Vaksin Pertama kali Datang ke Barat Dari Dunia Islam

Pfizer dan BioNTech Mengumumkan Vaksin Terbaik Terhadap COVID-19, tetapi Teknologi Vaksin Pertama Kali Datang ke Barat Dari Dunia Muslim

CNN melaporkan pada 10 November bahawa sosok-sosok di sebalik vaksin baharu berasaskan mRNA bagi COVID-19, yang dilaporkan lebih daripada 90% berkesan di tengah-tengah fasa 3 ujian klinikal, kedua-duanya berasal dari Turki dan bahawa “Ketua Eksekutif Sahin dan Ketua Pegawai Perubatan Tureci tersenarai di antara 100 orang terkaya di Jerman”.

Pasangan tersebut mendirikan syarikat bernama BioNTech, yang “menggembleng kesemua 500 kakitangannya untuk menjayakan projek ini”. BioNTech ialah sebuah syarikat bioteknologi kedua yang mereka bina dan mereka dipuji sebagai teladan kepada nilai yang boleh dibawa oleh imigran ke Jerman. Tajuk utama CNN ini ialah “Para saintis yang mengembangkan vaksin Pfizer / BioNTech COVID-19 adalah pasangan berpengaruh (berketurunan) Turki-Jerman”.

Terdapat ramai saintis dari dunia Islam yang telah meninggalkan negara asal mereka dan membuat pencapaian saintifik yang hebat di Eropah dan AS, namun mengapa kita jarang sekali mendengar pencapaian sedemikian dicapai dari dunia Islam itu sendiri. Bukanlah bererti tidak terdapat bakat-bakat ilmiah di Turki dan negara-negara kaum Muslimin lainnya, kerana tahap kecerdasan tinggi sebenarnya tersebar merentas semua budaya.

Demi berlaku adil, perlu diketengahkan juga bahawa Turki sedang mengembangkan vaksinnya sendiri untuk COVID-19 menurut kenyataan media Turki, yang melaporkan bahawa “dua vaksin yang dikembangkan oleh Universiti Erciyes di wilayah Kayseri Tengah dan satu lagi oleh syarikat swasta Koçak Farma sedang menghampiri dengan ujian ke atas manusia”.

Namun, sukar untuk dibandingkan jurang dari segi skala pelaburan antara Turki dan Jerman berhubung pembangunan vaksin ini. Dalam kita meraikan dan memberikan penghargaan kepada pencapaian dua saintis berbangsa Turki yang menubuhkan BioNTech dan memimpin pembangunan teknologi vaksin baru ini, kita perlu menyedari bahawa mereka mempunyai pasukan berjumlah 500 orang dalam melaksanakan projek ini. Komitmen dalam pelaburan sumber manusia sebegini memungkinkan idea yang baik diterjemahkan menjadi kenyataan.

Sebenarnya, idea dan impian yang cemerlang seumpama ini sering muncul dan mati begitu sahaja di universiti-universiti dalam dunia Islam. Sekiranya idea sebegini tidak pernah berkembang menjadi kenyataan, maka sesungguhnya kegagalan itu tidak boleh lepas daripada kegagalan dari segi kepimpinan dan juga politik.

Mungkin ada yang mengatakan bahawa kegagalan itu berkait rapat dengan faktor ekonomi di dunia Islam. Menurut mereka, dalam Kapitalisme Barat, dana boleh dikumpulkan bagi menyokong idea-idea yang berpotensi untuk membina perusahaan-perusahaan kecil (venture enterprises) dan memberi ruang kepada syarikat-syarikat yang berjaya untuk berkembang lebih jauh. Namun, perlu diketahui bahawa Kapitalisme telah pun diguna pakai di segenap dunia Islam sejak kejatuhan Khilafah. Walaupun kekayaan berlimpah dan keberadaan begitu banyak bank dalam dunia Islam, tetapi impian sebegini selalu mati sejak awal-awal lagi.

Edward Jenner seringkali dianggap dalam buku teks di seluruh dunia sebagai pengasas kepada konsep vaksinasi, ketika dia menggunakan virus cacar lembu (cowpox) sebagai vaksin perlindungan terhadap cacar (smallpox) pada tahun 1796. Namun, sesungguhnya Uthmaniyyah-lah yang memberi kesedaran tentang vaksinasi ke England. Sejarah mencatatkan bahawa cacar (smallpox) telah membunuh kira-kira setengah juta orang di Eropah saban tahun pada abad ke-18, tetapi dunia Islam pada masa itu sebahagian besarnya dilindungi daripadanya kerana adanya amalan vaksinasi.

Pada tahun 1718 Lady Montagu, isteri kepada duta besar British ke Turki, telah membenarkan anaknya yang berusia enam tahun diberi vaksin di ibu kota Uthmaniyyah (Istanbul). Ia menulis kepada seorang rakannya;

“…Saya akan memberitahu anda satu perkara yang saya pasti akan membuat anda berharap untuk berada di sini. Cacar, yang boleh membawa maut, dan sangat meluas dalam kalangan kita, sama sekali tidak berbahaya di sini ekoran penemuan ‘ingrafting’, yang merupakan istilah yang mereka berikan (pent. terhadap prosedur tersebut). Terdapat sekumpulan wanita tua yang menawarkan untuk menjalankan prosedur ini sebagai perniagaan mereka setiap kali tibanya musim luruh….Setiap tahun ribuan orang menjalani prosedur ini….Tidak ada sebarang kejadian orang mati akibatnya; dan anda boleh meletakkan kepercayaan bahawa saya berpuas hati dengan keselamatan ujian percubaan…Saya cukup bersemangat dan bersungguh-sungguh untuk menjadikan penemuan berguna ini sebagai kelaziman di England; dan saya tidak boleh gagal untuk menulis surat kepada beberapa doktor kami secara khusus mengenai perkara ini”.

Lady Montagu tidak bersendirian dalam berharap agar semua rakannya mendapat nasib yang baik dalam menikmati faedah hidup di negara Uthmaniyyah. Pada tahun 1714, sepucuk surat yang ditulis oleh Emanuel Timonius telah diedarkan di seluruh Eropah yang menyatakan bahawa vaksinasi terhadap cacar (smallpox) telah digunakan dengan sangat berkesan “dalam kalangan orang-orang Turki dan yang lain di Konstantinopel.”

Setelah membaca surat ini, Cotton Mather, seorang paderi Kristian di Amerika Utara membalas dengan menyatakan bahawa dia memiliki seorang hamba Afrika yang berasal dari apa yang sekarang disebut Libya yang “telah menjalani prosedur, yang telah memberinya sesuatu (pent. simptom) seperti cacar, dan telah selamanya melindunginya daripadanya”; sambil menambah bahawa ia “digunakan secara meluas dalam kalangan bangsanya”.

Amalan itu dilaksanakan secara meluas di Afrika Utara sebelum tahun 1700, sebagaimana yang dinukilkan dalam sepucuk surat berbahasa Arab oleh seorang duta besar dari Tripoli, Cassem Algaida Aga: “… daripada seratus orang yang diinokulasi tidak sampai dua yang mati; sedangkan sebaliknya, daripada seratus orang yang dijangkiti cacar secara semula jadi, biasanya yang mati sekitar tiga puluh orang. Amalan ini telah sekian lama dipraktikkan di Tripoli, Tunisia dan Algeria, sehingga tidak ada yang mengingati sejak bila ia dimulakan: dan ia dilakukan secara meluas bukan hanya oleh penduduk bandar, tetapi juga oleh orang Arab Badwi.”

Di samping itu, terdapat juga catatan panjang oleh Dr. Patrick Ruffell yang diterbitkan pada tahun 1768, yang menjelaskan pengetahuan vaksinasi terhadap cacar dalam kalangan orang-orang Arab di Aleppo, bahawa “mereka yang berusia 70 tahun dan ke atas masih mengingati bahawa mereka pernah mendengar amalan tersebut merupakan kelaziman nenek moyang mereka.”

Turki dibina semula sebagai sebuah negara sekular setelah keruntuhan Uthmaniyyah, dan Kapitalisme telah dipaksakan ke atas umat Islam di situ sejak tahun 1924, namun ia telah gagal mempertahankan atau mengembalikan kegemilangan dan kepemimpinannya yang terdahulu. Mustafa Kamal bersekongkol menentang Khilafah Uthmaniyyah dan dia mendirikan sebuah republik sekular yang menjanjikan masa depan baru yang hebat untuk Turki. Dia mengubah tulisan dan bahasa bangsa Turki, menghina kebudayaan Islam, membunuh mereka yang tidak menjunjung program sekularnya, dan dia mati 82 tahun yang lalu, pada hari yang sama dengan terbitnya laporan CNN mengenai kejayaan para saintis yang berasal dari Turki itu.

Turki dan dunia Arab serta dunia Islam keseluruhannya kaya dengan sumber manusia dan semua sumber-sumber lain, tetapi potensi ini disia-siakan tanpa adanya kepemimpinan ideologi yang tulus, yang akan menyatukan para intelektual dan kekayaan rakyat dalam satu negara yang akan berusaha melaksanakan pembangunan yang akan membawa kesejahteraan dan kedamaian kepada semua.

[Diterjemah daripada artikel berbahasa Inggeris yang ditulis oleh Dr. Abdullah Robin]

http://www.khilafah.com/vaccines-came-to-the-west-from-the-muslim-world/