Demonstrasi HTM bantah kedatangan pemimpin Amerika

dsc_0050KUALA LUMPUR 4 Oktober – Kedutaan Amerika Syarikat (AS) hari ini digegarkan dengan laungan bantahan dan takbir dari lebih 500 peserta demonstrasi yang menyatakan bantahan di atas lawatan presiden negara penjajah itu, Barack Obama, ke sini minggu depan. Obama yang dijadualkan akan menghadiri Sidang Kemuncak Keusahawanan Global (GES) ke-4 yang akan berlangsung di sini pada 11 Oktober depan, bagaimanapun telah membatalkan lawatannya ke Malaysia dua hari lepas, namun melantik Setiausaha Negara AS, John Kerry sebagai wakilnya.

Demonstrasi aman yang dianjurkan oleh Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) itu bermula sejurus selepas solat Jumaat, dari Masjid Tabung Haji dan bergerak menuju ke kedutaan yang terletak kira-kira satu kilometre berhampiran. Para jemaah dan umat Islam yang prihatin turut sama berarak dan membawa sepanduk masing-masing yang menyatakan bantahan sekali gus menunjukkan solidariti kaum Muslimin di dalam menolak kedatangan musuh Allah ini ke bumi Malaysia.

Buat pertama kalinya, tidak ada satu pun bendera lain, selain ratusan liwa’ dan rayah, yang merupakan bendera Rasulullah SAW dan bendera umat Islam, berkibar dengan megahnya di hadapan kedutaan AS di Kuala Lumpur, dalam demonstrasi kali ini.

Di sepanjang perarakan, ia diselang-seli dengan laungan slogan dan ucapan dari pimpinan HTM yang menjelaskan tentang kejahatan-kejahatan AS berserta sebab-sebab kenapa umat Islam wajib menolak kedatangan pemimpin AS itu ke sini. Ustaz Umar Hussein, Dr. Muhammad Abu al-Ain dan Ustaz Ahmad Firdaus adalah di antara pimpinan HTM yang menyampaikan ucapan dengan penuh semangat.

Pasukan keselamatan yang sejak awal telah bersedia di sekitar kedutaan tidak membenarkan peserta demonstrasi dari terus menghampiri pagar kedutaan.  Bagaimanapun pihak polis membenarkan dua orang wakil HTM untuk menyerahkan memorandum.

Presiden HTM, Ustaz Abdul Hakim Othman yang diiringi oleh Ustaz Tarmizi Salleh, AJK Pusat HTM, dengan kawalan yang agak ketat oleh pasukan keselamatan, telah dibawa masuk ke kawasan kedutaan untuk menyerahkan memorandum.

Delegasi HTM itu telah disambut oleh wakil kedutaan AS yang memperkenalkan dirinya sebagai Mr. Green. Abdul Hakim terus  menjelaskan pendirian HTM yang membantah lawatan pemimpin AS itu berserta alasan-alasan yang terkandung di dalam memorandum berkenaan, khususnya kerana AS adalah musuh umat Islam.  Hakim juga turut menjelaskan kejahatan presiden AS yang menjajah dan membunuh umat Islam di Iraq, Afghanistan, Pakistan dan lain-lain dan sekarang cubaan jahat Obama untuk menyerang Syria.

Presiden HTM itu juga menekankan agar wakil kedutaan AS tersebut menyampaikan memorandum berkenaan dan mesej yang jelas kepada Obama mahupun Kerry bahawa kedatangan mereka tidak diterima di bumi Malaysia mahupun bumi umat Islam yang lain kerana umat Islam adalah umat yang satu dan tanah umat Islam adalah tanah yang satu.

Walaupun dia tidak bersetuju dengan pandangan HTM yang menolak kedatangan pemimpin negaranya ke sini, namun Mr. Green menyatakan yang dia akan menyampaikan mesej tersebut kepada Obama.

Demonstrasi aman tersebut berakhir selepas bacaan doa oleh Ustaz Umar Hussein, yang turut diaminkan oleh pasukan polis yang bertugas.

HTM dengan ini mengucapkan jazakumullahu khairan kepada semua pihak yang telah terlibat di dalam demonstrasi aman ini, termasuk kepada pihak polis yang telah memberikan kerjasama yang baik di dalam mengawal lalu lintas, keselamatan dan perjalanan demonstrasi.

Link Berita:
1. The Wall Street Journal
2. Arabnews