Diskusi Mengajak Muslimah Merealisasikan Takbir Kemenangan Yang Dirindui
Diskusi ini diadakan bertujuan untuk memberi penjelasan kepada para muslimah tentang hakikat puasa, realiti semasa dan peranan yang perlu dilakukan oleh para muslimah. Ustazah Nurain selaku ahli panel pertama terlebih dahulu menjelaskan makna sebenar ketaqwaan iaitu mentaati segala perintah Allah SWT dan meninggalkan segala laranganNya. Seterusnya beliau menjelaskan dengan lebih terperinci tentang taqwa dengan membawakan sirah Rasulullah SAW dan para sahabat baginda yang selayaknya dijadikan contoh teladan dalam membina diri menjadi hamba Allah yang bertaqwa.
Ustazah Ummu Hajar kemudiannya membawa para peserta melihat realiti yang berlaku dalam kalangan umat Islam hari ini agar mereka boleh menilai sendiri sama ada ketaqwaan yang hakiki telah diraih oleh kita semua atau sebaliknya. Beliau juga mengupas peranan yang perlu dilakukan oleh para muslimah untuk menukar potret suram kehidupan umat Islam hari ini kepada kegemilangan yang sebelum ini pernah diraih saat manusia hidup dalam naungan Daulah Khilafah Islamiyah.
Kedua-dua panel menyeru para muslimah untuk merebut peluang di bulan Ramadhan yang mulia dan penuh barakah ini untuk meningkatkan ketaqwaan dan meraih kemenangan yang hakiki agar takbir yang bergema pada Syawal nanti merupakan takbir kemenangan yang sentiasa dirindui.
Program diskusi diakhiri dengan bacaan doa pengharapan tulus oleh Saudari Hidayah. Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia mengucapkan kesyukuran atas kelancaran perjalanan program dan jutaan terima kasih sambutan yang baik daripada warga Bandar Baru Bangi. Semoga gema takbir kemenangan yang dirindui akan segera terealisasi.