Gabungan Baharu Melayu-Islam, Ke Mana Hala Tuju Perjuangannya?
Buat ke sekian kalinya, sentimen Melayu-Islam dimainkan dalam usaha membentuk pandangan umum yang berpihak kepada parti-parti politik tertentu. Parti-parti yang terlibat merupakan parti yang telah lama berkecimpung dalam arena politik tempatan yang diwarnai dengan politik berasaskan kaum dan agama. Ketua Pemuda UMNO Titiwangsa melahirkan harapan tersebut dalam satu majlis berbuka puasa yang diadakan baru-baru ini, yang melibatkan wakil-wakil pimpinan Pemuda Parti Islam SeMalaysia (Pas), Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Sekilas pandang, usaha sebegini kelihatan bertujuan murni, mengikat persaudaraan sebangsa dan seagama. Namun realitinya, parti-parti yang bergelumang dengan sistem demokrasi tidak akan mengikat kerjasama atau persefahaman apa pun, kecuali atas dasar manfaat. Selama mana ada manfaat, mereka boleh bekerjasama, dan apabila manfaat tersebut telah berakhir atau gagal diperolehi, maka mereka akan kembali bercakaran dan bermusuhan.
Usaha berbaik-baik yang dilakukan atas dasar manfaat memang tidak adakan bertahan lama, kerana ia bergantung kepada hayat kewujudan manfaat tersebut. Sebaik sahaja hayatnya tamat, maka segala ikatan akan terburai dan segala pujian akan digantikan dengan kejian. Inilah apa yang berlaku secara berulang-ulang dalam sistem demokrasi ciptaan Barat yang diamalkan di negara ini.
Apa yang pasti, usaha untuk bekerjasama atau membentuk gabungan yang didambakan itu tidak pernah menjadikan Islam sebagai agenda utama, walaupun slogan yang cuba dibawa ialah Melayu-Islam. Mereka tidak pernah menjadikan penerapan hukum Allah (swt) sebagai hala tuju kepada gabungan atau perjuangan mereka. Apa yang pasti juga ialah, kerjasama atau gabungan baru yang cuba diusahakan itu tidak boleh lepas daripada usaha untuk menang pilihanraya dengan cara memenangi sokongan pengundi Melayu-Muslim yang membentuk majoriti di negara ini. Kerana itulah, sentimen Melayu-Islam dilaungkan.
Penyatuan atau kerjasama merupakan satu usaha yang baik dan sewajarnya dilakukan. Namun demikian, sebagai Muslim, kita wajib menjadikan akidah sebagai satu-satunya asas atau dasar penyatuan dan kerjasama, bukannya manfaat. Akidah merupakan teras yang wajib dijadikan pegangan dan perjuangan oleh setiap Muslim dan parti yang mengaku memperjuangkan Islam. Inilah penyatuan dan kerjasama hakiki umat Islam, yakni yang dibangun atas dasar akidah. Kita (Muslim) bersatu kerana kita memiliki akidah yang sama, dan tujuan penyatuan serta kerjasama kita ialah untuk menerapkan Islam, bukan kerana kita ingin menang pilihanraya atau mendapatkan kerusi.
Seandainya akidah Islam yang dijadikan teras yang mengikat parti-parti ini, maka sudah pasti mereka akan meninggalkan perjuangan bangsa dan demokrasi ini, lalu akan diterjemah dengan tindakan atau perjuangan yang selari dengan perintah Alllah (swt) iaitu untuk menerapkan hukum-Nya.