‘Fatwa’ Baru Najib?

altNajib tegaskan Umno adalah parti Islam sebenar

SIK: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, Umno adalah sebuah parti Islam yang sebenar walaupun ia tidak menggunakan label Islam dalam membela dan merancang pembangunan umat Islam dan negara ini.

Katanya, Umno sememangnya membela dan menaikkan taraf hidup umat Islam dengan membasmi kemiskinan menerusi pelbagai program kerajaan terutamanya menerusi rancangan Felda.

“Dalam Islam, kemiskinan itu menghampiri kekufuran dan Umno sejak 53 tahun yang lalu berusaha membasmi kemiskinan di kalangan umat Islam dengan membuka tanah rancangan Felda dan adakah ini bukan tuntutan Islam?,” katanya ketika menghadiri majlis Rahmat Ramadan di Felda Teloi Timur di sini, hari ini.    Beliau berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Umno membangunkan negara ini bagi melahirkan umat Islam yang dihormati dan bermaruah dengan pembangunan negara, teknologi dan ketenteraan yang termaju.

“Kita tidak perlu label “membangun bersama Islam” kerana kita sudah lama memperjuangkan Islam dan telah memberi keselesaan hidup kepada umat Islam kerana kita tidak mahu umat Islam miskin dan tidak ada kekuatan,” katanya.

Perdana Menteri juga berkata, Islam juga menuntut perubahan umatnya daripada yang baik kepada lebih baik dan itulah yang dilakukan oleh Umno.   “Kita sentiasa membela nasib rakyat daripada yang baik kepada lebih baik, jika dulu kita bermula dari Lurah Bilut (Felda Lurah Bilut) daripada golongan yang tidak mempunyai tanah kepada golongan yang mempunyai tanah sebanyak 10 ekar.

“Secara kebetulan ayah saya (Tun Abdul Razak) yang menubuhkan Felda, dia berjalan dengan tongkat dan bush jaket beratus-ratus batu semata-mata untuk memberi tanah dan membasmi kemiskinan rakyat,” katanya.
Najib juga berkata, umat Islam haruslah mengambil iktibar dengan pelbagai peristiwa kemenangan Islam dalam bulan Ramadan termasuklah peristiwa perang Badar.

“Bulan Ramadan membentuk peribadi dan kekuatan untuk kejayaan Islam dan tidak ada sebab kita tidak boleh berjaya jika kita berusaha,” katanya.   Pada majlis itu, Najib bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan pemimpin Umno negeri berbuka puasa bersama kira-kira 5,000 peneroka Felda dari Kedah dan Perlis.

Perdana Menteri kemudiannya menyampaikan duit raya dan bantuan khas kepada peneroka Felda berkenaan. – Bernama

Sumber: Berita Harian 10/09/09

Asas Yang Sekular Tidak Mungkin Ianya Islam

Jika sebelum daripada ini Najib mengeluarkan ‘fatwa’ bahawa 1Malaysia menepati ajaran Islam maka kali ini Najib sekali lagi mengeluarkan ‘fatwa’ baru dalam usaha untuk membenarkan perjuangan UMNO yang semakin hari nampaknya terus dipertikaikan kerelevanannya oleh umat Islam di Malaysia. Najib nampaknya terpaksa menggunakan ‘talian hayat’ Islam sekali lagi untuk mengatakan bahawa UMNO itu adalah parti Islam yang sebenar. Malang sekali, apakah hanya kerana adanya sedikit pembelaan dan rancangan pembangunan umat Islam dan negara maka Najib telah tanpa rasa malu dan bersalah mendakwa UMNO adalah sebuah parti Islam yang sebenar? Apakah Islam atau tidaknya sesebuah parti itu hanya dilihat dan diukur dari perancangan dan aktivitinya semata? Hakikatnya, bagi menentukan samada sesebuah parti itu adalah parti Islam sebenar atau tidak, kita perlu melihat dasar dan asas perjuangannya. Apakah dasar perjuangan UMNO? Bukankah dasarnya adalah ashobiyyah yang jelas bertentangan dengan Islam? Bukankah asas perjuangan UMNO itu adalah sekularisme iaitu perjuangan yang memisahkan Islam dengan kehidupan bermasyarakat dan bernegara? Buktinya sehingga saat ini UMNO yang sudah berkuasa dan memerintah selama lebih 52 tahun masih tetap menggunakan perlembagaan kufur ciptaan Lord Reid. Sebenarnya, inilah dua indikator yang sepatutnya kita gunakan untuk menentukan apakah UMNO itu parti Islam ataupun sebaliknya.

Wahai Najib! Renunglah firman Allah SWT di bawah:

 “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya”. [TMQ A-li-‘Imraan (3) :104].

“Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. Mereka (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman dalam hati mereka, dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripadaNya; dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. Allah reda akan mereka dan mereka reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Merekalah penyokong-penyokong (agama) Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya penyokong-penyokong (agama) Allah itu ialah orang-orang yang berjaya”. [TMQ Al-Mujaadalah (58) : 22].

Jika UMNO ingin dinilai sebagai sebuah parti Islam maka sudah selayaknya Najib yang merupakan orang yang paling berkuasa saat ini memastikan keberadaan UMNO itu menepati ciri-ciri sebagaimana yang diperjelaskan oleh ayat-ayat di atas. Adakah Najib bersedia berubah dan seterusnya mengubah dasar dan asas perjuangan UMNO yang ada hari ini? Ataupun apakah Najib hanya sekadar beretorik dalam kesempatan bulan Ramadhan kali ini? Kita tunggu dan lihat langkah dan rentak UMNO selepas ini…..