Fikratul Ummah – April 2009


 

Dari Lidah Pengarang

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Senario politik tanahair nampaknya berubah lagi. Kali ini, ia bukanlah di luar dugaan. Kelazimannya setelah Perhimpunan Agung UMNO berlangsung, akan muncullah wajah-wajah riang ceria dengan pelbagai janji manis penyedap kata dengan bangga berjuang dibawah panji-panji Sang Saka Bangsa, sungguhpun telah jelas perjuangan berteraskan assobiyyah dimurkai Yang Esa. Bertukarnya tampuk pemerintahan negara nampaknya masih tidak mengubah pemahaman makna politik dari perspektif sempit ala-ala Nicollo Machiavelli (1469-1527). Iklim ekonomi dunia yang terjejas dek krisis sub-prime loan di Amerika Syarikat juga menyaksikan ramai pekerja kehilangan mata pencarian di seluruh dunia termasuk wanita. Keadaan ini pastinya membebankan kaum ibu kerana rata-rata berpendapat bahawa tangan yang menghayun buaian ini mesti turut sama terjun dalam pasaran tenaga kerja.

Syukur Alhamdulillah Fikratul Ummah kali  ini membawakan dua artikel. Artikel pertama bertajuk Wanita, Jadilah Ahli Politik Sejati yang mana intipatinya menjelaskan ciri-ciri ahli politik menurut dalil-dalil yang digali dari Al-Quran dan Sunnah. Harapan kami semoga ia memberi pencerahan kepada banyak pihak khususnya  yang beranggapan bahawa politik hanyalah usaha yang ditempuh warga negara untuk mewujudkan kebaikan bersama sebagaimana teori klasik Aristotle. Sempena Hari Buruh yang disambut di seluruh dunia pada 1hb Mei 2009, sebuah artikel bertajuk Sempena Hari Buruh: Perlukah Wanita Bekerja turut dihidangkan dengan tujuan menjelaskan bahawa pelaksanaan sistem ekonomi Kapitalis telah menyebabkan wanita terpaksa bekerja. Diharap ianya dapat menjelaskan bagaimana sistem ekonomi Islam mempunyai penawar paling mujarab dalam memastikan keperluan pokok seluruh warga negara dapat dipenuhi tanpa wanita perlu membanting tulang dan memerah fikiran demi sesuap nasi.

Artikel terjemahan Adakah Islam Menindas Wanita Bahagian kedua pula adalah sambungan artikel dengan judul yang sama dalam FU edisi November 2008.

Semoga ketiga-tiga artikel akan meningkatkan kesedaran kepada kita semua bahawasanya episod dukalara berpanjangan yang melanda kita dalam bidang ekonomi, politik, sosial dan lain-lain adalah kerana  Al-Quran yang tidak ada keraguan di dalamnya, yang menjadi petunjuk kepada orang-orang yang bertaqwa hanya dihormati fizikalnya semata-mata, manakala hukum-hakam yang terkandung di dalamnya tidak dilaksanakan secara keseluruhan dalam kehidupan. “Dan barang siapa berpaling daripada peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sukar (sempit) dan Kami akan menghidupkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta”

[TMQ Taaha  (20): 124].
Wallahu ‘alam bisshawab.



Wanita, Jadilah Ahli Politik Sejati

Perhimpunan Agung UMNO yang berlangsung pada 24-26hb Mac 2009 di Pusat Dagangan Dunia Putra (“PWTC”) menyaksikan persaingan sengit bagi merebut beberapa kerusi yang hebat dipertandingkan seperti kerusi Naib Presiden, Ketua Pemuda UMNO, Ketua Wanita UMNO dan Ketua Puteri UMNO. Untuk jawatan Ketua Wanita UMNO, perlawanan satu lawan satu antara dua ‘musuh tradisi’ berakhir dengan cairnya ‘wanita besi’ di tangan bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai. Bagi jawatan Ketua Puteri UMNO pula, wakil rakyat Parlimen Papar (P175). Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin mengungguli kerusi yang dipegang oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Noraini Ahmad. Apa yang selalu disaksikan adalah ada sahaja ‘benda baru’ dijanjikan setiap kali berlaku perubahan kepimpinan.

Sejurus selepas memenangi Kerusi Ketua Puteri, Datuk Rosnah memberi komen “Saya menerimanya dengan penuh keinsafan bahawa jawatan Ketua Puteri mempunyai tanggungjawab besar yang diamanahkan. Saya melihat cabaran mendatang adalah untuk memantapkan Puteri Umno, terutama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13, menarik sokongan lebih ramai golongan muda dan memastikan Umno terus relevan untuk golongan muda di negara ini“ [http://puterilabuan.blogspot.com/2009/03/yb-datuk-rosnah-abdul-rashid-shirlin.html].

Komen Datuk Rosnah ini seolah-olah menjelaskan bahawa Puteri UMNO, walaupun pernah dipimpin oleh dua serikandi yang juga bekas menteri dan timbalan menteri tetap belum mantap. Selain itu, adakah ketua Puteri UMNO yang baru-baru ini menganggotai Kabinet baru Perdana Menteri Malaysia ke-6 sebagai Timbalan Menteri Kesihatan akan dapat memastikan perkhidmatan  dan rawatan kesihatan dinikmati oleh seluruh warganegara dari segenap lapisan masyarakat? Selain itu, kenyataan Ketua Puteri di atas juga lebih cenderung untuk menerangkan kepada rakyat bahawa politik yang diperjuangkan oleh Puteri UMNO (dan UMNO itu sendiri) adalah untuk memenangi pilihanraya, bukan mengurusi umat dengan syariat!

Sebagai Muslimin, beberapa persoalan yang mesti dirungkai dengan baik adalah: adakah politik yang dituntut untuk umat Islam memperjuangkannya masih lagi dalam kerangka politik berbau assobiyah iaitu politik di tanahair semata-mata? Apakah pandangan Francis Fukuyama yang menganggap munculnya negara ‘champion’ demokrasi iaitu Amerika Syarikat sebagai satu-satunya negara adikuasa – sejak runtuhnya Soviet Union tahun 1991-yang memainkan peranan politik antarabangsa sebagai akhir sejarah (end of history) tidak terkait dengan politik Malaysia? Apakah pandangan Samuel Huntington yang menyebut akan terjadi pertembungan peradaban (clash of civilization) antara pelbagai bangsa yang masing-masing memiliki peradaban serta meramalkan bahawa kekuatan Islam dan kekuatan Kuning Confucius akan bersatu dalam menghadapi kekuatan Barat hanya perlu di ‘amin’ kan sahaja tanpa usaha fizikal untuk memerangi kuasa Kufur-Barat?

Seterusnya, mengapakah agaknya perjuangan politik yang dihidangkan kepada umat semata-mata untuk mengekalkan tampuk kekuasaan dan perundangan Negara yang digubal dari undang-undang dari akal manusia (man-made laws) dan undang-undang Barat mesti ditolak? Siapakah agaknya ahli politik sejati? Artikel ini akan membicarakan mengenai ciri-ciri ahli politik sejati dan apakah peranan wanita bagi mewujudkan ahli politik sejati ini.

Siapa ahli politik sejati?
Pertama: Ahli politik memperjuangkan Islam sebagai mabda’ (ideologi), iaitu memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan sistem kehidupan untuk menyelesaikan masalah umat. Allah Subhanahu Wa  Taala menegaskan bahawa tugas parti/gerakan adalah memperjuangkan penerapan syariah Islam secara menyeluruh (kaffah). Allah Subhanahu Wa Taala berfirman: “Hendaklah ada di antara kalian segolongan umat yang menyerukan kebaikan dan melakukan amar makruf nahi mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung”[TMQ Ali-Imran (3): 104]. Menyeru Islam Kaffah ini membawa makna bahawa perjuangan tidak hanya untuk memastikan hak dan kedudukan wanita menurut perundangan Islam yang dianggap tidak menyelesaikan isu penderaan dan penganiayaan, sebaliknya seluruh hukum-hakam terlaksana secara keseluruhan secara serentak, bukan beransur-ansur (tadaruj).

Kedua
: Ahli politik yang memberikan kemaslahatan dan berjuang bagi umat. Politik merupakan pengurusan urusan umat atau rakyat. Oleh itu, ahli politik ketika berkecimpung dalam dunia politik, bererti telah mengorbankan dirinya demi rakyat. Ketika fahaman feminis yang dibawa oleh Sisters In Islam (“SIS”) menyerang umat, dia berteriak lantang. Ketika hasil bumi umat dirampas penjajah sejak penjajahan sehinggalah kini, dia membongkarnya. Ketika gejala sosial kelahiran bayi luar nikah makin parah, dia mengajak umat membanterasnya. Begitulah seterusnya. Dia juga hanya memberikan penyelesaian yang hanya berasal daripada syariah Islam. Walhasil, dia memperjuangkan kepentingan rakyat dan menentang kezaliman penguasa.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam pernah ditanya tentang jihad apa yang paling utama. Beliau menjawab, “Kalimat yang benar di hadapan penguasa yang zalim.” [HR Ahmad).

Ketiga
: Ahli politik yang berpolitik tanpa putus asa, hanya semata-mata meraih keredhaan Allah Subhanhu wa Taala. Contoh paling tepat sebagai teladan adalah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam dan para sahabat. Mereka berjuang dan berpolitik sejak di Makkah tanpa putus asa. Dorongannya hanyalah aqidah. Ini berbeza dengan realiti politik acuan sekular-demokrasi yang mana dek kerana kemewahan, kuasa dan kemegahan duniawi jadi matlamat, melompat parti telah menjadi satu ‘trend’ apabila perjuangannya telah menyebabkan dirinya kehilangan manfaat dan membawa mudarat.

Keempat: Memperkuatkan parti ideologi. Ahli politik sejati meletakkan aktiviti politiknya sebagai perjuangan untuk memperbaiki masyarakat dengan syariah. Juga perlu disedari bahawa tidak mungkin kita mampu berjuang secara bersendirian. Perjuangan perlu dilakukan bersama-sama kelompok, dalam gerakan atau jamaah. Namun, bukan sebarangan kelompok, melainkan kelompok yang secara terbuka, sungguh-sungguh dan konsisten memperjuangkan tegaknya hukum Allah Subhanahu wa Taala demi kebaikan rakyat. Oleh itu, dia akan memperkuat barisan parti yang benar-benar memperjuangkan Islam secara menyeluruh (kaffah). Allah Subhanahu wa Taala memerintahkan adanya di antara umat Islam yang bersatu di dalam kelompok/parti seperti itu sebagaimana disebutkan dalam firman-Nya: “Hendaklah ada di antara kalian segolongan umat yang menyerukan kebaikan dan melakukan amar makruf nahi mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung”[TMQ Ali-Imran (3): 104]
Menurut Imam Ibnu Katsir: “Ayat ini memerintahkan agar ada sebahagian dari umat ini yang melaksanakan tugas tersebut (menyeru kebaikan (al-khair), melakukan amar makruf nahi mungkar.” Beliau juga menyatakan, ketika Rasulullah membaca ayat ini baginda menjelaskan bahawa “menyeru kebaikan (al-khair)” adalah menyeru orang untuk mengikuti al-Quran dan as-Sunnah.

Kelima
: Memperkuatkan konsistensi thariqah (method perjuangan) parti. Perjuangan hanya akan berhasil jika mengikuti jalan yang ditempuh oleh Rasulullah dan para sahabatnya. Selain daripada mengambil gagasan/idea/penyelesaian yang digali dari syariah Islam, method perjuangannya pun mesti dicontohi. Nabi Sallallahu Alaihi Wa Sallam yang menempuh perjuangan politik dengan dasar pembinaan (tasqif). Seterusnya baginda bersama para sahabatnya berjuang di tengah-tengah masyarakat, bukan hanya duduk-duduk di belakang meja. Mereka menyatu dengan masyarakat; berjuang bersama-sama. Akhirnya, dengan dokongan pelbagai pihak, termasuk para pemilik kekuatan (ahl al-quwwah), Allah memberikan kemenangan dan kejayaan. Begitu juga dalam perjuangannya mewujudkan masyarakat Islam, baginda memegang prinsip tanpa kekerasan fizikal serta tidak bekerjasama menerapkan dan mempertahankan sistem Kufur. Ahli politik sejati konsisten dalam berpegang kepada thariqah parti yang diambil daripada Rasulullah, bukan mengambil kaedah matlamat menghalalkan cara (al-ghayah tubarrirul wasilah) sehingga sanggup bersekongkol dengan puak Kuffar dalam sistem politik kapitalis-demokrasi.

Keenam: Membina Nafsiyah (cara bersikap)
. Selain cara berfikir, ahli politik sejati memiliki cara bersikap Islami (Nafsiyah Islamiyyah). Redha dan bencinya, senang dan susahnya didasarkan kepada Islam. Banyak disebutkan dalam pelbagai hadis bahawa tidaklah seseorang beriman hingga hawa nafsunya tunduk pada Islam yang di bawa oleh Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Sallam; lebih mencintai Allah dan Rasul-Nya daripada mencintai ibubapa, keluarga, harta bahkan diri sendiri. Dengan demikian, ahli politik susah tergiur oleh apa jua kemaksiatan termasuk rasuah dan politik wang.

Ketujuh: Memperkuat pembinaan umat tentang Syariah dan Khilafah.
Berbicara tentang politik Islam bererti membicarakan tentang bagaimana mengatur pelbagai urusan rakyat dengan Islam. Sistem apa yang diterapkan dan siapa yang menerapkan dan menjamin perlaksanaannya? Bagaimana agar terbebas daripada cengkaman Kapitalisme global yang dipaksakan oleh Barat? Sistemnya adalah syariah Islam. Manakala institusi yang ditetapkan syariah sebagai pelaksana untuk menerapkan hukum-hukum tersebut dan menyatukan umat adalah Khilafah. Dengan ini, umat dibangkitkan hingga tidak lagi lena dalam pelukan penjajahan asing dan para pengikutnya.
Jelaslah ahli politik sejati akan terus melakukan pembinaan tentang syariah dan Khilafah di tengah-tengah umat. Kesedaran bahawa ada kesalahan dalam mengelola Negara-negara umat Islam perlu ditumbuhkan dalam jiwa masyarakat seraya memaparkan penyelesaiannya yang digali dari syariah. Semua ini dilakukan sebagai tanggungjawab besar terhadap kebaikan umat seluruhnya.

Kelapan: Perlu memiliki pengalaman dan pengetahuan politik.
Pengalaman dan pengetahuan politik bukan bererti mesti menjadi  wakil rakyat sama ada ahli dewan undangan negeri (ADUN), ahli Parlimen atau terlibat dalam apa jua politik menurut perspektif Sekular-Kapitalis-Demokrasi seperti terlibat dalam pilihanraya umum yang merupakan intipati utama sistem demokrasi. Pengalaman politik ditempuh melalui terjun secara langsung di tengah masyarakat, bergaul dengan masyarakat dan turut menyelesaikan masalah mereka. Selain itu, mereka  sentiasa memuhasabah penguasa jika penguasa melakukan kezaliman kepada rakyat. Namun, tentu sahaja ini semua memerlukan pengetahuan tentang konstelasi politik global, cara berfikir politik Islam dan analisisnya perlu difahami. Hal tersebut diberikan dalam proses pengkaderan (tasqif).

Jika para ahli politik termasuk Muslimah mempunyai ciri-ciri seperti di atas, InsyaAllah kemenangan hanya menunggu masa sahaja (victory is a matter of time). Dunia juga akan tahu bahawa masa depan adalah milik umat Islam.

Apa peranan wanita?

Pada pandangan Islam, pengertian politik (siyasah) tidak hanya terbatas kepada masalah kekuasaan dan legislasi sahaja, melainkan meliputi pemeliharaan seluruh urusan umat di dalam mahupun di luar negara, sama ada berkenaan aspek negara mahupun umat. Dalam hal ini, negara bertindak secara langsung mengatur dan memelihara urusan umat, sedangkan umat berperanan sebagai pengawas dan memuhasabah perlaksanaan pengaturan tersebut oleh negara. Oleh kerana itu, dalam Islam, tidak ada beza posisi seseorang sebagai penguasa atau sebagai rakyat. Keduanya memiliki kewajiban yang sama dalam memajukan Islam dan umat Islam serta memilki tanggungjawab yang sama dalam menyelesaikan seluruh masalah umat tanpa membezakan jantina.
Dalam menghasilkan ahli politik sejati, pastilah memerlukan usaha yang ampuh dari orang yang paling dekat dengannya; iaitu kita para ibu. Tanggungjawab ibu memberi pendidikan kepada anak-anak sejak dalam kandungan.

Namun pendidikan yang bagaimana?
Awalnya pendidikan dimulai dengan ibu itu sendiri. Ibu mengikuti pengkaderan dan memahami Islam secara kaffah. Kemudian melalui pengkaderan ini diberikan pencerahan politik dan dilatih kecerdasan politiknya.  Seterusnya dia terjun secara langsung dalam masyarakat dan menjadi ahli politik juga. Kegiatan politik bagi wanita adalah memuhasabah penguasa, dan melaksanakan amar makruf nahi mungkar. Bagaimana mungkin ibu yang tidak celik politik boleh mengacu pembinaan politik anak? Begitu juga semua pihak  (ayah, keluarga, masyarakat dan negara) mempunyai peranan masing-masing dalam membentuk sosok ahli politik ini.

Kisah sahabiyyah Asma’ binti Abu Bakar yang mendidik anaknya hingga menjadi ahli politik ulung. Beliau sabar dalam memberi motivasi pada anaknya agar tetap mempertahankan yang haq dan mengajak kepada kebenaran ketika tentera Hajjaj bertempur dengannya sungguhpun beliau menyedari bahawa nyawa anaknya menjadi taruhan dalam mempertahankan kebenaran.
Bagi remaja, walaupun belum mempunyai anak, namun bakal menjadi ibu suatu hari nanti. Persiapkan diri menjadi ahli politik dan juga penghasil ahli politik ulung!

Khatimah
Sebagai usaha memenuhi sebahagian syarat untuk menjadi golongan yang beruntung(Muflihun), menjadi ahli politik bukan satu pilihan sebaliknya ia adalah satu kewajipan. Demi menggalas tanggungjawab ini sebaik mungkin iaitu sesuai dengan hukum syarak, amatlah penting bagi Muslimah memahami ciri-ciri ahli politik sejati. Pemahaman yang mendalam akan hal ini akan dapat menjauhkan Muslimah jauh dari pemahaman politik yang salah iaitu politik yang sangat sinonim dengan pilihanraya dari perspektif Sekular-Kapitalis-Demokrasi. Pemahaman ini juga akan menjadi pendorong seorang Muslimah itu untuk melahirkan anak-anak untuk meneruskan perjuangannya dalam dunia politik. Bukan politik sebarangan, sebaliknya politik untuk mengatur urusan umat melalui penegakkan sebuah Negara Khilafah yang bakal melaksanakan Islam Kaffah. Wallahu ‘alam.



Sempena Hari Buruh: Perlukah Wanita Bekerja?

Wanita berkerjaya atau “Career women” telah menjadi satu fenomena yang diterima masyarakat kerana golongan wanita dianggap perlu berganding bahu dengan kaum lelaki memasuki pasaran pekerjaan untuk sama-sama membangunkan negara. Menurut Pertubuhan Buruh Antarabangsa, 200 juta wanita telah memasuki pasaran tenaga kerja sejak sedekad lalu, sehingga angka wanita bekerja di seluruh dunia mencecah 1.2 bilion orang [ILO, Global Employment Trend for Women, p.1]. Bidang kerjaya yang diceburi oleh kaum wanita juga pelbagai: bidang pertanian yang merupakan sumber pekerjaan utama sejak sepuluh tahun lalu kepada pelbagai sektor pekerjaan yang menggajikan wanita sebagai separuh dari tenaga kerjanya. Sebahagian tenaga kerja ini adalah Muslimah. Menurut Organisasi Buruh Antarabangsa (“ILO”) juga, golongan wanita yang aktif bekerja yang mana majoriti dari mereka adalah Muslim datang dari negara-negara Asia Tenggara iaitu Malaysia, Indonesia, Filipina dan Selatan Thailand mengekalkan tempat ketiga tertinggi di seluruh dunia, manakala jumlah wanita-wanita di Afrika Utara dan Timur Tengah yang bekerja adalah paling rendah.

Di Malaysia, statistik pada tahun 2007 menunjukkan bilangan pekerja di Malaysia adalah seramai 10,889,500 orang dimana 6,747,100 atau 62 peratus adalah lelaki dan 3,791,000 atau 38 peratus adalah wanita. Adalah didapati sektor-sektor dimana ramai pekerja wanita bekerja adalah di sektor pembuatan, di ikuti perdagangan borong dan runcit , pendidikan dan pertanian. Di beberapa sektor, sektor pendidikan dan kesihatan dan kerja-kerja kebajikan, adalah didapati bilangan pekerja wanita melebihi bilangan pekerja lelaki. Oleh kerana sektor-sektor yang dinyatakan tadi adalah penting, menunjukkan bahawa sumbangan wanita di dalam pembangunan negara, tidak boleh dinafikan [Sumber: Ucaptama mantan Timbalan Menteri Sumber Manusia,  Dato’ Noraini Bt. Ahmad pada 7 Julai 2008 di PWTC, Kuala Lumpur http://www.mohr.gov.my/index.php?option=com_content&task=view&id=634&Itemid=480〈=ms]. Benarkah dakwaan di atas atau wanita hanya mangsa eksploitasi semata? Menurut Elson dan Pearson (1984) penggunaan tenaga kerja wanita untuk jenis-jenis pekerjaan tertentu sesungguhnya adalah strategi pengusaha untuk mendapatkan tenaga kerja yang murah. Kedua pakar tersebut dengan tegas menyatakan tidak benar apabila pembahagian kerja timbul kerana wanita dianggap paling sesuai untuk pekerjaan tertentu melainkan ianya hanya mitos belaka [bappenas.go.id/get-file-server/node/2847]

Mengapa Wanita Bekerja?

Secara umumnya, alasan wanita keluar bekerja adalah kerana wang terutamanya kepada wanita yang berasal dari keluarga miskin dan bersuamikan lelaki yang pendapatannya tidak mampu memberi keselesaan kepada golongan berpendapatan rendah dan mempunyai ramai anak. Tiada jalan lain bagi isterinya kecuali bekerja, untuk menambah pendapatan. Kedudukan kewangan juga menjadi punca wanita mencari nafkah untuk menanggung ibu bapanya yang telah tua dan sakit. Akan tetapi, ada juga wanita bekerja bukan kerana terlalu memerlukan wang, sebaliknya perkara-perkara berikut:

1. Meningkatkan keselesaan hidup
. Sebenarnya suaminya mampu menyediakan nafkah secukupnya, akan tetapi kerana menginginkan kualiti hidup yang lebih tinggi, maka si isteri bekerja kerana mereka mengimpikan rumah yang lebih besar, kereta baru, menghantar anak  ke sekolah swasta yang mahal, dan melancong ke luar negara.

2. Desakan orang tua
. Ini adalah kerana mereka telah mengeluarkan biaya yang banyak untuk menyekolahkan anak perempuannya. Maka tiada kebahagiaan selain melihat anaknya menjawat jawatan tinggi. Ia juga dapat menaikkan imej dan status ibu bapa di hadapan kenalan dan saudara-mara mereka. Selain itu jika anaknya tidak bekerja maka dia seolah-olah menyia-nyiakan wang yang dibelanjakan dan jawatan tinggi yang mampu diraih sang anak.

3. Membayar hutang kerajaan.
Mendapatkan biasiswa memang suatu rezeki. Jika tidak mendapat biasiswa, kos pengajian dibiayai melalui pinjaman PTPTN. Kepada yang menerima biasiswa, ibu bapa menjadi lega kerana tidak perlu mengeluarkan biaya kuliah yang sangat mahal seperti kursus perubatan. Biasiswa ini bukanlah pendidikan percuma melainkan pelajar akan terikat dengan kontrak untuk berkhidmat dengan kerajaan selama beberapa jangka waktu sehingga mencecah 10 tahun. Jika kontrak ini dilanggar, mereka terpaksa membayar balik keseluruhan biasiswa yang diberikan. Peminjam PTPTN pula mesti menjelaskan hutang ini walaupun belum bekerja yang membawa makna bekerja menjadi satu perkara yang wajib!

4. Menghilangkan ketergantungan (independent) terhadap suami.
Wanita dari kelompok ini bangga kerana mampu mencari wang sendiri dan memiliki ‘self-confident’ yang tinggi dan tidak bimbang akan kebuluran seandainya berlaku perceraian atau kematian suami. Realiti hari ini yang mana ibu-ibu tunggal membanting tulang untuk meneruskan kehidupan tanpa bekas suami mempedulikan nafkah anak menyebabkan bekerja kepada golongan ini adalah sesuatu yang sangat mendesak untuk ‘survival’ diri dan anak-anak kerana ’huluran’ dari Jabatan Kebajikan Masyarakat juga sangat minima. “Syaitan menjanjikan(menakut-nakuti) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat yang keji dan Allah menjanjikan kepadamu ampunan dan kurnia; dan Allah Maha Luas (kurniaNya) dan Maha Mengetahui” [TMQ Al-Baqarah(2): 268]

5. Menaikkan imej sosial
. Ini seringkali terjadi kepada kaum wanita yang menduduki puncak hiraki dalam sektor awam ataupun swasta. Orang-orang akan melihatnya dengan perasaan takjub jika wanita itu memegang posisi penting di tempat kerjanya seperti menjadi menteri, ketua pengarah, CEO atau pengarah urusan syarikat tersenarai (public-listed companies). Wanita dari kelompok ini akan bermati-matian mengejar karier dengan bersaing dengan kaum lelaki. Anugerah seperti “CEO of the Year” atau “Women Manager of the Year” menjadikan mereka bangga hingga mendorong mereka menganjurkan program-program atau seminar-seminar untuk mengajak wanita lain mengikuti jejak mereka

6. Desakan masyarakat
. Memandangkan wanita bekerja merupakan satu fenomena biasa , maka wanita yang hanya menjaga anak di rumah akan dipandang rendah oleh masyarakat. Pertanyaan yang selalu ditanya adalah “Dimana kamu bekerja?”, “Kenapa isteri kamu tidak bekerja, bukankah dia berpendidikan tinggi?”. Lama-kelamaan wanita yang duduk di rumah juga ingin bekerja, kerana tidak tahan dengan anggapan rendah tersebut walaupun tidak ada keperluan mendesak untuk dia bekerja.

Kesan Negatif Wanita Bekerja

1. Merampas pekerjaan kaum lelaki. Bukan tidak pernah didengar kenyataan ini – Pelajar perempuan ke universiti, pelajar lelaki menjadi Mat REMP-it dan ke pusat serenti. Hal ini berlaku kerana masyarakat yang telah terbius dengan virus hedonism beranggapan apabila telah belajar tinggi, mestilah bekerja. Justeru, apabila statistik kemasukan pelajar wanita ke universiti lebih tinggi dari lelaki, secara relatifnya, wanita-wanita ini bakal ‘merampas’ jawatan-jawatan yang sepatutnya dipegang oleh lelaki. Dibawah tajuk “Fenomena penurunan jumlah pelajar lelaki di universiti dibangkitkan lagi”, laporan Kosmo Online pada 13hb April 2009 menyebut bahawa “Statistik kemasukan pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) menunjukkan pelajar perempuan terus mendominasi dengan kemasukan 64.5 peratus bagi sesi pengajian 2008/2009”.

2. Peningkatan Kos Operasi.
Dalam sistem Kapitalis hari ini yang mana pemerintah ‘lepas tangan’ akan kebajikan rakyat, majikan telah dibebankan dengan kos yang tinggi untuk menanggung kebajikan pekerja (staff welfare). Apabila wanita bersalin, gaji mereka tetap dibayar oleh majikan sedangkan tidak ada perkhidmatan yang diberi sepanjang tempoh cuti bersalin tersebut. “Majikan Malaysia membelanjakan kira-kira RM1.57 bilion setahun untuk cuti bersalin 60-hari kepada kakitangan wanita, demikian seminar mengenai persamaan gender di sini diberitahu hari ini. Naib presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) A.Ramadass dalam kertasnya mengenai perlindungan bersalin dan tolak ansur kerja dan tanggungjawab keluarga, berkata kajian MEF menunjukkan bahawa jumlah kos bagi setiap kakitangan adalah sekitar RM7,500 setiap kali bersalin, terdiri daripada RM3,000 gaji dan RM4,500 elaun lebih masa” [www.utusan.com.my 21hb April 2009]. Kos yang ditanggung majikan ini menyebabkan kos operasi menjadi tinggi kerana wang yang dilaburkan tidak mendapat pulangan dalam bentuk produktiviti. Pada akhirnya, apabila majikan tetap mahu mengekalkan margin keuntungan syarikat untuk memenuhi nafsu serakah pemegang saham (shareholders) dan pihak-pihak yang berkepentingan (stakeholders), syarikat akan menaikkan harga barangan dan perkhidmatan yang mana kesannya akan ditanggung oleh seluruh anggota masyarakat.

3.  Mendedahkan anak-anak pada bahaya.
Apabila wanita bekerja, mereka meletakkan anak-anak dalam jagaan pembantu rumah atau pengasuh. Ada kalangan anak-anak ini menjadi mangsa rogol, liwat dan cabul oleh ahli keluarga pengasuh. Anak-anak kecil di taman asuhan kanak-kanak (taska) juga berdepan dengan pelbagai risiko seperti mati tercekik susu, jatuh dari buaian, kecederaan yang tidak dapat dijelaskan dsb. Ibu-ibu yang bekerja syif juga meletakkan anak-anak perempuan mereka dalam keadaan bahaya yang mana mereka terdedah kepada gejala sumbang mahram. Masalah pembantu rumah warga asing juga sering mendedahkan anak-anak kecil dalam keadaan bahaya apabila mereka bertindak di luar dugaan seperti lari dari rumah dan meninggalkan anak-anak tanpa ditemani sesiapa.

4. Tidak mampu melayani suami dan anaknya dengan sempurna
.
Tanggungjawab wanita selaku ibu dan pengurus rumahtangga (ummun wa rabbatul bayt) adakalanya tidak dapat dilakukan dengan sempurna apabila wanita bekerja kerana kekangan masa dan wanita itu sendiri dalam keadaan keletihan untuk mengurusi rumah, anak-anak, suami dan urusan di tempat kerja.

5. Suami menjadi bergantung kepada penghasilan isteri.
Fenomena “Mr Mama” yang mana wanita menjadi tunggak utama mencari nafkah dalam keluarga dan suami pula di rumah mengurusi anak-anak adalah sesuatu yang sudah tentu bertentangan dengan ajaran Islam iaitu suami yang mencari rezeki, bukan isteri. Jika hanya isteri yang bekerja, seandainya berlaku penceraian pasti urusan menentukan harta sepencarian menjadikan kes penceraian memakan masa yang lama untuk diselesaikan.

Jalan Penyelesaian menurut Sekular

Sistem ekonomi Kapitalis hasil “air tangan” Adam Smith (1723-1790) yang mendominasi dunia masa kini menyebabkan sebahagian kaum Muslimin mencari penyelesaian kepada masalah mereka dalam kerangka Sekular. Masalah-masalah yang dihadapi oleh wanita bekerja diselesaikan menurut akal pemikiran mereka, bukan jalan penyelesaian yang digali dari sumber wahyu. Antara masalah yang dihadapi oleh wanita bekerja adalah terlalu bergantung kepada pembantu rumah warga asing yang seringkali menimbulkan masalah. Justeru antara jalan keluar pemerintah adalah memberi pelbagai insentif kepada majikan untuk menyediakan kemudahan penjagaan anak-anak di tempat kerja (child-care centres). Menurut Perdana Menteri Malaysia ke-6 yang baru menaiki takhta pemerintahan Negara Islam Hadhari ini, kerajaan telah memberi pengurangan cukai 10 peratus setahun kepada majikan yang menyediakan pusat-pusat penjagaan kanak-kanak di tempat kerja atas kos penubuhan pusat bagi tempoh 10 tahun sebagai insentif. “Agensi-agensi kerajaan yang menyediakan pusat-pusat penjagaan kanak-kanak di tempat kerja akan diberi geran RM80,000 untuk renovasi dan kelengkapan perabot. “Saya ingin menggesa sektor swasta memenuhi tanggungjawab sosial korporat mereka dengan mengadakan kemudahan penjagaan kanak-kanak di tempat kerja untuk pekerja mereka,” kata beliau [Sumber: www.bernama.com 14hb April 2009].

Insentif yang diberikan kepada majikan dalam Pakej Rangsangan ini sudah tentu memberi kelegaan kepada para majikan kerana pengurangan cukai dan geran yang diberikan akan membaiki aliran tunai syarikat dalam senario ekonomi yang merudum, selain produktivi tidak terjejas kerana kaum ibu hampir dengan anak-anak mereka. Akan tetapi adakah ia menyelesaikan persoalan pokok pertama iaitu perlukah wanita bekerja?

Apakah Hukum Wanita Bekerja?

Secara umumnya, hukum bekerja bagi wanita adalah mubah (harus) selagi mendapat keizinan daripada suami atau walinya. Bekerja juga dibolehkan selagi pekerjaannya tidak menjerumuskan dirinya kepada perkara  yang haram seperti tidak boleh menutup auratnya dengan sempurna di tempat umum, pergaulan dengan lawan jenis yang boleh menimbulkan fitnah seperti seorang setiausaha wanita yang perlu menemani ketua pejabatnya seorang lelaki kemana-mana dengan menaiki kenderaan peribadi tanpa ditemani mahramnya.

Apakah Jalan Penyelesaian menurut Syarak?

Islam selaku mualajah lil masyakil insan (penyelesai permasalahan manusia) mempunyai pelbagai hukum-hakam untuk memastikan kemaslahatan manusia dengan hukum-hakam seperti berikut:
1. Jaminan Pemenuhan Keperluan Pokok (primary needs). Islam telah menetapkan keperluan pokok manusia terdiri daripada makanan, pakaian dan tempat tinggal. Walaubagaimanapun, jaminan pemenuhan keperluan pokok bagi setiap individu tidak bererti negara akan membahagi-bahagikan makanan, pakaian, dan perumahan kepada sesiapa sahaja sehingga menjadikan rakyatnya malas, sebaliknya, ia dilakukan dengan mewujudkan mekanisma-mekanisma yang dapat menangani masalah kemiskinan. Mekanisma tersebut adalah:

a. Mewajibkan Lelaki Memberi Nafkah Kepada Diri dan Keluarganya
. Islam mewajibkan lelaki yang mampu dan memerlukan nafkah untuk bekerja dalam rangka memenuhi keperluannya. Allah Subhanahu Wa Taala berfirman yang bermaksud:”Kewajiban ayah memberikan makan dan pakaian kepada para ibu dengan car ayang ma’ruf.” [TMQ Al-Baqarah (2): 233]. Dalil ini menunjukkan secara pasti bahawa suamilah yang perlu bekerja, dan bukan sang isteri!

b. Mewajibkan saudara terdekat untuk membantu saudaranya.
Ini bermakna kepada orang yang tidak punya pendapatan untuk menafkahi dirinya dan anak-anak seperti golongan ibu tunggal, pemenuhan nafkahnya adalah menjadi tanggungjawab kerabat terdekat yang memiliki hubungan darah untuk membantu mereka. Allah Subhanahu Wa Taala berfirman yang bermaksud: “…Dan kewajiban ayah memberikan makan dan pakaian kepada ibu dengan cara yang ma’ruf. Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya. Janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan kerana anaknya, dan seorang ayah kerana anaknya. Dan warispun berkewajipan sedemikian…” [TMQ al-Baqarah (2): 233]. Jika seseorang secara peribadi tidak mampu memenuhi keperluannya maka kewajiban memenuhi nafkah beralih ke kerabat terdekatnya sekiranya terdapat kelebihan harta. “Sebaik-baik sedekah adalah harta yang berasal dari selebihnya keperluan.” [HR. Imam Bukhari dari Abu Hurairah].

c. Mewajibkan Negara untuk Membantu Rakyat Miskin.
Jika seseorang yang miskin tidak memiliki saudara yang boleh membantunya, kewajiban memberi nafkah beralih ke Baitul Mal (kewangan negara). Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam pernah bersabda: “Siapa saja yang meninggalkan harta, maka harta itu untuk ahli warisnya, dan siapa saja yang meninggalkan ‘kalla’ (sebatang kara iaitu orang yang lemah, tidak mempunyai anak dan ibu-bapa), maka dia menjadi kewajiban kami.” [HR. Imam Muslim]. Disini kita juga melihat bahawa hukum asal bekerja tidak wajib kepada wanita kerana keperluan asasnya akan dipenuhi oleh pemerintah melalui Baitul Mal.

d. Mewajibkan Kaum Muslim untuk Membantu Rakyat Miskin.
Apabila di dalam Baitul Mal tidak ada harta sama sekali, maka kewajiban menafkahi orang miskin beralih ke kaum Muslim secara kolektif. Allah Subhanahu Wa Taala berfirman: “Di dalam harta mereka, terdapat hak bagi orang miskin yang meminta-minta yang tidak mendapatkan bahagian.” [TMQ Az-Zariyat (51): 19]. Mekanisma ini dilakukan dengan dua cara. Pertama, kaum Muslim secara individu membantu orang-orang yang miskin. Kedua, negara mewajibkan dharibah (cukai) kepada orang-orang kaya, hingga mencukupi keperluan untuk membantu orang miskin. Cukai ini hanya diwajibkan ketika Baitul Mal benar-benar kehabisan sumber kewangan.

2. Pengaturan Pemilikan.
Pengaturan pemilikan yang dimaksud mencakup tiga aspek, iaitu jenis-jenis pemilikan iaitu pemilikan individu, pemilikan umum dan pemilikan negara, pengelolaan pemilikan dan pengagihan kekayaan di tengah-tengah masyarakat. Pemilikan umum  menjadikan aset-aset milik masyarakat seperti emas, perang, petroleum tidak boleh dimonopoli individu atau syarikat seperti masa kini sebaliknya ia menjadi milik seluruh manusia untuk sama-sama memanfaatkannya. Pengelolaan aset-aset ini akan dapat digunakan pemerintah untuk memberi manfaat kepada rakyat sehingga kesannya menyebabkan wanita tidak perlu bekerja kerana telah ada pemerintah untuk mencukupi keperluannya melalui pengagihan kekayaan (distribution of wealth) kepada seluruh anggota masyarakat.

Khatimah

Pada hari ini, wanita yang terpaksa bekerja untuk memenuhi keperluan pokok diri dan tanggungan mereka hanyalah merupakan masalah cabang (furu’) iaitu simptom atau gejala dan bukannya penyakit sebenar. Kewujudan pemerintah yang tidak melaksanakan seluruh hukum-hakam Islam menyebabkan jalan penyelesaian menurut syarak  untuk mengatasi kemelut yang melanda kaum Hawa yang dikemukakan di atas kekal sebagai teori semata. Oleh kerana itu, sangatlah perlu bagi umat Islam untuk berusaha mengembalikan Islam dalam kehidupan sehingga pada akhirnya akan tertegak sebuah negara Daulah Khilafah untuk melaksanakan Islam Kaffah, termasuk di dalamnya sistem ekonomi Islam (nizamul iqtisad fil Islam) untuk mengatur urusan umat sehingga keperluan pokok mereka dapat dipenuhi. Natijah akhirnya ialah kaum wanita tidak perlu bekerja kerana seluruh hukum-hakam untuk menjaga umat ini akan memastikan kemaslahatan mereka terjamin. Sudah tentu, keadaan ini akan dapat memberi ketenangan kepada kaum wanita untuk menjalankan peranan utamanya selaku ummun wa rabbatul bayt dengan sempurna  dan Islam benar-benar adalah rahmatan lil ‘alamin.
 Wallahu ‘alam bisshawab.



ADAKAH ISLAM MENINDAS WANITA? (BAHAGIAN 2)

Ketika kegagalan niqab (Veil Fiasco) Jack Straw, beberapa ahli politik dan media Barat telah berlumba-lumba  menonjolkan diri untuk menjelaskan bahawa niqab atau veil muka adalah menyusahkan masyarakat British. Tessa Jowell, Setiausaha Kebudayaan ketika itu turut memberi pendapat “two pence” beliau dalam perdebatan  tersebut dengan memberi komen, “ Kita telah berjuang selama beberapa generasi untuk kesetaraan bagi wanita supaya wanita mendapat . kesamaan hak  dalam masyarakat.”  Bukan niqab sahaja yang di lihat oleh Barat sebagai pengkhianatan Islam ke atas “Hak–hak wanita” (Women’ Rights) tetapi juga perundangan, tanggungjawab dan hak-hak yang berbeza diantara lelaki dan wanita  dalam masyarakat; khimar (tudung) dan jilbab (pakaian luar); memberi keterangan, undang–undang pewarisan dan penceraian; poligami; larangan wanita menjadi ketua negara; tugas lelaki sebagai penjaga dan pencari nafkah keluarga sementara tugas wanita sebagai pengurus dan ibu rumahtangga kepada anak-anak; mematuhi suami dalam isu-isu yang berkaitan dengan hak–hak suami. Perdebatan ini sering disampaikan seolah-olah undang-undang dan tugas–tugas ini mendiskriminasi wanita, hanya dikuasai oleh kaum lelaki, membuat wanita kurang penting dari kaum lelaki dan memberikan wanita status sebagai warga kelas kedua dalam masyarakat, tidak berharga berbanding lelaki. Yang paling penting adalah dakwaan bahawa undang-undang ini menunjukkan perbuatan khianat terhadap kesetaraan gender (gender equality) yang dilihat oleh Barat sebagai satu jalan bagi wanita untuk memiliki status, penghormatan dan kebebasan dalam masyarakat. Dalam artikel ini kita akan meneliti kepercayaan berkaitan dengan kesetaraan gender dan mencabar tanggapan bahawa perundangan Islam menindas wanita hanya kerana tarafnya dikatakan jauh lebih rendah dari kesetaraan gender.

(1)    Kesetaraan gender adalah dilahirkan oleh Barat, bukan dari pengalaman Islam.
Perkara pertama yang mesti kita perhatikan adalah konsep kesetaraan gender ini lahir dari pengalaman Barat akibat ketidakadilan yang dihadapi oleh wanita dalam masyarakat Barat. Ketidakupayaan untuk meninggalkan suami yang ganas, memulakan proses penceraian apabila berhadapan dengan masalah perkahwinan, tidak mendapat kemudahan dalam pendidikan dan pekerjaan, keadaan tempat kerja yang tidak memuaskan, kekurangan hak harta dalam perkahwinan dan ketiadaan hak berpolitik adalah keadaan yang dihadapi oleh wanita dalam masyarakat Barat dimana keadaan ini mencetuskan gerakan feminism yang pertama. Keadaan ini muncul dari pandangan bahawa wanita dalam masyarakat  adalah kurang berharga atau bernilai daripada lelaki sebagai seorang manusia: spiritual dan intelektual. Malah, orang–orang yang dianggap sebagai yang berfikiran terbuka (enlightened thinkers)  dalam sejarah Barat seperti Voltaire dan Rousseau, mengambarkan wanita sebagai seseorang yang kurang rasional dari lelaki dan oleh itu tidak sesuai untuk kehidupan umum. Mereka mengemukakan ini sebagai satu hujah mengapa lelaki mesti menjadi warga dalam masyarakat manakala wanita terhad sebagai isteri dan ibu.  Wanita-wanita yang berani telah berjuang menentang norma dan pandangan yang menindas ini, sebahagiannya mengorbankan kehidupan mereka untuk membebaskan persepsi yang salah ini terhadap wanita untuk mendapatkan hak asas kewarganegaraan. Mereka telah cuba mendapatkan hak-hak ini dibawah panji “kesetaraan gender”.

Pandangan Islam:
Sebagai perbandingan, “perjuangan wanita” (women struggle) adalah asing dalam sejarah Islam atas beberapa perkara. Pertama, Islam sentiasa berpandangan bahawa lelaki dan wanita  mempunyai keupayaan intelektual dan nilai kepentingan yang sama sebagai manusia kerana mereka dicipta dari satu roh yang tidak mempunyai perbezaan dari sifat manusia. Allah Subhanahu wa Taala berfirman,

Wahai  sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu (Adam), dan daripadanya Allah menciptakan isterinya (Hawa); dan dari keduanya Allah memperkembang biakkan laki-laki dan wanita.” [TMQ An-Nisa : 1]    
 
Sesungguhnya laki-laki dan perempuan yang Muslim, laki-laki dan perempuan yang mukmin, laki-laki dan perempuan yang tetap dalam ketaatannya, laki-laki dan perempuan yang benar, laki-laki dan perempuan yang sabar, laki-laki dan perempuan yang khusyuk, laki-laki dan perempuan yang bersedekah, laki-laki dan perempuan yang berpuasa, lak-laki dan perempuan yang menjaga kehormatannya, laki-laki dan perempuan yang banyak menyebut nama Allah, Allah telah menyediakan untuk mereka keampunan dan pahala yang besar.” [TMQ Al-Ahzab:35]

Kedua, banyak sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam yang mengangkat status wanita dalam masyarakat, melupuskan status rendah wanita sebagai warga kelas kedua, yang memperhambakan diri kepada laki-laki di Arab dan perkara-perkara yang lain dalam masyarakat,  sebelum kedatangan Islam. Beliau Sallallahu Alaihi Wa Sallam bersabda, “Barangsiapa yang yang mempunyai tiga orang anak perempuan dan melindungi mereka, memberikan apa yang dikehendaki mereka dan menunjukkan belas kasihan kepada mereka, akan mendapat syurga.” Seorang laki-laki diantara orang ramai bertanya, “Dan jika ada dua, wahai Rasullullah? Dan baginda berkata, “Ya, walaupun mereka ada dua”. Baginda Sallallahu Alaihi Wa Sallam bersabda, “Seorang yang benar-benar beriman itu adalah seorang yang mempunyai pekerti yang terbaik dan yang terbaik diantara kamu adalah orang–orang yang berbuat baik kepada wanita-wanita mereka”.  Beliau Sallallahu Alaihi Wa Sallam berkata,  “Syurga terletak dibawah tapak kaki ibu”. Dalam khutbah terakhirnya, baginda Sallallahu Alaihi Wa Sallam berkata, “Takutlah Allah berhubungan dengan wanita kerana mereka adalah amanah ditangan kamu”. Oleh itu, inilah pandangan  terhadap wanita dan rasa tanggungjawab kepada Yang Maha Pencipta adalah langkah utama untuk mencegah dari tidak menghormati, mendiskriminasi dan mencederakan wanita.

Ketiga, hak-hak seperti pendidikan, bekerja dan memberikan pekerjaan, memiliki harta, menyewa tanah, bekerja sebagai ahli perniagaan atau professional, memilih pemerintah dan menyuarakan pandangan politik mereka, memulakan proses penceraian dan memiliki kemewahan bagi seorang wanita sebagai seorang warganegara telah termaktub dalam teks-teks Islam dan telah terjamin semenjak permulaan tamadun Islam. Bulan Julai ini menandakan ulangtahun ke-80 “Equal Franchise Act” apabila wanita di Britain memenangi hak mengundi seperti lelaki, manakala bulan Disember ini pula, akan menandakan 1,430 tahun semenjak Islam memberikan wanita hak mengundi yang sama seperti lelaki. Manakala wanita di Eropah mengikat diri mereka dijeriji dan melakukan mogok lapar untuk menuntut suara berpolitik, Islam telah mewajibkan wanita untuk aktif berpolitik dalam masyarakat. Apabila akhirnya wanita yang telah berkahwin dalam banyak masyarakat Barat dibenarkan untuk menguruskan akaun bank mereka dan segala urusan kewangan  mereka tinggal berasingan dari suami-suami mereka pada tahun 1960an, wanita Islam yang telah berkahwin mahupun bujang, telah pun diberikan kekuasaan mutlak keatas kekayaan dan harta benda mereka lebih dari 1400 tahun yang lalu.

(2)    Dilema “Kesetaraan Gender”:
Jika kita meneliti konsep “Kesetaraan Gender”, ironinya kita akan dapati bahawa ia adalah  satu konsep yang mana lelaki yang menguasai kerana ia meletakkan lelaki sebagai seorang yang menjadi ketua pada nama sahaja atau pun satu matlamat yang ingin dicapai oleh wanita. Lebih beberapa generasi, ramai feminis Barat telah mendapati bahawa ia juga menimbulkan beberapa kontradiksi dan dilema yang tersendiri, Contohnya, dilema dimana seorang wanita yang menyeru kepada kesetaraan turut menyangkal kepentingan gender dalam kehidupan umum tetapi pada masa yang sama turut menyeru kepada hak-hak kehamilan atau waktu kerja yang lebih fleksibil berdasarkan kepada perbezaan gender. Idea kesetaraan gender yang menjejaskan apresiasi  perbezaan gender ditempat kerja dan masyarakat, lebih menghalang dari memudahkan pencapaian untuk hak-hak asas yang akan turut membuka pintu  diskriminasi. Seruan kearah undang-undang keneutralan gender yang tidak mengiktiraf perbezaan yang ketara antara jantina, berkemungkinan akan menyebabkan ketidakadilan terhadap wanita, dimana majikan akan mengharapkan  komitmen kerja yang sama berkaitan masa dan aktiviti fizikal bagi wanita yang hamil ataupun yang mempunyai anak-anak kecil. Tambahan pula, secara teorinya konsep kesetaraan gender akan melahirkan “have it all woman”, tetapi realitinya akan melahirkan “do it all woman” – seseorang yang bukan sahaja akan sentiasa dibebani dengan tanggungjawab rumahtangga tetapi juga dibebani dengan tanggungjawab kewangan keluarga dengan bersusah payah memelihara kerjaya yang mencabar. Dengan “dirantai di sinki dapur” (being chained to the kitchen sink) dengan pantasnya akan diganti dengan “dirantai di pasaran ekonomi” (being chained to the economic market).

Tambahan pula, diskriminasi gender dan kesulitan untuk meningkat maju (glass ceilings) masih wujud dalam masyarakat Barat sama seperti keganasan rumahtangga dan penderaan terhadap wanita – dua abad setelah lahirnya laungan kesetaraan gender. Jun lalu, kerajaan telah mengumumkan rang undang-undang kesetaraan (“Equalities Bill”) baru yang membahaskan isu-isu seperti perbezaan gaji dan meluluskan rang undang-undang mengenai diskriminasi terhadap wanita bagi menangani masalah diskriminasi yang berterusan terhadap wanita ditempat kerja – isu-isu dasar tentang hak-hak wanita yang berterusan melanda persekitaran tempat kerja dan kehidupan umum dalam masyarakat sekular Barat. Tambahan pula, baru-baru ini sebuah laporan dari Home Office telah mendapati lebih 650,000 kes-kes keganasan rumahtangga telah dilaporkan pada tahun lepas di United Kingdom – ini menunjukkan peningkatan tiga kali ganda dari tahun sebelumnya.

Apa yang nyata adalah dengan memperolehi kesetaraan peranan, tanggungjawab dan hak dalam perkahwinan dan masyarakat, tidak bererti secara automatik wanita mendapat jaminan tentang kehormatan, anti-diskriminasi dan perlindungan sama seperti peranan, tanggungjawab dan hak-hak lelaki dan wanita yang berbeza  dalam Islam akan melahirkan penindasan, ketidakhormatan dan  bahaya terhadap wanita pada umumnya. Layanan terhadap wanita bergantung kepada pandangan dan nilai-nilai yang telah dipropagandakan oleh mana-mana masyarakat sama seperti kepentingan dan penghargaan terhadap wanita. Dalam masyarakat liberal sekular, malah terdapat satu jurang antara seruan kearah memberi penghormatan dan penghargaan yang setara terhadap wanita dengan konsep kebebasan yang membolehkan lelaki untuk berpandangan dan melayan wanita seperti mana yang diingininya.

Pandangan Islam
“Kesetaraan gender” bukanlah satu konsep yang terkandung dalam Islam. Islam tidak membandingkan wanita dengan lelaki atau melihat apakah yang terbaik untuk wanita berlawanan dengan apakah yang terbaik untuk lelaki apabila menerangkan hak dan tanggungjawab dalam kehidupan berkeluarga ataupun bermasyarakat. Lebih tepat ia melihat kepada keperluan lelaki dan wanita sebagai manusia dan apakah yang terbaik untuk kehidupan keluarga dan komuniti keseluruhannya untuk mencapai kesejahteraan. Oleh itu, dalam beberapa bidang, hak-hak dan peraturan-peraturan adalah serupa, contohnya hak sebagai warganegara termasuk hak keadilan, hukuman yang serupa untuk jenayah yang serupa, hak untuk mengundi ketua negara dan suara berpolitik dalam masyarakat. Dalam beberapa bahagian, tanggungjawab adalah sama, contohnya solat, puasa, mengerjakan haji, membayar zakat, dan muhasabah  pemerintah.

Walaubagaimanapun, dalam beberapa isu, hak dan peranan antara lelaki dan perempuan adalah berbeza, contohnya dalam proses penceraian, kod berpakaian, harta warisan, mahar yang diberi oleh pengantin lelaki kepada pengantin wanita dalam perkahwinan, poligami, memerlukan 2 orang saksi wanita untuk memberi saksi di mahkamah berbanding dengan hanya seorang bagi lelaki, hak penjagaan anak serta peranan dan hak dalam perkahwinan dan kehidupan berkeluarga.

Oleh itu, dalam sesetengah perkara, Allah Subhanahu wa Taala telah memberikan lelaki hak-hak tertentu yang tidak mungkin mampu dipikul oleh wanita dan dalam isu yang lain Dia Subhanahu wa Taala pula telah memberikan wanita hak-hak yang tidak mungkin mampu dipikul oleh lelaki. Islam tidak melihat perbezaan sebagai masalah atau diskriminasi kerana ia tidak melihat satu peranan atau hak  dalam sesuatu perkara itu mengatasi yang lain. Contohnya, dalam kehidupan berkeluarga, Islam menerangkan bahawa tanggungjawab lelaki sebagai pencari nafkah manakala wanita sebagai pengurus dan ibu rumahtangga kepada anak-anak. Allah Subhanahu wa Taala berfirman,

Dan kewajipan ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang ma’aruf” [TMQ Al-Baqarah:233]

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam bersabda, “Setiap kamu adalah penjaga, dan setiapnya bertanggungjawab keatas setiap orang dibawah jagaannya. Seorang pemerintah adalah penjaga; seorang lelaki adalah penjaga keluarganya; seorang wanita adalah penjaga rumah suami dan anak-anaknya. Dan setiap dari kamu adalah penjaga dan setiap kamu bertanggungjawab keatas jagaannya”.        [Riwayat Bukhari dan Muslim]

Satu peranan mengatasi peranan yang lain, akan tetapi kedua-duanya adalah penting untuk memastikan kelangsungan fungsi sebuah keluarga dan kemajuan masyarakat amnya. Bagi masyarakat Barat, sebarang perbezaan hak dan tanggungjawab antara lelaki dan wanita dalam Islam sering ditakrifkan sebagai satu pengkhianatan kesetaraan dan oleh itu, ia serta merta dianggap tidak adil dan menindas tanpa meneliti apakah yang ingin dicapai oleh hukum-hakam Islam dalam kehidupan berkeluarga atau masyarakat. Contohnya, Islam telah menetapkan peranan penjaga dan pemimpin keluarga kepada lelaki, bukan kerana lebih tinggi kedudukannya tetapi untuk tujuan pengurusan kehidupan berkeluarga.   Sesungguhnya, Mary Astell, salah seorang diantara feminis English yang awal, telah membuat kesimpulan bahawa seorang isteri mesti mematuhi suami, bukan atas dasar lebih tinggi kedudukannya tetapi untuk pengurusan kehidupan rumahtangga.

Dari segi kewangan dalam Islam, wanita sepatutnya dibiayai oleh ahli keluarganya yang lelaki, komuniti serta negaranya. Oleh itu, walaupun seorang wanita itu dibenarkan untuk bekerja, tidak harus ada tekanan masyarakat dan kewangan keatasnya jika dia memilih untuk tidak berkompromi akan tugas utamanya sebagai seorang isteri dan ibu serta mengasuh pemikiran dan tingkah laku generasi akan datang. Kekayaan yang diperolehi oleh seorang wanita dari bekerja atau warisan boleh dibelanjakan sesuka hatinya tanpa mengambil kira keperluan kewangan keluarganya. Walau bagaimanapun, lelaki bertanggungjawab untuk membelanjakan pendapatannya dan sebarang warisan bukan sahaja untuk membiayai isteri dan anak-anaknya tetapi juga saudara wanitanya jika diperlukan. Sesungguhnya ia adalah satu hujah yang aneh dimana ia menyatakan tugas dan tanggungjawab  dalam kehidupan berkeluarga tidak adil keatas wanita. Walhal, ini adalah satu keringanan baginya kerana bebanan kewangan untuk keluarganya tidak lagi terletak dibahunya. Ia juga satu pandangan yang tidak rasional keatas wanita, seolah–olah buta keatas ketidakadilan yang diletakkan di bahu “superwoman” yang bertungkus-lumus setiap hari untuk mengimbangi tanggungjawab ke atas keluarga dan mencari nafkah. Wallahu ‘alam bisshawab.

Nota:Terjemahan bahagian terakhir artikel ini akan bersambung pada keluaran akan datang.