“Double Standard” Amerika

altBantuan besar dari Amerika mula tiba

PADANG 9 Okt. – Bantuan besar untuk mangsa gempa bumi di Padang, Sumatera Barat tiba hari ini dengan kapal dan helikopter Amerika Syarikat (AS).  Menurut pegawai Indonesia, jumlah korban akibat gempa itu kini mencecah 784 orang dengan peluang menyelamatkan 242 mangsa lagi yang masih hilang semakin tipis.  Ketua Pegawai Kecil, Ty Swartz berkata, kapal USS Denver dan USS Cambell tiba lawat semalam di wilayah Sumatera Barat membawa bertan-tan bantuan dan peralatan berat.  Empat helikopter dari kapal tersebut pula tiba di pangkalan tentera Indonesia di sini dan akan memulakan penerbangan membahagi-bahagikan bantuan dan memindahkan mangsa yang cedera dari kawasan yang terputus hubungan akibat tanah runtuh.

  Sementara itu, Ketua Bidang Maklumat Awal Gempa Bumi dan Tsunami, Badan Metereologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Indonesia, Jaya Murjaya berkata, tiga hari selepas gempa kuat berukuran 7.9 pada skala Richter itu, sebanyak 389 gempa susulan berlaku di wilayah Sumatera Barat dengan kekuatan antara tiga hingga empat skala Richter.  “Walaupun gempa itu tidak kuat, tetapi ia mungkin boleh menyebabkan kehilangan nyawa jika tertimpa runtuhan bangunan.   “Kita khuatir bangunan yang strukturnya telah lemah akibat gempa sebelum ini akan runtuh disebabkan gempa susulan,” katanya.   Data terakhir mendedahkan lebih 400 mangsa yang terbunuh telah ditemui di bawah runtuhan bangunan, manakala kira-kira 300 lagi cedera. – Agensi

Sumber: Utusan Malaysia: 10/10/09

“Double Standard” Amerika
 
Ketahuilah bahawa Amerika Syarikat sebagai kuasa besar Kapitalis tidak akan melakukan sesuatu perkara melainkan ianya disandarkan dan didorong dengan asas manfaat. Oleh itu, berita AS memberikan bantuan yang besar kepada mangsa gempa di Padang Sumatera tidak seharusnya mengelirukan umat Islam akan siapa AS sebenarnya. Apakah bantuan yang dihulurkan oleh AS itu dapat menutup “bau busuk” kekejaman dan kebiadapan yang dilakukan oleh tenteranya di Iraq, Afghanistan dan di beberapa negeri umat Islam yang lain? Allah SWT merakamkan watak sebenar AS sebagai negara yang memanifestasikan “double standard” sebagaimana firmanNya “Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan), Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang cupak) dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup, dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi. [TMQ Al Muthaffifii (83) : 1-3].

Dalam konteks dunia hari ini, kita dapat menyaksikan sendiri betapa hodohnya wajah AS itu. Bagaimana AS boleh disatu sisi memberikan bantuan kemanusian kepada umat Islam yang ditimpa musibah bagi meneruskan kehidupan mereka, namun di sisi lain mereka jugalah  yang membunuh dan membantai umat Islam.

Wahai umat Islam! Sedarilah bahawa ketika tangan kiri AS memberikan bantuan kemanusiaan, dalam masa yang sama, tangan kanannya berlumuran dengan darah umat Islam.

Wahai umat Islam! Janganlah kalian ditipu oleh musuh Islam seperti AS yang saat ini melindungi wajah hodoh mereka yang sebenarnya dengan perbuatan kemanusiaan seperti yang dilakukannya di Padang. Janganlah kalian tertipu dengan tipu daya syaitan!

Wahai umat Islam! Seharusnya, kalianlah yang berlumba-lumba menghulurkan bantuan kepada mangsa gempa di Padang. Bukankah kekayaan yang dilimpahkan Allah SWT ke atas umat Islam hari ini sewajibnya dihulurkan kepada mereka yang memerlukan? Nampaknya ramai para pemimpin umat Islam lebih rela membelanjakan harta yang mereka rampas dari umat Islam untuk mengenyangkan perut mereka sendiri sahaja! Tunggulah ketetapan Allah nanti, di hari yang tiada ketetapan lain kecuali ketetapanNya, wahai para pemimpin yang khianat!