Golongan muda hilang percaya terhadap politik negara
Berita:
SEREMBAN 22 Jan. – Tidak mahu terlibat dan dikaitkan dengan politik menjadi antara punca kira-kira 3.6 juta golongan muda berusia 21 tahun ke atas di negara ini enggan mendaftar sebagai pengundi.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah berkata, berdasarkan kajian yang dilakukan, kebanyakan mereka memberi alasan mahu menjauhkan diri daripada politik sedangkan mereka sudah mencecah umur layak mengundi.
Komentar:
Bahang pilihan raya semakin terasa dengan tersebarnya desas-desus tarikh pilihan raya. Media massa mula memaparkan retorik-retorik dan janji-janji parti yang bertanding sekiranya menang pada pilihan raya umum nanti.
Namun begitu, yang menjadi kebimbangan kerajaan mahupun pembangkang ketika ini ialah kurangnya golongan muda yang berminat untuk terlibat dengan politik negara. 3.6 juta bukanlah jumlah yang sedikit bahkan bakal memberi impak yang besar terhadap keputusan pilihan raya. Golongan muda dilihat bukan sahaja tidak mahu mengundi bahkan juga tidak mahu mendaftar sebagai pengundi. Mereka juga enggan melibatkan diri dengan politik dan boleh dikatakan tidak lagi mempercayai sistem pilihan raya yang dijalankan.
Dengan senario politik negara yang kacau-bilau menyebabkan golongan muda melihat politik seperti sesuatu yang jijik, kotor dan perlu dielakkan. Rasuah, kronisme, dan nepotisme telah mendarah daging dalam politik semasa sehingga golongan muda tidak lagi yakin dengan pemimpin parti sama ada di pihak kerajaan mahupun pembangkang.
Demikianlah yang akan berlaku sekiranya politik tidak bersandar kepada politik Islam. Dalam sistem sekular-demokrasi yang menjadi tunjang negara, politik hanyalah alat untuk merebut kuasa bagi menjaga periuk nasi sendiri dan ahli parti sahaja. Berbeza dengan Islam, politik adalah untuk mengatur dan memelihara urusan umat sama ada di dalam atau luar negara. Oleh itu, jelaslah bagi kita bahawa mengurus atau memelihara (ambil peduli) tentang urusan umat Islam merupakan tanggungjawab politik yang dibebankan oleh Allah SWT ke atas bahu pemerintah. Ini sesuai dengan sabda Rasulullah SAW:
فَالْإِمَامُ رَاعٍ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ
“Imam (pemimpin) itu pemelihara dan dia bertanggungjawab di atas orang yang dipelihara (rakyat)nya”[HR Muslim].
Memelihara rakyat bermaksud mengambil berat tentang kepentingan-kepentingan rakyat yakni menunaikan segala hak dan kewajipan rakyat mengikut ketentuan yang Allah SWT telah perintahkan ke atas mereka. Bagi setiap individu Muslim dan gerakan Islam pula, mereka juga wajib berpolitik dengan maksud wajib ke atas mereka memerhatikan urusan atau kepentingan umat Islam. Wajib bagi mereka memastikan bahawa mereka ‘diatur’ (oleh pemerintah) dengan hukum-hakam Islam dan wajib pula bagi mereka memuhasabah pemerintah sekiranya pemerintah tidak menerapkan hukum Islam ataupun mengabaikan kemaslahatan kaum Muslimin. Dengan penerapan politik Islam ini, maka politik bukanlah sesuatu perkara yang kotor atau jijik, tetapi ia merupakan salah satu bentuk ibadah dan tanggungjawab kepada Allah SWT.
Ibnu Shams
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia