Fikratul Ummah Bil.98 – Jamadil Akhir 1443H
Assalamualaikum WBT. Umum sudah sedia maklum bahawa pandemik Covid-19 memberikan impak yang cukup besar baik terhadap negara, masyarakat mahupun individu. Kini seluruh dunia termasuk Malaysia sedang menyusun “formula” untuk berhadapan dengan situasi pasca pandemik agar tidak terus jatuh. Antara perkara yang diambil kira oleh kerajaan Malaysia adalah berkenaan nasib anak yatim yang bertambah secara mendadak akibat pandemik ini. Pelbagai langkah disusun dan dirancang agar nasib si anak yatim tersebut tetap terbela baik bagi anak yatim yang diwariskan dengan harta yang banyak mahupun si anak yatim yang ditinggalkan tanpa harta. Namun, dilihat secara realiti, terdapat banyak kisah tentang nasib si anak yatim yang muncul di dada-dada akhbar yang menyentuh hati kita. Adakah nasib mereka benar-benar dapat terbela dalam acuan sistem kapitalis ini? Bagaimana Islam menjamin masa depan anak yatim dan apakah hukum-hukum yang terkait anak yatim? Inilah yang akan dikupas dalam Fikratul Ummah kali ini. Semoga daripada pembacaan artikel-artikel yang terkait dengan hukum dan hak anak yatim tersebut, dapat membetulkan kesalahfahaman kita selama ini.
Wallhualam
Apa Yang Dihalalkan Bagi Penjaga Anak Yatim?
Oleh : Hidayah Muhammad
وَلَا تَأْكُلُوْهَآ اِسْرَافًا وَّبِدَارًا اَنْ يَّكْبَرُوْا ۗ وَمَنْ كَانَ غَنِيًّا فَلْيَسْتَعْفِفْ ۚ وَمَنْ كَانَ فَقِيْرًا فَلْيَأْكُلْ بِالْمَعْرُوْفِ ۗ
“Dan ujilah anak yatim itu sampai mereka cukup umur untuk berkahwin. Kemudian jika menurut pendapatmu mereka telah cerdas (pandai memelihara harta), maka serahkanlah kepada mereka harta-hartanya. Dan janganlah kamu makan harta anak yatim lebih dari batas kepatutan dan (janganlah kamu) tergesa-gesa (membelanjakannya) sebelum mereka dewasa. Barang siapa (di antara pemelihara itu) mampu, maka hendaklah dia menahan diri (dari memakan harta anak yatim itu) dan barangsiapa yang miskin, maka bolehlah dia makan harta itu menurut yang patut…” [TMQ: an-Nisa (4): 6]
Asbabun Nuzul Ayat
Ayat ini turun berkaitan dengan pertanyaan dari bapa saudara Thabit bin Rifa’ah kepada Rasulullah SAW tentang harta anak yatim yang halal baginya.
Ketika Rifa’ah meninggal dunia, Thabit masih kecil dan bapa saudaranya datang menemui Rasulullah SAW dan berkata, “Sesungguhnya anak saudaraku ini seorang yatim dan berada di bawah jagaanku. Apa yang halal untukku atas hartanya dan bila aku boleh menyerahkan hartanya kepadanya (Thabit)?” Lalu turunlah ayat ini untuk menjawab pertanyaan dari bapa saudara Thabit. (Wahbah Az-Zuhaili, Tafsir Al-Munir, Jilid 2)
Penerangan Ayat
Ayat ini menjelaskan larangan bagi para penjaga anak yatim dari memakan atau mengambil harta anak yatim tanpa ada keperluan yang mendesak dan tidak berlebih-lebihan dalam menggunakannya. Malah penjaga juga tidak boleh tergesa-gesa untuk menyerahkan harta tersebut sehingga anak yatim itu mencapai usia baligh. Pada usia yang belum baligh, akal kanak-kanak belum cukup mampu untuk membuat kesimpulan dengan benar, mudah dimanipulasi dan belum mampu mengurusi hartanya. Malah, harta itu mungkin habis begitu sahaja akibat ditipu atau kerana ketidakpandaian si anak kecil itu dalam menilai harta.
Sekiranya penjaga anak yatim itu mampu untuk memenuhi keperluan diri, ahli keluarganya dan anak yatim tersebut, maka hendaklah dia menahan (dilarang mengambil) harta anak yatim tersebut.
Namun, jika penjaga anak yatim itu dari golongan yang tidak mampu, maka dia dibolehkan untuk mengambil dengan cara sepatutnya (makruf) atau sekadar memenuhi keperluan untuk menghilangkan rasa lapar dan untuk menutup aurat.
Ini dikuatkan dari hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, dari Abdullah bin Amr RA, “Bahawa ada seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW. “Saya tidak memiliki harta, namun saya mengasuh anak yatim.” Lalu Rasulullah SAW berkata kepadanya, “Makanlah dari harta anak yatim tersebut tanpa berlebihan, tidak mengambil dari hartanya untuk kamu kumpulkan dan tidak boleh kamu menyimpan hartamu. Dan sebagai gantinya kamu menggunakan harta anak yatim tersebut untuk memenuhi keperluanmu.” (Wahbah Az-Zuhaili,Tafsir Al-Munir, Jilid 2).
Terdapat perbezaan pendapat pada maksud al Ma’ruf (الْمَعْرُوْفِ). Pendapat Umar al-Khattab, Ibnu Abbas, ‘Abidah al-Salmani, Ibnu Jubair, Al-Sya’bi, Mujahid, Abu al-Aliyah dan al-Auza’ie mengatakan al-Ma’ruf itu dengan meminjam dari harta anak dan akan memulangkannya semula. Manakala menurut al-Nakha’ie, ‘Atha’, al-Hasan dan Qatadah, bagi mereka yang miskin tidak perlu untuk memulangkan harta tersebut selagi ia digunakan dalam perkara yang makruf. Ini juga juga adalah pendapat jumhur para fuqaha. (Ibnu Kathir, Fath al-Qadir, 1/491)
Wahbah Az-Zuhaili mengatakan al-Ma’ruf hanya digunakan sekadar memenuhi keperluan untuk menghilangkan rasa lapar dan untuk menutup aurat.
Amanah Dalam Menjaga Dan Mengurus Harta Anak Yatim
Memelihara anak yatim dengan menjaga atau mengasuh anak yatim akan mendapatkan ganjaran syurga daripada Allah SWT. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
“Barangsiapa yang memelihara anak yatim dan memberinya makan dan minum nescaya Allah akan memasukkannya ke dalam syurga kecuali jika dia melakukan dosa besar yang tidak dapat diampuni.” (HR At-Tirmizi, No. 1917)
Adalah menjadi tanggungjawab serta kewajipan bagi sesiapa yang menjadi penjaga anak yatim untuk mengatur dan mengurus harta anak yatim. Sikap amanah sangat penting supaya harta anak yatim dapat diurus dengan baik dan menyerahkan harta anak yatim tersebut apabila dia mencapai usia baligh.
Khatimah
Maka sesiapa sahaja yang dipertanggungjawabkan untuk menjadi penjaga bagi anak yatim hendaklah dia mengasuh dan menjaga anak yatim tersebut serta amanah dalam mengurus hartanya. Ini kerana terdapat larangan tegas bagi sesiapa yang memakan harta anak yatim secara zalim.
“Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu menelan api sepenuh perutnya dan mereka akan di masukkan dalam api yang menyala-nyala (neraka).” [TMQ An-Nisa (4):10]
Rujukan
Terjemahan Al-Quran
Wahbah Az-Zuhaili, Tafsir Al-Munir, Jilid 2
KEDUDUKAN DAN HAK-HAK ANAK YATIM DALAM ISLAM
Oleh : Farisha Aris
Siapa pun tidak menduga bahawa pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia meninggalkan kesan dalam pelbagai aspek. Di Malaysia khususnya, boleh dikatakan setiap lapisan masyarakat terkesan dengannya. Selain menjejaskan sektor ekonomi dan memberi impak ke atas sektor kesihatan, pandemik ini turut menyebabkan ramai anak-anak kecil menjadi yatim dalam sekelip mata. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, mereka bukan sahaja kehilangan ibu bapa atau salah seorang dari kedua-duanya, tetapi juga hilang tempat bergantung dan menumpang kasih sayang. Bagi mereka yang bertanggungjawab secara langsung kepada anak-anak yatim ini, urusan kebajikan dan hak-hak anak yatim perlulah diambil perhatian dengan serius. Dalam Islam, hak-hak anak yatim perlu dijaga dan dipelihara dengan sebaik mungkin. Setiap anggota masyarakat juga perlu memainkan peranan dalam hal ini. Justeru, marilah kita telusuri kedudukan dan hak-hak anak yatim dalam Islam yang sering diabaikan kerana tidak difahami secara terperinci berdasarkan syariat Islam oleh masyarakat kita.
Definisi Yatim
Secara bahasa, Al-Yatim bermaksud al–fardu (tunggal/sendirian) dan segala sesuatu yang ditinggal oleh sesuatu yang serupa dengannya. (As-Shihah fi Al-Lughah).
Ibnu Sikkith mengatakan: “Kata ‘Al-Yatim’ untuk manusia adalah mereka yang kematian bapa, sedangkan untuk binatang, kata ‘Al-Yatim’ digunakan untuk menyebut binatang yang kematian ibunya. Ini bermaksud manusia yang kehilangan ibunya tidak boleh disebut “Yatim.” (Lisanul ‘Arab, 12:645).
Ibn Barriy pula mengatakan: “Al-Yatim adalah bagi yang kematian ayah. Al-‘Ajiy bagi yang kematian ibu manakala Al-Latim pula adalah bagi yang kematian kedua-duanya”.
Manakala secara istilah, para ulama mendefinisikan anak yatim adalah mereka yang kematian bapanya ketika mereka belum mencapai umur baligh. Ini dijelaskan sendiri oleh Rasulullah SAW yang bersabda: “Tidak ada keyatiman setelah baligh” (HR Abu Daud (2873).
Selain itu, berdasarkan hadis lain: “Tidak ada status yatim setelah mimpi basah.” (Al-Mausu’ah Al-Fiqhiyah Al-Kuwaitiyah, 45:254). Hadis di atas, diriwayatkan oleh At-Thabrani, dalam Mu’jam Al-Kabir, 4:14, dari sahabat Handzalah bin Hudzaim. Al-Haitsami mengatakan dalam Majma’ Az-Zawaid, 4:266: Perawinya Tsiqah (Terpercaya).
Berdasarkan hadis-hadis di atas, jelas menyatakan bahawa yang dinamakan anak yatim adalah mereka yang kematian bapa dan belum mencapai umur baligh. Oleh itu, sekiranya mereka telah mencapai umur baligh, maka penggunaan istilah yatim tidak lagi relevan.
Hak-hak Anak Yatim
Islam telah mengajarkan kepada kita untuk memuliakan anak yatim kerana mereka memiliki posisi yang istimewa dalam Islam manakala orang yang memuliakan anak yatim juga akan mendapatkan keistimewaan tersendiri daripada Rasulullah SAW. Sabda baginda yang bermaksud, “Barangsiapa yang memelihara anak yatim dan memberinya makan dan minum, nescaya Allah akan memasukkannya ke dalam syurga kecuali jika dia melakukan dosa yang tidak dapat diampuni” (HR al-Tirmizi, no. 1917). Selain itu, terdapat lagi beberapa hak-hak anak yatim yang ditunjukkan dalam Islam, antaranya ialah;
- Menyantuni anak yatim dengan baik
Sesungguhnya menyantuni anak yatim memiliki keutamaan yang besar. Antaranya adalah memiliki kedudukan yang dekat dengan Rasulullah SAW kelak di Syurga bahkan dikatakan hanya sedekat jari telunjuk dengan jari tengah. Ini kerana Rasulullah SAW merupakan teladan terbaik bagi umat manusia yang sangat mengasihi dan menyayangi anak-anak yatim.
Imam Bukhari dalam kitab sahihnya meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda:
“Aku dan orang yang menanggung anak yatim (kedudukannya) di syurga seperti ini”, kemudian baginda mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengah baginda, serta agak merenggangkan keduanya” (HR Bukhari).
Allah SWT memberi jaminan kepada hamba-Nya yang memperlakukan anak yatim dengan sebaik-baiknya. Sabda Rasulullah SAW: “Demi Yang Mengutusku dengan hak, Allah tidak akan menyeksa pada hari kiamat nanti orang yang menyayangi anak yatim, lemah lembut pembicaraan dengannya, menyayangi keyatiman dan kelemahannya.” (HR. Thabrani dari Abu Hurairah). (Imam Ath-Thabrani, Al-Mu’jam Al-Ausath, VIII/346. Hadist no. 8828).
- Larangan mengherdik dan bertindak kasar terhadap anak yatim
Demikian pula, Allah SWT melarang anak yatim daripada diherdik. Allah SWT menyebut mereka itu sebagai pendusta agama: “Tahukah engkau akan orang yang mendustakan agama? Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim dan ia tidak menggalakkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin” [TMQ al-Maa’un (107):1-3].
Mengherdik bukan hanya dengan melemparkan kata-kata kesat, malah mengganggu mental dan emosi mereka. Contohnya, ketika mereka diberikan makanan, pemberian tersebut dilakukan secara tidak sopan iaitu dengan melemparkannya kepada anak yatim itu.
Anak yatim sama sahaja seperti anak-anak yang lain yang memerlukan kasih sayang daripada orang sekeliling. Maka tidak wajar sama sekali bertindak kasar terhadap anak yang telah kehilangan ibu bapa ini. Bahkan Allah juga melarang kita daripada berkasar dengan anak yatim. Allah SWT berfirman dalam surah ad-Dhuha ayat 9 yang bermaksud; “Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya”.
- Memenuhi keperluan asas
Memastikan keperluan asas anak yatim terpenuhi merupakan hak anak yatim yang perlu diberikan perhatian. Allah memerintahkan kita untuk memberikan makan kepada anak yatim sepertimana yang disebutkan dalam surah Al-Insan “Dan mereka memberikan makanan yang disukainya kepada orang miskin, anak yatim dan orang yang ditawan”. [TMQ al-Insan(76) :8]
- Memberi kasih sayang
Sebagai anak kecil, si anak yatim tersebut tentulah memerlukan kasih sayang seperti mana kanak-kanak lain. Islam telah mengajar kita supaya memberi kasih sayang yang sewajarnya kepada anak yatim. Imam Ahmad dalam musnadnya meriwayatkan dari Abu Hurairah RA hadis yang berbunyi : Dari Abu Hurairah, “bahawa seorang lelaki mengadu kepada Nabi SAW akan hatinya yang keras, lalu Nabi berkata: ‘usaplah kepala seorang anak yatim piatu dan berilah makan individu miskin’.”
Dan hadis dari Abu Umamah yang berbunyi : Dari Abu Umamah dari Nabi SAW berkata: “Barangsiapa yang mengusap kepala seorang anak yatim piatu lelaki atau perempuan kerana Allah, adalah baginya setiap rambut yang diusap dengan tangannya itu terdapat banyak kebaikan, dan barang siapa berbuat baik kepada seorang anak yatim piatu perempuan atau lelaki yang dia asuh, adalah aku bersama dia di syurga seperti ini, baginda SAW mensejajarkan dua jarinya.
- Perlindungan harta
Wali kepada anak yatim juga wajib menguruskan harta anak yatim dengan sebaik mungkin kerana ianya termasuk salah satu daripada cabang-cabang kebaikan sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud, “Mengenai (urusan-urusan kamu) di dunia dan di akhirat dan mereka bertanya lagi kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (masalah) anak-anak yatim. Katakanlah: “Memperbaiki keadaan anak-anak yatim itu amatlah baiknya”, dan jika kamu bercampur gaul dengan mereka (maka tidak ada salahnya) kerana mereka itu ialah saudara-saudara kamu (yang seagama); dan Allah mengetahui akan orang yang merosakkan (harta benda mereka) daripada orang yang hendak memperbaikinya. Dan jika Allah menghendaki tentulah Dia memberatkan kamu (dengan mengharamkan bercampur gaul dengan mereka). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana” [TMQ al-Baqarah (2):22].
- Larangan memakan harta anak yatim
Allah mengancam golongan yang memakan harta anak yatim secara zalim dengan ancaman yang keras. Golongan sebegini termasuk penghuni neraka sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu menelan api sepenuh perutnya dan mereka akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala (neraka)” [TMQ an-Nisa (4):10].
Demikian juga Allah SWT berfirman:
“Dan janganlah kalian mendekati harta anak yatim melainkan dengan cara yang terbaik sehinggalah anak tersebut sampai kepada tempoh balighnya”. [TMQ Al-An’aam(6): 152]
Kata Imam al-Baghawi Rahimahullah ketika mengulas berkenaan ayat ini: Yang dimaksudkan dengan cara yang terbaik itu adalah perbuatan yang memberikan maslahah kepada anak yatim serta mengembangkan harta tersebut. (Rujuk Ma’alim Al-Tanzil, Al-Baghawi.)
Berdasarkan ayat di atas juga dapat kita fahami bahawa menjadi suatu kewajipan kepada pengurus harta anak-anak yatim untuk menjaga harta mereka dan juga mengembangkannya serta berusaha untuk menggunakan harta tersebut pada tempat-tempat yang boleh memberikan maslahah kepada anak-anak yatim.
Khatimah
Islam sangat menitikberatkan dan memastikan kebajikan serta keperluan anak-anak yatim sentiasa terpelihara sehingga tiada berlaku keciciran. Ini kerana, anak-anak yatim merupakan tanggungjawab wali, keluarga, masyarakat dan negara. Negara adalah pemegang tanggungjawab terbesar dalam memastikan hak-hak anak yatim ini dipenuhi dan tidak diabaikan kerana itu merupakan perintah daripada Allah yang wajib dilaksanakan. Allah SWT akan meminta pertanggungjawaban daripada para penanggungjawab yang diamanahkan untuk mengurusi anak yatim. Rasulullah SAW pernah bersabda:
“Sesungguhnya al-imam (khalifah) itu bagaikan perisai, di mana (orang-orang) akan berperang di belakangnya (mendukung) dan berlindung (dari musuh) dengan (kekuasaan) nya” [HR. Al-Bukhari, Muslim, Ahmad, Abu Dawud].
Wallahu a’lam bi ash-showab.
Rujukan:
- Al-Quran al-Karim;
- Asbabun Nuzul; K.H.Q. Shaleh & H.S.S. Dahlan; Penerbit Deponegoro; 2000;
- https://www.surah.my
- https://www.muslimahnews.com/2021/08/12/nasib-pilu-anak-yatim-piatu-ke-mana-mereka-harus-mengadu/
- https://muftiwp.gov.my/artikel/bayan-linnas/1135-bayan-linnas-siri-72-anak-yatim-ihsanilah-dan-bertaqwalah
- https://news.detik.com/berita/d-5600670/ini-golongan-orang-yang-menghardik-anak-yatim
- https://konsultasisyariah.com/12436-pengertian-yatim.html
- https://www.inews.id/lifestyle/muslim/hadits-tentang-anak-yatim
MENJADI IBU TUNGGAL YANG BERWIBAWA
Oleh : Iman Farhana
Allah SWT menciptakan manusia di muka bumi ini dengan tujuan murni iaitu beribadah kepada-Nya. Keunikan manusia ini walaupun memiliki pelbagai kecenderungan tidak sekali-kali menjadi penyebab mereka tidak mampu untuk taat dan dengan ilmu yang diajarkan-Nya itu tadi, manusia dapat merealisasikan tujuan penciptaan tanpa mengetepikan fitrah mereka termasuk keinginan memiliki pasangan dan melanjutkan zuriat. Secara umumnya manusia yang memahami tujuan penciptaan ini tadi membayangkan bahawa hal ini menjadi mudah dan mulus sekiranya anak-anak yang lahir dari kasih sayang sepasang suami isteri ini dibimbing dan dibelai sejak kecil sehingga dewasa oleh kedua-dua ibu dan bapanya yang mana masing-masing memainkan peranan sehingga muncul jati diri dan syahsiyah anak sesuai dengan tuntutan agama. Namun perlu difahami bahawa tujuan penciptaan manusia ini juga adalah untuk Dia iaitu Zat yang menjadikan kematian dan kehidupan melihat siapakah diantara mereka yang paling baik amalannya (ahsanu ‘amala). Hal ini termasuk Dia Azza wa Jalla memberikan ujian dan dugaan sebagai prasyarat untuk manusia layak memasuki jannah, termasuk kehilangan, perpisahan atau kematian.
Apabila berlaku wabak seperti pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia, ia telah memberikan kesan dalam pelbagai sisi kehidupan manusia. Pelbagai perubahan berlaku akibat daripada wabak ini. Sebahagian wanita mengalami kejutan dan perubahan yang tidak mampu dielakkan apabila kehilangan suami yang merupakan tunggak dalam keluarga lalu bergelar ibu tunggal. Perubahan status perkahwinan bukan sekadar menukar ‘title’ seseorang, malah memberi kesan dari segi peranan, tanggungjawab, dan emosi sesebuah institusi keluarga. Apa yang pasti ialah, kaum wanita adalah sosok yang akan memikul segala perubahan yang berlaku. Nukilan ini menyingkap apakah yang sewajarnya direnungkan oleh para wanita yang bergelar ibu tunggal dan terpaksa membesarkan anak-anak sendirian dengan merenungkan apa yang boleh mereka teladani dari kisah-kisah ibu tunggal hebat yang telah melahirkan ilmuwan Islam yang menjadi rujukan disebabkan oleh sumbangan mereka yang sangat cemerlang kepada agama yang mulia ini. Seiring dengan pandemik yang semakin beransur menuju fasa endemik, mudah-mudahan tulisan ini bakal menyuntik inspirasi untuk para ibu tunggal menanam keazaman yang tinggi dalam diri mereka untuk melahirkan singa-singa pejuang Islam sehingga mendorong mereka untuk kekal positif menjalani kehidupan yang mencabar dan bermakna bersama-sama anak, sentiasa mencari positive vibes bagi memastikan dirinya bersemangat dan tidak berputus asa. Oleh itu, kami ingin mengajak para ibu semua termasuklah ibu-ibu tunggal untuk kita sama-sama mengambil ibrah daripada kisah-kisah di bawah.
Ayuh, Contohi Mereka!
Mari kita mengenal sosok ibu Imam Syafie, iaitu Fatimah binti Ubaidillah Azdiyah yang kehilangan suaminya semasa anak-anaknya masih kecil lagi. Status sang anak yang memiliki darah keturunan Rasulullah SAW tidak melenakannya untuk hanya berserah pada takdir, malah dia tetap berjuang membesarkan anak-anaknya apabila suaminya meninggalkannya dan anak-anak tanpa harta. Kesungguhan Fatimah binti Ubaidillah Azdiyah memberikan penekanan terhadap pendidikan Imam Syafie ini sangat memberi inspirasi kerana walaupun dia tidak mampu memberikan keselesaan hidup kepada anaknya, namun pendidikan anaknya tetap menjadi keutamaan baginya kerana ibu tunggal ini sedar bahawa menjadi tanggungjawabnya memastikan anaknya itu menjadi orang berilmu dan beramal soleh. Imam Syafie telah diasuh oleh seorang ibu tunggal yang tidak kalah dengan kemiskinan. Kemiskinan mereka terbukti apabila ibu Imam Syafie tidak mampu membeli kertas untuk anaknya menulis sehingga Imam Syafie terpaksa menulis di tulang-tulang. Namun, ibu ini tidak tunduk dengan perasaan, tidak menyalahkan diri kerana tidak mampu memberikan keselesaan kepada anaknya, dan tidak sesekali pernah menyalahkan takdirnya bergelar ibu tunggal. Ibu yang cekal ini telah berjaya membentuk peribadi yang teguh dalam diri Imam Syafie. Wahai Muslimah yang dikasihi, ibu ini tidak meratapi ketika dia tidak mampu menyediakan pakaian yang indah atau tempat tinggal yang selesa, tetapi keteguhannya untuk membimbing anaknya ini mencari ilmu Allah adalah wajar untuk kita sama-sama contohi. Dengan ketekunan Imam Syafie dan ibunya, akhirnya Imam Syafie dapat menyempurnakan hafalan al-Quran ketika berusia tujuh tahun dan menyelesaikan hafalan kitab al-Muwattha’ ketika berusia 10 tahun, malah kita semua dapat menikmati sumbangan beliau sehingga hari ini dalam keilmuan Islam.
Wahai ibu tunggal sekalian, anda tidak sendirian melaluinya. Ibu Imam Bukhari juga duji dengan kehilangan suami tercinta. Namun ibu tunggal ini telah membesarkan Imam Bukhari dengan pendidikan yang terbaik. Ketika ibu ini sendirian membesarkan anaknya, Imam Bukhari pernah mengalami buta kedua-dua belah matanya. Ibu yang diuji dengan pelbagai ujian ini sentiasa bersangka baik kepada Allah Taala. Hanya kepada Allah dia memohon dan mengadu. Namun, segala ujian ini tidak menghentikan ketekunan ibu ini untuk memastikan anaknya ini mendapatkan pendidikan terbaik sehinggalah Imam Bukhari dikenali di serata dunia Islam kerana sumbangannya dalam ilmu hadis. Kejayaan Imam Bukhari bukan datang bergolek, tetapi melalui pelbagai cabaran dan ketekunan seorang ibu tunggal.
Kisah dua ibu hebat di atas bukan sahaja memberikan cahaya kepada ibu tunggal, tetapi menjadi inspirasi kepada semua ibu. Menyayangi anak-anak bukan bermaksud dia hanya perlu memastikan segala-galanya tersedia untuk mereka tetapi menyayangi anak bermakna mengasuh mereka menjadi manusia yang berilmu. Ibu-ibu ini cukup sedar bahawa menjadi ibu tunggal tidak bermakna ada keringanan dalam kewajipan mengasuh dan mendidik anak-anak mereka. Mereka cukup faham bahawa dengan ilmulah anak-anak mereka mampu menjalani kehidupan dunia ini selari dengan perintah dan larangan Allah SWT. Ibu-ibu ini tahu bahawa mendidik anak-anak adalah hal yang utama berbanding menyediakan makanan yang lazat, pakaian baharu dan membawa anak-anak mereka melancong.
Jom, Kita Telusuri Kisah Seterusnya!
Imam Ahmad bin Hanbal dilahirkan dan diasuh oleh seorang ibu tunggal yang telah kehilangan suaminya sejak Imam Ahmad berusia 3 tahun lagi. Namun, ibu ini tetap gigih dalam mengasuh anaknya. Selain mengasuh sendiri Imam Ahmad, ibu tunggal yang bernama Shafiyah binti Maimunah ini telah menghantar Imam Ahmad ke Baghdad untuk mendalami ilmu agama. Ibu hebat ini sentiasa menyokong Imam Ahmad dalam mendalami agama. Ketika Imam Ahmad giat mencari ilmu, ibu Imam Ahmad tidak henti-henti menasihati anaknya sehinggalah Imam Ahmad berjaya menghafal al-Quran dan Hadis. Berbekalkan ilmu yang dipelajari, Imam Ahmad bin Hanbal telah berbakti kepada masyarakat Islam dengan keilmuannya. Ternyata tokoh yang tidak asing disebut-sebut sehingga hari ini adalah hasil asuhan seorang ibu tunggal.
Mari kita lihat kisah seterusnya yang juga sangat memberikan inspirasi kepada kita, iaitu kisah Tumadhir binti Amr bin Syuraid atau dikenali sebagai Al Khansa yang telah menyiapkan anak-anaknya untuk berjihad di jalan Allah. Keyakinan ibu ini untuk memastikan anak-anaknya mendapatkan kemuliaan daripada Allah Taala menjadi fokus ibu tunggal ini dalam proses pendidikan anak-anaknya. Ibu ini sentiasa memberikan semangat kepada anak-anaknya untuk mengejar peluang jihad dan sentiasa mengingatkan anak-anaknya untuk tidak lari dari medan jihad. Kasih sayang Tumadhir binti Amr bukanlah dengan melimpahkan harta dan keselesaan dunia kepada anak-anak, tetapi ibu ini membimbing anak-anaknya untuk fokus mencari syurga Allah. Impian ibu tunggal ini tertunai apabila keempat-empat puteranya telah meraih syahid dalam jihad. Tumadhir binti Amr redha dan bersyukur kerana anaknya telah kembali kepada Penciptanya melalui jalan kemuliaan. Beliau cukup faham dengan tujuan hidupnya dan anak-anaknya, iaitu mencari redha Allah Taala dan berkejar mencari syurga Allah. Setelah keempat-empat anaknya syahid di medan jihad, ibu tunggal ini berdoa pada Allah agar dia juga segera ditemukan dan berkumpul dengan anak-anaknya di syurga Allah. Allahuakbar!
Wahai ibu-ibu, menjadi ibu tunggal bukan satu halangan untuk membentuk anak-anak yang soleh. Syarat untuk menjadi soleh bukan mesti dibesarkan di rumah yang selesa, makanan yang lazat, baju yang mahal atau kesempurnaan dalam pelbagai aspek duniawi. Jika para ibu yang dinyatakan di atas, hanya fokus untuk memberikan keselesaan dunia kepada anak-anak mereka, mereka juga akan mengalami kekangan untuk memberikan pendidikan terbaik kepada anak-anak. Namun, ibu-ibu tunggal ini tidak terpesona dengan keselesaan dunia yang bersifat sementara, tetapi lebih mengimpikan kenikmatan syurga yang bersifat kekal dan sudah tersedia untuk orang-orang beriman. Mereka telah membuat pilihan yang bijak. Bagaimana dengan kita?
PENUTUP
Kehidupan dunia yang sementara ini adalah medan ujian sehingga ujian itu adalah sesuatu yang pasti mendatangi kita semua. Sebahagian daripada kita diuji dengan status sebagai ibu tunggal. Sebahagian yang lain juga diuji dengan kemiskinan, kecacatan, penyakit, didera dan masalah rumahtangga. Ada pula yang diuji dengan kematian anak, suami curang, dan pelbagai lagi konflik. Hakikatnya, tiada manusia tanpa ujian. Jika ujian ini dijadikan jambatan untuk mendekatkan diri kepada Allah, ujian-ujian ini adalah peluang untuk menjadi hamba yang lebih baik di sisi Allah Taala.
Wahai ibu-ibu, ujian ini tidak pernah memadam segala kewajipan kita untuk mendidik dan mengasuh anak-anak kita untuk benar-benar memahami agama Allah. Jangan dirisaukan jika kita masih belum mampu membawa anak-anak pergi melancong. Jangan khuatir jika anak-anak ini jarang dapat menyarung pakaian baharu. Risaulah jika anak-anak masih tidak boleh memahami makna bacaan dalam solat dan belum dapat memahami isi-isi al-Quran. Risaulah wahai ibu jika hari ini anak-anak kita lebih mencintai hiburan daripada bacaan al-Quran. Di sinilah peranan besar kita untuk membimbing mereka memahami tujuan hidup mereka iaitu untuk mencari redha Allah SWT. Tiada jalan lain untuk mencapai redha Allah kecuali memberikan ilmu agama tanpa henti kepada anak-anak kita sehingga mereka benar-benar memahami tujuan hidup mereka, seterusnya melaksanakan segala perintah Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya.
Inilah tanggungjawab kita semua para ibu!
Jaminan Islam Terhadap Perlindungan Generasi
Oleh: Amani Mohamed
Pandemik Covid-19 bukan saja mencetuskan krisis kesihatan dan ekonomi yang serius, tetapi turut menyebabkan ramai kanak-kanak menjadi anak yatim berikutan kematian ibu atau bapa atau kedua-duanya atau penjaga yang disebabkan oleh jangkitan virus terbabit. Sebuah kajian kerjasama beberapa universiti terkemuka dunia, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Bank Dunia dan beberapa badan lain telah menerbitkan sebuah laporan bertajuk “Children: The Hidden Pandemic 2021”. Kajian yang mengumpulkan data statistik daripada 192 buah negara di dunia itu mendedahkan bahawa sehingga hujung April 2021 yang lalu terdapat lebih daripada 1.5 juta kanak-kanak kehilangan ibu bapa/datuk dan nenek yang menjaga/penjaga yang tinggal bersama dan menjaga mereka. Menurut UNICEF, anak yatim ialah kanak-kanak di bawah umur 18 tahun yang kehilangan ibu atau bapa, atau kedua-duanya. Malaysia turut tidak terkecuali diuji dengan perkara yang sama. Rekod Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menunjukkan seramai 4,422 murid (yang bersekolah dibawah Kementerian Pendidikan Malaysia) kehilangan ibu atau bapa atau kedua-duanya atau penjaga mereka di seluruh negara sehingga 13 September 2021 yang lalu. Sekiranya perkara ini tidak dipandang serius, maka akan berlaku pengabaian hak buat mereka.
Terdapat sebuah laporan akhbar Sinar Harian bertarikh 5/5/2021 iaitu selepas kematian ibu bapa akibat Covid-19, seorang kanak-kanak berusia 12 tahun hilang arah hingga menjadi gelandangan di Bukit Raja Klang. Adik tersebut telah ditemui oleh Ustaz Ebit Lew dan difahamkan mula menjadi gelandangan sejak Januari tahun lalu dan hanya tidur di jalanan. Seterusnya, Astro Awani pada 13/7/2021 pula telah melaporkan berita mengenai kematian mengejut seorang suami akibat Covid-19 menjadi detik yang amat mencabar buat seorang ibu dan 10 anaknya yang baru berusia antara 2 hingga 16 tahun. Jika sebelum ini, Nurhidayah Junuh serta arwah Suami Mohd Rusli Adam menjual kuih di kedai dan warung sekitar, kini dia sukar melakukan kerja itu kerana perlu menjaga anak yang masih kecil. Berdasarkan dua kisah duka yang benar ini, tentu membuatkan kita terfikir, apakah ada solusi yang tuntas untuk membela nasib anak-anak ini? Adilkah untuk mereka terus merasa kepayahan hidup? Tentu Islam yang sempurna ini ada jawapan bagi semua persoalan tadi.
Anak Yatim Dalam Islam
Islam sangat mengiktiraf hak dan kedudukan setiap manusia. Perkara ini menjadi kepentingan setiap individu untuk mendapatkan keistimewaan masing-masing tanpa memudaratkan individu lain berlandaskan hukum syarak termasuklah kanak-kanak. Menurut Islam, kanak-kanak ditakrifkan sebagai seorang yang masih belum baligh atau diistilahkan belum dewasa atau belum mumayyiz. Manakala perkataan Al-Yatim (الْيَتِيمُ) dari sudut bahasa membawa maksud tunggal, bersendiri. SyariatIslam melihat bahawa anak yatim itu adalah mereka yang kematian bapa dan belum mencapai umur baligh. Ini dijelaskan sendiri oleh Nabi SAW yang mana telah bersabda:
لاَ يُتْمَ بَعْدَ احْتِلاَمٍ
“Tidak ada keyatiman setelah baligh.” [HR Abu Daud]
Seorang pengkaji bernama Mahmoud Yazbak (2001) telah menulis sebuah jurnal bertajuk “Muslim Ophans and The Sharia in Ottoman Palestine” telah mendapati kebanyakan anak yang menjadi yatim terus diambil alih oleh ahli keluarga besar mereka sebagai pengganti ayah yang telah tiada. Cuma beberapa kes yang dibawa ke pengetahuan Qadhi (hakim) apabila anak tersebut mewarisi harta yang banyak untuk ditentukan siapakah yang layak dilantik sebagai pemegang amanah harta tersebut. Laporan kajian ini mengakui beberapa ayat Al-Quran dan hadis berkaitan pemeliharaan anak yatim menjadi sumber rujukan para waris serta Khilafah Uthmaniyyah dan sebelumnya dalam bertindak melindungi hak mereka. Antaranya, janji Rasulullah SAW melalui hadis di bawah:
“Aku dan orang yang mengasuh atau memelihara anak yatim akan berada di Syurga begini,” kemudian baginda mengisyaratkan dengan jari telunjuk dan jari tengah dan merenggangkannya sedikit.”[HR. Bukhari, Tirmidzi, Abu Daud dan Ahmad]
Tujuh Lapisan Perlindungan Anak Dalam Islam
Generasi pasca Covid-19 melalui pengalaman hidup yang unik dan penuh tekanan. Tambah tertekan apabila pengurusan pandemik menjadi carca-marba kerana poket dan kuasa para kapitalis menjadi keutamaan. Ini sangat berbeza dengan Islam yang mempunyai mekanisme yang terbaik dan penerapan syariatnya bersifat baku. Ini termasuklah urusan perlindungan anak sama ada yang masih mempunyai ayah dan ibu mahupun sebaliknya.
Pertama: HADANAH
Hadanah ertinya melayani urusan anak mencakupi memandikan, menyuapkan, menggantikan pakaian, membersihkan kemaluan anak setelah buang hajat dan sebagainya. Anak-anak yang baru lahir mendapat hadanah sepenuhnya. Semakin bertambah waktu dan pertumbuhan anak semakin berkembang, peratus hadanah berkurang sehinggalah dia berdikari. Siapakah yang memiliki hak dan kewajipan melakukan hadanah? Mereka ialah para ibu, adik beradik perempuan dan ibu saudara. Ibu dalam pandangan syariat Islam terdiri dari ibu kandung pada urutan pertama, lalu ibunya ibu (nenek) pada urutan kedua. Ayah kandung pada urutan ketiga, dan ibunya ayah pada urutan keempat dan seterusnya. Jika para ibu sudah tiada, maka hak hadanah berpindah ke kelompok kedua iaitu adik-beradik perempuan. Bermula dengan seibu sebapa kemudian sebapa berlainan ibu. Kelompok seterusnya yang layak adalah para ibu saudara. Bermula dengan sebelah ibu (kakak dan adik perempuan ibu). Urutannya seibu sebapa, seibu berlainan bapa dan sebapa berlainan ibu.
Hak hadanah boleh berubah berdasarkan urutan kerana pihak sepatutnya telah meninggal dunia atau tidak memenuhi syarat kelayakan iaitu memiliki sifat penuh kasih sayang, akhlak yang baik dan fokus dalam melakukan hadanah. Dengan adanya urutan dan adanya jaminan kelayakan tertentu pada hadin (pelaku hadanah), maka Islam menjamin setiap anak berada dalam pengasuhan yang terbaik.
Kedua: KAFALAH
Kafalah adalah pengasuhan secara umum dan berbeza dengan hadanah. Apabila anak-anak telah boleh berdikari, dia diasuh dengan pengarahan dan diingatkan, bukan dilayani. Seperti diingatkan untuk makan, rehat, mandi dan lain-lain serta dibantu sekadarnya sahaja. Sebab, kadang-kadang anak-anak ini belum sepenuhnya mampu mengukur keperluan dirinya, hingga perlu ada orang dewasa yang mengingatkannya. Kafalah adalah kewajipan keluarga (ayah dan ibu).
Ketiga: MADRASAH
Madrasah ertinya sekolah atau tempat menerima pendidikan. Ayah dan ibu adalah dua peribadi yang memiliki kewajipan menjalankan fungsi madrasah. Ayah bahkan wajib menjadi madrasah bagi ibu, agar ibu memiliki kemampuan menjadi madrasah pertama dan utama bagi anak. Ayah sebaiknya memiliki waktu tertentu yang dikhususkan secara rutin untuk memberikan nasihat dan arahan pada anak. Sedangkan ibu, menjalankan fungsi madrasah sepanjang masa bersama anak. Dek kerana kecerdasan seorang anak bergantung kepada jumlah informasi/ransangan/maklumat awal yang dia miliki, maka peranan ibu amat penting.
Ibu menyampaikan pelbagai perkembangan yang dialami anak kepada ayah. Lalu ayah dapat membuat penegasan pada waktu rutin untuk dia bercakap dengan anak. Dengan berjalannya fungsi madrasah oleh keluarga, maka anak akan memiliki kematangan dan pengetahuan untuk boleh bersikap secara tepat dalam setiap situasi dan keadaan.
Keempat: WILAYAH
Wilayah ertinya kekuasaan. Dalam hal ini, ayahlah yang memiliki kekuasaan terhadap seluruh anggota keluarga. Ayah yang memiliki perintah dan larangan yang wajib ditaati, dalam rangka menjaga jiwa dan kehormatan seluruh anggota keluarga termasuk memiliki kewajipan nafkah dalam memenuhi keperluan asas makanan, pakaian dan tempat tinggal.
Kelima: RI’AYAH
Ri’ayah ertinya mengurusi. Dalam hal ini, yang berkewajipan mengurusi adalah Negara. Ketua Negara wajib menjalankan fungsi ra’in (pengurus) iaitu mengurusi rakyatnya hingga seluruh rakyat per individu terpenuhi keperluan asasnya serta mendapat peluang untuk memenuhi keperluan kamaliyatnya (keperluan pelengkap). Negara wajib memastikan setiap ayah memiliki kemampuan menafkahi keluarganya. Bagi yang mampu bekerja, dipastikan oleh Negara mendapatkan pekerjaan. Manakala, ayah yang cacat dan tidak mampu bekerja dipastikan oleh Negara tetap mampu menafkahi keluarganya dengan cara, para walinya menjalankan fungsi nafkah. Ini termasuklah anak yatim yang telah kematian bapanya. Akhirnya, jika para wali tersebut pun tidak ada atau tidak mampu menafkahi, maka Negaralah wali yang menjalankan fungsi pemenuhan nafkah secara langsung.
Keenam: JUNNAH
Junnah ertinya perisai. Dalam hal ini Negara juga yang menjalankan fungsi junnah. Negara menjalankan syariatIslam dalam politik luar negeri, menjalankan syariatIslam dalam penjagaan keamanan dalam negeri dan menjalankan sistem kehakiman dan hukuman Islam. Ketiga-tiga bidang ini dilaksanakan Negara dalam rangka menjaga keselamatan rakyat baik secara fizikal mahupun menjaga keselamatan akidah, pemikiran dan akhlak mereka dari segala hal yang boleh merosakkan.
Ketujuh: MUHASABAH
Muhasabah adalah proses membuat pembetulan/penambahbaikan. Fungsi ini dijalankan oleh seluruh warga Negara. Muhasabah sesama anggota masyarakat dengan dakwah dan amar makruf nahi mungkar, muhasabah terhadap strategi/polisi/SOP negara yang menyimpang, termasuk juga muhasabah terhadap pegawai Negara yang tidak optimal menjalankan tugas dan sebagainya.
Khilafah Selalu Siap Siaga
Negara Islam adalah Khilafah. Berdasarkan tujuh lapisan perlindungan anak yang sempurna dalam Islam, khilafah bertanggungjawab memastikan sesiapa yang mengambil alih fungsi ayah atau ibu baharu bagi anak yatim tersebut menjalankan fungsi hadanah, kafalah, madrasah dan wilayah. Anak-anak yang dijamin perlindungannya melalui sistem Islam yang Kaffah akan membesar menjadi generasi terbaik yang akan mempertahankan Khilafah Islamiyah dengan dakwah dan jihad.
Wallahu’alam.