesungguhnya dakwah merupakan salah satu daripada polisi utama dalam siyasah kharajiyah (dasar luar) bagi sebuah negara Islam, di samping jihad futuhat dalam meninggikan agama Allah.
Di samping itu, penerapan syariah yang sempurna di bawah Negara Islam (Khilafah) turut mampu menjamin kesejahteraan warganya, baik Muslim mahupun non-Muslim yang pasti dapat dan merealisasikan objektif penerapannya (maqasid syariah), sekali gus membawa rahmat ke seluruh alam.
Penerapan syariah secara langsung dapat memaparkan keindahan Islam dan mampu membuka hati nurani golongan bukan Islam untuk menganut Islam dengan sendirinya.
Namun malangnya pada hari ini, Islam tidak diterapkan secara kaffah oleh pemerintah dan diganti dengan sistem demokrasi sekular, bahkan kesucian Islam sering dicemari dengan sikap segelintir umat Islam sendiri yang mencampur-adukkannya dengan idea-idea sekular dan juga tsaqafah Barat.
Natijahnya, Islam tidak lagi dilihat sebagai satu-satunya deen yang menjamin kesejahteraan. Apatah lagi dalam sistem demokrasi-sekular-kapitalisme hari ini, yang menyaksikan Islam ditafsirkan sebagai ibadah mahdhah semata-mata sehingga menyebabkan kelompok bukan Islam gagal melihat Islam sebagai sebuah ideologi yang mampu menangani segenap permasalahan manusia.
Justeru, di samping usaha murni mengajak non-Muslim agar memeluk Islam, setiap Muslim juga berkewajipan dalam melakukan amar makruf nahi mungkar, memuhasabah penguasa dan berjuang untuk menukar sistem demokrasi kufur ini dengan mengembalikan semula Negara Khilafah Islamiyyah.
Melalui Negara Khilafah, Insya Allah cahaya Islam akan tersebar menerangi segenap penjuru dunia, sebagaimana suatu ketika dahulu Khilafah telah menerangi dunia dengan cahaya Islam.
Wallahu a’lam.