FTPA: Demokrasi “diperkosa” oleh pencintanya sendiri

Politik Malaysia semakin hari semakin menyerlahkan ketamakan kuasa para pemainnya di pentas yang mereka namakan sebagai demokrasi. Selepas kecoh langkah Dubai, kini Timbalan Perdana Menteri mencadangkan agar digubal Akta Penggal Tetap Parlimen (FTPA) bagi membolehkan kerajaan kekal berkuasa tanpa diganggu gugat hingga tamat 5 tahun penggal parlimen.

Dengan cadangan ini, maka kini sudah jelaslah permainan Langkah Dubai hendak dibawa ke mana. Merekalah yang memulakannya, mensensasikannya dan kini mereka cuba “menamatkan”nya dengan kemenangan bergaya.

Sungguh aneh bin ajaib, di saat PMX mengaku sudah mendapat dua per tiga majoriti sokongan di parlimen, alih-alih kerajaan mahu menggubal undang-undang bagi memastikan kerajaan kekal berkuasa sehingga habis penggal bagi mengelak sebarang usaha untuk menjatuhkan kerajaan semasa penggal sedang berjalan.

Lebih aneh lagi apabila PMX dan timbalannya sendirilah yang selama ini terlibat dalam usaha untuk menjatuhkan kerajaan sebelum tamat penggal, tetapi kini timbalannya itu berkata bahawa akta ini perlu demi kebaikan rakyat dan negara! Jika langkah ini baik untuk rakyat dan negara, jadi siapakah sebenarnya yang telah membawa keburukan kepada rakyat dan negara selama ini?

Semua “setup” ini membuktikan bahawa mereka telah dirasuk dengan ketamakan kuasa yang luar biasa. Apabila mereka berada di bawah, mereka berusaha keras untuk menjatuhkan orang lain dengan apa cara sekali pun. Apabila mereka berada di atas, mereka berusaha keras untuk memastikan yang mereka tidak akan jatuh dengan apa cara sekali pun. Mereka sudah tidak malu untuk melakukan itu semua. Cakap tak serupa bikin dan bikin tak serupa cakap sudah menjadi “makanan” harian mereka.

Rakyat tentunya masih ingat usaha-usaha mereformasi institusi yang menjadi agenda sebelum kerajaan hari ini berkuasa, yang antaranya ialah menghadkan penggal perdana menteri kepada dua penggal sahaja bagi mengelak berlakunya kediktatoran akibat terlalu lama berkuasa. Kini, mereka ingin menggubal undang-undang agar kerajaan, dan khususnya Perdana Menteri, tidak boleh dijatuhkan sebelum tamat penggal. Apakah ini bukan satu kediktatoran?

Mereka yang berkuasa ini nampaknya bukan sahaja takut kepada pembangkang yang berkemungkinan akan menjatuhkan mereka, tetapi mereka juga sebenarnya takut kepada orang-orang dalam mereka sendiri, yang berkemungkinan menukar sokongan secara tiba-tiba. Dengan penggubalan akta ini, maka mereka dapat mengelak daripada ditumbangkan dari dalam akibat perbalahan dan perebutan kuasa sesama sendiri. Dengan kata lain, selepas ini tidak akan ada tekanan apa pun dari dalam yang boleh menjatuhkan PM, kecuali jika PM secara sukarela ingin meletak jawatan. Bijak kan?

Mereka yang memegang kuasa ini mengakui bahawa mereka adalah pengamal dan pencinta demokrasi. Namun dalam masa yang sama merekalah yang menafikan hukum majoriti yang terdapat dalam demokrasi, yang mereka sanjung selama ini. Bukankah perlembagaan yang mereka agung-agungkan itu menyatakan bahawa seseorang Perdana Menteri hanya memegang jawatan selagi mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat? Dengan kata lain apabila Perdana Menteri sudah hilang sokongan majoriti, sebagaimana yang telah berlaku beberapa kali sejak Langkah Sheraton, maka secara automatik jatuhlah Perdana Menteri dan kerajaan yang dipimpinnya itu.

Bukankah apa yang berlaku, malah dilakukan sendiri oleh mereka selama ini, yakni dengan menjatuhkan kerajaan melalui Statutory Declaration (SD) dan bukannya melalui pilihan raya, suatu langkah yang mereka sendiri dakwa sebagai demokratik dan berperlembagaan? Kini, apabila mereka berkuasa, mereka cuba menghapuskan langkah demokratik dan berperlembagaan tersebut!

Sangat jelas bahawa mereka sebenarnya telah “memperkosa” demokrasi yang selama ini mereka dakwa menjaga dan mencintainya dengan sepenuh hati. Ternyata demokrasi hanyalah “alat” pemuas nafsu serakah mereka semata-mata!

Dalam pada kerajaan berusaha untuk menyelamatkan kerusi mereka daripada tumbang, mereka lupa bahawa kerusi mereka sebenarnya sangat rapuh dan boleh tumbang pada bila-bila masa, walau sekuat mana sekali pun mereka berusaha untuk mempertahankannya.

Jika mereka menoleh sedikit sahaja kepada rakan-rakan sejawat mereka di Timur Tengah mahu pun di bahagian-bahagian lain dunia ini, yang mana rakan-rakan mereka itu jauh lebih lama berada di kerusi kekuasaan daripada mereka, kesemuanya telah melakukan apa sahaja demi mengekalkan kerusi masing-masing, namun ternyata satu per satu telah jatuh daripada kerusi tersebut, dan mereka bukan sahaja jatuh, tetapi jatuh dengan penuh kehinaan.

Malah, jika kerajaan yang berkuasa pada hari ini rajin membelek al-Quran, nescaya mereka akan dapati bahawa Firaun yang mengaku dirinya itu Tuhan sekali pun, telah tenggelam dengan kesemua bala tentera yang menjaga kerusinya itu. Firaun telah melakukan segala kejahatan dan berfikir bahawa dia tidak akan jatuh daripada kerusinya. Allah (swt) akhirnya membinasakannya dengan sekelip mata.

Begitulah kehendak Allah (swt) ke atas orang-orang yang berkuasa, yang mana Dia telah pun mengingatkan mereka bahawa:

قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَنْ تَشَاءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَاءُ ۖ بِيَدِكَ الْخَيْرُ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

“Katakanlah: “Wahai Tuhan Yang mempunyai kekuasaan, Engkau berikan kekuasaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kekuasaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu” [Ali Imran (3): 26].

Malangnya mereka yang berkuasa tidak pernah mengambil pelajaran. Sedikit kuasa yang mereka miliki itu telah membutakan mata dan hati mereka, sehingga mereka tidak nampak akan kebesaran kuasa Allah (swt).

Kalaulah kerajaan yang berkuasa pada hari ini ada sedikit perasaan takut kepada Tuhan mereka, nescaya mereka akan menggunakan kuasa mereka untuk menerapkan hukum-hukum Tuhan mereka sepenuhnya, dan sungguh jika demikianlah yang mereka lakukan, mereka tidak perlu risau atau takut sedikit pun akan jatuh daripada kerusi, kerana Allah sendirilah yang akan meneguhkan kerusi mereka.

Wallahu a’lam.