Gula-gula Slogan

KUANTAN 18 April – Gagasan Satu Malaysia adalah kesinambungan cogan kata dilaungkan dua Perdana Menteri sebelum ini iaitu Cemerlang, Gemilang dan Terbilang serta Wawasan 2020. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, cogankata Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan merupakan satu proses yang sampai ke destinasinya.

“Setelah melihat apa yang dilaungkan oleh Perdana Menteri sebelum ini, saya rasa lebih baik memberi tumpuan kepada ramuan, formula dan pelengkap untuk proses itu sampai kepada matlamat kita.

Ulasan

Tradisi PM! Setiap kali lahir seorang PM, pasti dia ingin membawa suatu kebaikan yang lebih baik dari PM sebelumnya. Pelbagai idea dan perancangan diluahkan bagi memenangi hati rakyat. Seolah-olah ianya mampu mengatasi permasalahan yang semakin menimpa-nimpa rakyat umum ketika ini. Namun seperti biasa, memang lumrahnya tradisi kapitalisme, para pemimpin cuba ‘membeli’ hati rakyat dengan gagasan, slogan dan strategi agar mereka terus dapat meneraju tampuk kepimpinan dan rakyat terus menggaji mereka sebagai pemimpin. Itulah retorika kepimpinan ideologi kapitalisme di mana sahaja sejak zaman berzaman lamanya.

Cogankata seolah-olah kalimah keramat yang mampu mengubah segala-galanya. Ia digubah dengan seperangkat idea, strategi dan perancangan yang diatur agar mampu memenuhi kehendak semasa dan rakyat. Kepentingan diri kerap merupakan asas dan tunjang agenda tersembunyi. Mustahil bagi seorang pemimpin kapitalis untuk ikhlas memimpin demi rakyat tanpa menjadikan kepentingan diri sebagai landasan utama. Tidak akan wujud dalam hati mereka walau sezarahpun keinginan untuk memimpin jika ditawarkan semata-mata pahala atau beban tanggungjawab akhirat tanpa imbalan dunia yang memuaskan. Cogankata para pemimpin jenis ini hanyalah ‘harga’ yang diharap mampu ‘membeli’ rakyat, namun hakikatnya tak akan pernah membawa kemakmuran kepada rakyat keseluruhannya, melainkan diri mereka sahaja.

Khalifah merupakan jawatan tertinggi dalam hieraki pemerintahan Islam (al-Khilafah). Jawatan ini merupakan tanggungjawab yang dibebankan dengan hukum Allah, bukan kepentingan semasa mahupun diri. Setiap tindakan kepimpinannya dipandu oleh kepimpinan berfikir (qiyadah fikriyyah) Islam akibat dari ketundukan terhadap wahyu Allah SWT. Oleh itu, tidak akan wujud suatu gagasan yang ‘istimewa’ di antara Khalifah yang terkini dan yang terdahulu kerana masing-masing memikul Islam yang satu dalam kepimpinan mereka di mana yang paling utama dan didahulukan adalah hukum Allah, bukan cogankata atau aspirasi peribadi terhadap ‘kemajuan’ dan seumpamanya sepertimana hari ini.

Sejak gelombang kebangkitan berfikir Islam mula membadai dunia, umat Islam mula berfikir secara Islami. Mereka sudah muak dengan cogankata demi cogankata yang hanya slogan tanpa langsung mengangkat permasalahan mereka. Hidup mereka kian terhimpit akibat dari sistem hidup yang dipimpin oleh ‘pemimpin slogan’. Umat kini mengharapkan kembalinya seorang Khalifah yang bertugas menerap setiap hukum Allah sepenuhnya ke atas rakyat dan dikembangkannya Islam ke serata muka bumi agar setiap manusia tunduk hanya kepada Allah, bukan kepada manusia dan cogankatanya.