Fikratul Ummah – Ogos 2010

 

 

Dari Lidah Pengarang

Salam Ramadhan Al Mubarak

Fikratul Ummah (FU) edisi Ogos kembali menemui para pembaca  dan kali ini kehadirannya bertepatan dengan suasana dan bulan yang dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam iaitu bulan Ramadhan al-Mubarak. Bulan yang dikatakan sebagai bulan al-Quran (syahr Al-Quran) kerana di dalamnyalah Al-Quran yang menjadi petunjuk kepada seluruh manusia telah diturunkan.  Selain itu, di bulan inilah wujudnya suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan iaitu lailatul qadr; suatu malam yang dinanti-nantikan oleh setiap umat Islam sepanjang zaman.  Maka, bersempena dengan itu, kali ini FU telah mengangkat beberapa tajuk dan isu yang menyangkut perbahasan yang ada hubungkaitnya dengan persoalan ibadah puasa dan wanita. Puasa adalah merupakan benteng yang mampu menyelamatkan seseorang individu itu dari api neraka. Sabda SAW: “Puasa adalah perisai (yang melindungi pelakunya dari keburukan). [HR At Tarmidzi].  Bagaimana pula untuk menyelamatkan masyarakat dan negara? Islam sebagai suatu cara hidup yang sempurna melalui lisan nabiNya telah memperjelaskan dalam hadisnya yang bermaksud: “Sesungguhnya Imam (khalifah) itu bagaikan perisai, dari belakangnya umat berperang dan dengannya umat berlindung”. [HR. Muslim].

Seterusnya, topik lain yang dibawakan kali ini adalah mengenai isu perlantikan dua orang Hakim Wanita Syarie baru-baru ini. Ada dikalangan umat Islam khususnya dari kalangan wanita yang melihat seolah-olah ianya suatu usaha baik untuk memartabatkan kedudukan wanita tetapi secara sedar mahupun tidak ianya tidak membawa apa-apa kebaikan kerana hukum yang diguna pakai di dalam perundangan syariah hari ini adalah tetap bersumberkan pemikiran kufur yang diambil dari Suruhanjaya Lord Reid dan bukannya dari Al-Quran dan As-Sunnah. 

Sehubungan dengan artikel FU Julai 2010 berkaitan dengan  topik yang menghangatkan seluruh negara sejak akhir-akhir ini iaitu isu pembuangan bayi dikalangan remaja , FU kali ini cuba untuk memberikan buah fikiran untuk dikongsikan bersama dalam menangani ‘masalah cinta’ yang tidak dipandu dengan syariat Islam yang menjadi mukaddimah kepada kemaksiatan yang berlaku dan seterusnya melahirkan bayi yang tidak diingini. Di sinilah terbukti betapa natijah buruk akan pasti terhasil apabila manusia samada individu, masyarakat mahupun negara yang ada pada hari ini bertindak membuang dan membakul sampahkan syariat Islam.Bagaimanakah kita , muslimah khususnya sebagai ibu pengurus rumahtangga bereaksi terhadap situasi anak remaja kita masa kini? 

Semoga isu-isu yang diketengahkan di dalam FU edisi Ogos kali ini akan menjernihkan semula sudut pandang kita berkaitan fikrah Islam. Akhirnya pihak muslimat Hizbut Tahrir Malaysia ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa kepada seluruh umat Islam amnya dan khususnya kepada para muslimat dimana sahaja mereka berada. Semoga “pokok” Ramadhan kali ini akan dapat memberikan buah takwanya kepada umat Islam yang melaksanakan ibadah puasa ini dengan penuh rasa keimanan. Tidak ketinggalan juga marilah kita memanjatkan doa semoga inilah kali terakhir umat Islam berpuasa tanpa adanya Khilafah dan insyaAllah tahun hijrah yang akan datang iaitu 1432H umat Islam akan menjalani ibadah puasa mereka bersama-sama dengan seorang Khalifah yang dibaiah oleh umat Islam itu sendiri hasil jerih payah para pejuang Khilafah yang ikhlas bergerak di seluruh dunia saat ini.

Wallahua’alam bisshowab.


Apabila Shaum Menjadi Benteng Individu , Dimanakah Khilafah yang Menjadi Benteng Umat ?

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bersabda: “Shaum itu adalah benteng (junnah). Maka, orang yang sedang shaum hendaknya tidak berkata kotor dan tidak bertindak bodoh. Apabila ada pihak yang memeranginya atau mengejeknya, maka katakanlah kepadanya ‘Aku sedang berpuasa!’ (beliau mengulanginya dua kali)” [HR. Bukhari, Muslim]. Terdapat perkara yang amat menarik di dalam hadits ini. Shaum disebut sebagai junnah atau benteng. Junnah bermakna penjaga (wiqoyah) dan penutup (satrah) dari terjerumusnya seseorang ke dalam kemaksiatan yang menyebabkan pelakunya akan  masuk ke neraka. Junnah juga bermaksud penjaga daripada neraka kerana menahan syahwat [al-Jami’ ash-Shahih al-Mukhtashar, Juz II, hal. 670).

Perkara ini menegaskan bahwa shaum (puasa) merupakan benteng yang sifatnya individu. Shaum menjadi penawar terhadap nafsu dan syahwat peribadi dan berkesudahan kepada penjagaan kemaksiatan secara individu. Perkara ini menjadi lebih jelas dengan memperhatikan perbualan Abdullah bin Mas’ud sewaktu beliau berjalan bersama-sama dengan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam. Pada saat itu, Nabi bersabda: “Barangsiapa yang sudah mampu, hendaklah dia kahwin (menikah) karena menikah itu boleh menundukkan pandangan dan boleh menjaga kemaluan. Barangsiapa yang tidak sanggup (menikah) maka hendaklah dia berpuasa karena puasa itu akan menjadi benteng (wijaun) baginya” [HR. Bukhari]. Hadits ini mengisyaratkan puasa sebagai benteng ‘nafsu dan syahwat individu’. Oleh yang demikian, dapat difahami bahawa shaum memang merupakan benteng individu.

Apabila shaum merupakan benteng individu, maka perkara-perkara yang akan merosakkan masyarakat, tentu tidak dapat dicegah dan dijaga oleh shaum semata-mata. Namanya juga individu, maka ianya hanya akan dapat mennyelesaikankan perkara-perkara  yang sifatnya juga individu. Oleh kerana itu, perlu kita fahami bahawa mengapa kristenisasi masih terjadi, aliran sesat terus dibiarkan, peredaran video lucah tidak terbendung, harta kekayaan rakyat terus dirompak oleh negara dan dijual kepada pihak asing, pecah amanah dipimpinan semakin menjadi-jadi, stigma Islam dengan terorisme tidak berhenti, pemutar belitkan Islam ala liberal makin dilegalisasi dan banyak lagi permasalahan yang melanda masyarakat di zaman ini. Adalah kurang relevan bila untuk melindungi umat dari semua itu sekadar menumpukan shaum yang sifatnya individu untuk menjadi benteng umat secara menyeluruh.

Islam memang agama syumul. Allah Subhanahu Wa Taala bukan hanya mensyariatkan shaum sebagai benteng individu, melainkan juga mensyariatkan kepemimpinan umat (imamah, khilafah) sebagai benteng masyarakat secara keseluruhan. Berkaitan dengan masalah ini, junjungan kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam bersabda: “Dan sesungguhnya imam adalah laksana benteng (junnah), dimana orang-orang akan berperang mengikutinya dan berlindung dengannya. Maka jika dia memerintah dengan berlandaskan taqwa kepada Allah dan keadilan, maka dia akan mendapatkan pahala. Namun jika dia berkata sebaliknya maka dia akan menanggung dosa” [HR. Bukhari dan Muslim].

Dari pelbagai kitab hadis mahupun syarahnya dapat difahami bahawa istilah Imam maksudnya sama dengan Khilafah. Menurut Muhammad bin Ismail Abu Abdillah al-Bukhariy, Imam disini maknanya pemerintah tertinggi yang mengurusi urusan umat. Dengan menjadi benteng, imam mencegah musuh menyakiti kaum Muslim dan mencegah masyarakat saling menyakiti antara satu sama lain [al-Jami’ ash-Shahih al-Mukhtashar, Juz III, hal.1080]. Sementara itu, meminjam penjelasan Imam as-Suyuthi, imam sebagai benteng bermaksud imam sebagai pelindung sehingga dapat mencegah musuh menyakiti kaum Muslim dan mencegah masyarakat saling menyakiti antara satu sama lain. Imam juga memelihara kekayaan Islam. Kaum Muslim bersama dengan imam tersebut memerangi kaum kafir, pembangkang dan penentang kekuasaan Islam, dan semua pelaku kerusakan. Imam melindungi umat dari seluruh keburukan musuh, pelaku kerusakan, dan kezaliman [ad-Dibaj Syarhu Shahih Muslim bin al-Hujaj, Juz IV, hal. 454; Syarh an-Nawawi ‘ala Muslim, Juz XII, hal. 230].

Kenyataan bahwa imam/khalifah sebagai benteng kaum Muslim ini dicatat dengan baik di dalam sejarah Islam. Sebagai contoh, ketika Islam diterapkan pada masa Khalifah Umar bin Abdul Aziz Radiallahu ‘anha, pendapatan Negara berlebihan sehingga tiada seorang pun yang berhak mendapatkan zakat. Rakyat benar-benar disejahterakan. Suatu ketika dahulu, berlaku peristiwa di mana terdapat tentera Romawi yang mencabul kehormatan wanita muslimah dengan menarik jilbabnya. Apabila mendengar aduan berkenaan perkara ini, dengan segera Khalifah Mu’tashim mengerahkan pasukannya untuk melindungi keamanan dan kehormatan wanita tersebut. Ibarat jauh panggang dari api, wanita Islam di zaman ini, bukan hanya kehormatan dicabuli, malah nyawanya juga tidak dihargai. Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), penjajahan AS di Afghanistan telah membunuh 2 juta wanita muslimah, sementara sebanyak 744,000 wanita Muslim di Iraq ditewaskan. Ketika Islam diterapkan, kehormatan wanita dijaga dengan sebaik-baiknya.

Jelaslah, kita memerlukan dua benteng, iaitu shaum sebagai benteng individu, dan tidak kurang pentingnya adalah khalifah sebagai benteng umat Islam secara keseluruhan. Kerananya, benteng individu yang diraih pada bulan Ramadhan selayaknya dijadikan modal untuk mewujudkan kekhilafahan sebagai benteng umat Islam dalam kehidupan. Insya Allah..


PANDANGAN ISLAM: ISU HAKIM SYARIE WANITA

PELANTIKAN HAKIM SYARIE PERTAMA NEGARA: SEJARAH BARU TERCIPTA

Awal Julai ini, isu pelantikan dua Hakim Syariah wanita pertama negara, Suraya Ramli, 31 dan  Rafidah Abdul Razak, 39, mendapat perhatian masyarakat umum serta menjadi topik perbincangan hangat di media massa. Isu ini dianggap sebagai lembaran sejarah baru sistem kehakiman negara. Bermula 1 Ogos ini, Suraya akan berkhidmat di Mahkamah Syariah Putrajaya dan Rafidah akan berkhidmat di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan pelantikan kedua-dua hakim wanita itu sebagai Hakim Syarie wanita pertama bertujuan untuk mempertingkatkan keadilan dalam kes berkaitan kekeluargaan, hak-hak wanita, dan keperluan semasa. (Dua Hakim Syarie Wanita Pertama Temui Perdana Menteri, mStar, 27 Julai 2010)

Isu ini telah mendapat maklum balas positif daripada pelbagai pihak, termasuklah dalam kalangan persatuan peguam, menteri, mufti, malahan (seperti dijangkakan) pejuang feminis liberal negara, Sister In Islam (SIS). Isu ini juga bukanlah pertama kali dibangkitkan di negara ini. Sekitar November 2007, Datuk Seri Shahidan Kassim yang ketika itu merupakan Menteri Besar Perlis pernah mengumumkan untuk melantik seorang Hakim Syarie wanita berusia 24 tahun, sekaligus menjadi wanita pertama berada di posisi tersebut. Walau bagaimanapun, keputusan tersebut dipertikaikan oleh Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) kerana meragui kredibiliti calon yang tidak memenuhi kriteria dan kurang berpengalaman. [Persatuan Peguam Syarie (PGSM) pertikai Perlis lantik Hakim Wanita, 15 November 2007, Blog rasmi PGSM]

Berikutan pelantikan dua hakim syarie wanita pertama tersebut, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengeluarkan usul agar setiap kerajaan negeri perlu melantik wanita sebagai Hakim Syarie wanita selaras dengan tindakan kerajaan Persekutuan.  Beliau juga berharap  kedua-dua hakim  wanita mahkamah syariah yang dilantik baru-baru ini dapat diberikan tanggungjawab yang sepatutnya dan “tidak hanya terbatas kepada satu atau dua perkara sahaja”. [Hakim wanita perlu dilantik di semua negeri, mStar, 16 Julai 2010]

Dalam Fikratul Ummah bulan ini, kami akan membincangkan punca utama isu ini timbul dalam masyarakat, serta mengupas sistem penghakiman dalam Islam yang akan menyelesaikan ‘masalah-masalah akar’  dalam isu ini, termasuklah kedudukan wanita sebagai hakim dalam Islam.

MENGAPA PELANTIKAN HAKIM SYARIE WANITA DIPERLUKAN?

Berdasarkan beberapa pandangan yang diterima berkaitan isu ini, antara beberapa sebab pelantikan Hakim Syarie wanita diperlukan ialah:

Pertama, peningkatan kes-kes di mahkamah syariah, termasuklah lambakan kes-kes tertangguh yang masih dalam proses perbicaraan. Hal ini diakui sendiri oleh Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Datuk Md. Yusof Che The yang turut hadir dalam sidang akhbar berkenaan isu ini. Beliau menjelaskan, hakim wanita dilantik berdasarkan keperluan semasa memandangkan kes Mahkamah Syariah semakin meningkat.

“Apabila kes Mahkamah Syariah banyak, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia melihat ada keperluan atau keadaan darurat untuk melantik Hakim Syarie wanita,’’ katanya.

Hal ini turut dibuktikan berdasarkan rekod statistik yang menunjukkan tentang status sesuatu kes bagi tahun-tahun tertentu dari mahkamah syariah. Salah satu status yang dikenal pasti ialah kes-kes tertangguh. Kajian di Mahkamah Syariah Kota Baharu Kelantan menunjukkan bagi tahun 1999 terdapat 1,288 kes talak dan tebus talak, 459 kes taklik dan 18 kes fasakh yang tertangguh. Manakala pada tahun 2000 pula sebanyak 1,375 bagi kes talak dan tebus talak, 668 kes taklik dan 25 kes fasakh yang tertangguh. [“Lewat Selesai Kes…Bebankan Wanita”,  Utusan Malaysia,  17 Jun 2002]

Pada pertengahan 1990an, Mahkamah Syariah telah dikritik kerana melibatkan penangguhan kes yang agak lama di Mahkamah Syariah. Kes yang mendapat liputan akhbar adalah kes Aida Melly Tan Mutalib yang melibatkan kes kekeluargaan iaitu perceraian dan nusyuz. Kes beliau bukan sahaja mendapat perhatian akhbar harian dan majalah bulanan namun juga mendapat perhatian pertubuhan-pertubuhan wanita yang membela kes Aida Melly kerana dikatakan teraniaya akibat daripada kelemahan pentadbiran Mahkamah Syariah terutama apabila berlaku kelewatan dalam penyelesaian kesnya sehingga 8 tahun!

Begitu juga dengan kes yang melibatkan penghakiman kes yang lain iaitu kes Abdul Hanif lawan Rabiah, Y.A.A Hakim Dato’ Sheikh Ghazali memberi penghakiman mahkamah dengan menyebut: “Ini adalah kes yang sangat sedih di mana isteri (yang selepas ini dinamakan sebagai responden) mencuba mendapatkan perceraian daripada suaminya (selepas ini dinamakan sebagai perayu), dari Februari 1989 akan tetapi sayangnya kesnya telah dilengahkan dan dilambatkan dan sekarang sungguhpun sudah lebih dari tujuh tahun kemudian dia belum lagi mendapat perceraian itu”.

Kes ini telah menunjukkan bahawa penangguhan perbicaraan adalah disebabkan bukan sahaja kerana ketidakhadiran pihak-pihak yang terlibat dalam kes tersebut tetapi juga kerana ketidakhadiran peguam-peguam Syarie yang mewakili mereka ke mahkamah. Oleh itu tempoh antara tarikh sebutan dan perbicaraan kadangkala mengambil masa hampir dua tahun. Tempoh ini boleh dianggap sebagai tidak munasabah apatah lagi fakta kes menunjukkan bahawa isteri memohon perceraian atas alasan suami dianiaya!

Dalam satu artikel jurnal bertajuk “Penangguhan Kes Di Mahkamah Syariah: Cabaran Dan Penyelesaian” (Jurnal Syariah, Jil. 17, Bil. 1 (2009) 1-30)  sebuah kajian yang  dijalankan bagi mendapatkan persepsi dan pengalaman wanita dalam prosiding Mahkamah Syariah mendapati bahawa, kebanyakan rungutan kaum wanita tentang penangguhan kes mereka adalah melibatkan kes-kes perceraian. Umpamanya dalam laporan yang dibentangkan dalam satu Bengkel pada 13-14 November 1999, mereka menyenaraikan pandangan wanita tersebut antara lainnya;

a) Proses perbicaraan panjang dan banyak penangguhan adalah tidak berpatutan dan membuang masa isteri.

b) Proses yang panjang dan lambat, adakala ditangguhkan kerana suami tidak hadir, peguam tidak hadir dan pentadbiran yang tidak cekap.

c) Penyelesaian kes mengambil masa yang lama.

d) Tuntutan mengambil masa yang agak lama untuk selesai, dan walaupun kes perceraian selesai, soal wang dan harta belum selesai.

e) Beban membuktikan (burden of proof) sesuatu tuntutan perceraian secara taklik dan fasakh adalah berat. Sehingga ada yang beranggapan bahawa untuk membuktikan bahawa suami telah melanggar mana-mana peruntukan yang berkaitan adalah seolah-olah seperti pembuktian dalam kes-kes jenayah. [Raihanah Abdullah (1997), “Alasan Membubarkan Perkahwinan Melalui Fasakh”, Jurnal Syariah, 5(1): 51]

Hal-hal di atas adalah sangat berkaitan dengan kredibiliti mahkamah syariah sendiri dalam menyelesaikan masalah-masalah terkait dengan bidang kuasa mereka. Penyelesaian tuntasnya bukanlah dengan semata-mata meningkatkan bilangan Hakim Syarie tetapi memastikan prosedur-prosedur mahkamah dipatuhi oleh semua pihak, lebih-lebih lagi pihak guaman sendiri.Oleh itu, tidak hairanlah pada tahun 1996, sebuah akhbar harian berbahasa Inggeris dalam lidah pengarangnya telah membuat satu kenyataan yang begitu sinis terhadap Mahkamah Syariah dan mengkritik kredibiliti Institusi tersebut dalam melaksanakan Undang-Undang Islam di Malaysia. Kenyataan dalam lidah pengarang tersebut bukan sahaja menggambarkan Mahkamah Syariah berada pada kedudukan kelas kedua berbanding dengan Mahkamah Sivil tetapi juga meletakkan kedudukan Syariah di Malaysia lebih rendah berbanding dengan undang-undang Sivil yang berasaskan prinsip common law. Kenyataan-kenyataan seperti “The Syariah’s secondary status in the nation’s main corpus of law” dan juga imej Mahkamah Syariah sebagai “The kangaroo tribunal of peeping toms and probate officials” dinyatakan pada 23 Julai 1996 dalam akhbar New Straits Times telah memberi satu tamparan hebat kepada mereka yang terlibat dalam dunia kehakiman dan guaman Islam di Malaysia. Kenyataan tersebut mengkritik mahkamah syariah kerana tidak mempunyai peraturan yang teratur dan tidak mengamalkan prinsip keadilan. Mahkamah Syariah juga sebuah mahkamah yang hanya membicarakan kes-kes khalwat di mana pihak-pihak tertentu menggunakan pendekatan mengintip dan mengintai bagi mendakwa mereka di Mahkamah Syariah. Inilah imej Mahkamah Syariah yang dipaparkan oleh akhbar tersebut! [“Imej Mahkamah Syariah di Malaysia”, Utusan Malaysia 30 Julai 1996]

Kedua, ada pandangan yang menyatakan bahawa Hakim Syarie wanita adalah lebih sesuai membicarakan kes-kes berkaitan wanita kerana mereka lebih sensitif dan memahami berbanding dengan hakim lelaki.

Ratna Osman, Koordinator SIS dalam kenyataanya kepada pihak BBC yang turut dimuatkan dalam laman web rasmi pergerakan tersebut menyebutkan bahawa pihak mereka menyokong penuh tindakan kerajaan yang secara tidak langsung menggunakan idea (baca: pelantikan Hakim Syarie wanita) yang diperjuangkan oleh SIS sejak awal tahun 1990-an.  Tambahnya lagi, idea tersebut perlu diperjuangkan untuk mengelakkan ketidakadilan kepada golongan wanita apabila kes-kes mereka diadili oleh hakim lelaki yang cenderung tidak memahami realiti wanita dan bias kepada golongan lelaki. [BBC Indonesia – “Hakim wanita di Malaysia”. Sumber: Laman web rasmi SIS]

Kenyataan Ratna ini sebenarnya bercanggah dengan pandangan yang dikeluarkan sendiri oleh kedua-dua hakim wanita tersebut. Bagi mereka, tidak wujud sebarang perbezaan di antara Hakim Syarie lelaki mahupun Hakim Syarie wanita. Kedua-duanya merujuk kepada hukum syara’ dan fakta kes yang sama. Rafidah  turut menolak tanggapan bahawa Hakim Syarie lelaki sering berpihak kepada golongan lelaki.

“Pada pendapat peribadi saya, Hakim Syarie lelaki tidak berpihak kepada golongan lelaki. Mereka menghakimi kes berdasarkan undang-undang dan fakta kes. Apabila kami (wanita) dilantik sebagai hakim dan mengadili kes yang sama peruntukan undang-undang dan fakta kes adalah sama. Jadi tidak ada beza sama ada hakim itu lelaki atau wanita kerana kedua-duanya bergantung kepada undang-undang hukum syarak dan fakta kes. Sebagai Hakim Syarie wanita apa yang saya akan bawa dalam penghakiman adalah sama dan tidak akan berbeza dengan Hakim Syarie lelaki,” katanya. (Kuasa Hakim Syarie wanita, Utusan Malaysia, 16 Julai 2010)

HUKUM ISLAM BERKAITAN HAKIM SYARIE WANITA DAN SISTEM PENGHAKIMAN ISLAM

Pelantikan kedua-dua Hakim Syarie wanita ini disandarkan kepada keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum ini yang menyatakan harus bagi wanita Islam untuk menjadi hakim di Mahkamah Syariah dengan syarat memiliki kebolehan, kewibawaan, kelayakan dan pengalaman luas tetapi tidak pula mengadili kes-kes hudud dan qisas. [Keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan 6 April 2006]

Walau bagaimanapun, Majlis Fatwa Kebangsaan tidak mempunyai ‘kuasa’ untuk memaksa negeri-negeri menerima fatwa yang dikeluarkannya kerana seperti yang diperuntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, urusan hal ehwal mengenai undang-undang Islam adalah terletak secara eksklusif di tangan kerajaan-kerajaan negeri. Setiap negeri mempunyai Jawatankuasa Fatwa masing-masing dan fatwa yang dikeluarkan setelah diwartakan hanya berkuat kuasa di negeri berkenaan sahaja. Ini termasuk dalam persoalan pelantikan wanita Islam sebagai hakim di Mahkamah Syariah.

Pandangan daripada Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya juga menyokong fatwa tersebut kerana menurut beliau tidak ada nas yang qath’i (pasti)  melarang pelantikan hakim wanita. Hatta al-Nawawi, Ibnu Abdul Salam dan al-Sharbini dalam kalangan al-Shafi’iyah menyatakan bahawa sekiranya pemerintah yang mempunyai kuasa telah melantik wanita sebagai hakim maka hukuman hakim wanita tersebut boleh dijalankan. [Tiada larangan wanita jadi hakim syarie, Utusan Malaysia, 7 Julai 2010]

Begitu juga dengan pandangan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang menyokong pelantikan Hakim Syarie wanita dengan hujah bahawa wanita yang berilmu, berkelayakan dan adil adalah setaraf dengan Hakim Syarie kerana tujuan asas bagi proses penghakiman adalah keadilan (baca: kemampuan untuk berlaku adil), bukannya gender!. Ini dibuktikan melalui sejarah wanita-wanita terdahulu  dalam Islam seperti Saidatina Aisyah, Ummu Salamah dan Hafsah yang dikenali umum kerana mampu mengeluarkan fatwa dan bijak membuat keputusan. Beliau juga menekankan bahawa kaedah penghakiman hari ini juga berbeza dengan masa lampau. Hakim tidak lagi bergantung kepada ijtihad beliau sepenuhnya, sebaliknya berasaskan enakmen-enakmen bertulis yang tersedia ada. Apatah lagi, mahkamah syariah di negara ini bukan untuk mengendalikan kes-kes jenayah berat yang mana itu berada di bawah mahkamah sivil. Ertinya, tugasan hakim mahkamah syariah di negara ini tidak seberat mahkamah sivil dan tidak sebeban hakim-hakim zaman dahulu. Jika bebanan hakim-hakim dahulu adalah antara punca sebahagian sarjana mengharamkan mereka memegang jawatan tersebut, hal ini tidak wujud dalam konteks mahkamah syariah negara ini. [Isu hakim wanita, kita wajar terbuka, Laman web rasmi Dr Mohd Asri Zainul Abidin]

Sememangnya, para fuqaha’ Islam berbeza pandangan tentang hukum wanita menjawat jawatan sebagai qadhi (hakim). Ulama mazhab Syafiyah, Malikiyah dan Hanbaliyah menekankan bahawa wanita haram menjadi qadhi. Di antara hujah-hujah mereka adalah berkaitan hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam yang diriwayatkan oleh Abi Bakrah “Sesekali tidak akan berjaya kaum yang melantik pemimpin mereka daripada kalangan wanita”. MenurutAl- Hattabi, hadith di atas menjadi hujah bahawa wanita tidak harus dilantik sebagai pemimpin tertinggi Negara, qadhi atau hakim.

Mazhab Al-Hanafiyyah pula mengharuskan pelantikan hakim wanita dalam kesemua perkara di atas kecuali pada perkara yang berkaitan dengan hudud dan qisas. Mereka mengaitkan hukum pelantikan hakim dengan Ahliyah Al-Syahadah. Dengan itu, mereka mengharuskan pelantikan hakim pada perkara yang diterima kesaksiannya. Mereka berhujah dengan Firman Allah Subhanahu wa Taala yang bermaksud: “Jika tidak ada dua orang lelaki, maka (boleh) seorang lelaki dan dua orang perempuan dari saksi-saksi yang kamu redhai, supaya jika salah seorang terlupa (dari saksi wanita yang berdua itu) maka bolehlah diingatkan oleh yang seorang lagi”. Ayat di atas menunjukkan bahawa wanita memiliki Ahliyah Al-Syahadah sama seperti kaum lelaki. Mereka juga mampu memberi kesaksian yang sempurna dan diyakini. Maka sesiapa sahaja yang memiliki Ahliyah Al-Syahadah dengan sendirinya memiliki Ahliyah Al-Qada’ (hak menjadi qhadi).  
       
Jawapan berkenaan isu ini perlu diteliti dengan mengkaji sistem penghakiman yang pernah diterapkan  dalam sistem pemerintahan Islam sebelum ini. Sistem pemerintahan Islam telah datang dengan struktur pengadilan yang sempurna dan mampu menyelesaikan persengketaan yang terjadi dalam masyarakat. Sejak 13 abad yang lalu, umat Islam telah menyelesaikan masalah atau perselisihan yang berlaku dalam Daulah Islam dengan sistem penghakiman ini tanpa membuang masa dan tenaga daripada terjebak dalam polemik berpanjangan. Sejarah telah membuktikan kepada kita bahawa sistem inilah yang telah membawa keadilan sejagat kepada hampir 2/3 dunia dan umat manusia telah menikmatinya selama lebih kurang 1300 tahun.

Pertama sekali, perlu ditekankan bahawa tugas qadhi (hakim) dalam masalah kehakiman adalah berbeza dengan tugas pemerintah/ pemimpin/ khalifah/wali. Dengan kata lain, fakta peradilan adalah berbeza dengan fakta pemerintahan. Tugas seorang khalifah atau wali adalah menerapkan hukum secara langsung (berdasarkan hukum syara’), sama ada kes tersebut telah atau belum dihakimi oleh qadhi atau belum mendapat aduan, tetapi kes tersebut telah sampai ke pengetahuan pemimpin (khalifah/wali). Dalam kes ini, pemimpin boleh menghakimi seseorang yang melanggar syariat secara langsung dan berhak untuk menerapkan hukum ke atas pesalah tersebut.

Berbeza pula halnya dengan qadhi (hakim). Seorang qadhi (hakim) tidak akan dapat menetapkan hukum jika tiada seorang pun yang mengadukan persoalan kepadanya. Ia hanya akan memutuskan perkara jika terdapat dua orang bersengketa dan salah seorang daripadanya mengadukan persoalan tersebut kepada hakim untuk diteliti dan menyampaikan hukum Allah Subhanahu wa Taala dalam masalah tersebut mengikut metod penerapan yang benar. Ia tidak memiliki hak sebagai pelaksana hukum sama sekali (kecuali jika dilantik sebagai penguasa, sekaligus seorang qadhi).

Dalam kitab Nizhamul Ijtimaei fil Islam (Sistem Pergaulan di dalam Islam), karya Syeikh Taqiyuddin An-Nabhani, beliau menekankan bahawa  hadis “Sesekali tidak akan berjaya kaum yang melantik pemimpin mereka daripada kalangan wanita” tidak relevan dalam isu perlantikan wanita sebagai qadhi kerana hadis tersebut hanya mengandungi indikasi larangan bagi wanita menjadi pemerintah, (penguasa, pemimpin) dan bukanlah sebagai hakim (qadhi). Qadhi/Hakim/Mahkamah di dalam Islam terdiri daripada tiga jenis iaitu pertama, Qadhi Khusumat yang menyelesaikan kes-kes umum melibatkan muamalat dan uqubat. Kedua, Qadhi Muhtasib/Hisbah yang menyelesaikan kes-kes yang mengancam hak jamaah. Ketiga, Qadhi Mazhalim yang menyelesaikan kes-kes yang melibatkan persengketan antara rakyat dan negara/pemerintah.

Dalam buku Struktur Negara Khilafah  (Ajhizah Ad Daulah al-Khilafah-2006) pada bab Peradilan terutama 186, Syeikh Taqiyuddin turut menjelaskan syarat-syarat Qadhi, iaitu : Muslim,  baligh, berakal, sihat, adil, faqih (menguasai berbagai pengetahuan tentang hukum  syariah), dan memahami aplikasi hukum terhadap pelbagai fakta. Manakala khusus bagi Qadhi Mazhalim pula terdapat syarat tambahan, iaitu lelaki  dan seorang mujtahid, sebagaimana Qadhi Qudhat (Ketua Qadhi) kerana tugasnya adalah memutuskan perkara dan pemerintahan.

Fakta terpenting adalah dalam Islam tidak pernah wujud mahkamah sivil sebagaimana yang ada pada hari ini di negara-negara umat Islam termasuklah negara kita. Sejarah perundangan Malaysia menceritakan dengan jelas kepada kita bahawa sistem mahkamah yang ada sekarang di Malaysia adalah hasil daripada ciptaan British yang telah ‘dipaksakan’ ke atas kita semenjak mereka datang menjajah kita pada awal tahun 1800. Apakah setelah mereka pergi kita masih dalam keadaan ‘terpaksa’ menerapkan sistem ini atau kita telah ‘redha’ dengannya? Na’uzubillah.

MAHKAMAH SYARIAH: SESUAIKAH DENGAN SYARA’?

Seterusnya, kami ingin membawa persoalan apakah Mahkamah Syariah yang ada sekarang adalah mahkamah sebagaimana yang Allah dan Rasul perintahkan? Adakah mahkamah ini telah mengikut petunjuk Al-Kitab dan As-Sunnah? Sebagaimana biasa, bagi kebanyakan umat Islam di Malaysia, setiap kali konflik yang melibatkan agama melanda, maka institusi Mahkamah Syariah akan terus dijadikan tempat berpaut, seolah-olah Mahkamah Syariahlah satu-satunya institusi yang akan ‘menyelamatkan’ umat Islam dan agama Islam. Maka emosi mereka terus bersama mahkamah ini dan dalam masa yang sama Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 3(1) dan Perkara 121(1A) akan dipertahankan mati-matian. Secara ringkasnya, Perkara 3(1) menyatakan bahawa Islam adalah agama rasmi Persekutuan dan Perkara 121(1A) memperuntukkan bahawa Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa ke atas apa-apa perkara yang termasuk dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Jika dipandang sepintas lalu, maka tidak hairanlah kenapa sebahagian umat Islam ingin mempertahankan peruntukan ini. Pada hakikatnya, umat Islam telah lupa bahawa Perlembagaan Persekutuan itu adalah hasil ciptaan si penjajah Lord Reid dan dirangka semasa British masih lagi memerintah Tanah Melayu. Sebagai sebuah kuasa kolonial kuffar yang berideologikan Kapitalisme dengan akidah sekularisme, maka mereka menggubal perlembagaan ini bagi memastikan hegemoni mereka terus kekal ke atas umat Islam. Mereka ingin pastikan bahawa undang-undang ciptaan mereka terus tertanam di bumi dan minda umat Islam.

Atas dasar emosi ingin mempertahankan Islam, maka umat Islam lupa bahawa apa yang mereka pertahankan (Perlembagaan) itu hanyalah sebuah ‘warisan’ penjajah kufur yang digubal dengan tujuan agar Islam tidak lagi kembali ke muka bumi. Akibat dipengaruhi emosi, umat Islam juga seolah-olah ‘hilang arah’ bahawa Mahkamah Syariah yang ada hanyalah sebuah mahkamah yang hanya mempunyai bidang kuasa yang telah ditetapkan oleh ‘akal sekular manusia’ yang telah menetapkan hukuman maksimum tidak lebih daripada 3 tahun penjara, RM5,000.00 denda dan 6 kali sebatan. [Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) (Pindaan) 1984 yang berkuatkuasa mulai 1hb Januari 1985]

Dengan kata lain, hudud dan banyak lagi hukum Allah pasti tidak akan dapat ditegakkan dengan Perlembagaan dan Mahkamah Syariah yang ada sekarang. Justeru, bolehkah perlembagaan dan Mahkamah Syariah ini menjadi ‘penyelamat’ kepada agama Allah ini dan bolehkah ia menjadi penyelamat kepada kita di akhirat, khususnya apabila Allah bertanya, dengan apakah kamu berhukum di dunia wahai manusia? Firman Allah SWT :

“Hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang telah Allah turunkan” [TMQ al-Mai’dah (5):49].

Firman Allah SWT :

“Dan apabila mereka dipanggil kepada Allah (untuk bertahkim dengan Kitabullah) dan RasulNya, agar Rasul menghukum di antara mereka, tiba-tiba sebahagian dari mereka menolak untuk datang. Tetapi jika keputusan itu adalah untuk kemaslahatan mereka, mereka datang kepada Rasul dengan patuh. Apakah (keengganan mereka untuk datang) kerana dalam hati mereka ada penyakit, atau (kerana) mereka ragu-ragu ataukah (kerana) takut kalau-kalau Allah dan RasulNya berlaku zalim terhadap mereka? Sebenarnya mereka itulah orang-orang yang zalim” [TMQ an-Nur (24):48-50].

Wahai kaum Muslimin! Kalian hanyalah makhluk ciptaan Allah yang wajib mematuhi segala aturanNya. Oleh itu, sanggupkah kalian wahai hamba Allah yang kerdil dan serba kekurangan, untuk tidak berhukum dengan hukum Allah, atau malah merubah hukumNya? Adakah kalian merasakan bahawa kalian adalah lebih bijak daripada Allah, lalu kalian merubah aturanNya menurut kemahuan akal-akal kalian? Adakah kalian tidak beriman dengan Hari Akhirat, hari yang mana Allah akan mengadili kalian di mahkamahNya di mana tidak ada mahkamah yang lebih adil kecuali mahkamah pada hari itu dan tidak ada perbicaraan yang lebih adil daripada perbicaraan pada hari tersebut? Justeru, kami menyeru kalian khususnya mereka yang memegang kekuasaan dan mereka yang terlibat secara langsung serta mendokong sistem mahkamah yang ada pada hari ini, tukarlah mahkamah-mahkamah ini kepada mahkamah yang dikehendaki oleh Allah dan RasulNya, sebelum tiba hari di mana Allah akan membicarakan kalian di Mahkamah yang kalian sekali-kali tidak akan terlepas dan tidak akan dapat merayu lagi dari hukuman dan azabNya. Na’uzubillaih min zalik.

Ya Allah! Saksikanlah bahawa kami telah menyampaikan.


CINTA …ada apa dengan cinta?

Hukuman berat ikhtiar terbaik atasi buang bayi. Begitulah bunyi tulisan dalam sebuah akhkbar tempatan dalam menangani kemelut pembuangan bayi yang saban hari ,waktu, ketika dan saat berlaku tanpa henti.Peningkatan statistik menunjukkan sejumlah 257,411 sijil pendahtaran kelahiran anak tidak sah taraf, dicatatkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara dari tempoh 2000 sehingga Julai 2008, dimana sebahagian besarnya Melayu dan sudah tentu beragama Islam. Bagi tempoh 2008 hingga 2009 sebanyak 181 kes pembuangan bayi dilaporkan, manakala 60 kes direkodkan sejak awal tahun ini sehingga kabinet memutuskan untuk mengenakan hukuman yang berat.

Walau apa pun hukuman yang dikenakan terhadap pesalah kes buang bayi diputuskan untuk dilaksanakan ,  FU Ogos kali ini ingin berkongsi pandangan  dan menyambung perbahasan berkaitan Pendidikan Kesihatan Reproduksi : Dimana Perananmu Ibu (FU Julai 2010 ) menunjukkan bahawa peranan sebagai ibu bermula dari anak dilahirkan sehinggalah mereka dewasa (baligh). Artikel ini memberikan sedikit panduan berhadapan dengan anak remaja agar mereka sentiasa dalam pimpinan dan jauh dari masalah gejala sosial .

Cinta …Sejahterakah Hidup ini Hanya dengan Cinta?

Cinta kepada lawan jenis merupakan hal yang bersifat  naluri pada manusia . Allah SWT berfirman :

Dijadikan terasa indah dalam pandangan manusia cinta terhadap apa yang diinginkan ,berupa perempuan-perempuan, anak-anak , harta benda yang terkumpul dalam bentuk emas dan perak , kuda pilihan, haiwan ternak  dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allah tempat kembali yang baik . ( TQS Al Imran[3] :14).

Allah SWT menjelaskan berkenaan maksud dari penciptaan naluri ini :
Hai sekelian manusia, bertakwalah kepada Tuhan kalian yang telah menciptakan kalian dari satu diri serta menciptakan darinya isteri-isteri dan memperkembangbiakkan dari keduanya lelaki dan perempuan yang banyak. (TQS An Nisa’[4]:1). 

Makna yang sama juga ditemui di dalam QS Al A’raf:189 , An Nahl:72 , Ar Rum: 21 dll. Ayat-ayat tersebut mengisyaratkan bahawa penciptaan laki-laki dan perempuan adalah dalam rangka melanjutkan keturunan. Oleh itu,  ungkapan cinta dengan segala ekspresinya tentu hanya dibolehkan di dalam sebuah ikatan perkahwinan yang sah. Selain itu, tidak dibenarkan sama sekali lelaki dan perempuan yang bukan mahram untuk saling berhubungan dalam masalah peribadi hingga mengarah kepada hubungan fizikal. Rasulullah SAW bersabda :

Tidak berkhalwat seorang lelaki dengan seorang perempuan kecuali bersamanya seorang mahram (HR Muslim)

Sehubungan dengan itu, rasa cinta kepada lawan jenis merupakan salah satu dari penzahiran naluri mempertahankan keturunan , disamping penzahiran lainnya seperti rasa sayang terhadap anak, orang tua dan saudara. Naluri ini hanya akan muncul jika ada rangsangan dari luar. Apabila telah muncul dan tidak terpenuhi, keadaan ini tidak mengakibatkan kematian.Bahkan kemunculan naluri ini boleh dielakkan dengan cara menghindari hal-hal yang dapat merangsangnya, baik dalam bentuk sesuatu yang bersifat lucah atau khayalan-khayalan yang tidak senonoh.

Naluri ini dapat dialihkan kepada kegiatan yang menuntut tumpuan dan aktiviti yang menyibukkan atau dialihkan  ke naluri lainnya seperti naluri beragama. Rasulullah SAW bersabda “Wahai para pemuda , siapa sahaja diantara kalian yang mampu untuk bernikah, nikahlah, kerana pernikahan itu dapat menundukkan mata dan menjaga kehormatan. Siapa sahaja yang  belum mampu, hendaklah dia berpuasa , sebab berpuasa dapat menjadi perisai baginya (HR al Bukhari dan Muslim) 

 Satu-satu jalan yang dibenarkan hanyalah dengan pernikahan yang sah, sebab dengan pernikahan bererti seseorang telah dapat menyalurkan naluri jenisnya dengan cara yang halal dan terselamatlah separuh agamanya. Rasulullah SAW bersabda , “ Siapa sahaja yang telah diberi Allah rezeki berupa isteri yang soleha , ia sesungguhnya telah ditolong separuh agamanya. Kerana itu, hendaklah ia bertakwa kepada Allah pada separuh yang lainnya (HR at Tabrani dan al Hakim).

Mengendali Naluri Seksual

Di tengah arus kehidupan yang liberal, tidak boleh dihindari adanya rangsangan terhadap naluri seksual yang sedemikian subur . Tayangan lucah kita temui di mana-mana.  VCD dan DVD porno laris terjual di jalanan dan tempat-tempat yang mudah diperolehi. Perempuan-perempuan biasa menampakkan aurat di depan umum tanpa ada segan silu , malah menampakkan susuk tubuh yang dikatakan cantik sebagai suatu kebanggaan tanpa rasa bersalah dan dosa.

Ketika ini, para pemuda harus menghadapi kenyataan bahawa tenaga yang semestinya mereka fokuskan untuk berkarya dan berprestasi sebagai hamba Allah terpaksa mesti dialihkan untuk menahan gejolak syahwat yang berpeluang muncul pada bila-bila masa.Kecanggihan teknologi memberi kemudahan untuk berkomunikasi dengan sesiapa pun, termasuk dalam mengungkapkan rasa dan gejolak ini kepada lawan jenis. Komunikasi menerusi talipon bimbit atau dunia maya diikuti dengan pertemuan hingga mengarah kepada pertemuan fizik dan penyaluran keperluan seksual.Inilah yang sering dikaitkan  oleh masyarakat dengan istilah “kekasih”.

Saat ini, telah dimaklumi bahawa para ibubapa berhadapan saat yang kritikal dalam mendidik anak dengan situasi persekitaran begini. Seorang ibu dituntut  untuk memahami karektor dari setiap naluri , termasuk naluri seksual justeru kemunculannya dalam diri anak dan cara pengendaliannya menurut Islam. Seorang ibu juga harus dapat mengikuti perkembangan zaman dan teknologi agar dapat`mengawal ruang lingkup pergaulan anak hingga dapat mengesan seawal mungkin jika si anak mulai berkomunikasi dengan lawan jenis seperti melalui talipon bimbit atau facebook.

Perkara yang paling penting adalah menanam nilai-nilai agama yang kuat dalam keluarga serta komunikasi yang lancar antara anak dan ibubapa hingga tiada masalah anak yang tidak diketahui oleh ibunya. Anak juga harus menanamkan rasa kepercayaan yang tinggi dan selesa semasa mencurahkan isi hati terhadap ibu bapa , tidak malu ataupun takut saat mengungkapkan setiap gejolak yang dialaminya terhadap lawan jenis. Si anak percaya bahawa ibunya mampu menjawab segala masalah dan memberikan penyelesaian yang bijak dan sesuai dengan tuntutan Islam. Inilah yang akan menumbuhkan keperibadian Islam anak; perkembangan naluri-nalurinya senantiasa seiring dengan perkembangan pemikirannya . Ibunyalah yang paling berperanan dalam hal ini.

Berikut adalah antara tips-tips atau langkah-langkah yang boleh dilakukan dalam mengawal perkembangan naluri seksual anak , terutama agar anak boleh dicegah dari ‘berkasih-kasihan’ .

Pertama. Kuatkanlah akidah anak dengan mengajak berfikir tentang kehidupan, tujuan Allah menciptakan manusia, maklumat tentang sifat manusia , cara pemenuhan potensi hidup manusia menurut Islam serta akibat pemenuhan yang tidak sesuai dengan aturan Allah SWT , batasan pergaulan di dalam Islam seperti kewajiban menundukkan pandangan , menjaga aurat , tidak berkhalwat, dan lain-lain.  Ini dalam rangka membentuk piawaian Islam dan membina pemikiran anak dalam menghadapi kemunculan naluri seksual.

Kedua. Wujudkan suasana rumah dalam persekitaran ibadah yang kuat dan saling beramar ma’ruf nahi mungkar antara ahli keluarga . Biasakan melakukan qiyamul lail , tadarus al-Quran dan puasa sunat bersama-sama bagi memperkuatkan hubungan dengan Allah SWT hingga muncul rasa hubungan yang dekat dengan Allah sedekat leher dengan urat ‘nyawa’ dan merasakan Allah sentiasa mengawasi kita.

Ketiga. Ajaklah anak berkomunikasi dan berfikir tentang masa hadapan dan cita-citanya dan mengatur strategi serta matlamat-matlamat untuk mencapai cita-cita tersebut. Dengan cara ini , kita akan dapat mengesan lebih awal , apa sahaja cara yang dapat mengesan perkara-perkara yang boleh mendukung atau perkara-perkara yang boleh membuat menghambat cita-citanya, termasuk dapat mengenalpasti kemunculan naluri berkaitan naluri seksual

Keempat. Motivasi dan tanamkan jiwa kepimpinan dengan aktif berorganisasi, beri motivasi untuk selalu meningkatkan prestasi diri, berkarya dan maju . Juga dapat dilakukan dengan memberi contoh apa yang telah diusahakan dan dihasilkan oleh para sahabat Rasulullah SAW, ulama dan ilmuwan Islam dalam usia muda . Harapannya, anak akan memiliki idola yang selalu menjadi ikutannya.

Kelima; Penuhi anak dengan kasih sayang dan perhatian dari kedua ibu bapa dan saudara sebagai bentuk lain dari penyaluran naluri seksual sehingga dapat mengurangkan kemunculan naluri terhadap lawan jenis pada usia yang lebih cepat.

Keenam ; Amalkan dan biasakan untuk sentiasa berkomunikasi dengan anak , tidak menganggap tabu untuk membahas isu sekitar masalah naluri jenis ini. Apabila perlu, berilah contoh langsung bagaimana secara praktik pengalaman-pengalaman  mengendalikan naluri seksual dalam usia yang relevan dengan batas-batas syariat.

Ini adalah diantara perkara yang boleh dilakukan oleh kaum ibu dalam menjalankan kewajiban membentuk keperibadian Islami dalam diri anak dan menghindari diri anak dari dikendalikan oleh selain aturan Islam. Seterusnya dapat menyalurkan naluri yang dianugerahkan Allah pada jalan yang hak dan menghindari diri dari gejala sosial yang melanda umat hari ini.  Oleh itu, setiap perkembangan nalurinya (nafsiyah) akan selalu dapat diselesaikan sesuai dengan taraf pemikiran Islamnya (aqliyah). Semoga perkongsian maklumat ini akan dapat meningkatkan kreativiti ibu dalam usaha membentuk keperibadian anak sesuai dengan perintah yang telah disyariatkan  . Amin.

Insyallah semua ini akan terlaksana apabila Khilafah Islam tertegak,di mana setiap lapisan masyarakat berperanan mengikut landasan Hukum Syarak.Pihak penguasa menerapkan undang-undang mengikut aturan Al Quran dan Hadis Nabi saw.Bahkan ia sentiasa sedar dan ingat akan firman Allah ini,sebagaimana yang difirmankan di dalam surah (al Maidah[5]:44,45 dan 47), “Barang siapa tidak memutuskan dengan apa yang diturunkan oleh Allah,maka mereka itulah orang yang kafir,zalim dan fasik.”. Semoga tulisan ini dapat dijadikan sebagai renungan kepada kita semua.Wallahua’lam.