Daulah Islam dan isu anti-vaksin

Tatkala negara sedang rancak untuk melaksanakan Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, muncul satu isu dalam kalangan masyarakat iaitu terdapat segelintir daripada rakyat yang menolak pelan ini. Perdebatan mengenai vaksin berlegar-legar dalam media sosial sehingga menarik perhatian pihak pemerintah. Mereka yang menentang pengambilan vaksin ini digelar sebagai golongan anti-vaksin oleh masyarakat. Pelbagai perkara dibahaskan oleh golongan yang menyokong mahu pun yang menentang vaksin sehingga kecoh di pentas media. Sama ada suka atau tidak, perdebatan ini secara tidak langsung telah berjaya mengumpul kelompok mereka sendiri sehingga kerajaan merasa tergugat dengan pelan yang dirancang.

Bukan itu sahaja, golongan yang sebelum ini tidak mempunyai pendirian pun sedikit sebanyak telah terpengaruh dengan maklumat dan pembahasan yang berlegar sehingga ada yang tidak lagi berminat untuk mengambil suntikan vaksin. Melihatkan hal ini menjadi semakin ketara, golongan profesional seperti para doktor, ahli akademik, termasuk agamawan, selebriti, dan pemimpin telah “dikerah” untuk menjawab segala isu yang berkaitan dengan anti-vaksin. Indikator yang jelas dari isu ini dapat dilihat dari jumlah rakyat Malaysia yang mendaftar untuk vaksinasi yang baru mencecah 2 juta (ketika artikel ini sedang ditulis) sedangkan sasaran kerajaan adalah untuk mencapai 26.5 juta iaitu 82.8% dari populasi penduduk Malaysia, ternyata masih sangat jauh dari sasaran.

Antara isu yang diketengahkan oleh golongan anti-vaksin adalah mengenai status halal pada vaksin tersebut. Isu ini memang wajar diperhatikan kerana pengeluar vaksin berasal dari negara kafir. Umum juga mengetahui bahawa vaksin yang diguna untuk rakyat Malaysia dibeli dari beberapa pengeluar dari beberapa buah negara. Antara negara yang mengeluarkan vaksin ialah Amerika Syarikat (Pfizer-BioNtech), United Kingdom (AstraZeneca), China (Sinovac & CanSino Biologics), dan Russia (Sputnik 5). Setiap pengeluar mempunyai mekanisme teknologi tersendiri yang digunakan di dalam vaksin untuk mencegah penyebaran COVID-19.

Memandangkan vaksin adalah produk yang berprofil tinggi pada ketika ini, maka seharusnya semua negara termasuk para pengeluar untuk berhati-hati dalam menghasilkan vaksin agar dapat diterima pakai oleh semua pihak termasuk isu keselamatan, keberkesanan, “kehalalan” dan sebagainya. Namun, oleh kerana syarikat pengeluar vaksin biasanya merupakan syarikat kapitalis gergasi, orientasi keuntungan sudah pasti tidak dapat dipisahkan daripada mereka. Realitinya, negara-negara pengeluar vaksin ini dapat mengaut keuntungan berlipat kali ganda daripada pembuatan ini sekali gus meningkatkan ekonomi mereka.

Sebagai seorang Mukmin yang mengambil tahu urusan umat Islam, kita harus mempunyai fikiran politik yang cerdas dalam isu ini dan kena sentiasa berfikir kritis. Kita seharusnya berfikiran jauh dan tidak boleh hanya berdiam diri. Antara persoalan kritikal yang seharusnya ada dalam benak kita ialah, di manakah negara kaum Muslimin yang mengeluarkan vaksin? Kenapa negara umat Islam, termasuk Malaysia, tidak mampu untuk mengeluarkan vaksin sendiri? Sampai bila kita akan bergantung sepenuhnya pada negara kafir dalam hal ini?

Walaupun kita tidak menafikan bahawa untuk menghasilkan satu-satu vaksin tidaklah mudah, namun persoalannya, sampai bila umat Islam harus terkebelakang dalam hal ini? Apakah usaha-usaha yang dilakukan oleh negara umat Islam, setidaknya untuk memulakan langkah awal ke arah ini?

Tanggungjawab Negara

Antara tanggungjawab Negara Islam (Khilafah) ialah memastikan setiap warganya mendapat hak-hak asas seperti pendidikan, keselamatan, kesihatan dan pekerjaan. Tanggungjawab Khilafah yang penting ialah memastikan keperluan asas setiap individu rakyat terpenuhi, iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal. Dalam isu wabak COVID-19, setiap warga berhak untuk mendapatkan kesihatan yang baik, dan percuma, dan berhak mendapat jaminan kehidupan yang sihat iaitu selamat daripada penyakit.

Dalam konteks ini, penggunaan vaksin sebagai ubat yang digunakan untuk mencegah penularan wabak, merupakan salah satu kaedah dalam perubatan, dan hal ini mesti diperhatikan oleh Khilafah dengan serius. Teknologi perubatan adalah salah satu elemen penting yang tidak boleh diabaikan dalam pemerintahan negara.

Antara perkara penting juga ialah, Daulah Islam seharusnya mandiri dalam teknologi ini dan tidak bergantung kepada negara lain. Ini bukan sahaja bagi memastikan keperluan perubatan yang cukup untuk warganegara, tetapi lebih penting agar Daulah Islam tidak perlu tunduk atau bergantung kepada negara atau orang-orang kafir dalam hal sepenting perubatan ini. Sejarah telah membuktikan bahawa keupayaan umat Islam dalam teknologi perubatan tidak dapat dipertikaikan, malah menjadi rujukan kepada negara lain. Malangnya sejak keruntuhan Khilafah, keadaan sudah berubah.

Sesungguhnya tatkala Daulah Islam masih belum tertegak ini pun, kita mempunyai ramai saintis, pakar dan ilmuwan Islam di serata dunia pada masa kini yang mampu menghasilkan banyak kejayaan dalam pelbagai bidang, termasuk perubatan dan vaksin. Malangnya potensi mereka ini telah “dirampas” oleh negara kafir, kerana ketidakpedulian dan kelalaian yang dilakukan oleh pemerintah Muslim dalam hal ini.

Hubungan Negara-Rakyat

Dalam isu vaksin ini dan isu kesihatan secara umumnya,  selain pemerintah, warganegara juga turut bertanggungjawab dalam proses penjagaan kesihatan. Kedua-dua pihak perlu memainkan tanggungjawab masing-masing, dan apa yang penting ialah tanggungjawab itu wajib dilaksanakan berdasarkan syariat yang telah Allah (swt) tetapkan.

Daulah Islam mesti bersandar kepada hukum syarak sepenuhnya dalam mengatur dan  menjaga warganya, bukan bersandar kepada keuntungan atau mentaliti untuk meraih sokongan bagi terus berkuasa. Manakala di sudut lain, setiap warganegara juga mesti berpegang kepada hukum syarak, bukannya berpegang kepada teori konspirasi atau berpegang kepada pendapat yang disukai semata-mata. Ringkasnya, kedua-dua pihak hendaklah saling memainkan peranan masing-masing dalam berusaha untuk melawan penyakit berdasarkan hukum Islam. Selebihnya perlu berdoa dan bertawakal kepada Allah (swt). Inilah peranan dan hubungan yang seharusnya terbina di antara negara dan warganya.

Negara wajib menjaga kesihatan rakyatnya termasuklah berusaha membuat vaksin atau mengimport vaksin jika perlu. Negara wajib mengawal pandemik daripada menular dan dalam masa yang sama wajib mengubati mereka yang sakit, dengan percuma. Manakala bagi rakyat, perlu memahami bahawa hukum berubat menurut Islam ialah sunat, dan pengambilan vaksin merupakan salah satu cara berubat. Jika kandungan vaksin mengandungi unsur-unsur yang haram, maka hukum berubat menggunakan unsur-unsur haram menjadi makruh. Berbeza jika terbukti vaksin tersebut menyebabkan bahaya, maka pada waktu ini hukum mengambilnya adalah haram. Justeru, dalam sebuah Negara Islam, tidak akan timbul isu atau golongan anti-vaksin apabila umat Islam telah memahami hukum syarak mengenai perubatan.

Negara seharusnya berusaha untuk mencari sumber yang halal terlebih dahulu, sebelum mendapatkan sumber yang haram untuk tujuan perubatan. Setelah vaksin dijumpai, maka rakyat diberikan vaksin secara percuma dan negara tidak boleh memaksa rakyat untuk menerima suntikan vaksin, sesuai dengan hukum berubat itu sendiri. Manakala rakyat pula tidak perlu bersangka buruk dengan negara, setelah negara bertungkus lumus mencipta atau mencari vaksin dengan mematuhi hukum Islam. Inilah hukum yang perlu difahami oleh kedua-dua pihak, negara dan warganya. Dengan pemahaman yang benar dan jernih seperti ini, maka akan wujud hubungan baik dan saling mempercayai antara pemerintah dan rakyat.

Namun demikian, dalam situasi hari ini di mana kapitalisme menguasai dunia, dan pemerintah pula korup serta hanya berfikir untuk berkuasa dan menang pilihanraya, hubungan baik antara pemerintah dan rakyat tidak lagi wujud, yang menjadikan pelan pemvaksinan ini sangat sukar dan gagal mencapai matlamat. Pemerintah tidak berhukum dengan hukum Allah (swt), dan dalam masa yang sama, sebahagian rakyat juga tidak berpegang kepada hukum Allah (swt). Maka apa yang wujud ialah satu keadaan yang mana pihak-pihak saling mempersalahkan dan mencurigai satu sama lain. Pemerintah menyalahkan rakyat dan rakyat menyalahkan pemerintah, dan kedua-dua pihak saling tidak mempercayai. Situasi ini sudah pasti akan berterusan selagi Islam tidak diterapkan.

Realitinya, walaupun dalam keadaan tidak ada Negara Islam yang mengatur umat ini pun, umat Islam ternyata mempunyai kepakaran dan telah terbukti berjaya dalam banyak bidang teknologi di seluruh belahan dunia. Maka apatah lagi jika adanya sebuah negara (Khilafah) yang akan mempersatukan dan mengatur umat Islam dengan sistematik, mementingkan dan menggalakkan segala bentuk kemajuan teknologi (termasuk perubatan), maka Khilafah sudah pasti akan menjadi sebuah negara yang jauh lebih hebat berbanding negara lainnya. Dengan dorongan akidah Islam yang menggalakkan pengembangan ilmu dan teknologi demi kesejahteraan manusia, dan demi menjaga diri daripada musuh yang sentiasa mencari jalan untuk melemahkan umat Islam, sudah pasti umat Islam akan jauh ke depan berbanding kaum lain.

Kesimpulan

Hakikat yang perlu diterima ialah, segala kemelut di dunia ini termasuklah isu COVID-19 hanya dapat ditamatkan jika semua pihak, khususnya pemerintah, kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah, kerana inilah satu-satunya jalan keluar dari semua kemelut. Untuk menerapkan hukum al-Quran dan as-Sunnah, mahu tidak mahu, umat Islam memerlukan sebuah negara (Khilafah) dan tidak ada cara lain lagi. Umat Islam perlu sedar bahawa Allah (swt)-lah yang menurunkan wabak ini dan Dia-lah yang mengajar kita cara mencegah dan mengubatinya, dan Dia-lah yang mampu untuk menghilangkannya. Maka, apa yang seharusnya kita lakukan ialah kembali kepada perintah-Nya. Jika kita melupakan-Nya, maka Dia juga akan melupakan kita. Na’uzubiilah min zalik.

قَالَ كَذَٰلِكَ أَتَتۡكَ ءَايَٰتُنَا فَنَسِيتَهَاۖ وَكَذَٰلِكَ ٱلۡيَوۡمَ تُنسَىٰ

“Demikianlah keadaannya! Telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadamu, lalu engkau melupakan serta meninggalkannya dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan” [Ta-Ha (20): 126].