Feminisme: kerosakan berfikir akibat ideologi kapitalisme
Gerakan-gerakan feminisme akan selalu berkokok apabila idea yang mereka bawa dikritik dari sisi agama. Mereka akan berhujah bahawa perjuangan mereka adalah bertujuan untuk memartabatkan kedudukan wanita serta memastikan wanita diberikan hak yang sama rata dengan lelaki.
Pelopor dan ahli-ahli gerakan feminisme ini biasanya terdiri daripada mereka yang berfahaman liberal. Mereka sering melaungkan bahawa mereka memperjuangkan kesamaan jantina (gender equality) dan menentang amalan patriarki yang berleluasa dalam masyarakat. Dalam masa yang sama, mereka sering menafsirkan nas menurut hawa dan logik akal mereka serta menolak tafsiran selain mereka, khususnya apabila melibatkan hukum-hakam berkenaan wanita.
Tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa golongan feminis ini sebenarnya sudah tidak dapat berfikir dengan waras, kerana jika mereka dapat berfikir dengan waras, nescaya mereka akan meninggalkan fahaman dan perjuangan mereka yang tidak masuk akal serta berlawanan dengan Islam ini.
Perjuangan feminis juga sebenarnya dipenuhi sikap hipokrasi. Mereka kononnya memperjuangkan hak wanita dan lantang bersuara apabila kebebasan wanita disekat. Tetapi tatkala negara Barat melarang Muslimah memakai hijab (walhal memakai hijab juga adalah “hak” wanita), tidak pula kedengaran suara bantahan daripada kelompok feminis terhadap isu ini. Jelaslah bahawa idea feminisme hanyalah bertujuan untuk mencorakkan wanita mengikut acuan Barat dan bukannya acuan Islam.
Sesungguhnya Islam telah meletakkan wanita pada status yang mulia dan dihormati, tanpa perlu perjuangan menyeleweng dari golongan feminis. Islam telah mengiktiraf kedudukan wanita yang sebelumnya dipandang hina dan diperlecehkan di zaman Jahiliyyah. Islam meletakkan tugas mulia kaum wanita sebagai ummu wa rabbatul bait (ibu dan pengurus rumah tangga) dan menjadikannya sebagai sahabat baik bagi si suami dalam sebuah kehidupan rumah tangga yang dipenuhi dengan mawwadah wa rahmah (kasih sayang dan rahmat).
Hal ini berbeza dengan ideologi kapitalisme yang memandang wanita, sebagaimana lelaki, semata-mata sebagai “sumber manusia” dan “bahan” yang boleh menghasilkan keuntungan. Wanita dianggap bermanfaat sekiranya boleh bersaing dengan lelaki, berkerjaya dan menyumbang kepada pengembangan ekonomi. Wanita akan dipandang rendah dan kolot sekiranya hanya duduk di rumah dan melakukan tugas-tugas kewanitaan semata-mata.
Akibat ideologi kapitalisme yang hanya memikirkan manfaat dari segala sudut dan tidak bersifat manusiawi, wanita merasakan yang mereka juga adalah golongan yang boleh menghasilkan manfaat sebagaimana lelaki. Atas dasar itu, orientasi hidup wanita diarahkan untuk bersaing dengan lelaki dan hanya berfikir bagaimana untuk menjadikan dirinya mempunyai “nilai manfaat”. Mereka merasa tidak bermanfaat jika tidak dibenarkan bekerja. Mereka merasa didiskriminasi jika hak-hak tertentu diberi kepada lelaki dan tidak diberi kepada mereka. Mereka merasa tercabar apabila lelaki boleh melakukan sesuatu tetapi mereka tidak boleh. Hal inilah yang mendominasi pemikiran wanita, akibat ideologi kapitalisme yang mereka hadapi setiap hari dalam kehidupan. Mereka tidak sedar bahawa kapitalisme menjadikan mereka (wanita) hanya sebagai aset ekonomi, bukannya sebagai “manusia” yang mempunyai maruah dan sifat keterbatasan.
Golongan feminis sepatutnya faham bagaimana Islam telah membebaskan wanita daripada kerendahan dan penghinaan di zaman jahiliyah, sekali gus meninggikan martabat serta memelihara kehormatannya. Islam datang dengan memberikan wanita ruang untuk menyuarakan pandangan mereka serta dibenarkan untuk menjawat kedudukan yang tinggi dalam pentadbiran negara.
Adapun mengenai beberapa hal yang tidak dibolehkan ke atas wanita oleh Islam, hal ini bukanlah satu diskriminasi atau menunjukkan kerendahan martabat kaum Hawa tersebut. Allah SWT sebagai Pencipta manusia (lelaki dan wanita) sesungguhnya Maha Mengetahui akan penciptaanNya dan Dia menentukan hukum-hakam bagi kedua-dua jenis kelamin tersebut. Sebahagian besar hukum-hakam tersebut terpakai kepada kedua-duanya dan sebahagian kecil terpakai kepada salah satu jenis kelamin. Itu semua adalah ketentuanNya yang setiap Muslim wajib redha dan dalam ketentuan tersebut sebenarnya penuh kebaikan, sama ada diketahui atau tidak oleh manusia.
Lelaki dan wanita mempunyai peranan, hak dan tanggungjawab masing-masing, sesuai dengan fitrah, sifat dan kemampuan yang Allah ciptakan bagi mereka. Dalam konteks ini, wanita dan lelaki adalah dua makhluk yang saling melengkapi, sejajar dengan aturan Islam. Lelaki dan wanita bukan dicipta untuk bersaing antara satu sama lain dengan masing-masing cuba menunjukkan kehebatan dan kemampuan masing-masing. Inilah yang tidak difahami oleh golongan feminis.
Ringkasnya, Islam tidak memerlukan golongan feminis untuk memperjuangkan hak-hak wanita, kesetaraan jantina dan seumpamanya. Islam menuntut wanita mahupun lelaki untuk memperjuangkan Islam. Lelaki wajib memperjuangkan Islam dan wanita juga wajib memperjuangkan Islam. Lelaki wajib berjuang dan meletakkan hak wanita di tempatnya dan perempuan wajib berjuang serta meletakkan hak lelaki di tempatnya. Kedua-dua jantina ini wajib berjuang untuk saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain dan bukannya hanya memperjuangkan jenis kelamin sendiri sahaja, apatah lagi dengan perjuangan yang terpesong dari Islam seperti perjuangan kelompok feminis!
Wallahu a’lam.