Hadiah Nobel Keamanan Obama Adalah Fatamorgana Keamanan Dunia
Presiden Amerika belum pernah mencapai matlamatnya untuk mewujudkan keamanan dan belum pernah mengusahakan keamanan dunia.
Pada 9hb Oktober 2009, Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama telah dianugerahkan hadiah Nobel Keamanan atas alasan kononnya beliau mengusahakan keamanan dunia. Ahli jawatankuasa Hadiah Nobel mengeluarkan kenyataan dengan mengatakan bahawa Obama telah,
“mewujudkan era baru di dalam hubungan politik antarabangsa…Hanya segelintir manusia sahaja yang telah mencapai tahap yang telah dijangkau oleh Obama yang telah menarik perhatian seluruh dunia, di dalam memberikan harapan baru ke arah masa depan yang lebih baik.”
Selanjutnya mereka memberikan kenyataan,
“Diplomasi beliau adalah diasaskan kepada fakta di mana golongan yang memimpin dunia mestilah bersandar kepada nilai-nilai dan sikap yang dikongsi oleh seluruh penduduk dunia”.
Selalunya hadiah tersebut diberikan kepada individu yang telah mengusahakan sesuatu yang dapat dinilai dan dirasai oleh penduduk dunia dan bukan sesuatu yang merupakan janji yang tidak semestinya dapat ditunaikan. Di dalam kes Obama, beliau belum pernah bertanggungjawab meraih keamanan atau menjalankan usaha ke arah keamanan dunia. Tetapi sebaliknya, beliau telah menyalakan api peperangan dan merupakan musuh Islam yang sedang mengetuai peperangan Amerika Syarikat terhadap Islam dan umat Islam di dunia ini.
Sebaik sahaja Obama diumumkan sebagai penerima hadiah tersebut, beliau mengumpulkan para penasihat di dalam majlis peperangannya untuk mengatur langkah peperangan di Afghanistan. Seorang pegawai pentadbiran memberitahu AFP bahawa “Presiden telah berbincang mengenai keselamatan dan cabaran politik di Afghanistan dan pilihan-pilihan yang strategik dalam mengatur langkah di Afghanistan”. Salah satu langkah Obama di Afghanistan adalah menambahkan lagi bilangan anggota tentera darat Amerika Syarikat di sana. Ini termasuklah anggota tentera upahan swasta yang telah bekerjasama dengan Pentagon yang bertanggungjawab terhadap keganasan dan pembunuhan beramai-ramai penduduk awam Afghanistan.
Majlis peperangan Obama juga sedang meneliti untuk melanjutkan perang Amerika Syarikat ke Pakistan. Pegawai tentera Amerika sedang berbincang untuk melancarkan serangan peluru berpandu ke atas Quetta, iaitu kota terbesar di Baluchistan. Sekiranya ianya dipersetujui oleh Obama, maka akan bermula era baru perang Amerika ke atas Pakistan dan ini bermakna bahawa kedutaan Amerika di Islamabad yang merupakan kedutaan terbesar di negara umat Islam akan digunakan sebagai pusat gerakan dalam mengatur strategi untuk mengorbankan nyawa umat Islam. Tambahan pula, Amerika telah memberikan kontrak kepada dua syarikat tentera upahan swasta, Blackwater dan InterRisk untuk memburu dan membunuh umat Islam di Pakistan.
Di Iraq, “polisi pengunduran” Obama dilitupi oleh tipu daya yang bertujuan untuk menguatkan lagi kehadiran tentera Amerika. AS telah membawa masuk anggota tentera upahan swasta untuk mengimbangi pengunduran tentera marin Amerika Syarikat. Anggota tentera upahan swasta ini melakukan pembunuhan dan pengeboman dengan bebas tanpa pernah didakwa dan membunuh nyawa umat Islam sambil menghina penduduk tempatan.
Dengan berpandukan kepada statistik terbaru yang dikeluarkan oleh Pentagon tahun ini, terdapat pertambahan sebanyak 23% terhadap bilangan anggota tentera upahan swasta yang berkerja untuk Jabatan Pertahanan di Iraq dalam suku kedua 2009. Jumlah untuk jangkaan masa yang sama di Afghanistan adalah 29%. Secara keseluruhannya, bilangan anggota tentera upahan swasta (bersenjata dan tidak bersenjata) adalah lebih kurang 50% daripada “jumlah keseluruhan tentera di Centcom AOR [Kawasan yang dipettanggungjawabkan].” Ini bermakna bahawa terdapat 242,657 anggota tentera upahan swasta yang bertugas di dua medan perang Amerika Syarikat di bawah pemerintahan Barack Obama. Ini melebihi jumlah anggota tentera sebelum ini di Iraq dan Afghanistan yang berjumlah 132,610 and 68,197 masing-masing.
Di bawah kendalian Obama, api perang saudara di Somalia tercetus dengan marak. Api peperangan tersebut dinyalakan di Washington, melalui bantuan senjata dari Amerika Syarikat kepada agen mereka yang sedang ditimpa malang iaitu Sharif Ahmed. Bulan lepas, Obama memberikan persetujuan kepada tenteranya untuk melancarkan serangan udara terhadap kumpulan pemberontak, yang sangat mirip kepada pencerobohan Amerika Syarikat dalam Somalia pada tahun 1993.
Obama juga tidak pernah mengusahakan perdamaian dengan Iran, tetapi ingin melaksanakan sekatan yang akan menekan penduduk Iran dan menjadikan suasana kebencian terhadap Amerika Syarikat berterusan beberapa dekad. Obama juga masih mengekalkan hubungan baik Amerika Syarikat dengan para pemerintah zalim di negari-negeri umat Islam, suatu yang menjadikannya tidak banyak berbeza dari Presiden sebelumnya, George Bush.
Kegagalan yang paling buruk bagi Obama dalam ‘menghasilkan keamanan’ adalah di Palestin. Sebelum menjawat jawatan Presiden Amerika Syarikat secara rasmi, beliau tidak mengutuk keganasan Israel di Gaza. Sikap Obama yang menafikan jenayah perang Israel di Gaza telah memperlihatkan tahap baru dalam tidak menghargai nyawa, darah dan kemuliaan umat Islam. Obama juga tidak mengendahkan penempatan haram penduduk Yahudi yang dibina oleh Israel dan ini telah meranapkan segala usaha pelan damai.
Jelaslah bahawa Obama hanyalah memecahkan belahkan kesatuan dan kekuatan umat Islam melalui peperangan dan pertumpahan darah. Tindakan politik Obama adalah penuh dengan ugutan dan kezaliman. Nilai-nilai yang didukung oleh Obama penuh dengan tipu muslihat dan ketidakadilan. Dengan penganugerahan Hadiah Nobel Keamanan kepada Obama, jawatan kuasa Nobel sebenarnya telah mengakui bahawa perang ke atas umat Islam, yang diselubungi oleh muslihat keamanan adalah suatu usaha yang murni. Obama telah memikat hati jawatan kuasa hadiah Nobel, tetapi di kalangan umat Islam dan dunia keseluruhannya, Obama membawa bersama-samanya agenda penjajahan imperialis Amerika Syarikat yang merupakan musuh manusia sejagat dan musuh kepada keamanan dunia.